Mar 28, 2014

Vorteks Ekstra - Demi Masa.

0 nota kaki

[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20]
[21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40]
[41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52][53][54][55][56][57][58][59][60]




“Adalah lebih baik untuk kita tidak terlibat dengan keluarga Encik Ahmad buat seketika. Terutamanya dengan Intan,” kata Prof. E kepada Prof. Shah yang sedang memerhati keluarga Encik Ahmad dari satu sudut gelap.
“Maksud kau?”
“Aku nak pindah. Aku tak mahu duduk sini lagi. Aku nak mulakan hidup baru.”
Prof. Shah tersenyum mendengar kata-kata kawannya itu. Pada Prof. Shah, baguslah jika Prof. E mahu mulakan hidup baru. Prof. E memang boleh dikategorikan sebagai sesat dalam kehidupannya sebelum ini. Dengan memulakan hidup baru, mungkin segala-galanya akan menjadi semakin baik.
Mereka berdua bersama-sama bergerak semula ke bilik loteng tingkat atas.

“Erman, aku ada dua persoalan,” mula Prof. Shah.
“Pertama, kenapa kau secara tiba-tiba sanggup melepaskan projek yang kau kaji selama berpuluh-puluh tahun ni? Kau tak sayang dengan titik peluh usaha kau sendiri? Bukankah semua yang berlaku ini membuktikan hasil usaha kau selama ini bukan sia-sia? Bukankah semua ini boleh jadi breakthrough dalam karier kau sebagai saintis?”
Prof. E merenung wajah kawannya itu sambil tersenyum.
“Soalan kedua?”
“Oh, kedua. Aku dapat rasa seperti kau sembunyikan sesuatu tentang Johan dan semua kejadian merentas masa ni. Apakah dia? Beritahu aku sepenuhnya.”
Sambil tersenyum, Prof. E menuju ke meja kerjanya. Dia mengambil sesuatu dari timbunan kertas. Sebuah fail. Prof. E kemudian menghulurkan fail itu kepada Prof. Shah.
“Jawapan untuk kedua-dua persoalan kau itu terdapat di dalam fail itu. Fail yang kau simpan selama ini.”
Prof. Shah membelek-belek helaian kertas di dalam fail itu. Itu fail yang sangat tidak asing baginya. Itu Fail J.
“INI FAIL J!”

“Ya, FAIL J.”
“Berkali-kali aku baca fail ini, walaupun isinya sama seperti kajian kau, tapi tiada apa yang baru dan tidak diketahui aku.”
“Cuba kau ceritakan kembali secara ringkas apa yang kau baca dari Fail J itu.”
“Baiklah...” Prof. Shah menarik nafas panjang sebelum memulakan cerita.
“Suatu hari, profesor aku didatangi seorang lelaki awal 20-an claim dirinya datang dari masa depan. Skeptik seperti orang lain, profesor aku itu tidak mahu melayan lelaki tersebut dan menganggap lelaki itu cuma mahu perhatian dengan mereka cerita palsu. Lelaki tersebut kemudian ingin membuktikan kepada profesor aku dengan meramal apa yang bakal berlaku dalam tahun itu. Selepas beberapa bulan, ramalan lelaki itu mengenai keputusan pilihanraya, kemalangan besar dan kematian beberapa orang penting dunia benar-benar berlaku. Profesor aku kembali mencari lelaki itu. Dia kemudian memulakan sesi kajiannya mengenai dakwaan lelaki itu mengenai dirinya datang dari masa depan.”
Prof. E mengangguk.
“Kata lelaki itu, dia datang dari lapan tahun ke depan. Suatu hari, semasa berjalan seorang diri pada waktu malam di dalam sebuah kawasan pembinaan, dia disambar kilat. Selepas dirinya sedar dari pengsan, dia dapati dirinya dalam keadaan berbogel di dalam satu kawasan semak samun. Menyangka dirinya dirompak, dia ke balai polis untuk membuat laporan. Di balai polis, dia dapati suasana menjadi berbeza. Selepas diamati, rupanya tarikh sudah bertukar. Dia sedar dirinya berada pada lapan tahun sebelum. Dia datang dari masa depan.”
Prof. E mengangguk sambil tersenyum.
“Lelaki itu juga dapati kewujudan dirinya satu lagi, lapan tahun lebih muda, membuatkan dirinya berada dalam keadaan penuh masalah. Tiada pengenalan diri, tiada tempat tinggal tetap dan tiada kenalan, dia kemudian mencari profesor aku yang mengkaji fenomena tidak normal alam. Katanya, sebagai tukaran kepada maklumat yang dia ada, dia mahu identiti baru dan tempat tinggal. Dia juga mahu diberikan modal untuk memulakan perniagaan.”
“Jadi, apa profesor kau buat?”
“Dia setuju. Dengan kemampuan meramal lapan tahun ke hadapan, lelaki itu dan profesor aku memulakan satu perniagaan berteraskan business consultation. Dari situ, mereka berjaya memungut keuntungan yang besar. Selepas lapan tahun, lelaki tersebut dan profesor aku buat keputusan untuk bersara dari perniagaan mereka dan masing-masing membawa bersama kemewahan yang besar. Profesor aku buka pusat kajian sendiri manakala lelaki itu berkahwin dan menjalani kehidupan normal tanpa orang ramai mengetahu dia pernah merentas masa.”

“Shah, kau skip bahagian paling penting dalam fail.”
“Oh, tentang kisah cinta lelaki itu? Hm, aku tak rasa cerita itu menarik. Lelaki itu seorang miskin tanpa kelulusan tinggi cuba untuk memikat seorang pelajar universiti, tapi sebelum dia sempat memulakan langkah, ada lelaki lain yang lebih berjaya memikat hati perempuan idamannya. Cheesy. Macam drama sangat.”
Prof. E tersenyum lebar. “Kau rasa perkara itu tidak penting?”
“Ya.”
“Clearly kau tidak baca fail itu betul-betul. Lelaki yang sedang kecewa itu sedang berjalan-jalan pada waktu malam seorang diri semasa disambar kilat dan dibawa ke lapan tahun sebelumnya. Apabila dia sedar dia berada pada lapan tahun sebelumnya, dia tanam tekad mahu berjaya dan sekali lagi cuba memikat perempuan idamannya lapan tahun kemudian.”
“Ya? So?”
“Lelaki yang berjaya memikat gadis idamannya sebelum dia merentas itu ialah diri dia sendiri. Diri dia yang sudah berjaya.”
Prof. Shah membeliakkan matanya. “Ohhh...”

“Satu lagi perkara penting kau skip,” kata Prof. E.
“Apa dia?”
“Siapa nama lelaki itu?” tanya Prof. E.
Prof. Shah membelek kembali fail di tangannya. “Jaafar. Jaafar bin Seman. Hence the file name, J-File.”
For your information, Jaafar bin Seman IS Johan’s grandfather. Dia datuk kepada Johan.”
Prof. Shah terkejut.
“’Was’ actually. Dia meninggal beberapa hari lepas,” sambung Prof. E.
Prof. Shah mengambil fail Johan dan membelek isi di dalamnya.
“Dari awal kajian lagi, aku dapat rasa ada satu variable yang aku tak masukkan dalam pengiraan. Apabila aku dapat Fail J dari kau, aku terus faham. Rupanya variable tersebut ialah genetik.”
“Genetik? Maksud kau?” tanya Prof. Shah.
“Genetik adalah jawapan kenapa hanya Johan yang hilang ditelan kilat sebentar tadi walaupun kita ada di sekeliling. Genetik juga jawapan kenapa yang diambil hanya Johan tapi bukan pakaian dan peluru yang tertanam di dalam badannya.”
Wajah Prof. E bertukar sayu.
“Hanya genetik tertentu sahaja yang membolehkan seseorang layak merentas masa. Sebab itulah kenapa mereka yang mengkaji fenomena merentas masa tidak pernah berjaya merentas masa. Pendek kata, yang mahu merentas masa tidak layak merentas masa, yang layak merentas masa tidak tahu tentangnya.”
Prof. E melabuhkan punggungnya ke atas kerusi.
“Dari awal kajian aku, aku berhasrat mahu merentas masa dan merasai sendiri pengalamannya. Aku berusaha mengkajinya sehinggakan aku hilang keluarga yang aku sayang. Namun, sejak keluarga aku tinggalkan aku, matlamat aku bertukar. Aku mahu merentas masa ke masa sebelum keluarga aku pergi dan mengingatkan diri aku pada waktu itu supaya hentikan semua ini. Aku mahu perbaiki masa silam aku. Aku mahukan keluarga aku kembali.”
Prof. Shah juga mencari kerusi untuk dirinya duduk.
“Tapi, selepas jumpa Johan, aku dapati semuanya tidka penting lagi. Semua ini, semua kajian ini, membuatkan aku hilang perkara yang lebih penting. Keluarga. Aku tidak mungkin dapat ke masa silam untuk perbaiki segalanya. Apa yang aku mampu buat hanyanya maju ke depan dan jadikan masa silam aku sebagai panduan dan pedoman. Aku tiada pilihan untuk merentas masa. Aku tidak TERPILIH untuk merentas masa.”
Prof. Shah memandang wajah pilu Prof. E. “Jadi kau buat keputusan untuk melepaskan semua hasil kajian kau ini? Begitu?”
Prof. E tersenyum. “Ya. Sudah tiada makna jika aku teruskannya.”

Prof. E berdiri dan mengemas fail-fail dan kertas yang berselerak di atas mejanya.
“Tapi jangan bimbing. Semua ini tidak sia-sia. Data-data kajian ini mungkin berguna satu hari nanti.”
“Maksud kau?” tanya Prof. Shah.
“Maksud aku, jika akan datang berlaku sesuatu yang tidak diingini, sesuatu yang tidak menyebelahi manusia, merentas masa mungkin menjadi salah satu alternatif untuk memulihkan keadaan. Dengan syarat, Johan atau sesiapa yang memiliki genetik merentas masa masih ada.”
Prof. Shah tersenyum mendengar kata-kata Prof. E itu.

“Kau bercakap seperti penerbit filem fiksyen.”

“Ya, memang begitu. Jika berlaku sesuatu kepada dunia, Johan mungkin boleh menjadi penyelamat.”



[TAMAT.]



.

Mar 21, 2014

Vorteks #60 - Demi Masa...

0 nota kaki

[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20]
[21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40]
[41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52][53][54][55][56][57][58][59]



Nota penulis: 
Episod akhir Vorteks mengandungi dua pengakhiran.
Sila pilih dengan klik mana satu pengakhiran pilihan anda.


Ya. Seperti apa yang mereka ramalkan, peristiwa itu memang berlaku.
Malam menjelang 23 haribulan, awan tebal mula berkumpula dan membentuk pusaran di langit seolah-olah satu vorteks awan yang besar. Suasana sekitar mula menjadi sejuk secara mendadak. Beberapa saat kemudian, satu sambaran kilat yang besar diikuti dengan petir yang kuat keluar dari pusat pusaran awan tersebut menghentam bumi pada satu lokasi yang spesifik. Lokasi sama seperti yang pernah berlaku lapan tahun lepas. Juga lokasi yang sama seperti yang pernah berlaku 7 hari lepas.

22 Mac 2012, jam 2230.
Kilat Thor sekali lagu menyambar bilik loteng di rumah Prof. Erman.

------

Johan mengeliat, meregangkan badannya. Sambil menguap, dia membuka matanya perlahan-lahan. Mata kuyunya melihat kawasan sekeliling. Hanya selepas sepuluh saat baru Johan sedar dia tidak berada di tempat selalu dia terjaga daripada tidur. Dia bukan berada di atas katil di dalam biliknya di kolej kediaman universiti seperti selalu. Dia juga bukan berada di atas katil di biliknya di rumah ibu bapanya. Dia berada di atas katil di dalam bilik yang kelihatan tidak asing baginya.
Johan berada di dalam bilik di rumah Prof. Erman.

“Selamat pagi, Johan. Selamat kembali.”

Satu suara kedengaran dari satu sudut bilik. Suara itu datang dari seorang lelaki pertengahan umur yang sedang duduk memerhati.





.

Mar 14, 2014

Vorteks #59 - Masa Silam, Masa Kini, Masa Depan.

0 nota kaki


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20]
[21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40]
[41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52][53][54][55][56][57][58]




Natijah daripada cahaya kilat besar yang menyambar loteng rumah Prof. E, bekalan elektrik di seluruh kawasan perumahan itu telah terputus. Walaupun kejadian sebegitu selalu berlaku setiap lapan tahun di kawasan itu, tapi kali ini jumlah cahaya yang memancar dan bunyi dentuman petir amat luarbiasa. Kebanyakan penduduk setempat cuba meninjau apa yang sudah berlaku. Ada yang keluar dari rumah dan melihat sekeliling, ada juga yang hanya meninjau keluar dari beranda rumah.
Intan tidak terkecuali.
Intan berlari ke beranda rumah untuk melihat apa yang sudah berlaku. Sesampainya dia di beranda, perkara pertama yang menarik perhatiannya adalah kereta biru yang berbunyi penggeranya di hadapan rumah Prof. E. Kereta itu dikenali Intan. Itu kereta milik ayahnya.
“Ibu! Ibu!” jerit Intan ke dalam rumah. Puan Nora kemudian datang sambil mendukung Farhan.
“Kenapa?” tanya Puan Nora.
“Itu!” sambil Intan menuding jarinya ke arah kereta biru tadi.

22 Mac 2004, jam 2333. 3 minit selepas Kilat Thor.
“Tipu. Tak mungkin dia boleh hilang begitu sahaja,” Inspektor Bakar mempersoalkan apa yang dia lihat. Encik Ahmad di sebelah masih terkaku diam, juga tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
“Walaupun aku sendiri sudah bersedia untuk semua ini, tapi aku masih juga rasa ragu-ragu,” kata Prof. Shah dari tepi meja. “Erman, adakah semuanya berjalan seperti kau duga?”
“Ya.” Prof. E duduk melihat sesuatu dalam timbunan pakaian yang ditinggalkan Johan di atas kerusi. “Semuanya berjalan seperti yang aku duga, malah lebih baik dari itu.”
Dengan menggunakan penyepit seakan-akan forseps, Prof. E mengambil sesuatu dari timbunan pakaian tersebut.
“Lihat.” Prof. E menunjukkan sesuatu ke arah Prof. Shah, Inspektor Bakar dan Encik Ahmad.
“Itu...Itu serpihan peluru. Adakah...?” Inspektor Bakar tergagap.
“Ya, datang dari Johan. Dia pergi dan berjaya tinggalkan kita serpihan peluru dari badan dia,” jelas Prof. E.
“Kau tahu tentang ini, Erman?” Prof. Shah meminta kepastian.
“Tidak. Tapi aku boleh duga. Semasa hari pertama dia muncul di sini tempoh hari, dia berada dalam keadaan bogel dan lapar. Aku teka, hanya dia sahaya yang ‘dibenarkan’ merentas masa. Bahan lain ‘bukan dia’ seperti baju tidak akan dibawa sekali. Sebab itu serpihan peluru ini dapat ditinggalkan.” Riak muka kagum bercampur tidak percaya jelas kelihatan di muka ketiga-tiga Prof. Shah, Inspektor Bakar, dan Encik Ahmad.
“Untung dia pergi dalam keadaan perut kosong. Kalau tidak, kita kena pasti kena berurusan dengan najis dan bahan makanan yang belum hadam di sini.” Prof. E cuba berjenaka, tapi tiada reaksi daripada yang lain. Masing-masing masih terkejut.

Selepas membiarkan Inspektor Bakar dan Encik Ahmad menenangkan diri, Prof. E datang menghampiri mereka.
“Inspektor. Seperti yang saya janji, saya serah diri saya. Tangkaplah saya atas apa sahaja kesalahan yang ada. Saya akan mengaku kesemuanya.” Prof. E menghulurkan tangannya kepada Inspektor Bakar, tunggu untuk digari. “Yang pasti, Prof. Shah tiada sebarang kaitan dengan semua ini.”
Prof. Shah dan Encik Ahmad terlopong melihat tindakan Prof. E. Inspektor Bakar pula kelihatan sedang berfikir sambil merenung wajah Prof. E.
“Maaflah, Prof Erman. Saya tak boleh nak tahan awak. Tiada kesalahan yang boleh saya sabitkan.” Inspektor Bakar menolak tangan Prof. E.
“Tapi...”
“Macam mana saya nak tahan awak atas pertuduhan menculik pesakit di hospital, sedangkan pesakit itu tidak wujud di dunia ini.”
Logik Inspektor Bakar itu menguntumkan senyuman di wajah Prof. E dan Prof. Shah.
“Banyak yang saya nak tanya awak, Prof Erman, tapi sekarang saya sudah penat. Untuk hari ini, kita tamatkan di sini sahaja. Boleh?”
Prof. E hanya mengangguk. Dia bersyukur akhirnya Inspektor Bakar percayakan dengan apa yang dia perkatakan.
Setelah pistol yang dipegang Prof. Shah dipulangkan kembali kepadanya, Inspektor Bakar melangkah ke arah pintu untuk pulang.
“Inspektor Bakar!” panggil Prof. E. Inspektor Bakar yang sudah berada di muka berpaling.
“Harap semua yang berlaku di sini tadi dapat dirahsiakan. Perkara seperti ini memang tidak patut dihebah-hebahkan,” pinta Prof. E.
“Saya tahu. Lagipun, daripada sibuk mencanang cerita tentang lelaki dari masa depan, lebih baik saya fikirkan apa yang patut saya tulis dalam laporan nanti.” Inspektor Bakar mengeluh panjang sebelum berlalu hilang di sebalik pintu.
“Encik Ahmad?” Prof. E beralih kepada lelaki yang berada di sebelahnya itu.
“Walaupun masih terkejut, tapi saya rasa saya faham apa yang sudah terjadi. Jangan risau. Saya juga tidak mahu dilabel gila dengan membawa berita ada orang datang dari lapan tahun akan datang semata-mata untuk selamatkan anak saya.” Encik Ahmad kelihatan lebih tenang dari tadi.
“Masalahnya sekarang, apa perlu saya beritahu Intan...”

“Cepatlah, ibu. Ayah mesti ada di sana.” Intan menarik tangan ibunya yang sedang mendukung Farhan dan berjalan laju ke arah rumah Prof. E. Belum sempat Intan mahu mengetuk pintu rumah Prof. E, pintu itu sudah terbuka. Lelaki yang membukanya juga terkejut melihat Intan di muka pintu.
“Intan! Nora!” tegur Encik Ahmad merujuk kepada anak dan isterinya.
“Ayah! Apa ayah buat di rumah Prof? Kenapa ayah tak balik ke rumah? Kenapa ayah tak datang ambil kami untuk ke hospital melawat Yusran?” soal Intan bertubi-tubi. Encik Ahmad masih cuba untuk mencari jawapan yang patut dia perkatakan.
“Mari balik ke rumah kita. Ayah akan ceritakan segalanya di rumah,” terang Encik Ahmad.
Di dalam rumah, Prof. E dan Prof. Shah memerhati mereka sekeluarga dari satu sudut gelap.
“Adalah lebih baik untuk kita tidak terlibat dengan keluarga Encik Ahmad buat seketika. Terutamanya dengan Intan,” terang Prof. E.
“Maksud kau?”
“Aku nak pindah. Aku tak mahu duduk sini lagi. Aku nak mulakan hidup baru.”
Prof. Shah tersenyum mendengar kata-kata kawannya itu.

Encik Ahmad melabuhkan punggungnya ke atas sofa. Puan Nora meletakkan Farhan di atas ribanya sambil mengambil tempat. Intan terlebih dahulu duduk, tidak sabar mendengar apa yang bakal diperkatakan oleh ayahnya. Walaupun ruang tamu masih bergelap, namun terdapat sumber cahaya datang dari lampu kecemasan automatik yang terpasang di depan rumah. Cahaya itu tidak terang, namun masih membenarkan setiap dari ahli keluarga Encik Ahmad untuk untuk melihat wajah masing-masing.
“Intan sayang. Ayah baru berjumpa dengan Prof Erman. Yusran terpaksa di rawat lebih lanjut di luar negara. Kita tidak dapat bertemu dengan dia dalam masa terdekat ini. Mungkin lebih lama dari sepatutnya,” jelas Encik Ahmad.
Berita tersebut membuatkan Intan tergamam. “Ke mana dia dihantar, ayah?”
“Ayah tak pasti,” kata Encik Ahmad sambil menggelengkan kepala.
Tidak dapat menahan lagi, Intan menangis teresak-esak. Suasana sayu menyelebungi ruang tamu, namun Encik Ahmad dan Puan Nora hanya berdiam diri dan membiarkan Intan terus menangis.
“Ini semua salah orang. Ini semua salah orang. Kalau orang tak kena culik, Yusran tak akan jadi macam tu.” Intan menekup wajahnya. Tersedu-sedu Intan menangis diselangi dengan raungan kecil. Puan Nora menggosok belakang Intan, cuba menenangkannya.
Encik Ahmad tidak mampu untuk melihat anaknya terus bersedih dan menyalahkan diri.
“Tapi Intan, Yusran ada sedar dari koma sebelum dia dihantar pergi. Dia ada tinggalkan pesan untuk Intan. Dia kata satu hari nanti dia sendiri akan cari Intan. Sementara menunggu hari itu, Intan perlu terus ke depan...”
Serta merta Intan diam, terhenti dari tersedu. Encik Ahmad juga terhenti dari terus berkata-kata.
Manusia perlu terus ke depan. Masa silam dijadikan pedoman supaya kita pada masa kini tidak mengulangi kesilapan. Hasilnya, masa depan kita akan lebih terjamin,” kata Intan tiba-tiba. Encik Ahmad dan Puan Nora tergamam melihat Intan.
“Itulah pesan yang Yusran tinggalkan. Itu prinsip yang dia ajar kepada Intan. Kata dia, dengan prinsip itu, tidak kira apa pun pengalaman, rintangan dan cabaran yang kita hadapi, kita akan dapat hadapi dengan jayanya.”
Kagum mendengar kata-kata anaknya itu, Encik Ahmad mengangguk sambil tersenyum.
“Ya, itulah yang Yusran pesan. Dia mahu Intan terus kuat dan kejar cita-cita Intan.” Walaupun terpaksa menipu, tapi melihat Intan berubah dari berwajah sedihnya sebentar tadi sangat melegakan hati Encik Ahmad. Padanya, buat masa sekarang, biarlah Intan tidak diberitahu lagi tentang kebenaran segalanya.

------

25 Mac 2004, jam 0810, di Sekolah Menengah Bandar Selatan (2). 3 hari selepas Kilat Thor.

“Awak pasti awak okey, Intan?” tanya Aida. Dia dan Intan sedang berjalan bersama-sama memasuki kelas mereka selepas tamat perhimpunan harian sekolah.
“Saya okey. Dah dua hari saya duduk rumah tak buat apa-apa. Ayah pun tidak pergi kerja semata-mata nak temankan saya. Kalau saya cuti lagi, terganggu pula kerja ayah nanti. Lagipun dah banyak pelajaran yang saya terlepas.”
Di sekolah, hangat dengan khabar angin terdapat seorang pelajar diculik, tapi hal sebenar tentang siapakah gerangan yang diculik hanya beberapa guru dan Aida sahaja yang tahu.
“Rajin betul awak. Kalau saya, lagi seronok kalau duduk di rumah.”
Mereka berdua tergelak bersama-sama.
“Oh, ya.” Intan memalingkan kepada ke arah Aida.
“Semalam, tiba-tiba ayah ada tanya apa yang saya teringin nak buat. Awak tahu apa yang saya jawab?”
“Apa?” tanya Aida.
“Saya beritahu dia tentang tawaran abang awak tu. Tentang jadi model majalah Remaja Kini.”
“Jadi, apa yang ayah awak cakap?” Aida berwajah teruja.
“Dia setuju.” Menjerit Aida mendengar kata-kata Intan itu. Dia memeluk Intan kerana terlalu gembira. “Tapi ayah bagi syarat...”
“Apa syaratnya?”
“Pelajaran jangan diabaikan.”
“Ala, awak budak pandai. Saya yakin awak boleh. Biar saya uruskan awak. Nanti saya beritahu abang saya, okey?”
Intan tersenyum lebar. Akhirnya perjalanan dia mengejar impian masa kecilnya akan bermula.

27 Mac 2004, jam 1000, di sebuah kawasan kampung di Bandar Timur. 5 hari selepas Kilat Thor.
Pintu sebuah rumah diketuk. Beberapa saat kemudian, kedengaran tapak kaki menuju ke pintu tersebut. Pintu dibuka. Wanita separuh umur yang membuka pintu itu kelihatan terkejut melihat gerangan yang mengetuk pintu.
“Assalamualaikum. Awak sihat?”
“Er...Erman. Abang.” Wanita tersebut seperti tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya. Prof. E sedang berdiri tersenyum memegang sejambak bunga.
“Saya tahu awak tak berapa suka bunga. Tapi saya tak ada idea nak bawa apa untuk awak. Boleh saya masuk?”
“Silakan, abang. Silakan.”
Dalam jarak 20 meter dari situ, kelihatan Prof. Shah memerhatikan semuanya dari jauh. Dia tersenyum. Tapi senyumannya sedikit kelat.
“Aku tak tahu apa patut aku rasa. Aku sepatutnya gembira, tapi kenapa dalam masa sama aku berasa sedih?”
Prof. Shah menghidupkan enjin kereta. Dia kemudian menekan butang ‘on’ pada pemain mp3 keretanya. Bergema segenap ruang kereta dengan melodi piano Musim Bunga ‘La Primavera’ hasil ciptaan Antonio Vivaldi. Prof. Shah memejamkan mata menikmati muzik kegemarannya sebelum berlalu pergi meninggalkan kawasan kampung itu.

Sementara itu, sesuatu sedang berlaku di dalam sebuah studio rakaman di Pusat Bandar.
“Aku ada idea baru untuk lagu baru. Aku sudah dapat ilham,” desak seorang lelaki terhadap seorang produser. Produser tersebut hanya menggarukan kepalanya.
“Masa kau sudah lepas, Yus. Kau kena terima hakikat.”
“Tapi, lagu ni bakal hit. Aku jamin.” Lelaki yang dipanggil Yus itu menghulurkan beberapa kertas tertulis not-not muzik dan beberapa baris lirik.
“Kau pinjamkan dulu studio kau. Nanti bila aku sudah kaya, aku bayar balik semuanya TIGA KALI GANDA.”
Frasa ‘TIGA KALI GANDA’ itu menarik perhatian produser tersebut. Dia kemudian membaca not-not muzik dan baris lirik yang diberikan Yus.

Waktu itu, ketika kita sama-sama ketawa
melafaz "kita suka sama suka,"
waktu itu, sekecil mana khilaf kita lupakan sahaja.

“Mana kau dapat idea buat lagu ni?” tanya si produser.
“Aku dapat ilham masa tumpang lori sayur tempoh hari.”
“Tapi ini bukan lagu rock. Ini macam lagu balada,” kata produser itu.
“Memang. Aku nak buat ‘comeback’ dengan lagu balada,” balas Yus. Produser itu masih ragu-ragu.
“Kau cuba dulu. Tak rugi. Percayalah. Aku janji.” Produser itu menarik muka apabila mendengar perkataan ‘janji’ datang dari mulut Yus. Dari pengalaman terdahulu, perkataan ‘janji’ tidak bererti apa-apa kepada Yus. Tapi, susunan muzik dan baris lirik yang ditulis Yus itu tidak boleh dipertikaikan kehebatannya. Selaku produser, dia nampak potensi dalam lagu tersebut.
“Baiklah. Aku cuba. Tapi dengan satu syarat. Aku nak kau comeback sebagai kumpulan FRU, bukan Yusran. Tiada siapa mahu dengar lagu dari ‘Yusran yang bermasalah’. Okey?”
“Okey!”
“Dah buang semua jambang-jambang dekat muka tu. Serabut aku tengok.”
“Okey!”
Persetujuan termeterai.

17 April 2004, jam 2000, di kediaman Encik Ahmad, Bandar Selatan.
Intan berdiri di tingkap dan meninjau suasana di luar. Hujan turun tidak lebat tapi cukup untuk membasahi bumi. Melihat titisan air hujan berlumba-lumba berlinang di kaca tingkap membuatkan Intan teringatkan seseorang. Seseorang yang hilang tanpa jejak.
Lamunan Intan terhenti dan beralih ke arah telefon bimbit di tangannya yang berbunyi. Ada satu pesanan ringkas masuk.
Hani, esok jangan lupa. Pukul 9 pagi saya dan abang datang jemput di rumah.
Pesanan ringkas dari Aida, selaku pengurus peribadi tidak bertauliah. Aida juga yang memberikan nama ‘Hani’ kepadanya. Kata Aida, ‘Hani’ kedengaran lebih komersial. Intan tiada bantahan memandangkan Hani juga sebahagian dari namanya, Intan Farhani. Nama Hani juga mengingatkannya terhadap Yusran di mana di awal pertemuan mereka, Yusran tersilap sapa dia sebagai ‘Hani’. Mulai sekarang dia akan dikenali sebagai Hani, nama yang melambangkan kekuatan dirinya. Mulai sekarang Intan akan menempuh perjalanan dalam usaha merealisasikan impiannya dari kecil, menjadi model seperti ibunya.

Intan hanya tersenyum selepas membalas pesanan ringkas tersebut.
Dia kembali merenung ke luar tingkap.
Sudah hampir sebulan tiada khabar berita dari Yusran. Hampir sebulan juga Intan terkenangkan penyelamatnya itu setiap hari. Kadangkala air mata menemani. Kadangkala senyuman mengisi. Tapi yang pasti Intan tidak pernah menunjukkan riak sedihnya di hadapan sesiapapun. Di hadapan orang, dia perlu kelihatan kuat dan tabah. Cukuplah hanya dia sahaja yang tahu betapa rindunya dia dengan seseorang.
Dari tingkap, dia cuba meninjau rumah Prof. E. Namun, apa yang dia nampak cuma rumah yang tidak berlampu. Benarlah kata ayahnya bahawa Prof. E sudah berpindah keluar dari kejiranan itu. Tiada siapa tahu bila dan bagaimana. Sedar-sedar sahaja rumah Prof. E sudah kosong dan tidak berpenghuni. Hal demikian merumitkan lagi usaha Intan untuk menjejak Yusran. Dia tidak tahu mana lagi titik mula dalam usahanya untuk menjejak Yusran.
Namun Intan tidak akan putus asa.
“Manusia perlu terus ke depan. Masa silam dijadikan pedoman supaya kita pada masa kini tidak mengulangi kesilapan. Hasilnya, masa depan kita akan lebih terjamin.”
Biarpun sebulan, biarpun setahun, biarpun sepuluh tahun, Intan akan tetap berusaha mencari Yusran. Dia juga percaya Yusran akan berpegang kepada janjinya untuk bertemu kembali satu hari nanti. Tidak kira berapa lama, Intan pasti akan tunggu.


Lapan tahun kemudian...



BERSAMBUNG...[60]

Mar 7, 2014

Vorteks #58 - Masanya Sudah Tiba.

0 nota kaki


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20]
[21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40]
[41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52][53][54][55][56][57]




Naik buntu fikiran Puan Nora apabila asyik dihujani pertanyaan daripada anak perempuannya. Intan kerap kali bertanyakan tentang perihal ayahnya yang masih tidak memberi jawapan tentang rancangan untuk melawat Yusran di hospital.
“Ayah mana, ibu? Dah malam dah, kenapa ayah tak cakap apa-apa lagi? Macam mana kita nak melawat Yusran kalau ayah tak cakap apa-apa?” desak Intan. Puan Nora tiada jawapan untuk soalan-soalan Intan itu. Dia pun sudah berkali-kali cuba menelefon Encik Ahmad, tapi deringan tamat tanpa berangkat. Risau juga hati dibuatnya. Masakan tidak, seorang lagi penjenayah masih bebas di luar sana. Dia tidak dapat membayangkan jika berlaku sesuatu perkara buruk terhadap suaminya.
“Sabar Intan. Ibu pun sudah banyak kali call ayah kamu, tapi dia tak angkat.” Perit hatinya melihat wajah kecewa Intan. Perit lagi memikirkan di mana keberadaan suaminya sekarang. Tapi, apa yang perlu dan dapat Puan Nora lakukan hanyalah bertenang dan mengawal keadaan di rumah.
Puan Nora sekali lagi menekan punat di telefon dan mendengar deringan di hujung talian.
“Ayahnya, angkatlah telefon...”

22 Mac 2004, jam 2136, di bilik loteng rumah Prof. Erman. 1 jam 54 minit sebelum Kilat Thor.
Encik Ahmad dapat merasakan telefon bimbit di dalam saku seluarnya bergetar. Namun, badannya kaku disebabkan keadaan genting yang sedang dihadapinya. Dari pandangan matanya, dia berada di belakang Inspektor Bakar yang sedang mengacukan pintu ke arah Prof. E dan Prof. Shah. Manakala, Yusran kelihatan terduduk tidak sedarkan diri di atas kerusi di tengah-tengah bilik.
“Jangan bergerak, kamu berdua ditahan atas pertuduhan melakukan kes penculikan,” tegas Inspektor Bakar.
“Inspektor, ini bukan seperti apa yang tuan nampak,” Prof. Shah cuba menenangkan keadaan. Prof. E di sebelah perlahan-lahan menghampiri Prof. Shah sambil tangannya mencapai sesuatu di belakang badan.
“Melarikan pesakit dari hospital dianggap satu jenayah, tidak kira siapa pun pelakunya,” nada suara Inspektor Bakar semakin tinggi. Dia juga perlahan-lahan melangkah masuk ke dalam bilik. Setapak demi setapak. Encik Ahmad masih berada di belakangnya mengekori.
Sedar tidak sedar, Prof. E sudah berada di belakang Prof. Shah. Dia kemudian menyilangkan siku kiri erat ke leher Prof. Shah sambil mengeluarkan pistol yang berada di belakang badannya menggunakan tangan kanan. Pistol poin 38 BlackHawk itu diacukan ke arah Inspektor Bakar.
Ketiga-tiga Prof. Shah, Inspektor Bakar dan Encik Ahmad terkejut dengan tindakan Prof. E itu.
“Saya tidak berniat mahu biadab. Tapi kalau perlu, saya akan lepaskan tembakan ini kepada sesiapa sahaja yang menghalang saya, termasuk tuan inspektor sekalipun,” Prof. E memberi amaran.
“Prof sanggup menembak seorang polis? Besar kesalahan itu.”
“Tiada masalah jika polis tersebut pecah masuk ke dalam rumah saya tanpa kebenaran. Di mahkamah nanti saya akan katakan saya salah anggap dia sebagai perompak. Saya amat yakin tuan inspektor tiada sebarang waran untuk memecah masuk rumah saya ini. Betul, kan?” terang Prof. E.
“Kau jadikan aku tebusan, Erman?” kata Prof. Shah yang meronta-ronta dibelenggu siku Prof. E.
“Maafkan aku Shah. Kau bukan tebusan, cuma sebagai perisai aku.”
“Itu langsung tidak melegakan hati,” balas Prof. Shah.
 “Prof Erman, jangan rumitkan keadaan. Kita masih boleh berbincang,” Inspektor Bakar mencadangkan.
“Tuan letakkan pistol tuan dan kita berbincang. Kalau tidak, saya tidak teragak-agak untuk menembak tuan dan Encik Ahmad di belakang tuan. Saya tidak bergurau.”
Keadaan bilik jadi sangat tegang. Renungan Prof. E jelas menunjukkan yang dia tekad dan tiada keraguan. Dia kelihatan bersedia jika perlu melepaskan tembakan. Inspektor Bakar juga sedar Prof. E bukan bergurau.
“Baiklah. Saya tahu Prof bukan orang jahat. Saya akan letakkan pistol ini dan kita berbincang, okey?” Inspektor merendahkan badannya sebelum meletakkan pistolnya dari tangan ke atas lantai. Tindakan itu diambil kerana dia berdepan dengan risiko sampingan yang tinggi. Dia bertanggungjawab terhadap keselamatan Encik Ahmad, Prof. Shah sebagai tebusan dan juga Johan. Jika Inspektor Bakar masih berdegil, keadaan mungkin bertukar buruk.
Pistol di lantai kemudian ditendang ke arah Prof. E oleh Inspektor Bakar. Kedua-dua Inspektor Bakar dan Encik Ahmad mengangkat kedua-dua tangan mereka tanda menyerah.
“Encik Ahmad, ambil tali di tepi pintu itu dan ikat tangan Inspektor Bakar ke belakang.”
Menerima arahan dari Prof. E, Encik Ahmad menuruti. Prof. E kemudian menyuruh Prof. Shah mengambil tali yang sama dan mengikat tangan Encik Ahmad pula. Kedua-dua Inspektor Bakar dan Encik Ahmad disuruh duduk di atas lantai. Pistol Inspektor Bakar diberikan kepada Prof. Shah.
“Maafkan aku, Shah. Keadaan memaksa,” merujuk kepada perlakuan Prof. E menjadikan Prof. Shah sebagai perisai manusia.
“Tak apa. Aku faham. Tapi kau perlu jelaskan banyak perkara, Erman,” balas Prof. Shah.

Prof. E menghampiri Inspektor Bakar dan Encik Ahmad.
“Maafkan saya, Inspektor, Encik Ahmad. Saya cuma mahu diberi masa 2 jam, kemudian saya akan serah diri jika saya ada buat apa-apa kesalahan. Ini semua untuk kebaikan semua, terutamanya untuk Johan.”
“Johan? Siapa Johan?” tanya Inspektor Bakar.
Prof. E dan Prof. Shah saling berpandangan.
“Begini, budak lelaki ini bernama Johan, bukan Yusran. Kami terpaksa sembunyikan identitinya atas sebab-sebab tertentu,” jawab Prof. E.
“Sebab-sebab tertentu? Apa sebabnya?” lagi dari Inspektor Bakar.
As crazy as it sounds, budak ini datang dari masa depan. Lebih tepat lagi, 8 tahun akan datang,” jelas Prof. Shah pula.
Mata Inspektor Bakar dan Encik Ahmad terbeliak. Suasana menjadi diam buat beberapa saat sebelum Inspektor Bakar tergelak kecil.
“Oh, rupanya aku terlibat dalam jenayah psikotik.” Inspektor Bakar menyambung kembali gelak tawanya. Encik Ahmad tidak menunjukkan sebarang reaksi. Prof. E hanya berdiam diri. Prof. Shah tersenyum sedikit.
“Apa semua ini? Sebuah cult yang percaya manusia boleh merentas masa? Ajaran sesat?” sambung Inspektor Bakar.
“Aku juga anggap semua ini gila pada mulanya. Tapi jika ianya gila, cuba kau jelaskan bagaimana budak Johan ini boleh selamatkan anak perempuan Encik Ahmad bukan sekali tapi dua kali,” Prof. Shah memberhentikan gelak tawa Inspektor Bakar.
“Tiga kali, sebenarnya,” celah Prof. E.
Inspektor Bakar terdiam. Encik Ahmad masih terkejut.
“Pertama, Johan selamatkan Intan semasa Intan hampir dilanggar kereta beberapa hari lalu. Kan, Encik Ahmad?”
Encik Ahmad mengangguk.
“Kedua, dia berjaya melarikan Intan dari sarang persembunyian penculik. Inspektor sendiri lihat rakaman video yang saya tinggalkan, kan?” sambung Prof. E.
“Ketiga, Johan menghalang tembakan ke arah Intan tempoh hari.”
Wajah Inspektor Bakar dan Encik Ahmad bertukar serius.
“Saya pertaruhkan reputasi saya yang mengkaji fenomena ini selama berpuluh tahun ke atas budak ini. Gila dia, gilalah saya. Semua soalan akan terjawab kurang dua jam lagi.”
“Tapi bukankah Yusran, bukan...Johan itu sedang tenat dan perlu jalani pembedahan? Kenapa dia perlu berada di sini?” tanya Encik Ahmad.
“Kami mahu hantar dia pulang ke lapan tahun akan datang. Satu-satunya masa yang sesuai ialah pada malam ini,” jawapan ringkas Prof. E mengejutkan Encik Ahmad dan Inspektor Bakar.

Prof. Shah datang menghampiri Prof. E. “Kau yakin semuanya akan berjalan lancar? Bila nampak hanya kerusi yang tersedia di sini, aku mula jadi sangsi dengan kau, Erman.”
“Aku sendiri tiada keyakinan, tapi kita hanya perlu tunggu dan lihat. Percayalah dengan aku,” bisik Prof. E.

22 Mac 2004, jam 2250. 40 minit sebelum Kilat Thor.
Hampir satu jam Inspektor Bakar dan Encik Ahmad diikat dan ditawan Prof. E dan Prof. Shah. Inspektor Bakar hanya memerhatikan kelibat kedua-dua profesor itu dari atas lantai. Mereka berdua sedang sibuk dengan sesuatu di meja kerja. Inspektor Bakar kemudian mengalihkan pandangan kepada Encik Ahmad di sebelahnya. Encik Ahmad kelihatan menggerak-gerakkan badannya dek kerana kesejukan.
“Encik Ahmad. Kalau awak boleh longgarkan ikatan tangan saya, saya mungkin ada peluang rampas balik pistol dari mereka,” bisik Inspektor Bakar, perlahan. Encik Ahmad memandang ikatan tangan Inspektor Bakar di belakang.
“Tangan saya juga terikat kuat. Risikonya tinggi. Saya tak berani. Kita tunggu sahaja berapa lama Prof E katakan tadi.”
“Tapi, mereka mungkin menipu. Mereka mungkin berniat akan bunuh kita semua jika segalanya tidak berjaya. Kita kena bertindak cepat.”
“Walaupun Prof Erman nampak sebegitu, tapi saya yakin dia tidak mungkin sampai tahap mahu membunuh. Lagipun, kita tidak rugi apa-apa kalau beri mereka sedikit lagi masa,” kata Encik Ahmad penuh keyakinan.

Udara bilik menjadi semakin sejuk. Prof. E dan Prof. Shah sedang berbincang di meja kerja mengenai perancangan seterusnya.
“Apa yang kita nak buat kalau semua ini tidak berjaya, Erman?” tanya Prof. Shah.
“Maksud kau?”
“Polis dan bapa budak perempuan itu. Mereka sudah tahu banyak. Lagipun, Johan dalam keadaan kritikal,” jelas Prof. Shah.
“Kita tiada pilihan selain berjaya.”
“Tapi kau kata kau serahkan segala-galanya kepada alam.”
“..dan Tuhan. Kalau Dia izinkan, segalanya akan jadi lancar. Tapi kalau berlaku sebaliknya, aku akan tanggung segalanya, Shah. Aku tak akan kaitkan nama kau.”
Mendengar kata-kata Prof. E itu membuatkan perasaan Prof. Shah bercampur baur. Dia tidak tahu sama ada patut rasa lega dengan jaminan Prof. E atau risau dengan ketidakpastian yang ada.

“Apa... Apa sedang berlaku?”
Satu suara lemah kedengaran membuatkan semua kepala berpaling ke satu arah. Suara itu datang dari tubuh yang berada di atas kerusi di tengah-tengah bilik. Suara itu datang dari Johan.
Johan sudah sedarkan diri.
“Apa sudah berlaku?” tanya Johan sekali lagi. Suaranya lemah, mungkin masih berasa sakit dari luka tembakan. Dia melihat Encik Ahmad dan seorang yang tidak dikenalinya terduduk di lantai berhadapan dengannya. Bila dipaling kepalanya ke kiri, dia ternampak Prof. E dan Prof. Shah di meja kerja. Kesemua mereka sedang memandangnya dengan muka terkejut.
“Johan, kau sudah sedar?” tanya Prof. E. Prof. E menghampiri Johan dengan segera.
“Hani... Intan... Intan bagaimana? Dia selamat?” tanya Johan.
“Intan selamat. Dia selamat. Penjahat sudah ditembak,” jawab Prof. E.
“Sedar dari koma dan perkara pertama kau tanya ialah budak perempuan itu. Dia betul-betul penting, ya?” senda Prof. Shah pula. Encik Ahmad kelihatan terharu dengan Johan.
“Koma? Apa sudah terjadi?” tanya Johan sekali lagi.
“Kau ditembak, kau koma. Tapi sekarang kau berada di loteng rumah aku. Aku mahu hantar kau balik.” Prof. E cuba menjelaskan segalanya dengan ringkas.
“Oh, patutlah satu badan rasa sakit, kena tembak rupanya.” Johan tersenyum dalam kesakitan.

“Yusran!” Inspektor Bakar bersuara. Johan memandang Inspektor Bakar.
“Encik siapa?” tanya Johan dalam nada perlahan menahan sakit.
“Saya Inspektor Bakar, pegawai polis yang bertugas menyiasat ke atas semua yang berlaku.” Johan hanya mengangguk mendengar jawapan itu.
“Awak dijadualkan untuk menjalani pembedahan bagi mengeluarkan serpihan peluru yang masih berada di dalam badan awak. Tapi Prof Erman dan rakannya melarikan awak dari hospital dan bawa awak ke sini atas satu tujuan yang saya tak pasti. Boleh awak beritahu saya lebih lanjut?” soal Inspektor Bakar. Prof. Shah ingin menghalang soal siasat itu, tapi dihalang Prof. E.
“Inspektor, Encik Ahmad. Kalian mungkin sudah tahu, nama saya bukan Yusran, tapi Johan. Saya datang dari masa depan tahun 2012, lapan tahun dari sekarang. Pada mulanya saya tidak pasti kenapa saya di bawa ke tahun ini, tapi akhirnya saya sedar saya ditakdirkan untuk menyelamatkan Intan dari bahaya. Jika Prof E bawa lari saya dari hospital ke sini, saya yakin tujuan dia adalah untuk hantar saya pulang ke zaman saya. Saya yakin Prof E boleh lakukannya kerana dia sudah berjanji dengan saya.” Prof. E tersenyum mendengar jawapan Johan.
“Tapi kenapa anak saya? Kenapa Intan?” tanya Encik Ahmad.
Johan tersenyum lama sebelum menjawab, “Encik Ahmad, saya tidak boleh berikan maklumat lebih lanjut mengenai Intan pada masa hadapan, tapi cukuplah saya beritahu bahawa Intan bakal menjadi seseorang yang penting suatu hari nanti. Menyelamatkan dia sekarang akan memberi impak besar kepada ramai orang, terutamanya diri saya sendiri.”
“Begitu penting sehingga awak sanggup gadaikan nyawa, sanggup ditembak?” tanya Encik Ahmad lagi.
“Ya. Pada saya, Intan seorang yang istimewa. Peranan saya mungkin sudah selesai sampai sini, tapi seterusnya terpulang kepada keputusan Intan dan orang sekelilingnya, termasuk Encik Ahmad. Nasihat saya, ambil masa dan dengar apa yang Intan mahukan. Biarkan dia buat keputusan sendiri mengenai apa yang dia mahu lakukan dengan hidupnya, dan dalam masa yang sama, sokong dia sepenuhnya. Encik Ahmad boleh buat sebegitu, kan?”
Encik Ahmad mengangguk. “Johan, terima kasih. Terima kasih kerana sanggup gadaikan nyawa untuk Intan. Saya terhutang budi dengan awak. Budi yang tidak mungkin dapat saya balas.”
Johan hanya tersenyum mendengar kata-kata Encik Ahmad.
“Macam mana saya nak tahu semua yang dicakapkan awak boleh dipercayai?” tanya Inspektor Bakar yang masih dalam keraguan.
“Tiada cara. Kau cuma perlu tunggu dan lihat,” celah Prof. Shah.

Keadaan bilik loteng dirasakan semakin berubah. Bilik menjadi begitu sejuk sehingga nafas yang dihembuskan melalui hidung dan mulut membentuk asap, membentuk wap air.
“Apa sudah jadi? Kenapa bilik jadi sejuk tiba-tiba?” tanya Prof. Shah kepada Prof. E.
“Ini ialah fenomena awal sebelum Kilat Thor. Udara menjadi sejuk akibat dari penurunan jumlah tenaga di persekitaran. Perbezaan tenagalah yang membuatkan Kilat Thor akan menyambar.”
“Prof Erman, saya masih tidak percaya semua ini. Jika niat awak bawa Johan ke sini adalah untuk hantar dia ke masa depan, bukankah bermakna kita semua di sini juga akan dibawa bersama?” celah Inspektor Bakar. Prof. Shah mengangguk dan bersetuju dengan soalan itu sambil menunggu jawapan dari Prof. E.
“Saya sangat yakin kita tidak akan terlibat. Tapi, sebagai langkah berjaga-jaga, kita tidak boleh berada dalam lingkungan bulatan yang saya lukiskan dengan kapur di lantai.” Prof. E menerangkan signifikan bulatan tersebut.
“Tuan Inspektor jangan risau. Kita hanya perlu percayakan Prof. E. Dia sudah buatkan yang terbaik.” Johan mengalihkan pandangannya dari Inspektor Bakar ke arah Prof. E.
“Prof, saya berterima kasih kepada Prof atas segalanya. Pada mulanya, saya sendiri anggap saya merentas masa lapan tahun sebelumnya adalah sesuatu yang gila. Nasib saya baik sebab berjumpa dengan Prof. Tanpa Prof, mungkin sia-sia saya di bawa ke sini. Mungkin saya akan jadi tidak siuman dengan segala perkara yang tidak masuk dek akal ini. Cuma saya harap, selepas semua ini berakhir, Prof dapat kembali ke kehidupan yang sepatutnya Prof lalui. Kehidupan bersama isteri dan anak. Pergilah cari mereka. Rendahkan ego dan minta maaf kepada mereka. Mulakan hidup baru. Seseorang yang baik seperti Prof juga berhak mendapat kebahagiaan.”
Prof. E hanya berdiam diri. Dia sedar apa yang diperkatakan Johan itu benar-benar belaka.
“Tak sangka kau dapat lecture dari budak muda,” Prof. Shah berjenaka.

“Prof. Shah.”
Prof. Shah tersentak namanya dipanggil Johan.
“Nampak gaya macam Prof sudah berbaik dengan Prof Erman. Baguslah”
“Mana ada berbaik...” celah Prof. Shah.
“Tiada guna bermusuh dengan seseorang kerana peristiwa lama. Manusia perlu terus ke depan. Masa silam dijadikan pedoman supaya kita pada masa kini tidak mengulangi kesilapan. Hasilnya, masa depan kita akan lebih terjamin. Jika kita terus dibelenggu masa silam, kita yang rugi.”
Prof. Shah hanya mendiamkan diri, merenung wajah Johan tanpa sebarang respon. Prof. E di sebelah hanya tersenyum memerhati. Johan juga tersenyum melihat reaksi Prof. Shah.
“Kenapa kau bercakap macam orang nak mati?” senda Prof. Shah sekali lagi.

Bilik terasa semakin sejuk. Asap sejuk mula muncul entah dari mana. Bilik juga menjadi suram. Cahaya dari lampu menjadi semakin malap tanpa sebab nyata.
“Baiklah, masanya sudah tiba. Jauhkan diri dari sempadan bulatan di lantai.”
Prof. E menghampiri Inspektor Bakar dan Encik Ahmad. Dia kemudian melonggarkan ikatan tali di tangan mereka berdua. Selepas ikatan dilonggarkan, Inspektor Bakar meleraikan tali di tangannya kemudian menolong melepaskan ikatan di tangan Encik Ahmad. Sambil mahu berdiri, mata Encik Ahmad dan Inspektor Bakar tertumpu ke arah Johan. Mereka tergamam melihat apa yang sedang berlaku di sekeliling Johan.
Asap sejuk yang tadinya bergerak rawak, kini mula bergerak mengelilingi Johan sebagai pusat.
“Johan, aku tunggu kau di sini selepas lapan tahun. Kami akan rawat kecederaan kau bila kau sampai nanti. Jumpa lagi.” Prof. E mengangkat tangannya sebagai tanda selamat.
“Sela...”

PLAAANNNGGGGG!
Belum pun sempat Johan menghabiskan ayatnya, loteng rumah Prof. E disambar cahaya kilat dan diikuti petir yang kuat. Cahaya memenuhi segenap ruang di bilik loteng itu. Semua yang ada di situ tidak mampu menahan silau sinar cahaya sehingga memaksa mereka semua menutup mata. Cahaya itu bersinar selama beberapa saat sebelum kemudiannya hilang serta merta.
Kilat besar itu mengakibatkan seluruh taman perumahan putus bekalan elektrik. Malah suasana menjadi riuh apabila kebanyakan kereta di sekeliling telah berbunyi penggeranya kesan dari dentuman petir tadi.
Pedih kerana disinar cahaya secara tiba-tiba, Inspektor Bakar dan Encik Ahmad membuka mata mereka perlahan-lahan. Selepas mata dibuka, di sebalik samar-samar asap sejuk yang masih berbaki, apa yang mereka nampak hanyalah kerusi kayu kosong dengan sepasang baju dan seluar milik hospital yang dipakai Johan tertinggal di atasnya.
Johan sudah hilang.
Prof. E menghampiri kerusi tersebut.
“Mana Johan? Mana budak itu?” tanya Inspektor Bakar.
Sambil memegang baju yang tertinggal, Prof. E berkata dengan senyuman terukir di bibir, “Johan sudah pulang.”


22 Mac 2004, jam 2332. 2 minit selepas Kilat Thor.



BERSAMBUNG...[59]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...