[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21]

Lampu sorot tepat
memancarkan cahaya dari ruang atas bilik studio ke wajah Hani. Hani kembali
menunduk mematikan kata-katanya yang tergantung. Dia jelas sedang menahan
perasaan yang bergolak kencang di dalam fikirannya.
“Jadi, apa
sebenarnya yang berlaku pada 20 Mac tahun 2004?”
Hos rancangan
temubual itu terpaksa bertanyakan kembali soalan kepada Hani dek kerana
senggang masa Hani berdiam diri adalah terlalu lama. Hos rancangan perlu
memainkan peranan penting dalam mengawal keadaan di depan kamera. Maklumlah,
rancangan temubual siaran langsung seperti ini sangat sukar diduga apa yang
bakal berlaku.
“Pada tarikh
tersebut, saya...saya...”
Mata hos tepat
menatap wajah Hani, menunggu ayat yang dikeluarkannya lengkap.
“...saya diculik.”
Hos rancangan
kelihatan dari bersandar, terus menganjakkan badan ke hadapan kerana terkejut
dengan kata-kata Hani itu. Itu adalah kenyataan eksklusif dari Hani, yang belum
pernah diceritakan di mana-mana media sebelum ini. Mata si hos rancangan beralih
kepada sesuatu di belakang kamera dan kemudian mengangguk.
“Baiklah. Kita
ketahui cerita lebih lanjut tentang Hani dan pengalamannya diculik yang telah
menjadikan siapa diri dia sekarang, selepas pesanan penaja.”
Rancangan temubual
bertukar kepada iklan komersial.
“Ah, biadab. Suka
buat orang suspen!” Johan menghempaskan alat kawalan jauh televisyen ke sofa
sebelah. Dia berasa marah apabila sedang dia khusyuk menonton rancangan
temubual artis kegemarannya, rancangan dipotong untuk memberi ruang iklan.
Namun, perasaan ingin tahu lebih membuak. Bila Hani pernah kena culik? Kenapa
Hani diculik? Siapa yang culik Hani? Apa yang berlaku semasa Hani diculik.
Johan dapat
bayangkan, esok, akhbar tabloid pasti akan memaparkan kisah pengakuan Hani ini.
Belum cerita lagi tentang majalah-majalah hiburan yang bersusun di pasaran.
Sedangkan isu Hani menolak tawaran berlakon di Hollywood pun masih belum reda,
ditambahnya lagi pengakuan khas Hani pernah diculik di siaran langsung
rancangan temubualnya.
“Apa yang kau marah
sangat ni, Han?”
Ibu Johan keluar
dari dapur, mungkin berminat mengambil tahu tentang apa yang anaknya sedang
khusyuk lakukan.
“TV. Tengah
suspen, tiba-tiba iklan.”
“Itu saja? Itu
yang kau nak bisingkan sangat? Kau tu minggu depan dah nak masuk ke universiti.
Kurang-kuranglah tengok TV tu.”
Minggu depan Johan
akan memulakan sesi pengajian peringkat ketiganya. Dia bakal bergelar mahasiswa
universiti.
“Sebab minggu
depan masuk universiti-lah Han nak tengok TV puas-puas, ibu. Nanti jadi budak medic, mana ada masa nak tengok TV dah.”
Johan sedang bermain dengan logik.
“Suka hati kaulah,
Johan.” Ibu Johan kembali ke dapur.
Iklan pun
berakhir. Rancangan temubual bersama Hani kembali ke kaca TV.
20 Mac 2004, jam 0614.
Bunyi ketukan
pintu yang kuat dan bertalu-talu mengejutkan Johan dari tidur. Siapa gerangan
yang berani mengganggu tidurnya. Ikutkan hati, nak saja Johan bagi penampar
satu das. Bila diingatkan semua, hanya Prof. Erman sahaja di rumah itu. Nasib
baik. Dalam keadaan separa sedar, Johan bangun menuju ke pintu bilik dan
membuka tombol untuk melihat gerangan siapakah yang mengganggunya itu.
“Johan!” Suara
Prof. E seperti panik.
“Kenapa?” Johan
menyapu mata.
“Rumah Encik Ahmad
kena pecah.”
Encik Ahmad? Siapa
Encik Ahmad? Ini rumah Prof. E, mana Johan tahu siapa jiran siapa bukan.
“Rumah Encik Ahmad
kena samun. Isteri Encik Ahmad kena pukul, baru sedar dari pengsan. Dia
beritahu, anaknya kena culik.” Prof. E cuba menerang seringkasnya kepada Johan.
“Siapa Encik
Ahmad?” terpacul juga soalan itu di mulut Johan.
“BODOH! Encik
Ahmad tu ayah kepada Intan!”
Lima saat
pandangan Johan mati ke wajah Prof. E.
“HANI!”
Prof. E dan Johan
bergegas keluar dari rumah untuk ke rumah Encik Ahmad. Sejurus selepas
melangkah kaki ke luar rumah, mata Johan silau dengan lampu merah dan biru yang
terpancar dari atas atap dua buah kereta polis dan sebuah ambulan. Langit pagi
yang masih gelap biru membuatkan lampu-lampu itu begitu silau menerangi sekeliling.
Kereta-kereta polis dan ambulan itu berhenti di hadapan rumah Encik Ahmad. Juga
kelihatan beberapa jiran sekeliling datang meninjau, ingin tahu apa yang sudah
dan sedang terjadi.
Johan dan Prof. E cepat-cepat
menyusup di celahan orang yang mula berkerumun sehingga sampai ke depan muka
pintu rumah Encik Ahmad sebelum dihalang oleh seorang anggota polis.
“Di sini dilarang
masuk,” tegas anggota polis berkenaan.
“Kami kenalan
mangsa,” Prof. E cuba memujuk.
“Semua jiran
adalah kenalan mangsa. Tak semestinya semua jiran boleh masuk.” Masuk akal juga
hujah anggota polis ini.
Setelah beberapa
kali percubaan menjenguk ke dalam rumah Encik Ahmad, Prof. E ambil keputusan
untuk keluar dari kawasan itu.
“Mana Encik
Ahmad?” Johan bertanya.
“Dengar kata,
Encik Ahmad tak ada. Dia outstation.”
“Betul ke Intan
kena culik?”
“Aku tak pasti,
aku dengar jiran cakap tadi.”
Johan teringatkan
sesuatu. Dia selam dan hilang dalam fikirannya sedangkan Prof. E di sebelah
sedang sibuk memerhati gelagat anggota polis keluar masuk rumah Encik Ahmad.
Lalu, Johan
menepuk kepalanya berkali-kali. Dia seperti marah dengan diri sendiri. Prof. E mengalih
pandangan dan hanya memerhati sambil kebingungan.
“Kau kenapa?”
Johan menggunakan
ibu jari dan jari telunjuk tangan kanannya memicit ruang atas hidung di antara
dua matanya. Matanya dipejam keras, seperti ada sesuatu yang dimarahnya.
“Ingat lagi malam
tadi saya tanya Prof tentang apa yang bakal berlaku pada 20 haribulan Mac,
kan?”
Prof. E
mengangguk.
Prof. E
mengerutkan dahi.
Prof. E
membeliakkan mata.
“Inikah? Inikah
peristiwanya?”
Dengan riak kesal
dan dengus keluh, Johan mengangguk.
Kini giliran Prof.
E pula menepuk dahi dengan tapak tangan dan mengeluh.
“Semasa dalam satu
temubual, Hani..eh, Intan pernah bercerita yang dia pernah diculik,” Johan
menerangkan.
“Sekejap! Aku tak
mahu details. Tak elok untuk orang
macam aku. Sekarang kau beritahu aku apa yang aku nak tahu sahaja.”
Johan mengangguk.
“Pada zaman kau,
adakah Intan selamat selepas dia kena culik?”

0 nota kaki:
Post a Comment