[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14]

Artis kegemaran.
Mungkin itu istilah mudah bagi sesetengah orang untuk melabel hubungan
antara Johan dan Hani, tapi tidak kepada Johan sendiri. Hubungan mereka, atau
lebih tepat, hubungan dia lebih menjurus kepada perasaan yang lebih dari
sekadar ‘artis kegemaran’ terhadap Hani. Baginya, Hani adalah pendorong dan
motivasi dirinya untuk terus berjaya dalam bidang yang sedang dia ceburi.
Tambahan pula, bidang perubatan bukan sesuatu yang mudah. Semangat dan kemahuan
untuk terus maju ke depan adalah penting. Bagi Johan, pendorong semangat itu
adalah Hani, yang diminatinya sejak awal kemunculan Hani di kaca televisyen.
Sesetengah orang luar, termasuk kawan-kawan Johan tidak memahami hubungan
itu. Bagi mereka, hubungan yang wujud hanya hubungan antara seorang artis dan
peminat. Malah, jauh di lubuk pemikiran logik Johan juga mempersoalkan
perlakuannya. Dia sendiri tidak pasti apa yang membuatkan Hani begitu terkesan
di dalam hidupnya.
Kini, Hani yang diminatinya sedang berada di depan mata. Johan berpeluang
berbual dengan artis kegemarannya itu tanpa perlu ada sekatan dari sesiapa
walaupun secara teknikal, Hani belum pun lagi menjadi artis. Itu sudah cukup
membuatkan hati Johan berbunga-bunga.
18 Mac 2004. Jam 1715.
“Apa hubungan awak dengan Prof?”
Soalan dari Intan membuatkan Johan terdiam seketika.
Sebelum kedatangan Intan dan ayahnya, Prof. E sudah berpakat dengan Johan
untuk mereka cerita bagi menyembunyikan fakta bahawa Johan seorang perentas
masa. Pakatan itu perlu, takut-takut nanti fakta yang dikeluarkan oleh Johan
berbeza dengan yang diperkatakan Prof. E. Mereka berdua sudah bersetuju untuk
keluar dengan beberapa fakta rekaan yang masuk akal tanpa perlu banyak
penjelasan.
“Saya anak saudara Prof. Erman. Sekarang tengah cuti, jadi saya ambil
keputusan nak ke sini untuk menolong Prof dalam kajiannya.” Johan cuba menjawab
dengan lancar. Baginya, fakta baru agak susah untuk diulas dengan panjang
lebar.
“Tapi pelik...” Intan menggaru kepalanya.
“Apa yang pelik?” Johan berasa resah.
“Kalau Prof ialah pakcik kepada awak, kenapa awak panggil dia dengan
panggilan ‘Prof’. Patutnya panggillah dia dengan gelaran ‘Pakcik’ ke, ‘Uncle’
ke.”
Kata-kata Intan ada benarnya. Nampaknya, kedua-dua Prof. E dan Johan gagal
untuk membincangkan hal ini sebelumnya.
“Prof yang minta saya panggil dia begitu. Sebab saya bekerja membantu
kajian dia sekarang, jadi lagi elok kalau formaliti itu wujud.” Johan dengan
spontan cuba menerangkan. Masuk akal, Intan pun mengangguk.
“Kiranya, awak ni pelajar universitilah, ya?” tanya Intan.
“Ya.”
“Jurusan apa?”
“Perubatan.”
Intan berfikir sejenak.
“Saya nak tanya sikit, boleh?”
“Silakan.”
“Ada khabar angin kata Prof kaji bidang paranormal, betul ke?”
Johan tersenyum mendengar soalan Intan itu.
“Saya pasti seratus peratus itu hanyalah khabar angin memandangkan Prof
adalah seorang professor fizik.”
Kata-kata Johan itu tidak benar sepenuhnya. Prof. E mengkaji ilmu fizik
yang tiada bukti kesahihan dan kebenaran, hanya sekadar teori dan hipotesis
semata-mata. Tapi, jika dia ceritakan obsesi Prof. E terhadap kajian merentas
masa, ada kemungkinan Prof. E akan dilabel sebagai kurang siuman.
Di luar bilik, Prof. E dan ayah kepada Intan, Encik Ahmad sedang berbual
tentang sesuatu.
“Tahniah. Saya dapat tahu syarikat encik berjaya dinobat sebagai syarikat
pilihan untuk menjayakan projek pembangunan kompleks membeli-belah di kawasan
N8-Bandar Selatan.” Prof. E menghulurkan tangan tanda ucapan tahniah. Encik
Ahmad menyambut tangan itu dengan senyuman.
“Oh, Prof pun dah tahu?”
“Saya salah seorang dari panel penilai bagi unit kesejahteraan alam sekitar
untuk projek itu.”
“Oh, jadi Prof antara orang yang berjasa dengan saya. Terima kasih, Prof.
Terima kasih.” Encik Ahmad menggenggam tangan Prof. E dengan kedua belah
tangannya sebagai tanda penghargaan.
“Kertas cadangan dari syarikat encik sangat meyakinkan.”
Encik Ahmad mengangguk tanda setuju. Wajah Prof. E dari tersenyum lebar
bertukar kepada satu ekpresi yang serius.
“Projek itu menjadi rebutan ramai kerana kawasannya yang strategi dalam 8
tahun akan datang. Jadi, Encik Ahmad sangat bertuah kerana berjaya
mendapatkannya. Hal ini sekaligus membuatkan Encik Ahmad mendapat ramai musuh
perniagaan, mereka yang gagal memperoleh tender projek itu.” Prof. E bertukar
nada.
“Encik Ahmad...”
“Ya?”
“Semasa kejadian anak saudara saya menyelamatkan anak encik tengahari tadi,
saya berada di depan muka pintu rumah. Dari tempat saya berdiri, saya jelas
nampak semua yang berlaku.”
Raut wajah Encik Ahmad juga bertukar serius.
“Kereta yang dipandu laju itu menuju tepat ke arah anak Encik. Tetapi,
sewaktu anak saudara saya menyelamatkan anak encik, baru kereta itu menekan
breknya.”
Encik Ahmad berwajah terkejut.
“Walaupun nampak seperti kemalangan biasa, tapi saya dapat rasakan sesuatu
yang tak kena. Kereta itu hanya membrek ketika dia sangka dia akan melanggar
anak saudara saya, tapi tidak semasa dia laju menuju ke arah anak encik. Saya
syak ianya bukan kemalangan.”
“Maksud Prof, ianya disengajakan?”
“Adalah lebih baik kalau kita semua anggap begitu. Saya juga harap Encik
Ahmad tingkatkan keselamatan rumah, sebab si pesalah tadi dapat melarikan diri.”
Encik Ahmad kelihatan sedikit resah.
“Tapi, saya tiada musuh,” jelas Encik Ahmad.
“Encik Ahmad mungkin tiada musuh. Tapi orang lain masih boleh menganggap
encik sebagai musuh.”
Setelah seketika, Prof. E dan Encik Ahmad kembali ke dalam bilik Johan. Intan
masih di pinggir katil, sedang rancak berbual dengan Johan.
“Apa yang dibualkan tu? Seronok nampak.” Prof. E mencelah.
Serentak, Johan dan Intan memalingkan muka ke arah Prof. E dan Encik Ahmad.
Prof. E tersenyum mesra, sedangkan jelas di muka Encik Ahmad gelisah memikirkan
apa yang dibualkan bersama Prof. E tadi.
“Ayah, Yusran bersetuju nak ajar Intan matematik dan sains selepas waktu
sekolah. Boleh tak, ayah?”

0 nota kaki:
Post a Comment