Aug 3, 2012

Vorteks #5 Perjalanan Yang Memakan Masa Panjang

[1][2][3][4]
     Angin Prof. E baik hari ini. Walaupun hari selasanya dimulakan dengan kemunculan seorang anak muda berbogel di bilik loteng rumahnya, dan kemudian dirinya dituduh cuba meracuni anak muda itu, angin Prof. E tetap baik. Mungkin kerana hari itu hari cuti baginya. Mungkin kerana makanan yang diambilnya pagi tadi. Mungkin juga hanya kerana dirinya mahu berubah dari seorang perengus tentang kerja kepada seseorang yang sentiasa bersikap positif dalam mengharungi kehidupan.

      Ya. Angin Prof. E baik, sehinggalah dia duduk dan meneliti data pada komputer di dalam bilik kajiannya di loteng.
     “Tak mungkin, data semalam songsang kepada sepatutnya.”

***

     Johan berjalan di tepi lebuhraya. Memandangkan dia ditinggalkan dalam keadaan bogel tanpa dapat dikesan mana barangannya, berjalan hanyalah satu-satunya pilihan yang dia ada. Mahu menaiki bas, tiada duit. Walaupun berkali-kali memberi isyarat ibu jari, tapi tiada yang baik hati mahu menumpangkannya ke destinasi.
      Destinasinya cuma satu, rumah.

      Jika dihitung rawak, kawasan perumahan Prof. E terletak di jajahan N2-Bandar Selatan, sedangkan rumahnya berada di jajahan W1-Bandar Selatan. Walaupun berada di dalam bandar yang sama; Bandar Selatan, namun jarak menuju ke rumahnya adalah dalam anggaran 10 batu, ataupun lebih 16 kilometer jika melalui jalanraya.

      Kerana tiada pilihan, terpaksa juga dia mengambil keputusan untuk berjalan kaki pulang. Dia sedar, perjalanannya akan memakan masa yang panjang dan memenatkan. Nasib baik tadi Prof. E meminjamkannya baju dan seluar. Nasib baik juga Johan sempat menyarung selipar ketika cepat berlari keluar tadi. Kalau tidak, mungkin dia sedang berlenggang tepi jalanraya tanpa sebarang pakaian.

      “Rasai pengalaman yang takkan dilupakan, konon.” Johan merungut.
      “Siaplah kau aku kerjakan, Azlan.”
     Johan sangat marahkan Azlan ketika ini. Paling kurang, Azlan berhak merasakan sekali-dua tumbukan padu darinya. Perlakuan Azlan, padanya, sudah melampaui batas. Dan kini, dia pula perlu berjalan 16 kilometer dalam keadaan perut lapar.

      Ya. Perut lapar.
      Roti yang ditelannya di rumah Prof. E tadi sangat sedap, tapi tak sangka tarikhnya sudah luput. Bukan sekejap, tapi dari tahun 2004, sedangkan kini sudah 2012. Siapa dalam akal warasnya menyimpan roti lama yang sudah tamat tarikh lupusnya selama 8 tahun, dan kemudiannya diberikan kepada orang asing yang berada dalam rumah?

      Sepanjang perjalanan Johan, hanya rungutan yang disuarakan dalam hatinya. Macam-macam yang mahu dilakukannya di rumah. Pertama, makan. Perutnya sudah sampai tahap maksimum menahan lapar, dikhuatirinya akan dimasuki angin pula. Kedua, tukar baju. Baju yang Prof. E berikan, walaupun padan dan masih elok, tapi berbau almari lama, seperti sudah disimpan terlalu lama. Ketiga, ambil duit simpanan dan keluar mencari si Azlan. Selagi tidak dihadiahkannya sebiji dua tumbukan, hatinya takkan puas.

      Sedar tidak sedar, sudah hampir 90 minit Johan berjalan. Sedar tidak sedar, Johan sudah memasuki kawasan kejiranan rumahnya. Walaupun penat dan kelaparan, tapi cuaca yang mendung dan berangin seperti menyebelahinya.

      Dua tiga kali Johan berhenti, melihat sekeliling, namun dia pasti, itu kawasan kejiranan rumahnya. Kawasan perumahan teres dua tingkat. Tetapi ada beberapa perkara yang mengganggu hatinya.

      Lain.
      Kawasan perumahan itu, walaupun sama, tapi berbeza.
      Johan sedar, satu papan tanda menyatakan simpang masuk ke kawasan perumahan itu sepatutnya ada, tapi di hadapannya, tiada. Rumah paling depan dalam deretan pertama kawasan itu sepatutnya berwarna merah muda, lain dari rumah lain, tapi di hadapannya, berwarna perang muda sama seperti rumah lain. Taman permainan kanak-kanak sepatutnya sudah usang dan perlu dinaiktaraf, tetapi di hadapannya, semuanya kelihatan baru dengan warna yang terang.

      Johan bingung. Kali terakhir dia pulang ke rumah dari pembelajarannya di universiti adalah pada tiga minggu lepas. Akan tetapi, kenapa terlalu banyak beza walaupun hanya tiga minggu berlalu?

      Johan kini di hadapan rumahnya.
      Sebatang pokok mangga yang lebat berbuah berdiri tegak subur di laman rumahnya.
      Seingat Johan, dia sendiri menebang pokok itu tahun lalu atas kehendak ibunya dengan alasan pokok itu sudah tidak mahu berbuah.

      Semua perkara kecil ini berbeza dengan ingatan terakhir Johan. Tapi Johan mengambil keputusan tidak mahu terlalu mengambil peduli.

      Tiga minggu, mungkin cukup untuk segala perubahan ini, fikirnya.
      Johan berdiri di depan pintu. Diberikannya salam. Tidak berjawab.
      Diberikannya salam sekali lagi. Tidak berjawab.
      Selalunya, waktu tengahari macam ni, Mak sedang memasak di dapur. Mungkin dia tak dengar salam aku agaknya.

      Johan memegang tombol pintu. Tidak berkunci.
      Tak apalah. Biar aku masuk saja. Nanti aku akan kejutkan Mak di dapur. Siapa suruh tinggalkan pintu tak berkunci.

     Johan buka pintu dan memasuki rumahnya. Terus, dia ke tingkat atas dengan niat mahu tukar pakaian sebelum ke dapur pergi menerjah ibunya yang khusyuk memasak. Dia juga berniat mahu mengisi perutnya yang lapar itu. Berjalan sejauh 16 kilometer dengan perut lapar, dia bernasib baik kerana tidak pengsan di tengah jalan.

      Ada tiga bilik di tingkat atas. Satu bilik tidur utama, dua bilik tidur biasa. Bilik Johan adalah yang biasa, sebelah kiri paling dalam dari tangga.

      Dibukanya pintu bilik.
      Johan pelik. Dia yakin itu biliknya, cuma susunan barang dan beberapa perkakas kelihatan berbeza. Juga, tiada poster-poster kartun Marvel yang ditampalkan di dinding. Meja di sebelah katil dipenuhi dengan beberapa botol silinder berwarna oren jernih berisi ubat-ubatan dan segelas jernih berisi air.

      Lagi pelik, bila dia mendapati ada sekujur tubuh sedang berbaring di atas katil saiz bujangnya itu.

      Dari pintu, Johan menghampiri katil. Dia ingin melihat siapakah gerangan yang sedar berbaring di katilnya. Posisi tubuh itu menghadap ke dinding, membelakangi Johan menyebabkan Johan tidak dapat melihat siapakah orangnya yang begitu selesa tidur di katilnya.

      Selepas tiga tapak ke hadapan, mata Johan terbeliak melihat gerangan empunya tubuh di atas katil. Bibirnya menggigil tidak terkata. Lututnya lemah, dan spontan, Johan jatuh terduduk di atas lantai. Gayanya seperti ternampak hantu.

      Tapi apa yang dinampaknya bukanlah hantu. Ianya manusia.
      Johan ternampak datuknya, sedang nyenyak tidur di atas katil.

      Apa yang menakutkannya adalah datuknya, pemilik tubuh itu, sudah meninggal dunia hampir lapan tahun yang lalu.

BERSAMBUNG...[6]

0 nota kaki:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...