Apr 26, 2013

Vorteks #27 - Semasa Dalam Ketakutan.

0 nota kaki



[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26]





Intan membuka matanya. Merah dan kering. Dia kelihatan keliru.
Di mana aku berada?
Bagaimana aku boleh ada di sini?
Siapa yang bawa aku ke sini?
Setiap soalan yang bertubi-tubi menjengah ruang pertanyaan mindanya, ditepis satu persatu. Ingatan terakhirnya adalah diusung oleh lelaki yang tidak dikenali, keluar dari rumahnya dan dimasukkan ke dalam sebuah van sebelum ditampar sehingga pengsan. Kesan sakit ditampar di pipi masih dirasainya, mungkin sudah biru kelebaman. Kini, kedua-dua tangan dan kakinya diikat ketat, dan mulutnya tertampal dengan pita pelekat. Dia sedar dirinya diculik.
Walaupun dalam ketakutan, Intan memaksa diri supaya bertenang dan cuba mengenali keadaan sekeliling.

Setelah diamati, Intan mendapati dia sedang berbaring merekot di atas sekeping tilam di hujung penjuru sebuah bilik. Bilik itu kosong, hanya berisi dirinya, tilam yang menjadi alas antara badannya dengan lantai dan sebuah kerusi kayu terletak di bahagian tengah bilik. Bilik itu kelihatan seperti sudah lama dan ditinggalkan, usang. Pintu bilik berada di dinding paling jauh, dan tingkap berada di dinding bertentangan dengan pintu. Tingkap ditampal dengan surat khabar lama dengan tidak kemas, membuatkan terdapat celahan. Cahaya dari luar dapat dilihat melalui celahan itu, jelas menunjukkan hari sudah disinari matahari. Mungkin pagi.
Seketika, di luar tingkap terdapat bunyi bising mekanikal yang mengambil masa untuk berlalu. Apakah itu? Ianya seperti bunyi keretapi melintas.
Kemudian, kedengaran tombol pintu bilik bergoncang. Intan kembali memejamkan mata, berpura-pura masih tidak sedarkan diri.

“Aku mahukan bayaran aku.” Dua orang lelaki masuk ke dalam bilik bersama selepas pintu di buka. Intan cuba membuka sedikit matanya untuk melihat siapa mereka. Salah seorang adalah lelaki berbadan tegap, salah seorang dari tiga yang memecah masuk ke rumahnya, cuma kali ini tanpa topeng di muka. Manakala, seorang lagi adalah seorang lelaki yang berpakaian kemas lengkap berkot dengan tali leher seperti ahli korporat. Intan kembali memejamkan mata sambil mendengar dengan teliti setiap butir kata-kata yang dua lelaki itu ucapkan.
“Aku cuma nak kamu semua gertak dia sekeluarga supaya dia lari, pergi dari negeri ini. Tapi kenapa sampai tahap culik anak dia?” ujar lelaki berpakaian kemas itu. Lelaki berbadan tegap itu tersenyum sinis.
“Encik Alex, bertenang. Kami sentiasa buat kerja dengan cemerlang. Kami sudah gertak dan pastikan mereka akan tinggalkan tempat ini dengan segera. Budak perempuan ini adalah jaminan untuk usaha kami itu.” Lelaki berbadan tegap itu bergerak ke arah kerusi dan kemudian duduk mengadap lelaki yang dipanggilnya ‘Encik Alex’ itu.
“Apa maksud kau, Zul?”
Lelaki berbadan tegap itu dipanggil Zul. Intan akan mengingatinya.
“Beritahu aku, Encik Alex. Kalau anak perempuan mereka pulang ke rumah selepas diculik, dan memberitahu ibubapanya bahawa dia dirogol, apa tindakan si ibu dan bapa?”
DIROGOL?
Intan terkejut, namun dia masih mampu mengawal ketakutan dan terus mendiamkan diri.
“Jawapannya ada dua. Sama ada ibubapanya berasa malu dan berpindah, ataupun dia sendiri tak mahu terkenangkan memori pahit, lalu menyuruh sekeluarga berpindah.”
Encik Alex tersenyum, faham.
“Mana-manapun, hasilnya tetap akan memuaskan hati Encik Alex.”
Zul dan Encik Alex gelak besar, terbahak-bahak.

“Pastikan kau beri kenangan paling pahit kepada budak perempuan ini, supaya si Ahmad dan keluarganya akan berambus dari negeri ini dan tak akan kembali lagi.” Sebelah tangan Encik Alex menepuk bahu Zul sebagai tanda berpuas hati. Zul tersenyum lebar.
“Jangan risau, Encik Alex. Lagipun, dia memang taste aku. Aku akan pastikan dia tak akan lupa keindahan masa kami berdua malam ini.”
Zul kemudian mengeluarkan lidah dan menjilat bibir sendiri, sambil menatap sekujur tubuh gadis yang terbaring di atas tilam. Intan menjadi semakin takut.
“Jadi...”
Zul bangun dari kerusi dan memegang belakang Encik Alex dan bergerak menuju ke pintu.
“...apa kata kita berbincang tentang bayaran yang dijanjikan.”
Kedua-dua Encik Alex dan Zul keluar dari pintu. Selepas ditutup, kedengaran bunyi pintu dikunci kembali dari luar.

Selepas berasa dia kembali keseorangan, Intan kembali membuka mata. Badannya menggigil secara tiba-tiba. Jelas, dia sudah tidak mampu menahan ketakutan. Airmata meleleh tanpa henti, membasahi tilam buruk yang mengalas dirinya.
ROGOL.
Perkataan itu berkali-kali terngiang bergema di telinga. Adakah ini kesudahannya? Adakah ini nasibnya? Bagaimana dengan Ibu? Di mana Ayah? Ada sesiapa yang mampu membantunya?

Seketika, tombol pintu kembali bergoncang. Intan terpaksa menahan rasa takutnya dan kembali berpura-pura tidak sedarkan diri.
Pintu terbuka. Masuk seorang lelaki lain, kali ini yang berbadan besar. Lelaki itu juga salah seorang dari tiga yang memecah masuk ke rumah Intan. Lelaki itu, dalam keadaan berjaga-jaga sambil berkali-kali melihat ke luar, dengan perlahan menutup pintu. Dia seolah-olah seperti pencuri, berjalan jengket di hujung tapak kaki, tanpa bunyi, menghampiri Intan. Intan sedar dirinya dihampiri. Nafas si lelaki itu semakin kuat berderu seperti menahan sesuatu. Menahan nafsu.

Dari atas kepala, sampailah ke hujung kaki, seluruh tubuh Intan ditatapinya. Lelaki berbadan besar itu cukup gelojoh menjamu mata. Pandangannya tertumpu kepada bahagian tengah badan Intan. Berkali-kali lidahnya menjilat bibir. Dengus nafasnya semakin kuat dan laju. Kedua-dua tangannya saling bergosok, seperti tidak sabar untuk mendarat ke tubuh Intan. Peluh keluar dari celah rambut nipisnya. Lelaki itu kelihatan rakus, seperti sedang menunggu makanan kegemaran yang terhidang di depan mata untuk disuap.
Lelaki itu kemudian meletakkan pandangan mata tepat ke arah betis Intan. Seluar tidur yang dipakai Intan hanya menutup sehingga ke bawah lutut, menampakkan sebahagian dari betisnya. Dengan nafsu menguasai diri, lelaki itu memulakan sajian dengan menghulurkan tangan kanan ke arah betis putih Intan. Tangan berbulu yang besar itu perlahan menghampiri. Apabila tersentuh jari lelaki itu dengan betis Intan, dengan refleks, kaki Intan melurus dan tertendang jatuh si lelaki berbadan besar itu. Terduduk lelaki itu seperti guni beras jatuh ke lantai.

“ADUUUH!” jerit lelaki itu.
Intan sedar dia sudah tidak boleh berpura-pura tidak sedarkan diri, lantas dia perkemaskan kedudukan dirinya dengan mengesot duduk ke hujung penjuru tilam, menjauhi lelaki berbadan besar itu.
“Kau dah sedar rupanya. Baguslah. Aku suka mangsa meronta-ronta.”
Lelaki itu kemudian bangun dan kembali menghampiri Intan. Intan ingin menjerit, namun tiada suara yang keluar, hanya bunyi kecil di dalam mulut yang ditahan tampalan pita pelekat. Apa yang mampu dia buat adalah dengan meronta sambil mengacukan tendangan dengan kedua-dua kaki yang terikat bersama.
Lelaki itu menepis tendangan Intan. Lalu ditekannya kaki Intan dengan tangan sebelum ditindih dengan lutut. Pada masa itu, Intan sudah kepenatan dan hilang kudrat, hanya mampu menghayunkan tangannya yang juga terikat. Mengalir laju airmata, laju juga titisan peluh dari kepala.

“Jahanam!”
Kedengaran jeritan memecah suasana. Lantas, terdapat kaki terlibas tepat mengenai pipi kanan lelaki itu dari belakang badannya. Terjatuh lelaki berbadan besar itu ke tepi tilam sekali lagi, namun kali ini, menyembah bumi. Tendangan padu itu datang dari lelaki berbadan tegap yang dipanggil Zul tadi.
“Biadab kau, Bawi. Aku dah kata biar aku yang rasmi malam ni. Lepas aku selesai, baru giliran kau.”
Lelaki yang dipanggil Bawi itu bergerak ke tepi, menjauhi Intan. Tajam mata Zul menatapnya, kemarahan. Intan pula sedang menggeletar seluruh badan di atas tilam, terkecut di hujung penjuru.
“Patut nama kau ni bukan Bawi, tapi Babi. Nafsu mengalahkan babi. Pergi kau keluar sebelum aku potong batang besar kelingking kau tu.”
Bawi tanpa kata-kata, bangun dari punggungnya dan beredar keluar dengan gesa-gesa.

Zul kemudian mengubah pandangannya ke arah Intan.
“Jangan risau, si cantik. Kau terselamat. Berehatlah. Malam nanti kau tentu akan perlukan tenaga yang banyak.” Zul mencolek air peluh yang mengalir di pipi Intan dengan jari, lalu dimasukkannya dalam mulut dengan wajah kepuasan.
“Ahh! Peluh si dara. Aku suka.”
Zul kemudian beredar keluar dari bilik. Pintu kembali tertutup dan berkunci.

Walaupun terasa terselamat, tapi Intan sedar, ada bala lagi besar dan teruk yang dia bakal hadapi. Tubuhnya masih tidak berhenti menggigil. Airmatanya masih tidak berhenti mengalir. Peluhnya masih tidak berhenti menitis.
“Ya Tuhan Yang Maha Berkuasa, selamatkanlah hamba-Mu ini.”
Ratapan Intan kemudian diikuti dengan bunyi bising seperti deruan enjin kapal terbang melintas rendah.




BERSAMBUNG...[28]

Apr 12, 2013

Vorteks #26 - Memori Masa Depan.

0 nota kaki


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25]





“Seorang budak lelaki dijumpai bogel dalam bilik kau yang berkunci rapat dari luar, kau dah percaya dia dari masa depan?” Prof. Shah mempersenda Prof. Erman yang sedang berdiri di sebelahnya. Mereka di dalam sebuah bilik di dalam rumah Prof. Shah yang dikatakan kalis bunyi, sama ada dari luar ataupun gemaan dari dalam. Di hadapan mereka, Johan sedang duduk di atas kerusi kayu dengan kedua-dua telinganya ditutupi dengan fon kepala.
“Agak-agak, kalau kau ni pengkaji agama, dan tiba-tiba ada lelaki bogel dijumpai dalam bilik kau, adakah kau akan cipta agama baru?” Prof. Shah tergelak kecil selepas bertanyakan soalan itu. Dia kelihatan puas mempersendakan Prof. E di dalam rumahnya sendiri. Prof. E masih tidak memberi sebarang jawapan.
Oops, lupa! Kau lebih percayakan sains dari agama. Ha-ha-ha!”
Prof. E hanya mampu bersabar dan terus mendiamkan diri walaupun ternyata dia sedang menahan marah sehinggakan pelipis kepalanya bergerak-gerak.
“Baiklah, mari kita mulakan.”

“Otak manusia sangat mengkagumkan. Otak manusia berupaya menyimpan setiap maklumat dari apa yang kita lihat, rasa, dengar, sentuh mahupun perasaan dalaman seperti sakit, marah, suka dan gembira. Setiap pengalaman yang kita lalui, semua tersimpan rapi dalam otak. Tapi, otak hanya memilih maklumat yang tertentu untuk terus diingati. Maklumat yang lain, yang tidak diperlukan, akan disimpan dalam satu sudut dalam otak yang gelap dan mungkin tak akan diterokai. Tapi, maklumat itu tetap ada.”

“Johan. Aku akan cuba bawa kau kembali ke masa di mana kau pernah tonton rancangan temubual dengan gadis bernama Hani itu dengan bantuan muzik dari fon telinga yang kau pakai. Apa kau perlu buat, bayangkan situasi sebenar kau di waktu itu. Cuba sebut setiap perkataan yang kau dengar atau ucapkan semasa kau berada dalam memori kau itu.”
Johan mengangguk. Faham.
“Kau perlu tahu satu risiko. Aku hanya singkap memori dalam otak kau melalui minda separa sedar, seperti membawa kau ke dalam perpustakaan dan menyuruh kau membaca buku yang ada di dalamnya. Jika kau menipu, dan memori yang kau cakapkan itu tak pernah wujud, buku yang kau nak cari itu tak pernah ada, maka kau akan berada dalam keadaan yang aku panggil ‘kekosongan’, di mana minda kau mungkin akan terperangkap dalam kegelapan dan tubuh kau di alam realiti ini tak akan tersedar. Kau akan ‘mati minda’.”
Johan tidak memberi respon.
“Tapi, kalau kau memang dari zaman akan datang, dan memori itu memang wujud, kau tak perlu risau.”
Prof. Shah dan Prof. E berpandangan sesama sendiri. Johan masih mendiamkan diri.
“Kalau kau menipu, sekarang adalah masanya yang paling sesuai untuk mengaku.” Prof. Shah memberi amaran kepada Johan.
“Sila teruskan. Kemudian, kalian akan tahu sama ada saya menipu atau tidak.” Johan menjawab dalam nada tegas. Prof. E tersenyum.
“Baiklah. Aku perlu tanya. Prosedur.”

“Kita mulakan. Sekarang, pejamkan mata.”
Johan mengikut arahan dan pejamkan mata.
“Bayangkan keadaan diri kau pada waktu itu. Sama ada kau sedang duduk, atau berdiri. Sama ada kau sedang memegang sesuatu di tangan,  ada bau sesuatu dari dapur, kau dengar deruan ekzos kenderaan di luar, atau sekadar rasa kegatalan di hujung tapak kaki. Bayangkan setiap perkara yang berlaku pada waktu itu...”
Suara Prof. Shah semakin sayup menjadi perlahan dari telinga Johan. Apa yang menemaninya adalah satu bunyi yang tak dapat dia kenalpasti datang dari fon telinga yang dipakainya. Seketika, Johan sedar dia sudah tidak mendengar suara Prof. Shah. Sensasi dirinya yang sedang duduk atas kerusi kayu yang keras sudah bertukar kepada sesuatu yang lembut, seperti sofa. Terkejut, dia dapat merasakan tangan kanannya sedang memegang sesuatu yang keras dan panjang. Datang bau masakan entah dari mana. Perlahan-lahan, datang bunyi perbualan seorang lelaki dengan seorang wanita. Suara wanita itu dia kenal, tapi dari mana?
Johan tidak tahan lagi, lalu membuka mata.

“Baiklah. Kita ketahui cerita lebih lanjut tentang Hani dan pengalamannya diculik yang telah menjadikan siapa diri dia sekarang, selepas pesanan penaja.” Itu suara lelaki yang didengarinya, datang dari sebuah televisyen di hadapan.
Rancangan temubual bertukar kepada iklan komersial.

“Ah, biadab. Suka buat orang suspen!”
Johan menghempaskan alat kawalan jauh televisyen dari tangan kanannya ke sofa sebelah. Dia berasa dirinya menjadi marah secara tiba-tiba.
Apa sudah jadi? Aku di mana?

 “Apa yang kau marah sangat ni, Han?” Seorang perempuan pertengahan usia muncul dari belakang, dengan tangannya sedang memegang senduk.
“TV. Tengah suspen, tiba-tiba iklan.”
Aku menjawab, bercakap tanpa disedari. Dan, apa Ibu buat di sini?

“Itu saja? Itu yang kau nak bisingkan sangat? Kau tu minggu depan dah nak masuk ke universiti. Kurang-kuranglah tengok TV tu.”
 “Sebab minggu depan masuk universiti-lah Han nak tengok TV puas-puas, ibu. Nanti jadi budak medic, mana ada masa nak tengok TV dah.”
Ah! Aku pernah ada perbualan macam ini, satu masa dulu. Aku ingat!
“Suka hati kaulah, Johan.” Perempuan itu berlalu ke satu ruang lain. Dapur.

Ya. Aku sedang dalam ingatan sendiri. Ingatan semasa aku menonton temubual televisyen tentang Hani dan pengalaman dirinya diculik. Semuanya sama. Tak sangka. Tak sangka kaedah Prof. Shah betul-betul berkesan. Aku sedang berada dalam diri sendiri dan hanya melihat keadaan dari mata, seperti orang yang sedang meneropong melalui periskop dari dalam sebuah kapal selam. Selama ini, aku ingat hipnosis adalah rekaan belaka. Tak sangka. Tak sangka.

Iklan di televisyen pun berakhir. Rancangan temubual bersama Hani kembali ke kaca TV.
Aku harus tumpukan perhatian kepada temubual tersebut.

“Kita kembali bersama dengan selebriti pujaan ramai masa kini, HANI.” Bingkai televisyen beralih dari wajah hos rancangan kepada wajah Hani yang tersenyum manis.
Oh, Hani. Aku sudah terbiasa dengan wajah Intan, sampaikan aku rasa lain dengan penampilan Hani yang sebenar.

“Jadi, Hani... Boleh ceritakan kepada penonton secara eksklusif tentang pengalaman Hani diculik?”
“Pengalaman itu mungkin pengalaman yang terburuk pernah saya lalui, tapi dalam masa sama, ada sesuatu yang manis di dalamnya...”




BERSAMBUNG...[27]

Apr 5, 2013

Vorteks #25 - Masa Untuk Rasional.

0 nota kaki


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24]





“Itu masalah kau. Apa masalah kau, tiada kena mengena dengan aku.” Posisi Prof. Shah, berdiri dengan senapang patah tepat mengacu ke arah kepala Prof. Erman, masih tidak berubah. Kukuh dengan bukaan kekudanya. Prof. E dan Johan masih mengangkat kedua-dua belah tangan, tanda menyerah. Suasana menjadi suspen.
“Kau belum lagi dengar niat kami ke sini. Kami betul-betul perlukan bantuan kau.” Prof. E cuba meyakinkan. Namun, cubaan dia nyata gagal.
“Aku tak peduli. Aku dah bersumpah, segala apa yang berkaitan dengan kau, aku tak mahu ambil peduli. Kau pemusnah hidup aku.”
Prof. E menunduk. Dia faham segala yang dilalui Shah. Berkahwin dengan bekas tunang Shah, terlibat dalam keputusan menolak dana kajian yang dipohon Shah. Segalanya berlaku bukan disengajakan, tapi Prof. E tiada suara untuk menerangkan.
“Saya yang perlukan bantuan, dan ianya tiada kena mengena dengan Prof. Erman.” Johan bersuara, tiba-tiba. Mata milik kedua-dua Prof. E dan Prof. Shah berpaling ke arah wajah Johan. Johan kelihatan serius.
“Saya datang dari masa depan...”
Ayat yang keluar dari mulut Johan membuatkan senapang patah yang pada mulanya diacukan ke arah Prof. E beralih ke arah Johan.
“Kau pun nak jadi gila macam si Erman ni? Datang dari masa depan? Tsk...GILA!”
Dengan kedua tangan diangkat, Prof. E menggerakkan badan ke hadapan Johan, menghalang laluan acu senapang.
“Nama dia Yusran. Dia memang dari masa depan. Dan kami memang perlukan bantuan kau, Shah.”
“TIDAK!” Johan meninggikan suara.
“Nama saya bukan Yusran. Nama saya JOHAN. Saya bersumpah, saya memang dari masa depan.”
“Johan, kau patut sembunyikan identiti kau,” bisik Prof. E.
“Tidak. Kita datang ke sini dengan niat nam meminta bantuan Prof. Shah bagi menyelamatkan Hani. Macam mana kita nakkan bantuan dia kalau kita sendiri mulakan dengan penipuan?”
Prof. E terdiam. Logik. Dia kalah. Suasana diam seketika.

“Hahaha!” Prof. Shah gelak sebutir-sebutir.
“Kau nampak, Erman? Budak pun ada sifat rasional lebih baik dari kau.” Prof. Shah menurunkan senapangnya. Dia menunjukkan isyarat tangan ke arah ruang tamu, sebagai tanda menjemput kedua-dua Johan dan Prof. E masuk.
“Aku takkan cemarkan ruang aku dengan darah, apatah lagi darah jijik dari badan kau, Erman.”
Prof. E mengerutkan dahinya, menyampah dengan sindiran Prof. Shah itu. Namun, dia hanya mendiamkan diri walaupun sudah jadi lumrah hidupnya akan melawan jika diperlekehkan.

“Duduk anak muda. Biar aku ke dapur ambilkan air kopi.” Prof. Shah bergerak ke dapur sambil mengusung senapangnya.
“BUKAN KAU, ERMAN! KAU AKU HARAMKAN DARI DUDUK ATAS SOFA AKU.” Suara jeritan dari dapur membantutkan gerakan Prof. E yang mahu duduk di salah satu sofa. Lantas, dengan muka tidak puas hati, dia hanya berdiri di belakang sofa yang diduduki Johan. Johan hanya mampu tersenyum.
Prof. Shah kemudian keluar dengan dua cawan berisi air kopi.

“Ceritakan pada aku, apa boleh aku bantu?” Prof. Shah meletakkan satu cawan di atas meja berhadapan dengan Johan. Satu cawan lagi dia pegang sambil melanjutkan punggung ke atas sofa bertentangan. Jelas, tiada kopi untuk Prof. E. Prof. E akur dalam kehinaan.
“Begini...”
Johan memulakan cerita. Dimulakan dengan bagaimana dia terjaga di loteng rumah Prof. E dan kemudian menyedari bahawa dia dari masa depan. Bagaimana dia berkenalan dengan Intan yang masih bersekolah, namun bakal menjadi seorang selebriti yang berpengaruh pada masa depan yang dipanggil Hani. Lalu kes penculikan Intan dan kesedaran Johan bahawa dia adalah satu-satunya insan yang mampu menyelamatkan Intan dan meneruskan kelangsungan masa agar masa depan tidak berubah.
Sepanjang cerita Johan, Prof. Shah hanya berdiam diri.

“...jadi, Prof. Erman cadangkan, dengan bantuan Prof. Shah, dapat membangkitkan minda separa sedar saya bagi mengembalikan ingatan saya terhadap temubual dengan Hani yang pernah saya tonton pada masa depan, supaya saya dapat klu kemungkinan di mana Hani dibawa pergi semasa kes penculikannya sekarang.”

Prof. Shah menukar posisi duduknya dari berlipat kaki kepada badan mengunjur ke hadapan sambil bertongkat dagu.
“Kau kata, kau dari 8 tahun akan datang, datang sini untuk selamatkan seorang gadis budak sekolah dari penculik supaya gadis itu menjadi seorang selebriti pada masa akan datang?” Prof. Shah cuba merumus. Prof. E hanya tersenyum.
“Bukan sebarang selebriti. Hani akan menjadi idola ramai dan membawa pengaruh positif kepada semua orang.” Johan menambah.

Prof. Shah kembali bersandar.
“Erman, nampaknya kajian teori merentas masa yang kau gila-gilakan selama ini akhirnya membuahkan hasil.” Prof. Shah cuba berseloroh dengan Prof. E.
“Bukan. Aku hanya berada di tempat yang betul, pada masa yang betul.”
Prof. Shah membeliakkan mata.
Wow, modesty. A weird trait coming from YOU!
Mereka berdua tersenyum.

Prof. Shah memandang tepat ke arah Johan.
“Johan. Kalau cerita kau ni disampaikan kepada orang biasa, mereka akan kata kau gila dan mungkin akan diusung berjumpa pakar sakit jiwa. Tapi, aku lain. Kau ada bersama dengan Prof gila ni, jadi aku tak rasa orang gila akan rasional bila bertemu orang gila yang lain.”
Prof. E berdengus nafas sekali dengan hidungnya tanda terasa.

“Aku dalam dilema sama ada hendak percaya cerita kau atau tidak. Tapi kau berkeras dan berusaha datang nak jumpa aku hanya untuk dihipnosis, aku rasa, ianya satu peluang yang tidak selalu datang. Dengan kata lain, kita akan tahu sama ada kau berkata benar atau tidak selepas aku hipnosis kau.”
“Maknanya...?” Johan inginkan kepastian.
“Aku bersetuju nak jalankan hipnosis terhadap kau, memandangkan aku perlukan ‘tikus makmal’ untuk satu projek prosedur hipnosis baru aku.”
Johan tersenyum kegembiraan.
“Tapi, kau perlu tahu dan kenal dengan segala risiko yang bakal aku letakkan ke atas minda kau. Okey?”
“Adakah ianya bahaya?” Johan menjadi penasaran.
“Ya.”




BERSAMBUNG...[26]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...