Nov 30, 2012

Vorteks #16 - Masa dan Keluarga.

0 nota kaki



[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15]




“Aku tak peduli,” jerit seorang lelaki pertengahan umur kepada Encik Ahmad.
“Aku tahu, kau tipu. Aku yakin tender projek tu akan dapat kepada aku. Tapi kenapa jatuh ke tangan kau pula?” Lelaki itu mengherdik Encik Ahmad di khalayak pekerja di pejabat milik Encik Ahmad. Semua pekerja yang sebelumnya khusyuk di kubikel masing-masing memandang kepada sesama sendiri, kebingungan.
“Encik Alex, bukan saya yang buat keputusan. Kami hanya hanya kertas cadangan projek, dan kami dipilih dan diluluskan. Kami sudah diberi kepercayaan oleh pihak berkuasa tempatan. Encik Alex kena terima kenyataan.”

Banyak syarikat milik persendirian berminat merebut tender projek pembinaan kompleks membeli-belah di kawasan N8-Bandar Selatan dek kerana kawasannya yang strategik dan dijangka berkembang dalam masa 8 tahun. Rebutan antara pelbagai syarikat berprofil tinggi membuatkan hal itu hangat diperkatakan media. Keputusan tender projek itu milik siapa terletak di tangan pihak berkuasa setempat kerana projek itu ada melibatkan beberapa faktor alam semulajadi yang perlu dititikberatkan. Namun, syarikat milik Encik Ahmad yang berjaya memperoleh tender tersebut, mengalahkan beberapa syarikat besar, termasuk milik Encik Alex.

“Aku tak percaya. Aku tahu kau ada ‘suap’ sesiapa orang dalam. Berapa kau ‘suap’? Lagi banyak dari akukah?”
Serentak, suasana pejabat terdiam. Semua mata terpaku kepada Encik Alex. Pada saat itu, Encik Alex tahu dia sudah tersilap cakap.
“Kami tak ‘suap’ sesiapa. Kami lakukan bisnes bersih. Kalau Encik Alex ada ‘suap’ sesiapa, itu urusan Encik Alex.”
Encik Ahmad tahu, terdapat permainan duit di sebalik perebutan milikan tender projek itu. Tapi, Encik Ahmad tidak berniat, apatah lagi melakukannya. Dia tahu, rasuah itu haram. Hasil rasuah itu haram. Dia tidak akan suap hasil haram ke dalam mulut isteri dan anak-anaknya.
Seketika, dua orang pengawal keselamatan muncul.
“Pengawal, tunjukkan Encik Alex jalan keluar.”
“Kali ini kau menang, Ahmad.” Encik Alex menudingkan jari kepada Encik Ahmad.
“Tapi, ini bukan penamatnya. Aku akan pastikan kau terima padahnya, berkali ganda.”
Encik Alex ketawa kuat sambil diiring keluar oleh dua pengawal. Gelak tawa dia memecah kesunyian bunyi pejabat Encik Ahmad, sekaligus membuatkan semua mata yang memandang adegan itu berasa takut dan gelisah, termasuk Encik Ahmad.

“Ayah. Ayah!”
Ada suara memanggil Encik Ahmad. Bahunya diusik.
Encik Ahmad memejamkan matanya berkali-kali. Dirinya dilihat sedang berada di meja makan yang dipenuhi makanan bertemankan isteri dan anak kecilnya yang berumur dua tahun di sebelah kanan meja dan seorang lagi anak gadisnya di sebelah kiri meja.
Rupanya, dia sedang mengelamun.

18 Mac 2004. Jam 2005.
“Ayahnya kenapa? Termenung lama depan makanan?” Isteri Encik Ahmad bertanya, sambil tangan menyuap makanan ke dalam mulut anak lelakinya, Farhan.
“Ayah berangan ek?” Intan berseloroh.
“Tak baik berangan depan makananlah, Ayah.”
“Ayah cuma teringatkan kejadian di pejabat,” jelas Encik Ahmad.
“Lagipun, siang tadi kan anak dara Ayah ni hampir nak kena langgar. Penat tahu Ayah berkejar dari pejabat ke rumah nak tengok keadaan kamu.”
“Ala Ayah ni, tukar tajuk pula. Cerita Ayah berangan, tiba-tiba tukar topik orang nak kena langgar pula.”
Encik Ahmad dan ibu Intan tersenyum. Intan juga turut tersenyum.
“Tapi kan Ayah, Yusran tu memang baik, kan? Dia tak kenal pun Intan, tapi sanggup nak korbankan diri selamatkan Intan.”
“Yalah, Ayahnya,” sambung ibu Intan.
“Tak sangka pula Prof. Erman tu ada anak saudara. Ingatkan dia tinggal sebatang kara.”
“Yusran ziarah seminggu saja, Ibu. Lepas tu dia balik ke rumah dia, sambung belajar.” Intan mencelah.
“Ibu dan Ayah nak tahu? Yusran tu budak medic. Dia mesti pandai, kan?”
Ibu Intan dan Encik Ahmad mengangguk setuju.
“Tadi Intan ada minta Yusran ajarkan matematik dan sains untuk orang dalam masa seminggu ni. Dia kata boleh. Boleh kan, Ayah? Ibu?”
Ibu Intan menukar pandangan kepada Encik Ahmad. Encik Ahmad kelihatan sedang merenung pinggan makanannya. Suasana sunyi seketika.
“Ayah?” Suara Intan menyedarkan Encik Ahmad semula. Encik Ahmad memandang Intan.
“Apa dia?”
“Ayah berangan lagi?” Intan mencebikkan bibirnya.
“Apa dia Ibunya?” Encik Ahmad cuba bertanya kepada isterinya.
“Anak awak tanya, boleh tak dia nak belajar matematik dan sains dengan Yusran selama seminggu dia ada kat rumah Prof tu.”
“Beginilah...” Encik Ahmad mengambil masa untuk menjawab pertanyaan Intan.
“Kalau Intan janji dengan Ayah lepas sekolah terus balik, Ayah benarkan Intan belajar dengan Yusran tu.”
Wajah Intan berseri kembali.
“Okey. Orang janji. Terima kasih Ayah. Terima kasih Ibu.”
Dengan senyuman, Intan mengangkat pinggannya dan berlalu ke dapur kerana sudah selesai makan, meninggalkan Encik Ahmad dan isterinya serta Farhan yang sedang bermain-main dengan makanan.
“Tengoklah anak awak tu. Seronok betul dia. Dia suka dengan si Yusran tu agaknya.” Ibu Intan bersenda.
“Baguslah. Lagi baik dia ke rumah Prof tu untuk belajar, dari dia merewang ke tempat lain yang bahaya, kan?”
Ibu Intan sedar akan perubahan sikap Encik Ahmad semasa makan tadi. Jarang Encik Ahmad nak termenung dan mengelamun semasa makan.
“Abang. Abang ada masalah?” tanya Ibu Intan.
Encik Ahmad memandang tepat ke mata isterinya itu. Jelas kelihatan kerisauan seorang isteri.
“Masalah tempat kerja. Abang harap tak sampai memudaratkan keluarga kita.”
Kata-kata Encik Ahmad itu mengejutkan isterinya.
“Kenapa?”
“Awak kena pastikan pintu sentiasa berkunci bila Abang pergi kerja, ya?”
“Tapi kenapa?”
“Pastikan juga Intan balik terus ke rumah selepas sekolah. Kalau dia ke rumah Prof, pastikan dia betul-betul ke sana. Okey?”
Raut wajah Encik Ahmad jelas menunjukkan kerisauan. Isterinya turut merasa kerisauan itu.
“Tapi kenapa, Bang?”
Encik Ahmad tunduk seketika.
“Keluarga kita mungkin dalam bahaya.”



BERSAMBUNG...[17]

Nov 23, 2012

Vorteks #15 - Semasa Kejadian.

0 nota kaki


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14]




Artis kegemaran.
Mungkin itu istilah mudah bagi sesetengah orang untuk melabel hubungan antara Johan dan Hani, tapi tidak kepada Johan sendiri. Hubungan mereka, atau lebih tepat, hubungan dia lebih menjurus kepada perasaan yang lebih dari sekadar ‘artis kegemaran’ terhadap Hani. Baginya, Hani adalah pendorong dan motivasi dirinya untuk terus berjaya dalam bidang yang sedang dia ceburi. Tambahan pula, bidang perubatan bukan sesuatu yang mudah. Semangat dan kemahuan untuk terus maju ke depan adalah penting. Bagi Johan, pendorong semangat itu adalah Hani, yang diminatinya sejak awal kemunculan Hani di kaca televisyen.
Sesetengah orang luar, termasuk kawan-kawan Johan tidak memahami hubungan itu. Bagi mereka, hubungan yang wujud hanya hubungan antara seorang artis dan peminat. Malah, jauh di lubuk pemikiran logik Johan juga mempersoalkan perlakuannya. Dia sendiri tidak pasti apa yang membuatkan Hani begitu terkesan di dalam hidupnya.
Kini, Hani yang diminatinya sedang berada di depan mata. Johan berpeluang berbual dengan artis kegemarannya itu tanpa perlu ada sekatan dari sesiapa walaupun secara teknikal, Hani belum pun lagi menjadi artis. Itu sudah cukup membuatkan hati Johan berbunga-bunga.

18 Mac 2004. Jam 1715.
“Apa hubungan awak dengan Prof?”
Soalan dari Intan membuatkan Johan terdiam seketika.

Sebelum kedatangan Intan dan ayahnya, Prof. E sudah berpakat dengan Johan untuk mereka cerita bagi menyembunyikan fakta bahawa Johan seorang perentas masa. Pakatan itu perlu, takut-takut nanti fakta yang dikeluarkan oleh Johan berbeza dengan yang diperkatakan Prof. E. Mereka berdua sudah bersetuju untuk keluar dengan beberapa fakta rekaan yang masuk akal tanpa perlu banyak penjelasan.

“Saya anak saudara Prof. Erman. Sekarang tengah cuti, jadi saya ambil keputusan nak ke sini untuk menolong Prof dalam kajiannya.” Johan cuba menjawab dengan lancar. Baginya, fakta baru agak susah untuk diulas dengan panjang lebar.
“Tapi pelik...” Intan menggaru kepalanya.
“Apa yang pelik?” Johan berasa resah.
“Kalau Prof ialah pakcik kepada awak, kenapa awak panggil dia dengan panggilan ‘Prof’. Patutnya panggillah dia dengan gelaran ‘Pakcik’ ke, ‘Uncle’ ke.”
Kata-kata Intan ada benarnya. Nampaknya, kedua-dua Prof. E dan Johan gagal untuk membincangkan hal ini sebelumnya.
“Prof yang minta saya panggil dia begitu. Sebab saya bekerja membantu kajian dia sekarang, jadi lagi elok kalau formaliti itu wujud.” Johan dengan spontan cuba menerangkan. Masuk akal, Intan pun mengangguk.
“Kiranya, awak ni pelajar universitilah, ya?” tanya Intan.
“Ya.”
“Jurusan apa?”
“Perubatan.”
Intan berfikir sejenak.
“Saya nak tanya sikit, boleh?”
“Silakan.”
“Ada khabar angin kata Prof kaji bidang paranormal, betul ke?”
Johan tersenyum mendengar soalan Intan itu.
“Saya pasti seratus peratus itu hanyalah khabar angin memandangkan Prof adalah seorang professor fizik.”
Kata-kata Johan itu tidak benar sepenuhnya. Prof. E mengkaji ilmu fizik yang tiada bukti kesahihan dan kebenaran, hanya sekadar teori dan hipotesis semata-mata. Tapi, jika dia ceritakan obsesi Prof. E terhadap kajian merentas masa, ada kemungkinan Prof. E akan dilabel sebagai kurang siuman.

Di luar bilik, Prof. E dan ayah kepada Intan, Encik Ahmad sedang berbual tentang sesuatu.
“Tahniah. Saya dapat tahu syarikat encik berjaya dinobat sebagai syarikat pilihan untuk menjayakan projek pembangunan kompleks membeli-belah di kawasan N8-Bandar Selatan.” Prof. E menghulurkan tangan tanda ucapan tahniah. Encik Ahmad menyambut tangan itu dengan senyuman.
“Oh, Prof pun dah tahu?”
“Saya salah seorang dari panel penilai bagi unit kesejahteraan alam sekitar untuk projek itu.”
“Oh, jadi Prof antara orang yang berjasa dengan saya. Terima kasih, Prof. Terima kasih.” Encik Ahmad menggenggam tangan Prof. E dengan kedua belah tangannya sebagai tanda penghargaan.
“Kertas cadangan dari syarikat encik sangat meyakinkan.”
Encik Ahmad mengangguk tanda setuju. Wajah Prof. E dari tersenyum lebar bertukar kepada satu ekpresi yang serius.
“Projek itu menjadi rebutan ramai kerana kawasannya yang strategi dalam 8 tahun akan datang. Jadi, Encik Ahmad sangat bertuah kerana berjaya mendapatkannya. Hal ini sekaligus membuatkan Encik Ahmad mendapat ramai musuh perniagaan, mereka yang gagal memperoleh tender projek itu.” Prof. E bertukar nada.
“Encik Ahmad...”
“Ya?”
“Semasa kejadian anak saudara saya menyelamatkan anak encik tengahari tadi, saya berada di depan muka pintu rumah. Dari tempat saya berdiri, saya jelas nampak semua yang berlaku.”
Raut wajah Encik Ahmad juga bertukar serius.
“Kereta yang dipandu laju itu menuju tepat ke arah anak Encik. Tetapi, sewaktu anak saudara saya menyelamatkan anak encik, baru kereta itu menekan breknya.”
Encik Ahmad berwajah terkejut.
“Walaupun nampak seperti kemalangan biasa, tapi saya dapat rasakan sesuatu yang tak kena. Kereta itu hanya membrek ketika dia sangka dia akan melanggar anak saudara saya, tapi tidak semasa dia laju menuju ke arah anak encik. Saya syak ianya bukan kemalangan.”
“Maksud Prof, ianya disengajakan?”
“Adalah lebih baik kalau kita semua anggap begitu. Saya juga harap Encik Ahmad tingkatkan keselamatan rumah, sebab si pesalah tadi dapat melarikan diri.”
Encik Ahmad kelihatan sedikit resah.
“Tapi, saya tiada musuh,” jelas Encik Ahmad.
“Encik Ahmad mungkin tiada musuh. Tapi orang lain masih boleh menganggap encik sebagai musuh.”

Setelah seketika, Prof. E dan Encik Ahmad kembali ke dalam bilik Johan. Intan masih di pinggir katil, sedang rancak berbual dengan Johan.
“Apa yang dibualkan tu? Seronok nampak.” Prof. E mencelah.
Serentak, Johan dan Intan memalingkan muka ke arah Prof. E dan Encik Ahmad. Prof. E tersenyum mesra, sedangkan jelas di muka Encik Ahmad gelisah memikirkan apa yang dibualkan bersama Prof. E tadi.
“Ayah, Yusran bersetuju nak ajar Intan matematik dan sains selepas waktu sekolah. Boleh tak, ayah?”



BERSAMBUNG...[16]

Nov 16, 2012

Vorteks #14 Pada Masa Saya dan Pada Masa Sekarang.

0 nota kaki

[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13]




“Manusia perlu terus ke depan. Masa silam dijadikan pedoman supaya kita pada masa kini tidak mengulangi kesilapan. Hasilnya, masa depan kita akan lebih terjamin.”
Generik. Tapi kata-kata itu membuatkan Johan terpaku depan kaca televisyen melihat rancangan temubual bersama seorang selebriti muda, Intan Farhani Ahmad, atau lebih dikenali dengan panggilan Hani.
“Itu adalah kata-kata perangsang semangat yang diberikan seseorang yang sangat penting dalam hidup saya.”
“Adakah dia kekasih lama?” Perantara rancangan bertanyakan soalan perangkap, seperti yang selalu golongan mereka lakukan.
“Dia memang penting dalam hidup saya. Tapi sudah bertahun-tahun kami tidak berjumpa. Kalau diberi peluang, saya mahu bertemu dengan dia kembali, satu hari nanti, insyaAllah.”
Johan tersenyum di depan televisyen. Benak hatinya memuji jawapan Hani.
“Jawapan selamat sebegitu, hanya orang yang berfikir dapat luahkannya dengan lancar. Hani memang bukan sebarang orang.”

Johan terjaga dari mimpinya. Dia terjaga dari pengsannya.

18 Mac 2004, jam 1632.
“Kau dah terjaga?” Prof. E dilihat sedang duduk di pinggir katil. Setelah diamati sekeliling, Johan sedar dia sedang terbaring di atas katil di dalam biliknya.
“Kau pengsan selama 2 jam. Kau ingat apa yang terjadi?”
Dari pertanyaan Prof. E itu, Johan cuba mengingati apakah yang berlaku sebelum dia pengsan. Ya. Johan berjaya mengingatinya. Dia tahu dia dilanggar kereta selepas cuba menyelamatkan seorang gadis berpakaian seragam sekolah semasa mahu melintas jalan.
“Ya, Prof. Saya ingat segalanya.” Prof. E tersenyum mendengar jawapan Johan.
“Maafkan aku. Aku tak boleh bawa kau ke hospital kerana kau tiada pengenalan diri. Lagipun, nanti banyak masalah timbul.”
“Saya faham Prof. Saya tak ada apa-apa. Saya tiada cederapun.” Johan mengubah posisi badannya dari berbaring kepada duduk melunjur di atas katil.
“Kalau begitu, biar aku ambilkan air untuk kau.” Prof. E memusingkan badannya ke arah pintu untuk keluar.
“Prof, tunggu dulu!” Langkah Prof. E termati.
“Saya ada satu masalah mahu bincangkan dengan Prof.” Prof. E segera memusingkan badannya dan mengadap Johan. Mukanya begitu ingin tahu dengan apa yang bakal Johan perkatakan.
“Tadi, saya berjumpa seseorang yang saya kenal.”
Kata-kata Johan itu mengubah mimik muka Prof. E.
“Bukankah kau sudah janji tidak mahu pergi bertemuu dengan orang yang kau kenal? Kau boleh mengganggu perjalanan usaha aku menghantar kau pulang.” Nada suara Prof. E meninggi.
“Tidak, Prof. Dengar dulu.” Johan cuba menenangkan Prof. E.
“Memang saya bertemu dengan orang yang saya kenal. Tapi, dia tak kenal saya.”
Prof. E menampakkan kerutan di dahi.
“Saya bertemu dengan artis pada masa saya, yang pada masa sekarang, masih belum menjadi artis.”
Prof. E terkejut.
“Budak perempuan yang saya selamatkan dari kena langgar kereta tadi, bakal menjadi artis yang terkemuka pada zaman saya nanti, lapan tahun kemudian.”
“Maksud kau, Intan?” Prof. E mencelah.
“YA!” Johan menjerit dengan gembira.
“Nama dia Intan Farhani. Masa dalam zaman saya, dia dipanggil Hani.”
“Sekejap...” Prof. E menghentikan kata-kata Johan.
“Aku tak pasti apa kesan dari maklumat kau ini kepada zaman aku. Untuk mengawal keadaan, aku rasa baik kau jangan terlalu dedahkan maklumat yang kau ada tentang zaman kau, walaupun kepada aku. Aku takut nanti akan mengubah perjalanan jalur masa.”
Johan mengangguk faham.

“Intan adalah anak kepada jiran sebelah rumah ini. Kalau betul kata kau dia bakal jadi artis terkenal, maka kita kena kurangkan pertemuan antara kau dengan dia. Tapi, dia mungkin akan datang ke rumah ini bila-bila masa sahaja atas alasan mahu berterima kasih kepada kau. Jadi, aku tak boleh halang dia bertemu dengan kau.” Panjang lebar penerangan Prof. E.
“Satu cara terbaik ialah...”

Jam 1700.
Ding dong! Ding dong!
Loceng rumah Prof. E ditekan.
Pintu dibuka oleh Prof. E. Di sebalik pintu berdirinya dua orang. Seorang lelaki pertengahan usia, dan seorang gadis remaja.
“Maafkan saya, Prof. Dia dah sedar?” tanya lelaki itu.
“Sudah. Mari masuk. Saya bawakan ke biliknya.”
Prof. E mengepalai perjalanan tiga orang itu ke tingkat atas. Mereka menuju ke bilik yang dihuni Johan.
Setelah diketuk, pintu bilik Johan di buka. Kelihatan Johan sedang berlunjur di atas katil. Mereka bertiga masuk ke dalam bilik.
“Kenalkan. Ini Encik Ahmad.” Prof. E memperkenalkan lelaki tersebut kepada Johan. Mereka bersalaman.
“Dan ini pula, anak kepada Encik Ahmad, orang yang kau selamatkan dari dilanggar kereta tadi.”
Gadis itu menghulurkan tangan ingin bersalaman. Johan menyambut tangan itu. Ini adalah kali pertama mereka bersentuhan. Dalam diri Johan, perasaannya sangat gembira dapat bertemu dengan artis kegemarannya, walaupun secara logik, dia belum lagi menjadi seornag selebriti.
“Nama saya Intan. Terima kasih sebab selamatkan saya. Kalau bukan kerana awak, mesti saya sudah tak selamat.”
Bahu Intan dicuit oleh ayahnya.
“Aish, kenapa panggil abang ni ‘awak’? Cuba hormat sikit. Ini kan ‘abang’,” bisik Encik Ahmad.
“Eh, tak apa Encik Ahmad. Saya memang tak biasa orang panggil saya ‘abang’.”
Intan tersenyum lebar. Encik Ahmad hanya menunduk diri.
“Terima kasihlah sebab selamatkan anak saya. Dia memang cuai sikit. Orang lain tengok dulu kiri kanan sebelum melintas, tapi dia melintas dulu baru tengok kiri kanan.” Semua orang tergelak kecil kecuali Intan yang mencebik muka.
“Tak apa. Saya ikhlas. Hari ini saya selamatkan orang, esok lusa orang selamatkan saya, kan?”

“Encik Ahmad, boleh saya cakap sekejap dengan encik di luar?” Prof. E bersuara.
Encik Ahmad mengangguk. Dia dan Prof. E berjalan ke luar bilik untuk berbincangkan sesuatu meninggalkan Johan dan Intan berdua.

“Oh, ya. Siapa nama awak?” Intan bertanya.
“Nama saya Yusran. Boleh panggil Yus sahaja.”



BERSAMBUNG...[15]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...