Aug 31, 2012

Vorteks #8 Paradoks Masa

0 nota kaki
[1][2][3][4][5][6][7]




Cuba bayangkan jika merentasi masa adalah tidak mustahil untuk semua orang. Seorang lelaki merentasi masa ke zaman dahulu dan bertemu dengan datuknya yang masih muda dan belum berkahwin. Berlaku salah faham yang mencetuskan satu pergelutan, lalu mengakibatkan lelaki itu terbunuh datuknya.
Dek kerana datuknya mati, secara logik, dia tidak akan dilahirkan. Jika dia tidak dilahirkan, maka peristiwa dia ke zaman lampau dan membunuh datuknya tidak akan berlaku, dan seterusnya mengakibatkan datuknya tidak akan mati. Rentetan peristiwa ini membentuk satu kejadian yang menentang prinsip ‘sebab dan akibat’.
Itulah yang dipanggil ‘paradoks masa’.

Itu yang diceritakan oleh Prof. E kepada Johan. Prof. E menerangkan kewujudan entiti yang tidak sepatutnya ada dalam sesebuah garis masa adalah bersifat membahayakan. Dengan erti kata lain, Johan tidak sepatutnya muncul di zaman itu, pada masa itu, dan di tempat itu.
“Disebabkan paradoks masa, para saintis mengatakan bahawa menjelajah ke masa silam adalah mustahil. Tapi, kemunculan kau di hadapan mata aku menolak penyataan itu,” ujar Prof. E.
“Sekarang, aku akan sedaya upaya mengkaji apa yang patut dan bersedia dengan kedatangan Kilat Thor pada 5 hari lagi. Kalau kajian aku sempat lengkap sebelum kedatangan kilat itu, kau akan selamat dihantar kembali ke zaman kau.”
Johan mengangguk faham.

Buat seketika, Johan merasakan dia seperti satu bahan hasil eksperimen. Hatinya masih belum dapat menerima penerangan Prof. E sepenuhnya. Juga, apa yang dia mahukan adalah keadaan kembali normal seperti biasa, atau mungkin terjaga dari satu mimpi yang pelik.
“Saya harap Prof boleh tolong saya pulang ke masa saya secepat mungkin.”
Kata-kata Johan dengan suara lemah itu mengubah riak wajah Prof. E yang sebelumnya kelihatan teruja. Johan meminta kebenaran untuk naik ke bilik dan berehat di atas katil. Lalu, mata Prof. E mengekori Johan bergerak dari meja makan ke tangga sebelum hilang dari pandangan. Jelas kelihatan Johan tidak bersemangat. Prof. E mengeluh keseorangan.

Di katil, Johan terbaring terkenangkan kata-kata Prof. E. Terkenangkan bahawa dia adalah kewujudan yang tidak patut ada. Terkenangkan cerita Prof. E tadi tentang paradoks masa.
“Cucu membunuh datuk? Siapa yang sekejam itu? Aku sayangkan datuk aku.”
Mata Johan terbeliak.
“Ya, Atuk!”
Johan mengira dengan jarinya.
“Atuk sepatutnya sudah meninggal dunia lapan tahun lalu. Kalau tak silap aku, tarikhnya 18 Mac 2004. Maknanya, sekarang, Atuk masih hidup.”

Johan segera bangun dari katil dan bergegas ke bawah mencari Prof. E. Namun, Prof. E tiada di tingkat bawah. Maka, tiada tempat lain lagi untuk Prof. E ada kecuali di bilik loteng, meneruskan kajiannya.
Pintu bilik loteng diketuk.
Seketika kemudian, Prof. E membukanya separuh.
“Ada apa?” Prof. E bertanya.
“Boleh Prof pinjamkan saya duit sedikit? Saya nak keluar beli barang makanan.”
“Kenapa? Barang makanan aku di dapur kan sudah cukup.”
“Ianya cukup untuk selera Prof, tapi bukan saya.”
Melihatkan wajah Johan yang bersungguh-sungguh, Prof. E tidak mahu mengecewakan permintaan Johan.
“Sekejap...” Prof. E kembali menutup pintu. Beberapa saat kemudian, pintu kembali terbuka separuh dan dihulurkan beberapa keping duit kertas berserta dengan kunci kereta.
“Pergilah ke pasaraya hujung jalan sana. Pakai kereta aku. Mudah sikit.”
Johan tersenyum.
“Belikan aku sekali minuman tenaga dengan banyak supaya aku dapat berjaga malam untuk menghabiskan kajian ini. Isi minyak sekali. Stesen minyak di sebelah pasaraya.”
“OK. Thank you, Prof!” Johan beredar menuruni tangga.
“Pastikan kau tak berselisih dengan sesiapa yang kau kenal!” Prof. E menjerit memberi peringatan. Tapi tiada jawapan dari Johan, sama ada dia tidak mendengarnya, atau dia memilih untuk tidak memberi respon.

Prof. E kembali duduk di kerusi bilik kajiannya. Sebelum jari-jemarinya kembali ke papan kunci komputer, dia merenung tingkap seketika. Padanya, bukan senang untuk dia percayakan seseorang dengan mudah, apatah lagi menghulurkan duit dan memberi pinjam kereta kesayangan. Tapi, dengan Johan, terasa semuanya terlalu mudah. Seperti dia sudah lama mengenali Johan, walaupun baru semalam dia dituduh Johan sebagai mencuba untuk meracuninya.
Prof. E menggelengkan kepala dan menganggap semua itu perkara kecil dan tidak harus dihiraukan. Dia kembali meneruskan kerjanya.

Johan semasa sedang membuka pintu kereta Prof. E pun memikirkan perkara yang sama.
“Kenapa senang sangat Prof nak bagi aku pinjam kereta dia? Dia tak risau kalau-kalau aku bawa lari kereta ni? Aku nak pinjam duit saja, tapi kenapa sampai bagi pinjam kereta sekali?”
Selepas beberapa kali percubaan menghidupkan enjin, kereta Prof. E itu pun berderu dengan kuat. Kereta lama, apa yang boleh dijangka.

Secara logiknya, kerana Johan datang ke masa itu sehelai sepinggang, maka lesen memandu tiada bersamanya. Jika dia ditahan penguatkuasa, dia boleh dipenjara bukan sekadar kesalahan memandu tiada lesen, tapi juga kesalahan tidak mempunyai pengenalan diri. Sudah tentu jika disemak maklumat dirinya dalam pengkalan data, pihak berkuasa akan mendapati dirinya berumur 15 tahun berbanding 23 tahun yang sepatutnya. Jadi, dia bakal berada dalam keadaan yang sangat rumit jika ditangkap pihak penguatkuasa.
Itulah yang difikirkan Johan sepanjang kurang lebih 20 minit perjalanannya memandu kereta. Dia seperti memandu jauh dari yang diberitahu kepada Prof. E tadi. Tapi dia bukan sesat, malah dia amat pasti dengan perjalanannya itu.

Selepas meletakkan kereta di seberang jalan, Johan keluar, mengunci kereta dan terus melintas jalan ke seberang. Selepas beberapa meter berjalan kaki, langkah Johan terhenti di hadapan sebuah rumah yang tidak asing lagi. Sebuah rumah dengan pokok mangga yang lebat berbuah di laman rumah. Sebuah rumah teres dua tingkat yang pernah dia masuki semalam.

Johan memasuki rumah itu melalui tingkap di tepi rumah. Setelah meneliti tiada orang di ruang tamu, dan hanya kedengaran bunyi seseorang sedang memasak di dapur, Johan berlari anak-anak tanpa mengeluarkan bunyi dan mendaki tangga ke tingkat atas rumah. Johan terus menuju ke bilik paling dalam sebelah kiri dari tangga. Dia memulas tombol dan membuka pintu.
Kelihatan seorang tua di atas katil di dalam bilik itu. Orang tua itu memandang Johan di daun pintu. Johan, tanpa melepaskan pandangan mata, menutup pintu itu dan menekan punat kunci. Orang tua itu kelihatan sedikit terkejut.

“Assalamualaikum, Atuk!”



BERSAMBUNG...[9]

Aug 17, 2012

Vorteks #7 Lelaki dari Masa Depan

0 nota kaki
[1][2][3][4][5][6]




Udara sekitar bilik itu seperti tegang. Johan terbaring di atas katil sambil merenung syiling.
 “Lelaki dari masa depan?” Dia mengimbau kembali apa yang diperkatakan Prof. E sebentar tadi. Johan tak percaya dengan apa yang didengarinya.

“Tak apalah. Mungkin terlalu banyak yang kau kena terima. Kau naik atas, pergi ke bilik hujung, itu bilik anak aku. Mandi, dan tidurlah. Kau penat berjalan jauh siang tadi.”

Johan mengucapkan terima kasih dan berlalu. Dalam fikirannya, otaknya sudah tepu. Dia seperti tidak dapat terima apa yang disampaikan Prof. E. Dia tahu, walaupun ada kemungkinan semuanya boleh berlaku, tapi akal logiknya menolak segalanya kemungkinan. Dia buntu.

Di kepala Johan terdapat terlalu banyak perkara yang mahu difikirkannya, namun badannya yang letih dan lemah mahukan rehat. Sebelum terlelap, Johan berfikir, alam ini terlalu menakutkan. Jika kata Prof. E adalah benar berlaku, bagaimana dia boleh pulang ke waktu asalnya? Bagaimana dia hendak menyesuaikan diri dengan waktu sekarang? Apa perkara teruk yang boleh terjadi kepada dirinya? Adakah jika dia terperangkap di waktu ini, maka dia adalah satu kewujudan yang tidak sepatutnya ada, ataupun ini semua adalah takdir yang menentukan dia perlu berada di sini?
Johan tertidur.
***

17 Mac 2004. Hari kedua. Jam 0810

                Johan dan Prof. E kelihatan duduk berbincang di meja makan sambil bersarapan pagi.
“Ya, mengikut kajian aku, sambaran kilat yang kuat dalam tempoh masa tertentu mampu membekalkan tenaga yang cukup untuk mengoyak dimensi itu. Aku gelarkan kilat itu sebagai Thor.” Prof. E begitu ghairah menerangkannya, lalu dia mengambil kertas dari failnya di atas meja dan menghulurkannya kepada Johan untuk dilihat.

“Ini adalah data yang aku kumpul berkaitan dengan sambaran kilat Thor. Loteng rumah ini akan disambar kilat Thor dengan kuat setiap lapan tahun. Waktu seterusnya yang sepatutnya kilat Thor sambar adalah pada 6 hari lagi. Tapi, semalam, sama waktu dengan masa kau muncul, data itu menunjukkan jumlah tenaga yang sama dengan kilat Thor, cuma ianya lebih kepada lebihan tenaga.”

“Lebihan?”
“Ya, dengan kata lain, kilat Thor mengoyak ‘wormhole’ yang ada dalam bilik loteng itu, tapi kilat semalam seperti hasil dari kilat Thor dari satu tempat lain. Seperti pintu, kilat Thor membuka pintu masuk, tapi lebihan tenaganya membuka pintu keluar.”

Johan masih cuba untuk memahami.
“Dengan kata lain, kau sudah lalui pintu keluar dari tempat lain, atau dalam kes kau, dari masa lain.”
“Apa maksud Prof?”
“Begini, kau perlukan masa yang lebih panjang untuk ke tempat yang jauh berbanding untuk ke tempat yang dekat. Jika dimensi keempat boleh dijelajahi, hanya satu pembolehubah boleh dimanipulasi, satu lagi menjadi pemalar. Sama ada MASA atau TEMPAT. Jika MASA adalah pemalar, maka, selepas disambar kilat Thor, kau akan berada di tempat lain dalam sekelip mata, seperti satu portal yang menentang teori masa dan ruang.”

Prof. E bersemangat menerangkan kepada Johan.
“Jika TEMPAT adalah pemalar, maka kau akan muncul di tempat yang sama, cuma pada masa berlainan. Dalam kes kau, ke lapan tahun sebelumnya.”

Johan mengangguk, tidak pasti sama ada tanda faham atau sekadar mengangguk.
“Itu menjelaskan kenapa saya dapati sekeliling saya berbeza, dan tarikh luput roti yang diberikan Prof dan datuk saya yang masih hidup.” Johan kembali mengambil roti di atas meja dan makan.

“Pendek kata, kejadian kau dengan kawan-kawan kau pecah masuk rumah aku, dan kau ke loteng, ada guruh dan kilat, kemudian rasa seperti dada kena cubit, dan kau pengsan, itu berlaku lapan tahun lalu di loteng rumah ini.”

Johan mendiamkan diri.
“Lalu, selepas melalui dimensi keempat, kau muncul juga di loteng juga, tetapi pada lapan tahun sebelumnya.”

“Kenapa lapan tahun?” Johan mempersoal. Mereka berada di meja makan, berbincang sambil sarapan. Prof. E terdiam. Jelas di wajahnya, dia tidak tahu jawapan kepada soalan itu.
“Misteri dimensi keempat terlalu luas. Kita manusia pun belum habis kaji dimensi kita sendiri. Jadi, ada persoalan yang masih tidak dapat dijawab, tak kira berapa tinggi ilmu saintis itu.”

Johan tunduk mengangguk.
“Tapi, kau adalah bukti bahawa teori kami para saintis tidak salah. Cuma tidak lengkap.”
Prof. E begitu teruja bila berbicara berkaitan teorinya.
“Bukankah Prof kata tadi, seberapa tinggi ilmu seorang saintis itu sekalipun, ada persoalan yang masih tidak boleh dijawab. Jadi, kenapa Prof begitu pasti teori Prof tak salah? Pada saya, ianya seperti ada kuasa yang lebih tinggi dari kekuasaan manusia yang menguruskan semua ini.”

Prof. E mengerutkan dahinya.
“Kau cuba nak beritahu aku, ini semua kerja Tuhan?”
“Ya.” Johan menjawab, pendek.
“Sekarang aku ada beberapa perkara mahu bertanyakan kau.” Prof. E cuba mahu mengubah topik perbualan.
                “Kau mahu balik ke waktu kau? Lapan tahun akan datang?”
                Itu adalah soalan yang ditunggu-tunggu oleh Johan.
                “Ya. Sudah tentu.”
                “Begini, ada dua cara aku dapat fikir bagaimana nak hantar kau balik ke waktu kau lapan tahun akan datang. Pertama, aku letakkan kau dalam keadaan koma yang dikawal, dan lapan tahun kemudian, aku kejutkan kau balik dan kau akan lalui hidup seperti biasa.”

                “NO!” tegas Johan.
                Induced coma terlalu berisiko, saya tahu, saya pelajar perubatan.” Prof. E mengangguk.
                “Pilihan kedua pula, kita tunggu lagi lima hari, di mana waktu kilat Thor menyambar loteng dan cuba songsangkan proses yang kau lalui sebelum ini.”
                Johan berfikir seketika.
                “Adakah cara itu berkesan? Selamat?”
                “Itu aku tidak tahu. Macam yang aku beritahu tadi, maklumat yang aku ada terlalu sikit. Secara teori pun masih belum lengkap, apatah lagi nak dipraktikkan dan melibatkan manusia."
                Johan dan Prof. E terdiam seketika memikirkan segala kemungkinan.
               
                “Kewujudan kau di waktu ini terlalu bahaya. Kau adalah kewujudan yang tak sepatutnya ada. Walaupun aku gembira kehadiran kau yang melambangkan kajian merentasi masa adalah tidak mustahil, tapi kau mungkin berdepan dengan keadaan yang kita, sebagai manusia, tak mampu nak fikir.”
                “Keadaan seperti apa?” tanya Johan.

                “Paradoks masa.”



BERSAMBUNG...[8]

Aug 10, 2012

Vorteks #6 Ruang dengan Masa dan Usia

0 nota kaki
[1][2][3][4][5]


                Ketuk. Ketuk. Ketuk.
                Langit berwarna jingga, senja sedang menjelma.
                Pintu rumah Prof. E diketuk berkali-kali, dengan perlahan. Prof. E dari dapur meluru ke pintu. Diintainya dari mata tinjau di pintu, tiada kelibat sesiapa. Mulut Prof. E berkumat kamit menyumpah siapa yang cuba mempermainkannya. Ketika dia membuka pintu untuk melihat sama ada si pesalah masih di kawasan berhampiran, ternampaknya sekujur tubuh sedang terduduk di tepi pintu bersebelah dengan tempat letak kasut.

                Tubuh itu milik Johan.
                “Air...Air...” rintih Johan yang kelihatan penat.

Prof. E tersentak seketika sebelum dia memapah Johan masuk ke dalam rumahnya. Johan didudukkan di atas sofa di ruang tamu, sementara Prof. E ke dapur mengambil satu botol air kosong 1.5L dan satu gelas plastik berwarna biru muda. Selepas Prof. E tuangkan air ke dalam gelas itu, Johan dengan segera meneguknya. Jelas kelihatan Johan dahaga. Prof. E juga menghulurkan beberapa bungkusan roti kepada Johan. Roti yang sama dengan yang dikatakan Johan sebagai racun untuk membunuhnya.

Johan mengambil roti itu, kemudian melihat tepat ke arah Prof. E tanpa sebarang riak emosi. Selepas Prof. E mengangguk, kemudian barulah Johan dapat kepercayaan terus membuka bungkusan itu dan makan.
Johan kelihatan dalam keadaan lapar, dahaga dan penat yang amat. Dia dengan lahap mengunyah roti dan meneguk air silih berganti.

Prof. E duduk di sofa berhadapan dengan Johan dan mula bersuara.
“Apa yang sudah jadi?”
Johan berhenti melakukan apa yang sedang dia lakukan. Setelah beberapa ketika menghabiskan makanan dalam mulut, Johan pula menjawab.
“Maafkan saya, Prof. Maafkan saya terhadap kelakuan saya siang tadi.”
It’s OK. Tell me what happened.
“Selepas saya lari dari Prof pagi tadi, saya berjalan kaki ke rumah saya di W1-Selatan.”
“W1? Jalan kaki?”
“Ya, Prof. Saya tak ada pilihan memandnagkan saya tiada duit.”
“Ok, teruskan...”
“Bila saya sampai rumah, saya terus ke bilik saya. Atas katil saya ada orang sedang tidur. Bila saya lihat betul-betul, orang itu ialah datuk saya."
“Apa salahnya datuk kau tidur atas katil kau? Itu kan biasa?”
“Masalahnya, datuk saya sudah meninggal dunia lapan tahun lalu.”

Prof. E membeliakkan matanya tanpa kata-kata.
“Saya jadi takut, lalu tanpa berfikir panjang, saya lari keluar rumah. Niat saya mahu pergi ke kolej kediaman saya di universiti di N10.”
Sekali lagi Prof. E membeliakkan matanya. Johan menyambung.
“Bila saya sampai di sana, saya dapati universiti saya sudah tiada. Apa yang ada hanyalah tapak pembinaan yang masih belum siap dan lori-lori sibuk keluar masuk.”

Johan menundukkan kepalanya.
“Saya jadi buntu. Saya tak tahu apa yang boleh saya buat. Jadi, saya berjalan kaki dari N10 ke sini, rumah Prof. supaya saya boleh dapatkan jawapan.”
“Kau berjalan dari N10 ke sini, N2? Jauh tu..”
“Saya tak pasti, tapi saya dapati terlalu banyak perbezaan dengan apa yang sepatutnya saya ingat. Sekeliling saya seperti berbeza, walaupun sama. Jadi, saya ke sini untuk bertanya kepada Prof.”
“Apa? Apa yang kau nak tanya?”

Johan menarik nafas dalam-dalam sebelum kembali berbicara.
“Berapa lama saya pengsan di dalam loteng rumah Prof?”
Prof. E berfikir sejenak. Dia seperti tahu apa yang sedang berlaku.
“Percayalah, kau hanya pengsan di rumah aku dari malam semalam sehingga pagi sahaja. Waktu aku jumpa kau, kau bogel, terbaring di atas lantai bilik loteng tu.”

Johan mengangguk. Dia sedar, itu bukan jawapan yang dia mahukan. Prof. E kembali bersuara.
“Dengar sini, aku mugnkin kedengaran tak masuk akal. Tapi, di loteng tersebut, aku sedang jalankan kajian tentang wujudnya dimensi keempat.”

Perkataan ‘dimensi keempat’ menarik perhatian Johan. Dia mendengar Prof. E dengan teliti.
“Kita, manusia hanya terdedah dengan tiga dimensi, kerana kewujudan kita dalam tiga dimensi, sedangkan dimensi alam kita, boleh dikatakan adalah infiniti. Kebanyakan saintis barat dan pengkaji kewujudan fizik dimensi berpendapat, dimensi keempat adalah ruang yang membuatkan kita ke hadapan, atau dalam istilah lain, MASA.”

Johan jadi tak senang duduk.
“Namun, dimensi keempat, iaitu masa, adalah tidak kelihatan dalam mata kasar. Namun, ianya ada di merata tempat, asalkan ianya ruang dengan masa dan usia. Jadi, kami, para saintis berpendapat dimensi keempat berhubung dengan dimensi kita melalui lubang yang, kalau hendak dikatakan, sangat kecil sehingga tiada apa yang boleh menembusinya termasuk zarah-zarah kecil. Lubang-lubang ini kami, para saintis, panggil ‘wormhole’.”

Prof. E menarik nafas dan kemudian dihembuskan.
“Juga seperti ketumpatan udara, bilangan ‘wormhole’ berbeza-beza mengikut tempat. Dengan kata lain, ada tempat yang banyak ‘wormhole’, dan ada yang kurang ‘wormhole’. Setelah dikaji aku selama hampir 25 tahun, bilangan ‘wormhole’ di loteng rumah ini, tempat kau dijumpai terbaring bogel itu, adalah tinggi. Sebab itulah ianya dijadikan bilik kajian aku, dan sebab itulah kenapa aku beli rumah ini dari awalnya.”

Johan semakin berpeluh mendengar penerangan Prof. E.
“Tapi, bilangan ‘wormhole’ yang banyak tak bererti ianya boleh dilihat, dan boleh dimanipulasi. Sumber tenaga yang tinggi diperlukan untuk mengoyak lubang itu menjadi cukup besar untuk dilihat mata dan dimanipulasi, apatah lagi menghantar objek melaluinya.”

Prof. E bangun dari tempat duduknya.
Now tell me, apakah ingatan terakhir kau di atas loteng itu sebelum pengsan?”
Johan cuba mahu mengingatinya.
“Hmm...Tak silap saya, ada bunyi guruh yang sangat kuat. Kemudian, dada saya terasa perit seperti dicubit, kemudian sedar-sedar, saya diikat Prof. di atas kerusi.”
“Jadi aku ada satu soalan lagi, apakah tarikh hari ini?”
Johan mengerutkan dahinya.
“Semalam 15.. Hari ni 16 Mac 2012. Kenapa?”
Prof. E tersenyum lebar.
“Silap, hari ini bukan 16 Mac 2012, tapi 16 Mac 2004.”

Johan membeliakkan mata.
You, my friend, are the man from the future.




BERSAMBUNG...[6]

Aug 3, 2012

Vorteks #5 Perjalanan Yang Memakan Masa Panjang

0 nota kaki
[1][2][3][4]
     Angin Prof. E baik hari ini. Walaupun hari selasanya dimulakan dengan kemunculan seorang anak muda berbogel di bilik loteng rumahnya, dan kemudian dirinya dituduh cuba meracuni anak muda itu, angin Prof. E tetap baik. Mungkin kerana hari itu hari cuti baginya. Mungkin kerana makanan yang diambilnya pagi tadi. Mungkin juga hanya kerana dirinya mahu berubah dari seorang perengus tentang kerja kepada seseorang yang sentiasa bersikap positif dalam mengharungi kehidupan.

      Ya. Angin Prof. E baik, sehinggalah dia duduk dan meneliti data pada komputer di dalam bilik kajiannya di loteng.
     “Tak mungkin, data semalam songsang kepada sepatutnya.”

***

     Johan berjalan di tepi lebuhraya. Memandangkan dia ditinggalkan dalam keadaan bogel tanpa dapat dikesan mana barangannya, berjalan hanyalah satu-satunya pilihan yang dia ada. Mahu menaiki bas, tiada duit. Walaupun berkali-kali memberi isyarat ibu jari, tapi tiada yang baik hati mahu menumpangkannya ke destinasi.
      Destinasinya cuma satu, rumah.

      Jika dihitung rawak, kawasan perumahan Prof. E terletak di jajahan N2-Bandar Selatan, sedangkan rumahnya berada di jajahan W1-Bandar Selatan. Walaupun berada di dalam bandar yang sama; Bandar Selatan, namun jarak menuju ke rumahnya adalah dalam anggaran 10 batu, ataupun lebih 16 kilometer jika melalui jalanraya.

      Kerana tiada pilihan, terpaksa juga dia mengambil keputusan untuk berjalan kaki pulang. Dia sedar, perjalanannya akan memakan masa yang panjang dan memenatkan. Nasib baik tadi Prof. E meminjamkannya baju dan seluar. Nasib baik juga Johan sempat menyarung selipar ketika cepat berlari keluar tadi. Kalau tidak, mungkin dia sedang berlenggang tepi jalanraya tanpa sebarang pakaian.

      “Rasai pengalaman yang takkan dilupakan, konon.” Johan merungut.
      “Siaplah kau aku kerjakan, Azlan.”
     Johan sangat marahkan Azlan ketika ini. Paling kurang, Azlan berhak merasakan sekali-dua tumbukan padu darinya. Perlakuan Azlan, padanya, sudah melampaui batas. Dan kini, dia pula perlu berjalan 16 kilometer dalam keadaan perut lapar.

      Ya. Perut lapar.
      Roti yang ditelannya di rumah Prof. E tadi sangat sedap, tapi tak sangka tarikhnya sudah luput. Bukan sekejap, tapi dari tahun 2004, sedangkan kini sudah 2012. Siapa dalam akal warasnya menyimpan roti lama yang sudah tamat tarikh lupusnya selama 8 tahun, dan kemudiannya diberikan kepada orang asing yang berada dalam rumah?

      Sepanjang perjalanan Johan, hanya rungutan yang disuarakan dalam hatinya. Macam-macam yang mahu dilakukannya di rumah. Pertama, makan. Perutnya sudah sampai tahap maksimum menahan lapar, dikhuatirinya akan dimasuki angin pula. Kedua, tukar baju. Baju yang Prof. E berikan, walaupun padan dan masih elok, tapi berbau almari lama, seperti sudah disimpan terlalu lama. Ketiga, ambil duit simpanan dan keluar mencari si Azlan. Selagi tidak dihadiahkannya sebiji dua tumbukan, hatinya takkan puas.

      Sedar tidak sedar, sudah hampir 90 minit Johan berjalan. Sedar tidak sedar, Johan sudah memasuki kawasan kejiranan rumahnya. Walaupun penat dan kelaparan, tapi cuaca yang mendung dan berangin seperti menyebelahinya.

      Dua tiga kali Johan berhenti, melihat sekeliling, namun dia pasti, itu kawasan kejiranan rumahnya. Kawasan perumahan teres dua tingkat. Tetapi ada beberapa perkara yang mengganggu hatinya.

      Lain.
      Kawasan perumahan itu, walaupun sama, tapi berbeza.
      Johan sedar, satu papan tanda menyatakan simpang masuk ke kawasan perumahan itu sepatutnya ada, tapi di hadapannya, tiada. Rumah paling depan dalam deretan pertama kawasan itu sepatutnya berwarna merah muda, lain dari rumah lain, tapi di hadapannya, berwarna perang muda sama seperti rumah lain. Taman permainan kanak-kanak sepatutnya sudah usang dan perlu dinaiktaraf, tetapi di hadapannya, semuanya kelihatan baru dengan warna yang terang.

      Johan bingung. Kali terakhir dia pulang ke rumah dari pembelajarannya di universiti adalah pada tiga minggu lepas. Akan tetapi, kenapa terlalu banyak beza walaupun hanya tiga minggu berlalu?

      Johan kini di hadapan rumahnya.
      Sebatang pokok mangga yang lebat berbuah berdiri tegak subur di laman rumahnya.
      Seingat Johan, dia sendiri menebang pokok itu tahun lalu atas kehendak ibunya dengan alasan pokok itu sudah tidak mahu berbuah.

      Semua perkara kecil ini berbeza dengan ingatan terakhir Johan. Tapi Johan mengambil keputusan tidak mahu terlalu mengambil peduli.

      Tiga minggu, mungkin cukup untuk segala perubahan ini, fikirnya.
      Johan berdiri di depan pintu. Diberikannya salam. Tidak berjawab.
      Diberikannya salam sekali lagi. Tidak berjawab.
      Selalunya, waktu tengahari macam ni, Mak sedang memasak di dapur. Mungkin dia tak dengar salam aku agaknya.

      Johan memegang tombol pintu. Tidak berkunci.
      Tak apalah. Biar aku masuk saja. Nanti aku akan kejutkan Mak di dapur. Siapa suruh tinggalkan pintu tak berkunci.

     Johan buka pintu dan memasuki rumahnya. Terus, dia ke tingkat atas dengan niat mahu tukar pakaian sebelum ke dapur pergi menerjah ibunya yang khusyuk memasak. Dia juga berniat mahu mengisi perutnya yang lapar itu. Berjalan sejauh 16 kilometer dengan perut lapar, dia bernasib baik kerana tidak pengsan di tengah jalan.

      Ada tiga bilik di tingkat atas. Satu bilik tidur utama, dua bilik tidur biasa. Bilik Johan adalah yang biasa, sebelah kiri paling dalam dari tangga.

      Dibukanya pintu bilik.
      Johan pelik. Dia yakin itu biliknya, cuma susunan barang dan beberapa perkakas kelihatan berbeza. Juga, tiada poster-poster kartun Marvel yang ditampalkan di dinding. Meja di sebelah katil dipenuhi dengan beberapa botol silinder berwarna oren jernih berisi ubat-ubatan dan segelas jernih berisi air.

      Lagi pelik, bila dia mendapati ada sekujur tubuh sedang berbaring di atas katil saiz bujangnya itu.

      Dari pintu, Johan menghampiri katil. Dia ingin melihat siapakah gerangan yang sedar berbaring di katilnya. Posisi tubuh itu menghadap ke dinding, membelakangi Johan menyebabkan Johan tidak dapat melihat siapakah orangnya yang begitu selesa tidur di katilnya.

      Selepas tiga tapak ke hadapan, mata Johan terbeliak melihat gerangan empunya tubuh di atas katil. Bibirnya menggigil tidak terkata. Lututnya lemah, dan spontan, Johan jatuh terduduk di atas lantai. Gayanya seperti ternampak hantu.

      Tapi apa yang dinampaknya bukanlah hantu. Ianya manusia.
      Johan ternampak datuknya, sedang nyenyak tidur di atas katil.

      Apa yang menakutkannya adalah datuknya, pemilik tubuh itu, sudah meninggal dunia hampir lapan tahun yang lalu.

BERSAMBUNG...[6]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...