Mar 22, 2013

Vorteks #24 - Masa Lalu Dua Professor.

0 nota kaki

[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23]





Lelaki dengan kot makmal putih berjalan laju di koridor bangunan universiti. Matlamatnya hanya satu; MARAH.
Prof. Erman sedang duduk mengadap mejanya sambil ditemani timbunan kertas kerja projek pelajarnya. Dia membetulkan cermin matanya sambil dengan teliti membaca setiap perkataan yang tertulis pada kertas ditangannya. Kadang-kala, berdengus angin keluar dari hidungnya dek kerana bahan bacaannya itu. Almaklum, hasil kerja pelajar universiti setahun jagung.
Tiba-tiba pintu biliknya dibuka kasar. Prof. E mengalih pandangannya ke pintu, terkejut. Kelibat lelaki memakai kot makmal putih berdiri di pintu dengan bahu meninggi menahan marah.
“Apa masalah kau dengan aku, Erman?” tegas lelaki itu dengan nada tinggi.
“Maaflah, Prof. Shah. Aku tak berapa faham.”
Seluruh otot muka lelaki yang digelar Prof. Shah itu menumpu ke tengah wajah. Kedua belah tangan dia digenggam erat sampai menggeletar. Dia betul-betul sedang marah. Marahkan lelaki di depan matanya itu.
“Aku tahu, kau salah satu panel penasihat bagi projek kajian aku itu, kan?”
“Projek yang mana?”
“Jangan buat tak tahu. Projek kajian hipnosis dan minda separa sedar aku.”
“Oh, yang itu! Memang aku salah seorang panelnya.”
Prof. Shah menghampiri meja kerja Prof. E. Dengan satu genggaman penumbuk, dia menghempas meja itu tanda tidak puas hati.
“Permohonan dana bantuan dari universiti ditolak, semua mesti kerja kau, kan?” Tepat jari Prof. Shah menuding ke arah Prof. E. Prof. E terasa sedikit terancam, namun dia masih kekal kelihatan tenang.
“Shah, kau bukan tak tahu. Kalau permohonan kau ditolak universiti, itu bukan salah aku. Walaupun aku panel, tapi bukan aku seorang saja.” Prof. E cuba menenangkan rakan sekerjanya itu.
“Kalau bukan kau siapa lagi? Projek itu diterima baik dalam kertas kerja. Bila aku minta dana bantuan, terus ditolak seolah-olah ianya hanya projek sampah. Kau memang dari dulu dengki dengan aku. Kau nak rampas semua yang aku ada.”
Prof. E bangun dari tempat duduknya dan menuju ke tepi meja.
“Aku rasa, kau bukan marah sebab projek ditolak semata-mata. Kau marah dengan aku sebab hal personal, kan?”
Tepat. Wajah Prof. Shah berubah setelah mendengar kata-kata Prof. E itu.
“Soal jodoh dan kisah lalu, apa kata kita jangan ungkit sekarang. Kita masing-masing professional. Aku rasa, dari kau terus-menerus tuduh aku yang bukan-bukan, lagi bagus kau betulkan cadangan kertas kerja projek kau tu supaya akan datang tidak akan ditolak lagi.”
Prof. Shah terdiam. Tapi wajahnya sedikitpun tidak berubah. Masih bengis, berang dan menakutkan.
“Kau siap! Aku berdendam, Erman. AKU DENDAM!”
Prof. Shah keluar dari bilik itu tanpa menutup pintu. Prof. E menarik nafas lega melihat segala-galanya selesai, paling tidak, buat masa itu.

20 Mac 2004, jam 0700.
“Jadi, Prof dengan Prof. Shah ni memang tak pernah berbaik?” Johan bertanya kepada Prof. E yang sedang memandu di kanan. Mereka berdua di dalam kereta, sedang dalam perjalanan ke rumah Prof. Shah.
“Boleh kata macam tu. Aku tak pernah bermusuhan dengan dia, tapi banyak peristiwa yang membuatkan kami semakin renggang dan salah faham sesama sendiri.”
“..dan macam mana Prof. Shah dan hipnosis boleh membantu?”
“Pada aku, Shah adalah yang terbaik. Kertas kerja dia mengenai projek kajian hipnosis dan minda separa sedar dia sangat mengagumkan. Aku yang merupakan panel penasihat setuju untuk projek itu diberikan dana, tapi malangnya universiti anggap ianya satu pembaziran.
Biasalah. Kebanyakan institusi pendidikan menganggap projek yang melibatkan kajian yang kurang menonjol keberhasilannya tidak patut diberi dana. Dana tajaan lebih banyak digunakan ke arah menambahkan cabangan hubungan dengan pelabur lain. Dengan kata lain, duit bermain golf bersama orang besar lebih penting dari pembangunan penyelidikan.

Mereka sampai di halaman sebuah rumah banglo dua tingkat. Sayup kedengaran gesekan biola sebuah muzik klasik dari dalam rumah tersebut. Prof. E dan Johan keluar dari kereta dan menuju ke arah pintu utama.
Loceng di pintu dibunyikan. Bunyi alunan muzik klasik yang kuat dari dalam diperlahankan. Kedengaran bunyi tapak kaki menghampiri.
“Lebih baik kalau kita tidak berada di dalam pandangan mata tinjau pintu ni.” Prof. E dan Johan masing-masing bergerak rapat ke tepi pintu. Selepas bunyi beberapa selak digerakkan, pintu terbuka. Ada kelibat lelaki pertengahan abad meninjau.
 “Hello, Shah.” Prof. E menegur.
Prof. E dan Johan dilihatnya sedang berdiri di luar pintu. Prof. Shah sedikit keliru. Namun, wajahnya bertukar menjadi marah. Terus dihempasnya pintu sehingga tertutup.
Prof. E menghampiri pintu dan cuba memujuk.
“Shah. Aku datang nak minta tolong ni...”
“PERGI!” Suara Prof. Shah kuat menjerit dari dalam.
“KAU TAK PATUT ADA DI SINI!”
Keras suara Prof. Shah menengking dari dalam. Kemudian, kedengaran muzik klasik yang tadi diperlahankan kembali dideraskan, malah, lebih kuat dari sebelumnya.

Johan kebingungan.
Kenapa Prof. Erman dengan Prof. Shah kelihatan saling membenci?
“Inilah masalah yang aku bimbangkan. Kami memang tak sebulu dari dulu lagi,” jelas Prof. E.
“Jadi, apa sebenarnya masalah peribadi antara Prof dengan Prof. Shah?”
Pertanyaan Johan itu mengubah raut wajah Prof. E.
“Sebenarnya, peristiwa itu sudah lama. Sudah lebih 20 tahun berlalu.”
“Apa masalahnya?”
“Hm...Bagaimana aku nak cakap...Sebenarnya...”
“Sebenarnya apa?”
“Hm...Sebenarnya, 25 tahun dulu, aku kahwin dengan tunang dia. Isteri aku bekas tunang Prof. Shah.”

Johan terdiam. Segalanya sudah difahami. Kenapa Prof. Shah bencikan Prof. E. Kenapa Prof. Shah sentiasa berfikiran buruk terhadap Prof. E. Semuanya sudah difahaminya.
Masalah orang dewasa memang rumit.
Prof. E tidak berputus asa. Dia menekan loteng pintu bertalu-talu dengan niat akan membuatkan Prof. Shah membukakan kembali pintu untuk mereka.
Jangkaan Prof. E memang tepat. Pintu kembali dibuka. Namun yang menanti di sebalik pintu bukan sesuatu yang dijangka.
Prof. Shah berdiri kukuh sambil mengacukan senapang patah ke arah Prof. E. Kedua-dua Prof. E dan Johan terkejut dan terkaku. Mereka berdua mengangkat kedua belah tangan tanda menyerah.

“Shah, sabar. Kau boleh tembak aku mati, tapi biar kami cerita dulu apa niat kami datang sini.”




BERSAMBUNG...[25]

Mar 8, 2013

Vorteks #23 - Cara dan Masa.

0 nota kaki


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22]





“Intan selamat tak selepas dia kena culik?”
Prof. Erman keras bertanya soalan itu kepada Johan. Johan kelihatan bingung dengan solan sedemikian.
“Sudah tentu dia selamat. Dia bakal jadi artis terkenal dan berjaya.”
Prof. E menghembuskan nafas panjang. Kelegaan.
“Kenapa?” Johan bingung.
Prof. E tersenyum. Dia memegang kedua belah bahu Johan.
“Kalau dia selamat, tak apalah. Maknanya nanti dia akan diselamatkan. Pihak polis akan sedaya upaya selamatkan dia.”
Terkejut dengan kata-kata Prof. E, Johan menepis kedua belah tangan Prof. E yang berada di bahunya.
“Macam mana Prof boleh fikir begitu? Ada seorang gadis sedang dalam bahaya, dan Prof boleh menarik nafas lega?”
Prof. E masih tersenyum.
“Kau jangan salah sangka. Kau juga pernah kata kau percaya apa yang berlaku pada zaman kau adalah kesinambungan kepada apa yang berlaku pada zaman aku ini. Jadi, lambat laun Intan akan selamat. Dia akan diselamatkan.”
Muka Johan berubah. Dahinya tegang. Keningnya meruncing ke bawah. Nafasnya laju. Dia jelas kelihatan marah.
“Saya juga percaya, segala yang berlaku ada hikmahnya. Ada sebabnya tersendiri.”
Johan menggenggam kemas penumbuk tangan kanannya.
“Mungkin sebab kenapa saya dihantar ke zaman ini, bertemu dengan Prof, bertemu dengan Hani dan keluarganya, adalah untuk ini. Untuk peristiwa ini. Saya diperlukan untuk menyelamatkan Hani dan keluarganya.”
Johan menampakkan muka yakin dan serius.
 “Kalau bukan sebab ini, Prof rasa sebab apa?”
Prof. E terdiam seribu bahasa.
“Mari kita berbincang di dalam rumah.”

Di ruang tamu, Prof.  E dan Johan duduk bertentangan. Riak muka Johan jelas runsing dan cemas. Dia menunduk seolah-olah marah dan terus menyalahkan diri sendiri kerana tidak mengingati peristiwa penting yang berlaku kepada Hani. Prof. E hanya melihat gelagat Johan itu.
“Jadi, pada zaman kau, Intan pernah bercerita tentang pengalaman dia kena culik?” Prof. E cuba menenangkan Johan dengan soalan. Johan mengangkat kepalanya menatap wajah Prof. E.
“Dalam satu rancangan temubual TV, dia pernah cerita tentang hal penculikan ini. Cerita dia mendapat liputan luas dan dikatakan antara sebab utama dia meneruskan cita-cita menjadi ikon orang ramai.”
“Kau ada tonton rancangan TV tu sepenuhnya?”
Johan memandang kosong ke siling ruang tamu memikirkan sesuatu.
“Saya pada masa itu belum pun menjadi pelajar medic, jadi saya habiskan masa duduk menonton TV di rumah. Ya, saya yakin saya tonton rancangan itu sepenuhnya. Tapi saya terlupa, saya sepatutnya ingat tentang hal ini.”
“Kalau kau nak tolong Intan, aku boleh tolong kau.” Prof. E berkata dengan senyuman.
Lama Johan memandang wajah Prof. Prof. E kelihatan sungguh yakin dengan apa yang diperkatakannya.
“Macam mana? Saya tak ingat isi peristiwa penculikan ini sampai terlalu terperinci.”
“Begini...” Prof. E menganjakkan badannya ke hadapan, ingin memberi penerangan.
“Otak manusia sangat menakjubkan. Dia mempunyai potensi untuk mengingati semua yang pernah dialami, dibaca, didengar dan dilihat oleh pemiliknya. Masalahnya, kita manusia selalunya gagal nak cungkil keluar ingatan tersebut. Tapi, yang pasti, ingatan tersebut memang ada tersimpan kemas di suatu tempat di dalam otak kita.”
Johan membeliakkan mata.
“Saya pernah belajar tentang ini. Kita masih mencari cara bagaimana nak mengoptimumkan penggunaan memori.”
Prof. E bangun berdiri dari tempat duduknya dan menuju ke tingkap berhampiran.
“Aku ada seorang kenalan di universiti tempat aku mengajar. Dia professor yang mengajar biologi, tapi dia lebih berminat dalam bidang eksperimental seperti ini.”
Johan juga berdiri menghampiri Prof. E.
“Dia ada cara nak membangkitkan memori?”
“Kau boleh kata begitu, walaupun aku tak pasti keberhasilannya.”
“Bagaimana?”
“Hipnosis.”
“Hipnosis? Tak bahaya ke?”
“Bahaya atau tidak, bergantung kepada si pelaku. Tapi ada perkara yang lebih membimbangkan aku. Aku tak sarankan kau berjumpa dengan kenalan aku ni...”
“Apa dia?”

20 Mac 2004, jam 0716.
Professor Shah sedang membaca surat khabar di beranda rumahnya. Kelihatan cawan putih berisi kopi yang masih berasap terletak di meja bersebelahan dengan kerusi tempat Prof. Shah duduk. Sayup di dalam rumah, kedengaran dendangan irama muzik klasik barat, gesekan biola Musim Bunga ‘La Primavera’ hasil ciptaan komposer muzik klasik terkenal, Antonio Vivaldi. Sudah menjadi rutin utama sarapan Prof. Shah di mana, sambil dia menikmati roti dan kopi, alunan muzik klasik barat akan dimainkannya melalui pemain CD di ruang tamu.

Selesai membaca, Prof. Shah meletakkan surat khabar ke tepi dan mencapai kopi di meja. Dia tersenyum menikmati kopi yang dihirupnya. Sabtu yang indah. Paling tidak, tiada hiruk pikuk pelajar yang membingitkan. Sabtu beginilah dia selalunya mengambil peluang untuk memanjakan diri setelah berpenat lelah menunaikan tanggungjawab mengajar di universiti. Menjadi ketua Jabatan Sains Biologi dan Kaji Hayat adalah memenatkan. Kadang-kadang, tiada masa baginya untuk diri sendiri. Tidak seperti sekarang.

Loceng pintu berbunyi. Ada tetamu di awal pagi.
“Siapa? Siapa berani ganggu aku di hari kebebasan ini?” keluh hati kecil Prof. Shah.
Dengan tidak rela, Prof. Shah meletakkan cawan kopi dan bangun memperlahankan volume muzik di pemain CDnya sebelum menuju ke pintu. Diintainya orang di luar melalui mata tinjau di pintu, tapi tidak dapat dipastikan siapa di luar. Dia kemudian membuka pintu bagi mendapatkan kepastian.
“Hello, Shah.” Prof. E menegur.
Prof. E dan Johan kelihatan sedang berdiri di luar pintu. Prof. Shah sedikit keliru. Namun, wajahnya bertukar menjadi marah. Terus dihempasnya pintu sehingga tertutup.
Prof. E menghampiri pintu dan cuba memujuk.
“Shah. Aku datang nak minta tolong ni...”
“PERGI!” Suara Prof. Shah kuat menjerit dari dalam.
Johan kebingungan. Kenapa Prof. Erman dengan Prof. Shah kelihatan saling membenci?

“Inilah masalah yang aku bimbangkan. Kami memang tak sebulu dari dulu lagi,” jelas Prof. E.




BERSAMBUNG...[24]

Mar 1, 2013

Vorteks #22 - Senggang Masa.

0 nota kaki


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21]





Lampu sorot tepat memancarkan cahaya dari ruang atas bilik studio ke wajah Hani. Hani kembali menunduk mematikan kata-katanya yang tergantung. Dia jelas sedang menahan perasaan yang bergolak kencang di dalam fikirannya.
“Jadi, apa sebenarnya yang berlaku pada 20 Mac tahun 2004?”
Hos rancangan temubual itu terpaksa bertanyakan kembali soalan kepada Hani dek kerana senggang masa Hani berdiam diri adalah terlalu lama. Hos rancangan perlu memainkan peranan penting dalam mengawal keadaan di depan kamera. Maklumlah, rancangan temubual siaran langsung seperti ini sangat sukar diduga apa yang bakal berlaku.
“Pada tarikh tersebut, saya...saya...”
Mata hos tepat menatap wajah Hani, menunggu ayat yang dikeluarkannya lengkap.
“...saya diculik.”
Hos rancangan kelihatan dari bersandar, terus menganjakkan badan ke hadapan kerana terkejut dengan kata-kata Hani itu. Itu adalah kenyataan eksklusif dari Hani, yang belum pernah diceritakan di mana-mana media sebelum ini. Mata si hos rancangan beralih kepada sesuatu di belakang kamera dan kemudian mengangguk.
“Baiklah. Kita ketahui cerita lebih lanjut tentang Hani dan pengalamannya diculik yang telah menjadikan siapa diri dia sekarang, selepas pesanan penaja.”
Rancangan temubual bertukar kepada iklan komersial.

“Ah, biadab. Suka buat orang suspen!” Johan menghempaskan alat kawalan jauh televisyen ke sofa sebelah. Dia berasa marah apabila sedang dia khusyuk menonton rancangan temubual artis kegemarannya, rancangan dipotong untuk memberi ruang iklan. Namun, perasaan ingin tahu lebih membuak. Bila Hani pernah kena culik? Kenapa Hani diculik? Siapa yang culik Hani? Apa yang berlaku semasa Hani diculik.
Johan dapat bayangkan, esok, akhbar tabloid pasti akan memaparkan kisah pengakuan Hani ini. Belum cerita lagi tentang majalah-majalah hiburan yang bersusun di pasaran. Sedangkan isu Hani menolak tawaran berlakon di Hollywood pun masih belum reda, ditambahnya lagi pengakuan khas Hani pernah diculik di siaran langsung rancangan temubualnya.
“Apa yang kau marah sangat ni, Han?”
Ibu Johan keluar dari dapur, mungkin berminat mengambil tahu tentang apa yang anaknya sedang khusyuk lakukan.
“TV. Tengah suspen, tiba-tiba iklan.”
“Itu saja? Itu yang kau nak bisingkan sangat? Kau tu minggu depan dah nak masuk ke universiti. Kurang-kuranglah tengok TV tu.”
Minggu depan Johan akan memulakan sesi pengajian peringkat ketiganya. Dia bakal bergelar mahasiswa universiti.
“Sebab minggu depan masuk universiti-lah Han nak tengok TV puas-puas, ibu. Nanti jadi budak medic, mana ada masa nak tengok TV dah.” Johan sedang bermain dengan logik.
“Suka hati kaulah, Johan.” Ibu Johan kembali ke dapur.
Iklan pun berakhir. Rancangan temubual bersama Hani kembali ke kaca TV.

20 Mac 2004, jam 0614.
Bunyi ketukan pintu yang kuat dan bertalu-talu mengejutkan Johan dari tidur. Siapa gerangan yang berani mengganggu tidurnya. Ikutkan hati, nak saja Johan bagi penampar satu das. Bila diingatkan semua, hanya Prof. Erman sahaja di rumah itu. Nasib baik. Dalam keadaan separa sedar, Johan bangun menuju ke pintu bilik dan membuka tombol untuk melihat gerangan siapakah yang mengganggunya itu.
“Johan!” Suara Prof. E seperti panik.
“Kenapa?” Johan menyapu mata.
“Rumah Encik Ahmad kena pecah.”
Encik Ahmad? Siapa Encik Ahmad? Ini rumah Prof. E, mana Johan tahu siapa jiran siapa bukan.
“Rumah Encik Ahmad kena samun. Isteri Encik Ahmad kena pukul, baru sedar dari pengsan. Dia beritahu, anaknya kena culik.” Prof. E cuba menerang seringkasnya kepada Johan.
“Siapa Encik Ahmad?” terpacul juga soalan itu di mulut Johan.
“BODOH! Encik Ahmad tu ayah kepada Intan!”
Lima saat pandangan Johan mati ke wajah Prof. E.
“HANI!”

Prof. E dan Johan bergegas keluar dari rumah untuk ke rumah Encik Ahmad. Sejurus selepas melangkah kaki ke luar rumah, mata Johan silau dengan lampu merah dan biru yang terpancar dari atas atap dua buah kereta polis dan sebuah ambulan. Langit pagi yang masih gelap biru membuatkan lampu-lampu itu begitu silau menerangi sekeliling. Kereta-kereta polis dan ambulan itu berhenti di hadapan rumah Encik Ahmad. Juga kelihatan beberapa jiran sekeliling datang meninjau, ingin tahu apa yang sudah dan sedang terjadi.
Johan dan Prof. E cepat-cepat menyusup di celahan orang yang mula berkerumun sehingga sampai ke depan muka pintu rumah Encik Ahmad sebelum dihalang oleh seorang anggota polis.
“Di sini dilarang masuk,” tegas anggota polis berkenaan.
“Kami kenalan mangsa,” Prof. E cuba memujuk.
“Semua jiran adalah kenalan mangsa. Tak semestinya semua jiran boleh masuk.” Masuk akal juga hujah anggota polis ini.
Setelah beberapa kali percubaan menjenguk ke dalam rumah Encik Ahmad, Prof. E ambil keputusan untuk keluar dari kawasan itu.
“Mana Encik Ahmad?” Johan bertanya.
“Dengar kata, Encik Ahmad tak ada. Dia outstation.”
“Betul ke Intan kena culik?”
“Aku tak pasti, aku dengar jiran cakap tadi.”

Johan teringatkan sesuatu. Dia selam dan hilang dalam fikirannya sedangkan Prof. E di sebelah sedang sibuk memerhati gelagat anggota polis keluar masuk rumah Encik Ahmad.
Lalu, Johan menepuk kepalanya berkali-kali. Dia seperti marah dengan diri sendiri. Prof. E mengalih pandangan dan hanya memerhati sambil kebingungan.
“Kau kenapa?”
Johan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk tangan kanannya memicit ruang atas hidung di antara dua matanya. Matanya dipejam keras, seperti ada sesuatu yang dimarahnya.
“Ingat lagi malam tadi saya tanya Prof tentang apa yang bakal berlaku pada 20 haribulan Mac, kan?”
Prof. E mengangguk.
Prof. E mengerutkan dahi.
Prof. E membeliakkan mata.
“Inikah? Inikah peristiwanya?”
Dengan riak kesal dan dengus keluh, Johan mengangguk.
Kini giliran Prof. E pula menepuk dahi dengan tapak tangan dan mengeluh.
“Semasa dalam satu temubual, Hani..eh, Intan pernah bercerita yang dia pernah diculik,” Johan menerangkan.
“Sekejap! Aku tak mahu details. Tak elok untuk orang macam aku. Sekarang kau beritahu aku apa yang aku nak tahu sahaja.”
Johan mengangguk.
“Pada zaman kau, adakah Intan selamat selepas dia kena culik?”




BERSAMBUNG...[23]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...