[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24]

“Itu masalah kau.
Apa masalah kau, tiada kena mengena dengan aku.” Posisi Prof. Shah, berdiri
dengan senapang patah tepat mengacu ke arah kepala Prof. Erman, masih tidak
berubah. Kukuh dengan bukaan kekudanya. Prof. E dan Johan masih mengangkat
kedua-dua belah tangan, tanda menyerah. Suasana menjadi suspen.
“Kau belum lagi
dengar niat kami ke sini. Kami betul-betul perlukan bantuan kau.” Prof. E cuba
meyakinkan. Namun, cubaan dia nyata gagal.
“Aku tak peduli. Aku
dah bersumpah, segala apa yang berkaitan dengan kau, aku tak mahu ambil peduli.
Kau pemusnah hidup aku.”
Prof. E menunduk.
Dia faham segala yang dilalui Shah. Berkahwin dengan bekas tunang Shah,
terlibat dalam keputusan menolak dana kajian yang dipohon Shah. Segalanya
berlaku bukan disengajakan, tapi Prof. E tiada suara untuk menerangkan.
“Saya yang
perlukan bantuan, dan ianya tiada kena mengena dengan Prof. Erman.” Johan
bersuara, tiba-tiba. Mata milik kedua-dua Prof. E dan Prof. Shah berpaling ke
arah wajah Johan. Johan kelihatan serius.
“Saya datang dari
masa depan...”
Ayat yang keluar
dari mulut Johan membuatkan senapang patah yang pada mulanya diacukan ke arah
Prof. E beralih ke arah Johan.
“Kau pun nak jadi
gila macam si Erman ni? Datang dari masa depan? Tsk...GILA!”
Dengan kedua
tangan diangkat, Prof. E menggerakkan badan ke hadapan Johan, menghalang laluan
acu senapang.
“Nama dia Yusran.
Dia memang dari masa depan. Dan kami memang perlukan bantuan kau, Shah.”
“TIDAK!” Johan meninggikan
suara.
“Nama saya bukan
Yusran. Nama saya JOHAN. Saya bersumpah, saya memang dari masa depan.”
“Johan, kau patut
sembunyikan identiti kau,” bisik Prof. E.
“Tidak. Kita
datang ke sini dengan niat nam meminta bantuan Prof. Shah bagi menyelamatkan
Hani. Macam mana kita nakkan bantuan dia kalau kita sendiri mulakan dengan
penipuan?”
Prof. E terdiam.
Logik. Dia kalah. Suasana diam seketika.
“Hahaha!” Prof.
Shah gelak sebutir-sebutir.
“Kau nampak,
Erman? Budak pun ada sifat rasional lebih baik dari kau.” Prof. Shah menurunkan
senapangnya. Dia menunjukkan isyarat tangan ke arah ruang tamu, sebagai tanda
menjemput kedua-dua Johan dan Prof. E masuk.
“Aku takkan cemarkan
ruang aku dengan darah, apatah lagi darah jijik dari badan kau, Erman.”
Prof. E
mengerutkan dahinya, menyampah dengan sindiran Prof. Shah itu. Namun, dia hanya
mendiamkan diri walaupun sudah jadi lumrah hidupnya akan melawan jika
diperlekehkan.
“Duduk anak muda.
Biar aku ke dapur ambilkan air kopi.” Prof. Shah bergerak ke dapur sambil
mengusung senapangnya.
“BUKAN KAU, ERMAN!
KAU AKU HARAMKAN DARI DUDUK ATAS SOFA AKU.” Suara jeritan dari dapur
membantutkan gerakan Prof. E yang mahu duduk di salah satu sofa. Lantas, dengan
muka tidak puas hati, dia hanya berdiri di belakang sofa yang diduduki Johan.
Johan hanya mampu tersenyum.
Prof. Shah
kemudian keluar dengan dua cawan berisi air kopi.
“Ceritakan pada
aku, apa boleh aku bantu?” Prof. Shah meletakkan satu cawan di atas meja
berhadapan dengan Johan. Satu cawan lagi dia pegang sambil melanjutkan punggung
ke atas sofa bertentangan. Jelas, tiada kopi untuk Prof. E. Prof. E akur dalam
kehinaan.
“Begini...”
Johan memulakan
cerita. Dimulakan dengan bagaimana dia terjaga di loteng rumah Prof. E dan
kemudian menyedari bahawa dia dari masa depan. Bagaimana dia berkenalan dengan Intan
yang masih bersekolah, namun bakal menjadi seorang selebriti yang berpengaruh
pada masa depan yang dipanggil Hani. Lalu kes penculikan Intan dan kesedaran
Johan bahawa dia adalah satu-satunya insan yang mampu menyelamatkan Intan dan
meneruskan kelangsungan masa agar masa depan tidak berubah.
Sepanjang cerita
Johan, Prof. Shah hanya berdiam diri.
“...jadi, Prof.
Erman cadangkan, dengan bantuan Prof. Shah, dapat membangkitkan minda separa
sedar saya bagi mengembalikan ingatan saya terhadap temubual dengan Hani yang
pernah saya tonton pada masa depan, supaya saya dapat klu kemungkinan di mana
Hani dibawa pergi semasa kes penculikannya sekarang.”
Prof. Shah menukar
posisi duduknya dari berlipat kaki kepada badan mengunjur ke hadapan sambil
bertongkat dagu.
“Kau kata, kau
dari 8 tahun akan datang, datang sini untuk selamatkan seorang gadis budak
sekolah dari penculik supaya gadis itu menjadi seorang selebriti pada masa akan
datang?” Prof. Shah cuba merumus. Prof. E hanya tersenyum.
“Bukan sebarang
selebriti. Hani akan menjadi idola ramai dan membawa pengaruh positif kepada
semua orang.” Johan menambah.
Prof. Shah kembali
bersandar.
“Erman, nampaknya
kajian teori merentas masa yang kau gila-gilakan selama ini akhirnya membuahkan
hasil.” Prof. Shah cuba berseloroh dengan Prof. E.
“Bukan. Aku hanya
berada di tempat yang betul, pada masa yang betul.”
Prof. Shah membeliakkan
mata.
“Wow, modesty. A weird trait coming from YOU!”
Mereka berdua
tersenyum.
Prof. Shah
memandang tepat ke arah Johan.
“Johan. Kalau
cerita kau ni disampaikan kepada orang biasa, mereka akan kata kau gila dan
mungkin akan diusung berjumpa pakar sakit jiwa. Tapi, aku lain. Kau ada bersama
dengan Prof gila ni, jadi aku tak rasa orang gila akan rasional bila bertemu
orang gila yang lain.”
Prof. E berdengus
nafas sekali dengan hidungnya tanda terasa.
“Aku dalam dilema
sama ada hendak percaya cerita kau atau tidak. Tapi kau berkeras dan berusaha
datang nak jumpa aku hanya untuk dihipnosis, aku rasa, ianya satu peluang yang
tidak selalu datang. Dengan kata lain, kita akan tahu sama ada kau berkata
benar atau tidak selepas aku hipnosis kau.”
“Maknanya...?”
Johan inginkan kepastian.
“Aku bersetuju nak
jalankan hipnosis terhadap kau, memandangkan aku perlukan ‘tikus makmal’ untuk
satu projek prosedur hipnosis baru aku.”
Johan tersenyum
kegembiraan.
“Tapi, kau perlu
tahu dan kenal dengan segala risiko yang bakal aku letakkan ke atas minda kau.
Okey?”
“Adakah ianya
bahaya?” Johan menjadi penasaran.
“Ya.”

0 nota kaki:
Post a Comment