[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25]

“Seorang budak
lelaki dijumpai bogel dalam bilik kau yang berkunci rapat dari luar, kau dah
percaya dia dari masa depan?” Prof. Shah mempersenda Prof. Erman yang sedang
berdiri di sebelahnya. Mereka di dalam sebuah bilik di dalam rumah Prof. Shah
yang dikatakan kalis bunyi, sama ada dari luar ataupun gemaan dari dalam. Di
hadapan mereka, Johan sedang duduk di atas kerusi kayu dengan kedua-dua telinganya
ditutupi dengan fon kepala.
“Agak-agak, kalau
kau ni pengkaji agama, dan tiba-tiba ada lelaki bogel dijumpai dalam bilik kau,
adakah kau akan cipta agama baru?” Prof. Shah tergelak kecil selepas
bertanyakan soalan itu. Dia kelihatan puas mempersendakan Prof. E di dalam
rumahnya sendiri. Prof. E masih tidak memberi sebarang jawapan.
“Oops, lupa! Kau lebih percayakan sains
dari agama. Ha-ha-ha!”
Prof. E hanya mampu
bersabar dan terus mendiamkan diri walaupun ternyata dia sedang menahan marah
sehinggakan pelipis kepalanya bergerak-gerak.
“Baiklah, mari
kita mulakan.”
“Otak manusia
sangat mengkagumkan. Otak manusia berupaya menyimpan setiap maklumat dari apa
yang kita lihat, rasa, dengar, sentuh mahupun perasaan dalaman seperti sakit,
marah, suka dan gembira. Setiap pengalaman yang kita lalui, semua tersimpan
rapi dalam otak. Tapi, otak hanya memilih maklumat yang tertentu untuk terus
diingati. Maklumat yang lain, yang tidak diperlukan, akan disimpan dalam satu
sudut dalam otak yang gelap dan mungkin tak akan diterokai. Tapi, maklumat itu
tetap ada.”
“Johan. Aku akan
cuba bawa kau kembali ke masa di mana kau pernah tonton rancangan temubual
dengan gadis bernama Hani itu dengan bantuan muzik dari fon telinga yang kau
pakai. Apa kau perlu buat, bayangkan situasi sebenar kau di waktu itu. Cuba
sebut setiap perkataan yang kau dengar atau ucapkan semasa kau berada dalam
memori kau itu.”
Johan mengangguk.
Faham.
“Kau perlu tahu
satu risiko. Aku hanya singkap memori dalam otak kau melalui minda separa sedar,
seperti membawa kau ke dalam perpustakaan dan menyuruh kau membaca buku yang
ada di dalamnya. Jika kau menipu, dan memori yang kau cakapkan itu tak pernah
wujud, buku yang kau nak cari itu tak pernah ada, maka kau akan berada dalam
keadaan yang aku panggil ‘kekosongan’, di mana minda kau mungkin akan
terperangkap dalam kegelapan dan tubuh kau di alam realiti ini tak akan
tersedar. Kau akan ‘mati minda’.”
Johan tidak
memberi respon.
“Tapi, kalau kau
memang dari zaman akan datang, dan memori itu memang wujud, kau tak perlu
risau.”
Prof. Shah dan
Prof. E berpandangan sesama sendiri. Johan masih mendiamkan diri.
“Kalau kau menipu,
sekarang adalah masanya yang paling sesuai untuk mengaku.” Prof. Shah memberi
amaran kepada Johan.
“Sila teruskan.
Kemudian, kalian akan tahu sama ada saya menipu atau tidak.” Johan menjawab
dalam nada tegas. Prof. E tersenyum.
“Baiklah. Aku
perlu tanya. Prosedur.”
“Kita mulakan.
Sekarang, pejamkan mata.”
Johan mengikut
arahan dan pejamkan mata.
“Bayangkan keadaan
diri kau pada waktu itu. Sama ada kau sedang duduk, atau berdiri. Sama ada kau
sedang memegang sesuatu di tangan, ada
bau sesuatu dari dapur, kau dengar deruan ekzos kenderaan di luar, atau sekadar
rasa kegatalan di hujung tapak kaki. Bayangkan setiap perkara yang berlaku pada
waktu itu...”
Suara Prof. Shah
semakin sayup menjadi perlahan dari telinga Johan. Apa yang menemaninya adalah
satu bunyi yang tak dapat dia kenalpasti datang dari fon telinga yang
dipakainya. Seketika, Johan sedar dia sudah tidak mendengar suara Prof. Shah.
Sensasi dirinya yang sedang duduk atas kerusi kayu yang keras sudah bertukar
kepada sesuatu yang lembut, seperti sofa. Terkejut, dia dapat merasakan tangan
kanannya sedang memegang sesuatu yang keras dan panjang. Datang bau masakan entah
dari mana. Perlahan-lahan, datang bunyi perbualan seorang lelaki dengan seorang
wanita. Suara wanita itu dia kenal, tapi dari mana?
Johan tidak tahan
lagi, lalu membuka mata.
“Baiklah. Kita ketahui cerita lebih lanjut tentang Hani
dan pengalamannya diculik yang telah menjadikan siapa diri dia sekarang,
selepas pesanan penaja.” Itu suara lelaki yang
didengarinya, datang dari sebuah televisyen di hadapan.
Rancangan temubual
bertukar kepada iklan komersial.
“Ah, biadab. Suka
buat orang suspen!”
Johan
menghempaskan alat kawalan jauh televisyen dari tangan kanannya ke sofa
sebelah. Dia berasa dirinya menjadi marah secara tiba-tiba.
Apa sudah jadi? Aku di mana?
“Apa yang kau marah sangat ni, Han?” Seorang
perempuan pertengahan usia muncul dari belakang, dengan tangannya sedang memegang
senduk.
“TV. Tengah
suspen, tiba-tiba iklan.”
Aku menjawab, bercakap tanpa disedari. Dan, apa Ibu buat
di sini?
“Itu saja? Itu
yang kau nak bisingkan sangat? Kau tu minggu depan dah nak masuk ke universiti.
Kurang-kuranglah tengok TV tu.”
“Sebab minggu depan masuk universiti-lah Han
nak tengok TV puas-puas, ibu. Nanti jadi budak medic, mana ada masa nak tengok TV dah.”
Ah! Aku pernah ada perbualan macam ini, satu masa dulu.
Aku ingat!
“Suka hati kaulah,
Johan.” Perempuan itu berlalu ke satu ruang lain. Dapur.
Ya. Aku sedang dalam ingatan sendiri. Ingatan semasa aku
menonton temubual televisyen tentang Hani dan pengalaman dirinya diculik.
Semuanya sama. Tak sangka. Tak sangka kaedah Prof. Shah betul-betul berkesan.
Aku sedang berada dalam diri sendiri dan hanya melihat keadaan dari mata,
seperti orang yang sedang meneropong melalui periskop dari dalam sebuah kapal
selam. Selama ini, aku ingat hipnosis adalah rekaan belaka. Tak sangka. Tak
sangka.
Iklan di
televisyen pun berakhir. Rancangan temubual bersama Hani kembali ke kaca TV.
Aku harus tumpukan perhatian kepada temubual tersebut.
“Kita kembali
bersama dengan selebriti pujaan ramai masa kini, HANI.” Bingkai televisyen
beralih dari wajah hos rancangan kepada wajah Hani yang tersenyum manis.
Oh, Hani. Aku sudah terbiasa dengan wajah Intan,
sampaikan aku rasa lain dengan penampilan Hani yang sebenar.
“Jadi, Hani...
Boleh ceritakan kepada penonton secara eksklusif tentang pengalaman Hani
diculik?”
“Pengalaman itu
mungkin pengalaman yang terburuk pernah saya lalui, tapi dalam masa sama, ada
sesuatu yang manis di dalamnya...”

0 nota kaki:
Post a Comment