[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23]

Lelaki dengan kot
makmal putih berjalan laju di koridor bangunan universiti. Matlamatnya hanya
satu; MARAH.
Prof. Erman sedang
duduk mengadap mejanya sambil ditemani timbunan kertas kerja projek pelajarnya.
Dia membetulkan cermin matanya sambil dengan teliti membaca setiap perkataan
yang tertulis pada kertas ditangannya. Kadang-kala, berdengus angin keluar dari
hidungnya dek kerana bahan bacaannya itu. Almaklum, hasil kerja pelajar
universiti setahun jagung.
Tiba-tiba pintu
biliknya dibuka kasar. Prof. E mengalih pandangannya ke pintu, terkejut.
Kelibat lelaki memakai kot makmal putih berdiri di pintu dengan bahu meninggi
menahan marah.
“Apa masalah kau
dengan aku, Erman?” tegas lelaki itu dengan nada tinggi.
“Maaflah, Prof.
Shah. Aku tak berapa faham.”
Seluruh otot muka
lelaki yang digelar Prof. Shah itu menumpu ke tengah wajah. Kedua belah tangan
dia digenggam erat sampai menggeletar. Dia betul-betul sedang marah. Marahkan
lelaki di depan matanya itu.
“Aku tahu, kau
salah satu panel penasihat bagi projek kajian aku itu, kan?”
“Projek yang mana?”
“Jangan buat tak
tahu. Projek kajian hipnosis dan minda separa sedar aku.”
“Oh, yang itu!
Memang aku salah seorang panelnya.”
Prof. Shah
menghampiri meja kerja Prof. E. Dengan satu genggaman penumbuk, dia menghempas
meja itu tanda tidak puas hati.
“Permohonan dana
bantuan dari universiti ditolak, semua mesti kerja kau, kan?” Tepat jari Prof.
Shah menuding ke arah Prof. E. Prof. E terasa sedikit terancam, namun dia masih
kekal kelihatan tenang.
“Shah, kau bukan
tak tahu. Kalau permohonan kau ditolak universiti, itu bukan salah aku.
Walaupun aku panel, tapi bukan aku seorang saja.” Prof. E cuba menenangkan
rakan sekerjanya itu.
“Kalau bukan kau
siapa lagi? Projek itu diterima baik dalam kertas kerja. Bila aku minta dana
bantuan, terus ditolak seolah-olah ianya hanya projek sampah. Kau memang dari
dulu dengki dengan aku. Kau nak rampas semua yang aku ada.”
Prof. E bangun
dari tempat duduknya dan menuju ke tepi meja.
“Aku rasa, kau
bukan marah sebab projek ditolak semata-mata. Kau marah dengan aku sebab hal personal, kan?”
Tepat. Wajah Prof.
Shah berubah setelah mendengar kata-kata Prof. E itu.
“Soal jodoh dan
kisah lalu, apa kata kita jangan ungkit sekarang. Kita masing-masing
professional. Aku rasa, dari kau terus-menerus tuduh aku yang bukan-bukan, lagi
bagus kau betulkan cadangan kertas kerja projek kau tu supaya akan datang tidak
akan ditolak lagi.”
Prof. Shah terdiam.
Tapi wajahnya sedikitpun tidak berubah. Masih bengis, berang dan menakutkan.
“Kau siap! Aku
berdendam, Erman. AKU DENDAM!”
Prof. Shah keluar
dari bilik itu tanpa menutup pintu. Prof. E menarik nafas lega melihat
segala-galanya selesai, paling tidak, buat masa itu.
20 Mac 2004, jam 0700.
“Jadi, Prof dengan
Prof. Shah ni memang tak pernah berbaik?” Johan bertanya kepada Prof. E yang
sedang memandu di kanan. Mereka berdua di dalam kereta, sedang dalam perjalanan
ke rumah Prof. Shah.
“Boleh kata macam
tu. Aku tak pernah bermusuhan dengan dia, tapi banyak peristiwa yang membuatkan
kami semakin renggang dan salah faham sesama sendiri.”
“..dan macam mana
Prof. Shah dan hipnosis boleh membantu?”
“Pada aku, Shah
adalah yang terbaik. Kertas kerja dia mengenai projek kajian hipnosis dan minda
separa sedar dia sangat mengagumkan. Aku yang merupakan panel penasihat setuju
untuk projek itu diberikan dana, tapi malangnya universiti anggap ianya satu
pembaziran.
Biasalah.
Kebanyakan institusi pendidikan menganggap projek yang melibatkan kajian yang
kurang menonjol keberhasilannya tidak patut diberi dana. Dana tajaan lebih banyak
digunakan ke arah menambahkan cabangan hubungan dengan pelabur lain. Dengan
kata lain, duit bermain golf bersama orang besar lebih penting dari pembangunan
penyelidikan.
Mereka sampai di
halaman sebuah rumah banglo dua tingkat. Sayup kedengaran gesekan biola sebuah
muzik klasik dari dalam rumah tersebut. Prof. E dan Johan keluar dari kereta
dan menuju ke arah pintu utama.
Loceng di pintu
dibunyikan. Bunyi alunan muzik klasik yang kuat dari dalam diperlahankan. Kedengaran
bunyi tapak kaki menghampiri.
“Lebih baik kalau
kita tidak berada di dalam pandangan mata tinjau pintu ni.” Prof. E dan Johan
masing-masing bergerak rapat ke tepi pintu. Selepas bunyi beberapa selak
digerakkan, pintu terbuka. Ada kelibat lelaki pertengahan abad meninjau.
“Hello, Shah.” Prof. E menegur.
Prof. E dan Johan
dilihatnya sedang berdiri di luar pintu. Prof. Shah sedikit keliru. Namun,
wajahnya bertukar menjadi marah. Terus dihempasnya pintu sehingga tertutup.
Prof. E
menghampiri pintu dan cuba memujuk.
“Shah. Aku datang
nak minta tolong ni...”
“PERGI!” Suara
Prof. Shah kuat menjerit dari dalam.
“KAU TAK PATUT ADA
DI SINI!”
Keras suara Prof.
Shah menengking dari dalam. Kemudian, kedengaran muzik klasik yang tadi diperlahankan
kembali dideraskan, malah, lebih kuat dari sebelumnya.
Johan kebingungan.
Kenapa Prof. Erman
dengan Prof. Shah kelihatan saling membenci?
“Inilah masalah
yang aku bimbangkan. Kami memang tak sebulu
dari dulu lagi,” jelas Prof. E.
“Jadi, apa
sebenarnya masalah peribadi antara Prof dengan Prof. Shah?”
Pertanyaan Johan
itu mengubah raut wajah Prof. E.
“Sebenarnya,
peristiwa itu sudah lama. Sudah lebih 20 tahun berlalu.”
“Apa masalahnya?”
“Hm...Bagaimana
aku nak cakap...Sebenarnya...”
“Sebenarnya apa?”
“Hm...Sebenarnya,
25 tahun dulu, aku kahwin dengan tunang dia. Isteri aku bekas tunang Prof.
Shah.”
Johan terdiam.
Segalanya sudah difahami. Kenapa Prof. Shah bencikan Prof. E. Kenapa Prof. Shah
sentiasa berfikiran buruk terhadap Prof. E. Semuanya sudah difahaminya.
Masalah orang
dewasa memang rumit.
Prof. E tidak berputus
asa. Dia menekan loteng pintu bertalu-talu dengan niat akan membuatkan Prof.
Shah membukakan kembali pintu untuk mereka.
Jangkaan Prof. E
memang tepat. Pintu kembali dibuka. Namun yang menanti di sebalik pintu bukan
sesuatu yang dijangka.
Prof. Shah berdiri
kukuh sambil mengacukan senapang patah ke arah Prof. E. Kedua-dua Prof. E dan
Johan terkejut dan terkaku. Mereka berdua mengangkat kedua belah tangan tanda
menyerah.
“Shah, sabar. Kau
boleh tembak aku mati, tapi biar kami cerita dulu apa niat kami datang sini.”

0 nota kaki:
Post a Comment