[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11]

Nilai kajian seorang saintis bukan bergantung kepada betapa tepat teori
yang dicadangkan, tetapi terletak kepada berapa banyak fakta yang mampu
menafikan cadangan mereka itu. Sebagai contoh, jika seorang saintis
mencadangkan ‘ais itu sejuk’, maka teori itu akan menjadi satu yang diterima
pakai sejagat sehinggalah ada seseorang yang berjaya kemukakan fakta yang
menafikannya dan mengatakan bahawa ‘ais itu bukan sejuk’. Dengan kata lain,
semua teori dalam dunia yang diciptakan manusia ini tidak boleh dibuktikan
kesahihannya. Tiada yang sahih.
Dek kerana itu, Prof. E mula meragui tentang teori alam selari dan jalur
masa alternatif yang dipercayainya selama ini. Semuanya kerana kata-kata Johan
mengenai ‘kuasa besar’ yang mengawal segala yang berlaku. Prof. E sedar,
kewujudan Johan sedikit sebanyak membuatkan dia meragui hasil kajian selama 25
tahun. Namun, dek kerana ego seorang yang pintar, dia tidak mahu mengakuinya.
18 Mac 2004, jam 0827.
“Mungkin saya boleh tolong apa-apa yang patut dalam kajian Prof. Boleh?”
Johan menawarkan diri membantu Prof. E.
“Maaflah, Johan. Bukan aku tak percaya kemampuan kau. Malah, aku tahu kau
berkebolehan memandangkan kau pelajar perubatan. Tapi...”
“Tapi Prof lebih gemar melakukannya berseorangan, kan?” Johan memotong
kata-kata Prof. E dan memasukkan apa yang difikirkannya.
Prof. E mengangguk setuju.
“Tak apa, saya faham. Saya cuma rasa saya patut tolong memandangkan saya
tak ada buat apa-apa. Tapi kalau itu sebabnya, saya mungkin lagi akan menyusahkan
Prof dalam kajian Prof.” Prof. E tersenyum. Sebenarnya, dia tidak mahu menerima
pelawaan Johan disebabkan dia perlu kaji semula semuanya dari awal. Kewujudan
Johan memang mengganggu fikirannya.
Suasana ruang makan menjadi sunyi seketika.
“Kalau begitu, boleh tak saya keluar
berjalan-jalan di luar?” Johan meminta kebenaran.
“Kenapa?” tanya Prof. E.
“Hari ini merupakan hari kematian datuk saya. Walaupun semalam saya memang
sudah jumpa dia, dan saya patut rasa lega, tapi hati saya tetap rasa sedih
dengan pemergiannya. Apatah lagi bila peristiwa itu, technically, belum pun berlaku.”
Prof. E merenung wajah Johan.
“Saya cuma nak ambil udara di luar. Jangan risau, saya tak akan pergi
berjumpa dengan orang yang saya kenal. Saya memang nak sangat balik ke masa akan
datang sesegera mungkin, jadi saya takkan meletakkan risiko lagi ke atas kajian
Prof seperti sewaktu saya berjumpa dengan Atuk, semalam.”
“Baiklah. Kau nak pakai kereta ke?”
“Tak perlu. Saya cuma nak jalan-jalan kawasan perumahan ni saja.”
Selepas mengemas pinggan dan cawan yang digunakan semasa sarapan, Johan
keluar dari rumah. Walaupun nampak normal, tapi sebenarnya Johan sangat
tertekan. Dari sudut pandangannya, walaupun berpeluang kedua untuk bertemu
dengan datuknya buat kali terakhir, tapi dia juga perlu menerima berita
kematian datuknya itu untuk kedua kalinya.. Dua kali kesedihan, dua kali
kesengsaraan. Mungkin keluar berjalan-jalan adalah salah satu cara Johan
menghilangkan kesedihan.
Jam 1420.
Prof. E sedang tekun mentafsir data-data yang diperolehinya di bilik
kajiannya di loteng. Selepas beberapa kali menggaru kepala, dia melihat waktu
di jam tangannya.
“Sudah pukul dua? Johan sudah balik belum?” bisik Prof. E dalam hati.
Walaupun dia yakin Johan tidak akan mendatangkan masalah, tapi hilang
selama enam jam atas alasan mahu berjalan-jalan ambil angin agak merunsingkan.
Tiba-tiba Prof. E teringatkan sesuatu.
Selepas dia membelek-belek beberapa fail di atas mejanya, akhirnya dia
terjumpa sesuatu. Sekeping kertas tertulis nombor telefon talian tetap.
Setelah menekan beberapa nombor pada telefon di biliknya, Prof. E mendengar
deringan di corong telinga gagang telefon.
“Hello?” kedengaran suara di hujung talian. Suara wanita yang teresak-esak.
“Hello. Saya Osman, wakil insuran. Boleh saya bercakap dengan encik Jaafar
bin Seman?”
“Hmm..Maafkan saya. Tapi, abah saya baru sahaja meninggal dunia pagi tadi.
Kami akan ke kubur selepas ini untuk upacara pengebumian.”
Prof. E terus mematikan telefon.
Dia dapat mengesahkan sesuatu hari ini. Kerisauan dia semalam hilang.
Padanya, semuanya kembali normal. Walaupun itu berita kematian, namun adalah
berita baik baginya.
Jaafar bin Seman adalah datuk kepada Johan. Nombor yang dipanggil Prof. E
tadi adalah nombor telefon rumah Johan dan yang menjawab panggilan tadi ialah
ibu Johan. Maknanya, pertemuan Johan dengan datuknya semalam tidak mengganggu
gugat perjalanan masa seperti yang dialami Johan semasa dia berusia 15 tahun.
Tiada yang berubah, setakat yang diketahui oleh Prof. E.
Selaku saintis, Prof. E perlu tahu segalanya tentang subjek kajiannya,
untuk masa ini, ialah Johan. Maka, segala-gala data tentang Johan, sama ada
yang berumur 23 tahun ataupun yang berusia 15 tahun, perlu diketahuinya. Data
itu termasuklah salasilah keturunan dan segala yang berkaitan tentang hidup
Johan, termasuk nombor telefon rumahnya.
Namun, fakta Johan belum pulang selepas enam jam merisaukan Prof. E. Lalu,
Prof. E keluar dari bilik dan turun ke pintu hadapan untuk meninjau ke luar.
Johan kelihatan berada beberapa puluh meter dari rumah.
Dia membawa satu plastik berisi dua bungkusan nasi ayam, untuk dirinya dan
Prof. E sebagai menu makan tengahari. Kakinya sedang melangkah pulang menuju ke
rumah.
Secara tiba-tiba, dari arah belakang, Johan dipotong jalan oleh seorang
remaja perempuan berseragam sekolah. Wajah perempuan itu kelihatan asyik, seperti
sedang khusyuk memikirkan sesuatu. Sepintas, Johan dapat melihat raut wajah
perempuan itu. Lalu, secara tiba-tiba, langkah Johan terhenti.
“Hani?” Terpacut nama itu keluar dari mulut Johan.
Remaja perempuan itu berpaling dan memandang kehairanan.
“Saya bukan Hani,” perempuan itu menjawab.
“Tapi muka awak macam Hani.”
“Maafkan saya. Tapi, saya diajar supaya tidak bertegur dengan orang yang
tidak dikenali”
Remaja perempuan itupun pergi meninggalkan Johan yang terhenti langkahnya.
Beberapa kali remaja perempuan itu berpaling ke arah Johan yang berdiri
penuh kehairanan. Sambil melihat Johan, remaja itu menuruni bahu jalan dan mahu
melintasi jalan ke seberang. Dia tidak sedar ada sebuah kereta laju menuju ke
arahnya.
Sekelip mata, terdapat sebuah kereta dipandu laju mendekati sambil
membunyikan hon. Sewaktu remaja perempuan itu berpaling, ianya sudah terlambat
untuk mengelak.
Melepaskan bungkusan nasi ke tepi, Johan dalam keadaan refleks segera
menolak gadis itu ke tepi. Kereta itu sempat membrek, tapi jarak membrek
terlalu dekat mengakibatkan Johan gagal mengelak.
Johan dilanggar.
Kejadian ini turut disaksikan Prof. E dari muka pintu rumah.
“Johaaaaaan!”

0 nota kaki:
Post a Comment