[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12]

“Ayah saya mesti tak bagilah, Aida.”
“Alaa, awak cubalah pujuk dia dulu. Rugi kalau awak tak terima tawaran ni.”
Intan pening kepala. Aida menyampaikan pelawaan kepada Intan untuk menjadi
model fesyen untuk sebuah majalah untuk remaja. Semuanya atas permintaan abang
kepada Aida yang pernah ditemuinya semasa singgah belajar di rumah Aida
seminggu lepas. Abang kepada Aida merupakan salah seorang editor majalah
berkenaan.
“Abang saya kata, awak ada pakej nak jadi model. Susuk badan awak tak
seperti budak sekolah 16 tahun. Lagipun, muka awak sangat sesuai jadi model.”
Pujian melambung Aida sedikitpun tidak dihiraukan Intan. Ini kerana Intan
memang sudah memasang angan-angan dari kecil untuk menceburi bidang peragaan
dan industri hiburan. Tapi apa yang merisaukannya adalah bapanya.
“Awak macam tak tahu ayah saya macam mana. Dia gila bisnes. Dia siap suruh
saya belajar perniagaan lagi bila habis sekolah nanti. Kata dia, nak saya
warisi empayar perniagaannya.”
“Ala, adik lelaki awak kan ada? Biarlah dia yang warisi kerja ayah awak.”
“Adik saya baru umur dua tahunlah.”
“Tapi, peluang ni bukan selalu dapat. Saya siap dengki dengan awak sebab
abang offer dekat awak, bukan saya.
Tapi dalam masa yang sama, saya bangga sebab kawan baik saya bakal jadi model,
seperti apa yang awak idamkan, kan?”
Intan terdiam seketika. Ada betulnya kata-kata Aida itu. Peluang sebegini
bukan selalu dapat, malah dengan usia muda, 16 tahun, Intan mungkin boleh pergi
jauh dalam industri.
Angan-angan Intan untuk menjadi model dan selebriti bermula sejak kecil
lagi. Ibu Intan seorang model pakaian yang sering mewarnai majalah fesyen suatu
ketika dahulu. Pada usia Intan empat tahun, ibunya pernah menunjukkan rakaman
video mengenai satu acara peragaan fesyen yang disertainya sebagai model. Ibu
Intan juga ada menceritakan bahawa dia dan ayahnya mula bertemu semasa
menghadiri satu acara korporat mengenai fesyen. Dari situ, Intan mula pasang
angan-angan mengikut jejak langkah ibunya sekaligus mahu menjerumuskan diri
dalam industri hiburan tanahair.
“Beginilah. Walaupun abang saya suruh desak awak supaya terima tawaran dia
secepat mungkin, tapi saya akan bagi awak tempoh sampai seminggu. Cuba fikirkan
baik-baik peluang ini dan cuba pujuk ayah awak. Saya rasa, awak masih boleh
berada dalam kedua-dua bidang perniagaan dan model, kan? Awak antara pelajar
cemerlang kelas kita.”
Aida terus memujuk kawan baiknya itu. Namun, ini membuatkan Intan semakin
berasa serba salah. Dia sangat kenal perangai ayahnya, dan sudah mengagak apa
jawapan yang bakal keluar dari mulut ayahnya.
“Baiklah. Nanti saya dapat jawapan, saya terus bagitahu awak ya, Aida.”
------
Di rumah, sewaktu di meja makan, Intan memberanikan diri.
“Ibu, ayah mana?”
“Ayah kamu ada function dengan
pelanggan,” jawab ibu Intan.
“Malam ni kita makan bertiga sahaja.” Ibu Intan meletakkan adik Intan yang
berusia dua tahun di bangku tinggi bayi sebelah kirinya.
Intan meneliti lauk yang dimasak ibunya.
“Hm, sedapnya lauk ibu masak hari ni!”
Ibu Intan merenung anaknya.
“Apa yang kamu nak, Intan? Kamu tak pernah puji masakan ibu kalau kamu
tidak mahukan apa-apa.” Masak dengan perangai anaknya, ibu Intan tahu Intan
ingin membuat suatu permintaan. Intan bagaimanapun tidak terkejut dengan
kata-kata ibunya kerana dia sudah menyangka semuanya.
“Ibu kenal Aida, kan? Abang Aida kerja di majalah Remaja Kini. “
Ibu Intan mengangguk, sambil menyuapkan makanan ke mulut adik Intan, dia
menanti kata-kata seterusnya dari mulut Intan.
“Abang Aida tawarkan orang peluang nak jadi model fesyen untuk majalahnya.
Katanya, orang ada potensi. Mungkin turun dari ibu rasanya.”
Membahasakan diri sebagai ‘orang’ dengan ibu dan ayahnya, taktik Intan
adalah mendapatkan sokongan dari ibunya sebelum bersemuka dengan ayah. Mungkin
dengan cara ini, ayahnya akan memberi peluang kepadanya menukarkan
angan-angannya menjadi cita-cita.
Ibu Intan kelihatan agak terkejut.
“Kamu tahu kalau kamu cakap perkara ni kepada ayah kamu, dia akan terus
tidak bersetuju, bukan?”
“Ya, orang tahu. Tapi ini peluang sekali seumur hidup. Orang memang dari
kecil lagi berangan nak jadi macam ibu dulu-dulu.”
“Dulu-dulu,” ibu Intan mencelah.
“Kamu tahu kenapa kamu guna perkataan ‘dulu-dulu’, kan?”
Intan terdiam.
“Ayah kamu tidak mahu ibu teruskan kerjaya ibu sebagai model selepas kamii
berkahwin.”
Ibu Intan menyuap makanan ke mulut adik Intan sebelum menyambung kata-kata.
“Ibu bukan tak mahu bagi, malah ibu rasa bangga bila anak ibu dapat peluang
sedemikian. Tapi keputusan bukan di tangan ibu. Ianya di tangan ayah kamu. Ibu
tak boleh nak kata apa-apa.”
Sedikit kecewa, Intan cuba terus memujuk.
“Nanti orang tanya ayah. Tapi ibu sokonglah orang, ya?”
Ibu Intan tidak menjawab apa-apa. Dia terus melayan adik Intan makan. Intan
berasa kecewa. Makan malam diteruskan tanpa sebarang kata-kata.
------
Kriiiiiiiiinnnggg!
Bunyi loceng menandakan waktu persekolahan sesi pagi tamat. Seketika,
kelihatan berpusu-pusu pelajar sekolah menengah keluar dari kelas masing-masing
untuk pulang ke rumah. Salah seorang daripadanya adalah Intan yang kelihatan
tidak bermaya.
“Intan, tunggu saya sekejap!” Aida memanggil dari belakang.
Selepas berlari-lari anak, Aida dapat mengejar Intan sebelum menuruni
tangga dari tingkat tiga.
“Macam mana? Dah cakap dengan ayah awak?” tanya Aida.
Dengan mencebik mulut, Intan memandang Aida dan menggelengkan kepala.
“Belum? Atau dia tak bagi?”
“Saya belum tanya.”
“Tak apalah. Nanti awak dah tanya, bagitahu saya, ya? Abang saya dah bising
dah dekat rumah tu.”
Aida mengucap selamat dan berlalu pergi. Perjalanan pulang Aida dan Intan
berbeza, menyebabkan Intan terpaksa balik sekolah jalan kaki berseorangan.
Namun, jarak sekolah dengan rumah tidak jauh. Hanya kurang lebih dua kilometer
jalan kaki.
Fikiran Intan jauh mengelamun semasa berjalan kaki pulang ke rumah. Banyak
yang dia fikirkan; dari reaksi ayahnya sehinggalah kesan hubungan baiknya
dengan Aida jika dia menolak.
“Hani?” Terdengar seseorang memanggil Intan dari belakang.
Intan berpaling dan ternampak seorang lelaki memandangnya.
“Saya bukan Hani,” Intan menjawab.
“Tapi muka awak macam Hani.”
“Maafkan saya. Tapi, saya diajar supaya tidak bertegur dengan orang yang
tidak dikenali.”
Intan pun pergi meninggalkan lelaki yang terhenti langkah itu.
Beberapa kali Intan berpaling ke arah lelaki yang berdiri penuh kehairanan
itu. Sambil melihat, Intan menuruni bahu jalan dan mahu melintasi jalan ke
seberang. Dia tidak sedar ada sebuah kereta dipandu laju menuju ke arahnya.
Sekelip mata, terdapat sebuah kereta dipandu laju mendekati sambil membunyikan
hon. Sewaktu Intan berpaling untuk melihat sumber bunyi hon itu, ianya sudah
terlambat untuk mengelak.
Badan Intan kaku. Sekelip mata, dia merasakan begitu banyak perkara berbeza
yang mampu dilakukannya untuk menjadikan hidupnya lebih bermakna. Dia boleh
berkeras dengan ayahnya tentang impiannya memasuki industri hiburan. Dia juga
boleh membantah keputusan muktamad ayahnya untuk menyambung belajar dalam
jurusan perniagaan selepas tamat sekolah nanti. Dia juga boleh menolak impian
ayahnya untuk menjadikannya penyambung legasi perniagaan milik ayahnya. Tapi,
semua itu tidak berlaku. Dia hanya menurut segala apa yang ayahnya tentukan.
Badan Intan terasa seperti ditolak ke tepi. Intan terjatuh di seberang
jalan, terduduk.
Kereta yang lajumenuju ke arah Intan tadi sempat membrek, tapi jarak
membrek terlalu dekat mengakibatkan seseorang dilanggar.
Lelaki yang memanggil Intan ‘Hani’ tadi, yang juga sudah menyelamatkan
nyawanya dengan menolak Intan ke tepi, dilanggar.
Kejadian ini jelas disaksikan Intan dari tepi jalan.

0 nota kaki:
Post a Comment