Dec 20, 2013

Vorteks #50 - Semasa Kepulangan...

0 nota kaki


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49]




“Rasanya, sakit tak kalau kena tembak?”
Soalan Azlan menarik perhatian Johan. Johan yang sedang menulis nota di meja belajarnya dengan serta-merta meletakkan pennya dan berpusing menghadap Azlan yang sedang berbaring di atas katil. Teman sebilik Johan di kolej itu kelihatan sedang membaca buku komik.
“Kenapa tiba-tiba kau tanya?” Soalan Azlan dibalas dengan soalan dari Johan.
“Komik ni. Hero dia ditembak di dada, tapi masih boleh melawan balik dengan bergayanya.”
“Komik, Lan. Apa yang kau expect?”
Azlan tukar posisi dari berbaring kepada duduk.
“Dari segi fizik balistik, aku tahu bagaimana sesebuah pistol berfungsi dan jenis-jenis peluru yang boleh meninggalkan kesan paling teruk kepada mangsa. Aku belajar engineering. Aku tahu bagaimana mekanisme trajektori peluru dari dalam senjata, ke luar senjata, dan seterusnya mengenai target. Tapi apa yang lebih menarik minat aku adalah apabila peluru tersebut masuk ke dalam target, contohnya manusia. Sedangkan kena cubit dengan awek pun sakit, inikan pula ada peluru masuk dalam badan.”
Johan tersenyum. Azlan yang tipikal, selalu bertanyakan soalan trivia yang kadangkala tak pernah difikirkan orang.
“Kau sebagai pelajar medic, mesti tahu kan?” Azlan memandang Johan, menunggu jawapan.
Selepas menghembuskan nafas panjang, Johan menjawab, “Kesan dari tembakan selalunya bergantung kepada saiz senjata yang digunakan. Tapi secara general, luka ditembak selalunya datang dari laluan peluru yang masuk ke dalam badan. Ianya seperti badan kita ditebuk. Seolah-olah daging dibelah hidup-hidup. Dan lebih mengerikan adalah sesuatu yang dipanggil shock wave. Shock wave ini mampu buatkan organ penting kita rosak dan pecah walaupun peluru tidak menuju ke arah organ tersebut. Ianya umpama gelombang yang merebak bila kita baling batu ke dalam air, tapi dalam kes ini, air itu adalah daging kita, tubuh badan kita.”
Azlan tergamam.
“Kalau kau tanya sakit tak kena tembak, jawapan aku tentulah sakit. Tapi aku tak pernah rasa. Orang yang pernah rasa saja tahu sakitnya macam mana. Teringin nak rasa ke, Lan?” tanya Johan. Azlan menggelengkan kepala.
“Dengar penerangan kau pun dah rasa seriau satu badan.”

Mengenang memori Johan bersama Azlan membuatkan dia bersyukur. Awal hari tadi Johan hampir merasa sakitnya badan dilalui peluru. Kini, dia sudah selamat bersama Intan di sebelah melihat kelibat dua orang lelaki tu yang keluar dari sebuah kereta.
“Prof. Erman!” Intan bersuara gembira.
Prof. E sambil tersenyum meluru sebelum memeluk Intan dan Johan. Sedikit janggal di pihak Intan dan Johan, namun dibiarkan sahaja. Mungkin itu cara Prof. E menunjukkan rasa empatinya.
“Syukurlah kamu selamat. Syukurlah.” Tak pasti, tapi Johan melihat mata Prof. E seperti bergenang dengan air mata. Demi mengelakkan suasana janggal, Johan cuba alih tumpuan.
“Prof. Shah, terima kasih kerana datang. Tak sangka Prof boleh duduk berdua dengan Prof. E tanpa melibatkan perang,” gurau Johan. Prof. Shah dan Johan ketawa kecil sambil berjabat salam.
 “Intan, ini Prof. Shah. Dia kawan Prof. E.” Tergelak sedikit Prof. Shah mendengar kata-kata Johan. Kawan? Belum tahap itu lagi rasanya.
“Tanpa lengahkan masa, marilah kita pulang. Ibu bapa kamu sudah menunggu di rumah,” kata Prof. E kepada Intan. Intan gembira mendengar kedua-dua ibu bapanya selamat di rumah.

Jam di dinding menunjukkan hampir pukul dua pagi, namun Encik Ahmad dan isterinya masih berada di ruang tamu menunggu khabar berita dari Inspektor Bakar. Encik Ahmad mahu tahu perkembangan selepas Encik Alex ditahan. Sekali-sekala Encik Ahmad meninjau ke luar rumah, melihat kalau-kalau Inspektor Bakar sudah tiba. Tiada Inspektor Bakar. Hanya terdapat tiga pegawai polis yang berkawal di sekitar.
Lain pula cerita dengan isteri Encik Ahmad, iaitu Puan Nora. Selepas menemani Farhan tidur di bilik, dia terus turun ke ruang tamu dan duduk di sofa, tidak berganjak. Wajahnya kelihatan sugul, matanya masih bengkak dan merah akibat banyak menangis. Puan Nora seperti masih menyalahkan diri sendiri akibat dari kegagalannya menyelamatkan Intan dari dibawa pergi penculik.

Terdapat bunyi deruan enjin kenderaan di luar pagar rumah. Encik Ahmad melihat ke luar melalui tingkap. Kelihatan Inspektor Bakar keluar dari pintu sebuah kenderaan pacuan empat roda milik polis. Encik Ahmad terus meluru ke pintu untuk menyambut Inspektor Bakar, sekaligus untuk mengetahui perkembangan siasatan. Pintu dibuka, Inspektor Bakar dijemput ke ruang tamu.
“Bagaimana?” tanya Encik Ahmad, tidak sabar.
Setelah menarik nafas panjang, Inspektor bakar mula melapor. “Setelah didesak, Alex memberi pengakuan. Dia mengaku mengupah seseorang untuk pecah masuk ke dalam rumah Encik Ahmad bertujuan untuk menakut-nakutkan Encik Ahmad sekeluarga, tapi dia tidak mengaku mengarahkan mereka menculik anak Encik Ahmad.”
“Mungkinkah dia menipu, Inspektor?” tanya Encik Ahmad.
“Kami rasa tidak. Pada kami, kejadian penculikan ini adalah inisiatif penjahat yang diupahnya sendiri. Namun, Alex mengaku ikut serta dengan rancangan orang yang diupahnya itu dan teruskan dengan penculikan.”
“Penjahat itu? Dapat kesan?” tanya Encik Ahmad lagi.
“Alex hanya berhubung dengan Zul dan tidak pernah berurusan dengan dua lagi rakan jenayah Zul, iaitu Bawi dan Galah. Selepas Zul ditemui mati, Bawi dan Galah gagal kami kesan.”
“Anak kami? Intan?” Puan Nora mencelah dari belakang.
“Maafkan kami. Sehingga kini kami masih belum dapat jejak di mana Intan berada.”
Puan Nora kembali duduk di sofa. Kecewa.

Suara perbualan antara Inspektor Bakar dengan Encik Ahmad semakin hilang dan tenggelam dalam fikiran Puan Nora. Entah untuk keberapa pusingan, air matanya kembali berlinangan. Puan Nora tidak dapat membayangkan kejadian buruk yang menimpa anak perempuan kesayangannya itu. Selamatkah? Penatkah? Cederakah? Dahagakah? Laparkah? Terlalu banyak soalan tanpa jawapan.
Tiba-tiba, naluri keibuan Puan Nora seolah-olah tersentak. Dia dapat merasakan sesuatu sedang memanggilnya dari luar. Hilang akal? Adakah ini kesan dari beberapa episod kekecewaan yang melampau? Apapun, ianya tidak diendahkan Puan Nora.
Secara tiba-tiba dan tergesa, Puan Nora berlari melintasi suaminya dan Inspektor Bakar dan menuju ke pintu rumah. Dibukanya pintu tersebut dan dengan berkaki ayam, Puan Nora berlari keluar ke arah pintu pagar. Tiga orang pegawai polis yang berjaga turut mengiringinya di belakang. Sampai di pintu pagar, Puan Nora memberhentikan langkahnya dan tergamam melihat sesuatu.
Encik Ahmad turut mengikuti isterinya yang berkelakuan pelik itu. Inspektor Bakar berada di belakang Encik Ahmad. Langkah kedua-dua mereka juga turut terberhenti selepas memandang sesuatu di hadapan.

“Assalamualaikum, Ibu. Ayah.”
Intan yang diselubungi selimut di badan sedang menyeberangi jalan menuju ke rumahnya sambil diiringi Prof. E di sebelah.
Dari pagar, Puan Nora dan Encik Ahmad berlari ke tengah jalan, menyambut kepulangan anak mereka. Mereka bertiga berpelukan. Kedengaran suara Puan Nora dan Intan berteriak menangis kegembiraan. Encik Ahmad juga tidak mampu menahan sebak dan turut berlinang air matanya. Tersentuh hati semua yang menyaksikannya. Prof. E di sebelah turut tersenyum puas. Kerjanya menemukan kembali seorang anak kepada ibu bapanya sudah selesai.

“Awak siapa?” tanya Inspektor Bakar sambil menghulurkan salam kepada Prof. E.
“Saya jiran Encik Ahmad,” balas Prof. E sambil menuding jari ke arah rumahnya di belakang. “Saya terjumpa Intan di Pusat Bandar, berjalan sendirian tanpa arah tuju.”
Tiba-tiba Prof. E dipeluk Encik Ahmad.
“Terima kasih, Prof. Terima kasih.” Encik Ahmad memeluk erat Prof. E. Prof. E hanya mampu tersenyum sambil mengusap belakang badan Encik Ahmad sebagai tanda segala-galanya sudah reda.

Segala peristiwa itu disaksikan Johan dan Prof. Shah dari dalam kereta di hadapan rumah Prof. E. Mereka berdua juga terharu melihat pertemuan semula keluarga Encik Ahmad itu.
“Jadi, segalanya sudah selesai. Penjahat sudah tertangkap. Yang diculik sudah dipulangkan,” kata Prof. Shah.
“Penjahat sudah tertangkap? Betulkah?” tanya Johan.
“Ya. Dengar kata dalangnya adalah musuh perniagaan Encik Ahmad,” jawab Prof. Shah.
“Bawi dan Galah?” tanya Johan lagi.
“Siapa Bawi dan Galah?” Prof. Shah kebingungan.
Serentak semasa itu, Johan terlihat kelibat seseorang di seberang jalan sedang berjalan menghampiri kelompok keluarga Encik Ahmad dengan laju sambil mengacukan sesuatu.
“Oh, tidak.” Johan meluru keluar dari kereta meninggalkan Prof. Shah kebingungan. Dia berlari menuju ke arah tempat Encik Ahmad sekeluarga berpelukan.

“Matilah kau, perempuan!”
Bawi hanya berada di jarak 15 meter dari kedudukan Encik Ahmad sekeluarga sambil mengacukan pistol. Encik Ahmad, Puan Nora, Intan dan Prof. E terkejut. Inspektor Bakar dengan refleks mahu mencapai pistol di pinggangnya, namun dia sedar sudah terlambat.

Bawi melepaskan satu das tembakan.
Tembakan Bawi mengenai seseorang.
Inspektor Bakar dengan pantas membalas beberapa tembakan ke arah Bawi. Bawi rebah selepas menerima dua tembakan.
Satu lagi tubuh rebah ke bawah.

“Azlan, rupanya kena tembak tidaklah sakit mana.”

Johan terbaring tidak sedarkan diri berlumuran darah di atas jalan.



BERSAMBUNG...[51]

Dec 6, 2013

Vorteks #49 - Takdir dan Masa.

1 nota kaki

[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48]




Nafasnya dihembus kencang.
Encik Alex memang tidak selesa apabila terkurung di ruang yang sempit, apatah lagi dalam jangka masa yang lama. Klaustrofobia? Tidak. Encik Alex hanya tidak selesa dengan sesuatu yang tidak dapat dijangka. Ditahan polis sejurus selepas sampai di depan pagar rumah Encik Ahmad, kemudian dikurung di dalam bilik kecil di balai polis bertemankan hanya kerusi dan meja, diterangi cahaya dari lampu yang tergantung di siling, mana ada manusia yang akan selesa dalam keadaan sebegitu. Apatah lagi terdapat satu cermin besar yang dipercayainya cermin dua hala. Encik Alex percaya dia sedang berada di dalam bilik soal siasat polis.
Apa agaknya yang polis tahu? Adakah Zul tertangkap? Adakah sebab dia tertangkap, aku tak dapat menghubunginya? Terlalu banyak persoalan yang difikirkan Encik Alex. Walaupun resah, tapi dia harus kekal tenang kerana dia tahu ada mata yang sedang memerhatikannya di sebalik cermin itu.

Setelah hampir 90 minit Encik Alex dikurung bersendirian, Inspektor Bakar masuk dengan satu gelas berisi air kosong di tangan kanan. Diletaknya gelas itu di hadapan Encik Alex yang sedang berpeluh dingin. Encik Alex memandang tepat ke arah wajah garang Inspektor Bakar. Dari wajahnya sahaja, Encik Alex tahu Inspektor Bakar bukan seorang yang boleh dibuat main.
“Minum. Awak nampak haus,” Inspektor Bakar memulakan kata. Segera, gelas itu disambar dan air di dalamnya diteguk Encik Alex sehingga punggung gelas berada di atas.
“Terima kasih, Tuan.” Inspektor Bakar senyum melihat gelagat Encik Alex.
“Awak haus. Saya berikan air. Itu satu perbuatan yang baik, betul?” Inspektor Bakar melabuhkan punggungnya ke atas sebuah lagi kerusi.
“Betul, Tuan,” balas Encik Alex.
“Sekarang, saya mahu awak juga buat baik kepada saya. Boleh?”
“Saya cuba, Tuan.”
“Baiklah, kita mulakan dengan satu soalan. Saya harap awak buat baik dengan saya dengan tidak menipu saya.”
“Baiklah.”
“Apa hubungan awak dengan Zul?”
Encik Alex terkejut mendengar soalan pertama dari Inspektor Bakar. Kepalanya ligat mencari jawapan yang selamat.
“Saya tidak kenal sesiapa yang bernama Zul.” Dari nada suara yang terketar-ketar, Inspektor Bakar sudah tahu apa yang difikirkan Encik Alex.
“Kan saya sudah kata, jangan menipu.” Encik Alex menunduk diam.
“Biar saya ulang soalan saya supaya awak boleh lebih faham. APA HUBUNGAN AWAK DENGAN ZUL, BAWI DAN GALAH.”

Bawi dan Galah sedang berada di dalam sebuah kereta di tepi jalan. Dengan gelap malam dan tersorok di bawah pokok, mereka kelihatan sedang menunggu sesuatu. Bawi sibuk memerhati kawasan sekeliling, manakala Galah sedang membelek-belek pistol Glock 19 di tangan.
“Tak sangka, hanya dengan merampas pakaian polis, kita boleh dapat ambil kereta orang awam sesuka hati,” kata Galah. Dia cuba acah-acah mengacukan pistolnya ke luar, tapi tindakannya itu dimarahi Bawi di sebelah.
“Bangang. Kalau polis nampak, macam mana?”
Terkecut Galah dimarahi Bawi. Masih terbayang-bayang difikiran Galah bagaimana Bawi dengan hati keringnya merampas nyawa Zul siang tadi. Dia tidak mahu jadi seperti Zul. Jalan terbaik baginya adalah untuk tidak membangkitkan kemarahan Bawi.
“Daripada kau sibuk membelek pistol polis itu, apa kata kau tinjau sama kawasan sekeliling. Mereka pasti akan lalu jalan ini untuk pulang ke rumah,” kata Bawi. Matanya masih sibuk memerhati keadaan sekeliling. Setiap kereta yang berlalu, pasti akan ditinjaunya siapa penumpang di dalam. Setiap orang yang berjalan pergi akan ditatap wajah mereka agar tidak terlepas walau seorang. Semuanya kerana dendam.
“Kau pasti mereka akan lalu sini? Mana tahu, mereka pergi ke balai polis dulu, buat laporan.” Galah mahukan kepastian.
“Kalau dia pergi lapor polis dulu sekalipun, dia pasti akan pulang ke rumah. Dia pasti akan lalu jalan ini. Waktu itu, kita tamatkan segalanya,” balas Bawi.
Bawi dan Galah sedang berada di dalam sebuah kereta di tepi jalan, hanya 100 meter dari rumah Encik Ahmad.

Di sebuah pondok menunggu bas di Pusat Bandar, Intan dan Johan masih menunggu. Diikutkan, jika segalanya lancar, Prof. Erman akan ambil masa kurang setengah jam perjalanan. 30 minit sudah berlalu, bermakna Prof. E akan sampai pada bila-bila masa. Namun, beberapa faktor harus diambil kira, termasuklah kemampuan Prof. E untuk memandu malam dan keupayaan kereta yang dipandu memandangkan usia kereta itu sepadan dengan tuannya. Mengenangkan bagaimana Prof. E dan keretanya, Johan tergelak sendirian.
“Apa yang awak gelakkan?” tanya Intan sambil membetulkan baju Johan yang dipakainya.
“Tiada apa-apa. Saya cuma bayangkan Prof dan keretanya,” jawab Johan. Intan turut tersenyum.
“Awak tak sejuk? Awak cuma bersinglet.”
“Tak apa. Awak lebih perlukannya.”
Intan terdiam. Suasana janggal berlegar di keliling mereka berdua. Tiada topik yang boleh dibicarakan. Tiada subjek untuk dibualkan.

Manusia perlu terus ke depan. Masa silam dijadikan pedoman supaya kita pada masa kini tidak mengulangi kesilapan. Hasilnya, masa depan kita akan lebih terjamin.”
“Eh?” Johan terkejut mendengar apa Intan ungkapkan. Tiba-tiba.
“Betul, kan? Itu prinsip awak yang awak beritahu saya tempoh hari, kan?”
Johan masih terkejut, tapi diangguknya tanda setuju.
“Saya ada terfikir. Setelah apa yang saya lalui; diserang oleh penculik di rumah, melihat ibu saya dipukul depan mata, dikurung di sebuah rumah usang, hampir dirogol tiga lelaki durjana, dan kemudian dikejar lari ke dalam hutan tebal, semua ini adalah pengalaman pahit yang tak akan saya lupakan. Saya mungkin akan tersedar pada tengah malam dek kerana mimpi ngeri, atau saya mungkin tak dapat tidur langsung disebabkan ketakutan, atau lebih teruk, saya mungkin akan jadi kurang siuman dan hilang akal...”
Intan menarik nafas dalam-dalam sebelum menyambung, “...Tapi, manusia perlu terus ke depan, kan? Masa silam saya mungkin akan menghantui saya, tapi saya tetap kena tempuh, kan? Supaya saya tak ulangi mana-mana kesilapan, kan? Supaya masa depan saya terus terjamin, bukan?”
Intan memandang tepat ke mata Johan. Johan mengangguk. Mereka berdua saling bertukar senyum.
“Jadi, saya mahu minta izin awak. Saya mahu pegang prinsip yang sama dengan apa awak pegang. Saya pasti, dengannya, saya mesti dapat tempuh liku-liku susah dalam kehidupan saya yang seterusnya.”
It’s not mine. It’s yours,” kata Johan. Lembut.

Hani. Prinsip itu saya dapat dari awak, dan sekarang awak pula dapat dari saya. Kelakar. Sangat kelakar bagaimana takdir dan masa memainkan peranan masing-masing. Kelak, dengan prinsip yang sama, awak bakal memberi inspirasi kepada berjuta-juta orang lain di luar sana.


Lamunan Johan tersentak. Bunyi hon dari kereta tua memecah suasana. 



BERSAMBUNG...[50]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...