[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13]

“Manusia perlu terus ke depan. Masa silam dijadikan pedoman supaya kita
pada masa kini tidak mengulangi kesilapan. Hasilnya, masa depan kita akan lebih
terjamin.”
Generik. Tapi kata-kata itu membuatkan Johan terpaku depan kaca televisyen
melihat rancangan temubual bersama seorang selebriti muda, Intan Farhani Ahmad,
atau lebih dikenali dengan panggilan Hani.
“Itu adalah kata-kata perangsang semangat yang diberikan seseorang yang
sangat penting dalam hidup saya.”
“Adakah dia kekasih lama?” Perantara rancangan bertanyakan soalan
perangkap, seperti yang selalu golongan mereka lakukan.
“Dia memang penting dalam hidup saya. Tapi sudah bertahun-tahun kami tidak
berjumpa. Kalau diberi peluang, saya mahu bertemu dengan dia kembali, satu hari
nanti, insyaAllah.”
Johan tersenyum di depan televisyen. Benak hatinya memuji jawapan Hani.
“Jawapan selamat sebegitu, hanya orang yang berfikir dapat luahkannya
dengan lancar. Hani memang bukan sebarang orang.”
Johan terjaga dari mimpinya. Dia terjaga dari pengsannya.
18 Mac 2004, jam 1632.
“Kau dah terjaga?” Prof. E dilihat sedang duduk di pinggir katil. Setelah
diamati sekeliling, Johan sedar dia sedang terbaring di atas katil di dalam
biliknya.
“Kau pengsan selama 2 jam. Kau ingat apa yang terjadi?”
Dari pertanyaan Prof. E itu, Johan cuba mengingati apakah yang berlaku
sebelum dia pengsan. Ya. Johan berjaya mengingatinya. Dia tahu dia dilanggar
kereta selepas cuba menyelamatkan seorang gadis berpakaian seragam sekolah semasa
mahu melintas jalan.
“Ya, Prof. Saya ingat segalanya.” Prof. E tersenyum mendengar jawapan
Johan.
“Maafkan aku. Aku tak boleh bawa kau ke hospital kerana kau tiada
pengenalan diri. Lagipun, nanti banyak masalah timbul.”
“Saya faham Prof. Saya tak ada apa-apa. Saya tiada cederapun.” Johan
mengubah posisi badannya dari berbaring kepada duduk melunjur di atas katil.
“Kalau begitu, biar aku ambilkan air untuk kau.” Prof. E memusingkan
badannya ke arah pintu untuk keluar.
“Prof, tunggu dulu!” Langkah Prof. E termati.
“Saya ada satu masalah mahu bincangkan dengan Prof.” Prof. E segera
memusingkan badannya dan mengadap Johan. Mukanya begitu ingin tahu dengan apa
yang bakal Johan perkatakan.
“Tadi, saya berjumpa seseorang yang saya kenal.”
Kata-kata Johan itu mengubah mimik muka Prof. E.
“Bukankah kau sudah janji tidak mahu pergi bertemuu dengan orang yang kau
kenal? Kau boleh mengganggu perjalanan usaha aku menghantar kau pulang.” Nada
suara Prof. E meninggi.
“Tidak, Prof. Dengar dulu.” Johan cuba menenangkan Prof. E.
“Memang saya bertemu dengan orang yang saya kenal. Tapi, dia tak kenal
saya.”
Prof. E menampakkan kerutan di dahi.
“Saya bertemu dengan artis pada masa saya, yang pada masa sekarang, masih
belum menjadi artis.”
Prof. E terkejut.
“Budak perempuan yang saya selamatkan dari kena langgar kereta tadi, bakal
menjadi artis yang terkemuka pada zaman saya nanti, lapan tahun kemudian.”
“Maksud kau, Intan?” Prof. E mencelah.
“YA!” Johan menjerit dengan gembira.
“Nama dia Intan Farhani. Masa dalam zaman saya, dia dipanggil Hani.”
“Sekejap...” Prof. E menghentikan kata-kata Johan.
“Aku tak pasti apa kesan dari maklumat kau ini kepada zaman aku. Untuk
mengawal keadaan, aku rasa baik kau jangan terlalu dedahkan maklumat yang kau
ada tentang zaman kau, walaupun kepada aku. Aku takut nanti akan mengubah
perjalanan jalur masa.”
Johan mengangguk faham.
“Intan adalah anak kepada jiran sebelah rumah ini. Kalau betul kata kau dia
bakal jadi artis terkenal, maka kita kena kurangkan pertemuan antara kau dengan
dia. Tapi, dia mungkin akan datang ke rumah ini bila-bila masa sahaja atas
alasan mahu berterima kasih kepada kau. Jadi, aku tak boleh halang dia bertemu
dengan kau.” Panjang lebar penerangan Prof. E.
“Satu cara terbaik ialah...”
Jam 1700.
Ding dong! Ding dong!
Loceng rumah Prof. E ditekan.
Pintu dibuka oleh Prof. E. Di sebalik pintu berdirinya dua orang. Seorang
lelaki pertengahan usia, dan seorang gadis remaja.
“Maafkan saya, Prof. Dia dah sedar?” tanya lelaki itu.
“Sudah. Mari masuk. Saya bawakan ke biliknya.”
Prof. E mengepalai perjalanan tiga orang itu ke tingkat atas. Mereka menuju
ke bilik yang dihuni Johan.
Setelah diketuk, pintu bilik Johan di buka. Kelihatan Johan sedang
berlunjur di atas katil. Mereka bertiga masuk ke dalam bilik.
“Kenalkan. Ini Encik Ahmad.” Prof. E memperkenalkan lelaki tersebut kepada
Johan. Mereka bersalaman.
“Dan ini pula, anak kepada Encik Ahmad, orang yang kau selamatkan dari
dilanggar kereta tadi.”
Gadis itu menghulurkan tangan ingin bersalaman. Johan menyambut tangan itu.
Ini adalah kali pertama mereka bersentuhan. Dalam diri Johan, perasaannya
sangat gembira dapat bertemu dengan artis kegemarannya, walaupun secara logik,
dia belum lagi menjadi seornag selebriti.
“Nama saya Intan. Terima kasih sebab selamatkan saya. Kalau bukan kerana
awak, mesti saya sudah tak selamat.”
Bahu Intan dicuit oleh ayahnya.
“Aish, kenapa panggil abang ni ‘awak’? Cuba hormat sikit. Ini kan ‘abang’,”
bisik Encik Ahmad.
“Eh, tak apa Encik Ahmad. Saya memang tak biasa orang panggil saya
‘abang’.”
Intan tersenyum lebar. Encik Ahmad hanya menunduk diri.
“Terima kasihlah sebab selamatkan anak saya. Dia memang cuai sikit. Orang
lain tengok dulu kiri kanan sebelum melintas, tapi dia melintas dulu baru
tengok kiri kanan.” Semua orang tergelak kecil kecuali Intan yang mencebik
muka.
“Tak apa. Saya ikhlas. Hari ini saya selamatkan orang, esok lusa orang
selamatkan saya, kan?”
“Encik Ahmad, boleh saya cakap sekejap dengan encik di luar?” Prof. E
bersuara.
Encik Ahmad mengangguk. Dia dan Prof. E berjalan ke luar bilik untuk
berbincangkan sesuatu meninggalkan Johan dan Intan berdua.
“Oh, ya. Siapa nama awak?” Intan bertanya.
“Nama saya Yusran. Boleh panggil Yus sahaja.”

0 nota kaki:
Post a Comment