Oct 25, 2013

Vorteks #45 - Mana dan Masa.

0 nota kaki


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44]




“Masih ada sesuatu yang aku tak faham...” Azlan menepuk bahu Johan yang sedang khusyuk melayari internet. Johan sedikit terkejut. Teman sebiliknya itu memang terkenal dengan perangai suka berbual secara tiba-tiba tanpa tajuk.
“Apa dia?” Johan mengalihkan perhatiannya kepada Azlan.
“Macam mana selebriti seperti Hani yang cantik, lembut dan sopan boleh terpikat dengan si Yusran yang dah out-of-date tu?”
Really? Aku tengah bersedih dengan berita Hani nak bernikah dengan Yusran tu, kau pula nak timbulkan lagi tentangnya.” Johan sedikit marah.
“Hahaha. Lepaklah brader. Jangan serius sangat. Hani tu kan hanya ‘square root of negative one girlfriend’ kau je, kan?” Azlan tergelak kecil.
Imaginary girlfriend. Kekasih yang hanya dalam angan-angan.
Johan tersenyum senget. Dia tahu, rakan baiknya itu bukanlah berniat jahat. Kalaulah bukan Johan mengenali si Azlan sebegitu, sudah tentu dia akan terasa dengan perangai Azlan yang straightforward itu.
“Sebenarnya...” Johan memulakan cerita.
“Sebenarnya, Hani pernah beritahu dulu yang dia sangat meminati lagu ‘Kanvas’ dari kumpulan FRU Yusran tu. Sejak dari temubual itu, para wartawan mula gandingkan mereka berdua dalam photo shoot majalah-majalah hiburan. Mungkin dari situ mereka rapat, kot...”
Melihat wajah Johan yang berubah bila bercerita tentang Hani dan Yusran, Azlan menepuk bahu Johan berkali-kali, menenangkannya. “Sabarlah, Johan. Orang kerdil macam kita tak ada kuasa. Jom, aku belanja kau ABC dekat cafe kolej Zeta.”
“Kolej Zeta bukan kolej perempuan ke? Boleh ke kita masuk?” Johan bertanya.
“Sebab itulah ABC dekat sana sedap. Aku kenal seorang makcik dekat cafe tu. Kita boleh masuk tanpa masalah. Untung-untung, dia boleh kenalkan kita dengan seorang dua awek, buat jiwa kau merawat lara.”
Pecah suasana bilik dipenuhi gelak ketawa mereka berdua.


Kepala Johan terhantuk dek buai kenderaan.
Johan mula tersedar dari pengsan. Dia menggosok kepalanya yang kesakitan. Matanya dibuka perlahan-lahan melihat suasana.
Bawi. Galah.
Terfikirkan dua penjahat itu membuatkan Johan terkejut dan membuka mata seluas-luasnya.
Mana Intan?
“Awak dah bangun?” Suara Intan datang dari sebelah.
Johan memandang Intan. Intan selamat. Johan masih terpinga-pinga dengan apa yang berlaku. Dialihnya pandangan kepada seluruh tempat dia berada. Sebuah ruangan yang kecil, bertutup dengan kain kanvas tebal, dipenuhi dengan barangan pertanian seperti beg baja dan beberapa botol berisi cecair berlabel ‘racun’. Ruangan itu panas, berbuai-buai tidak sekata, dan diiringi dengan bunyi deruan enjin kenderaan.
“Kita berada di belakang sebuah lori yang sedang bergerak.” Intan memberikan jawapan kepada soalan yang berlegar di fikiran Johan. Johan memandang Intan. Dari wajah Intan, Johan pasti Intan sendiri tidak pasti bagaimana mereka boleh berada di belakang sebuah lori tersebut.

Kenderaan yang mereka naiki menjadi semakin perlahan sebelum berhenti. Kedengaran bunyi pintu dibuka dari bahagian hadapan kenderaan itu. Seseorang keluar, dan dari arah tapak kakinya, sedang menuju kebahagian belakang kenderaan tersebut.
Johan dan Intan menegakkan badan masing-masing, bersedia untuk menerima siapa sahaja yang bakal mereka berdepan. Johan memegang pisau bersarung yang masih terselit di pinggang kirinya.
“Siapapun mereka, aku kena lindungi Intan,” benak fikiran Johan bersuara.
Kain kanvas bertentangan dengan tempat Johan dan Intan berada diselak. Ternampak kelibat seorang lelaki berjambang dengan memakai topi memancing. Lelaki itu tersenyum.
“Kamu berdua sudah tersedar?” Lelaki berjambang itu berkata dengan senyuman. Dihulurnya dua botol air mineral 1.5 liter kepada Johan. “Ambil air ni. Pakcik tahu kamu dahaga. Minumlah.”
Johan dan Intan masih memandang tanpa tindak balas. Terkejut barangkali.
“Jangan terkejut. Nama pakcik, Nizam. Pakcik jumpa kamu berdua di tepi jalan tadi. Jadi, pakcik angkat masuk ke dalam lori.” Lelaki tadi berbual dalam suara yang lembut.
Johan dan Intan menghembuskan nafas lega. Perkara buruk dalam fikiran adalah mereka kembali menjadi tawanan Bawi dan Galah. Melihat lelaki yang menggelarkan diri Pakcik Nizam ini bercakap lembut dan mesra, Johan dan Intan berasa lega dan selamat.
“Pakcik dari dalam hutan cari baka pokok. Masa keluar, pakcik nampak kamu berdua terbaring di tepi jalan. Takkan pakcik nak biarkan. Jadi, pakcik ambil keputusan bawa kamu keluar hutan sekali.”
Johan menyambut dua botol air yang dihulurkan Pakcik Nizam tadi dan memberikan satu botol kepada Intan. Intan membuka botol tersebut dan meminum airnya tanpa segan. Johan masih memandang pakcik Nizam yang masih tersenyum.
“Kamu berdua sesat dalam hutan ke?” tanya Pakcik Nizam.
“Ya. Kami tersesat semasa berkhemah.” Johan menjawab. Dia terpaksa menipu kerana kebenaran bukannya mudah untuk diterangkan.
“Kalau macam tu, biar pakcik hantar kamu ke balai polis berhampiran.”
Mendengar kata-kata Pakcik Nizam itu, Johan teringatkan pesan Prof. Erman yang memahukannya untuk tidak melibatkan pihak polis.
“Pakcik hantar kami ke bandar yang berhampiran je lah. Dari sana kami akan contact ibu bapa kami.” Sekali lagi, Johan menipu. Intan memandang Johan.
“Pakcik mahu ke Pusat Bandar, tapi sebelum ke sana, pakcik akan singgah di beberapa tempat dulu, nak ambil baja. Mungkin tengah malam baru sampai Pusat Bandar. Tak apa ke?” Pakcik Nizam kelihatan memberi kerjasama.
“Malam? Sekarang pukul berapa?” Johan cuba menjengah luar lori untuk melihat langit.
“Sekarang baru lepas masuk waktu Isyak. Lori ni tak boleh pandu laju sangat, nanti meragam. Jadi, mungkin akan sampai lambat ke Pusat Bandar. Tak apa ke?” Sekali lagi Pakcik Nizam bertanya.
“Kalau macam tu, kami ikut pakcik ke pusat Bandarlah, ya? Boleh?”
“Boleh.” Pakcik Nizam masih tersenyum. Murah senyuman betul lelaki 50-an ini.
“Kalau kamu berdua lapar, dalam kotak sana ada roti ban. Makanlah, buat alas perut.” Pakcik Nizam menudingkan jarinya ke arah sebuah kotak kecil yang berada di sebelah Intan. Memang mereka berdua lapar. Intan dan Johan memandang sesama sendiri sambil tersenyum.
“Terima kasih, pakcik.”

Sebelum beredar, Pakcik Nizam sempat bertanyakan nama mereka berdua.
“Saya Johan, ini Hani.”
Intan memandang Johan. Sekali lagi Intan tahu Johan menipu. Sepatutnya Johan memperkenalkan mereka sebagai ‘Yusran dan Intan’, bukan ‘Johan dan Hani’. Tapi Intan tidak kisah. Dia berasakan mungkin Johan mahu menyembunyikan identiti mereka.
Namun, sebenarnya Johan terlepas cakap dan terlupa dirinya patut dia dipanggil Yusran dan Hani dipanggil Intan.


Kemudian, Pakcik Nizam meneruskan perjalanan dengan belakang lorinya berisi dua insan, Johan dan Hani.



BERSAMBUNG...[46]

Oct 11, 2013

Vorteks #44 - Masa Lalu Seorang Adik.

0 nota kaki

[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43]




Umum kenali aku dengan nama Bawi. Namun, sudah pasti, itu bukan nama sebenar aku. Tiada siapa tahu nama sebenar aku. Malah, tiada siapa tahu latar belakang aku.
Dan ini adalah kisah tentang diri aku.

Kalau ditanya sejak bila aku terjerumus ke dalam kancah persundalan, aku dengan bangga akan jawab sejak dari aku masih satu sel lagi. Lahir dalam sisi gelap pembangunan, aku adalah anak lorong yang makan hasil lendir dari kerja ibu aku, seorang pelayan. Aku sendiri tidak tahu siapa ayah aku, atau yang mana satu, tapi yang aku tahu, aku hidup bersama dua orang perempuan; seorang ibu dan seorang kakak.
Walaupun ibu yang melahirkan aku, tapi kasih sayang pertama aku datang dari kakak. Pada aku, kakaklah yang memainkan peranan seorang ibu, sedangkan ibu hanya keluar pagi dan balik tengah malam atas urusan ‘mencari sesuap nasi’. Beza umur sejauh lapan tahun tidak pernah membuatkan hubungan kami adik-beradik berenggang. Kakak menyayangi aku, menjaga aku dan mengambil berat tentang diri aku walaupun kehidupan kami tidak pernah sinonim dengan perkataan ‘senang’ dan ‘mewah’. Kami bahagia berdua.

“Maruah diri adalah nombor satu. Tak kira betapa miskinnya kita, betapa hinanya kita di mata orang lain, asalkan kita ada maruah, kita akan sentiasa bahagia.” Itulah nasihat yang berkali-kali diingatkan kakak kepada aku.

Sewaktu aku berusia tujuh tahun, di kala kanak-kanak sebaya aku sibuk pergi balik sekolah menuntut ilmu, aku hanya bermain di tepian longkang. Ibu kata, aku masih kecil untuk ke sekolah. Sedangkan aku tahu, masalah utama adalah duit pembelanjaan. Ibu hanya mampu membiaya hanya seorang, maka dia memilih untuk menyekolahkan kakak. Aku tidak kisah. Malah, aku lebih seronok. Dapat melihat kakak pulang dari sekolah setiap tengahari, kemudian gigih menyediakan makan tengahari untuk aku, sentiasa membuatkan aku tersenyum. Kakak cantik dalam pakaian seragam sekolah. Kakak juga akan mengajar aku membaca dan menulis pada waktu petang sebelum aku keluar bermain di taman permainan.
Suatu hari, aku terdengar perbualan ibu dan kakak dari dalam bilik.
“Biar kakak berhenti sekolah. Ibu sekolahkan adik pula. Kakak boleh cari kerja. Boleh bantu ibu.” Ibu tanpa berfikir panjang menerima cadangan dari kakak. Beberapa hari kemudian, aku dibawa ke sekolah untuk didaftarkan. Semuanya adalah jasa kakak yang sanggup berkorban demi aku.
Selepas saat itu, kehidupan kami berubah. Kakak keluar kerja dari pagi sehingga ke petang. Dia mendapat upah dari kerja membersih dan membasuh pinggan mangkuk di sebuah restoran berdekatan. Namun, kakak tetap akan mencuri masa tengahari untuk pulang dan sediakan makanan untuk aku. Selalunya dia akan tunggu aku balik dari sekolah dan makan tengahari bersama sebelum dia kembali ke tempat kerja. Walaupun masa aku bersama kakak semakin berkurangan, tapi aku tetap gembira.
Ibu? Tidak habis-habis dengan ‘kerja’nya dari pagi sehingga lewat malam melayan lelaki.

Satu hari, sewaktu aku pulang dari sekolah, aku dapati rumah tiada orang. Tiada kakak. Tiada ibu. Tiada makanan.
Beranggapan kakak sedikit terlewat dari tempat kerjanya, aku menyorok di dalam almari pakaian di dalam bilik kakak untuk mengejutkan dia sejurus selepas dia sampai di rumah nanti. Beberapa ketika semasa aku sedang menyorok, aku terdengar suara kakak dari pintu depan.
“Tak nak. Ibu, tolonglah. Kakak tak nak!”
“Jangan degil. Kau kata nak tolong ibu. Jadi tolonglah ibu.”
Suara kakak dan ibu bergilir-gilir memecah suasana. Tapi dari bunyi langkah kaki, aku percaya masih ada seorang lagi di situ. Kawan ibu barangkali.
“Tak nak. Ibu, tolonglah!” Suara kakak makin kuat. Dari celahan almari, aku mengintai keluar. Kelihatan ibu sedang menarik tangan kakak masuk ke dalam bilik kakak di mana aku sedang bersorok. Lalu ibu menolak kakak tertunduk di atas katil. Mata kakak merah, berair mata. Turut kelihatan, seorang lelaki yang tidak dikenali sedang menghembus asap rokok dari sudut bilik, memerhati kelakuan ibu dan kakak sambil tersenyum.
“Aku tak peduli. Kau kata nak tolong aku, jadi kau kena buat,” ibu mendesak kakak. Belum sempat kakak membuka mulut, pipinya dihinggap satu penampar dari ibu.
“Jangan buat aku marah!” Ibu mengugut. Kakak menggosok pipinya yang kesakitan, hanya berdiam diri di atas katil sambil teresak-esak menahan tangis.
Ibu menuju ke arah lelaki tadi dan berbisik sesuatu yang tidak dapat aku dengari. Lalu lelaki itu mengeluarkan sejumlah duit kertas biru yang berlipat dari kocek seluarnya dan memberikan duit tersebut kepada ibu. Ibu, dengan senyuman, mengambil duit itu dan dengan segera keluar dan menutup pintu bilik. Si lelaki itu pula menanggalkan butang baju kemejanya satu persatu sambil menghampiri kakak. Kakak merayu agar dia dikasihankan tapi lelaki itu terlalu leka dengan fikiran kotornya.
Seterusnya, hanya sejarah. Aku menyaksikan segala-galanya, bagaimana pakaian kakak disentap, kudrat kakak dinafi, pekikan kakak diabai, maruah kakak dirampas, dan seterusnya kakak longlai tidak terdaya berseorangan. Aku mahu membantu, tapi entah kenapa aku tidak mampu bergerak. Aku tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya mata sibuk menatap tidak berkelip seluruh kejadian sambil ditemani air yang tidak berhenti mengalir keluar. Ini adalah pemandangan yang tidak mungkin dapat aku lupakan.
Niat aku mahu mengejutkan kakak bertukar dengan aku yang dikejutkan. Kakak aku kini sudah tidak bermaruah. Maruah yang dijaganya sekian lama. Maruah yang dikatanya paling penting untuk bahagia. Kini, maruah itu sudah tiada.

Sejak hari itu, kakak jadi pendiam. Kakak tidak seramah dulu, termasuk ketika bersama aku. Setiap kali aku melihat wajah kakak, tiada ekspresi yang kakak tonjolkan. Aku tahu kenapa, tapi aku tidak mahu mengatakannya. Aku hanya diam.
Bila melihat ibu, aku berasa jijik. Di sekolah diajar ungkapan ‘ibu mana tidak sayangkan anak’, namun di hadapan aku ada bukti sebaliknya. Haruan makan anak. Harapkan pegar, pegar makan padi. Dia bukan lagi ibu aku. Pada aku, ibu sudah mati, dan aku tidak keberatan untuk merealisaikannya.

Beberapa hari selepas peristiwa hitam itu, sewaktu aku balik rumah dari sekolah, aku dapati makanan tengahari sudah disediakan. Aku tersenyum gembira. Semua ini bermaknanya kakak ada di rumah. Kami akan makan bersama, ketawa bersama, riang bersama kembali.
Kami akan bahagia seperti dulu.
Sewaktu aku ke dalam bilik kakak untuk memanggilnya makan bersama, terdapat satu lagi pemandangan yang tidak dapat aku lupakan. Kakak, dengan lidah terjelir panjang, mata terbeliak dan merah padam, tergantung dengan satu hujung tali terjerut di leher dan satu lagi terikat di siling bilik. Jasad tidak bernyawanya terbuai-buai ditiup angin yang datang dari tingkap yang terbuka. Di atas meja, bertindihkan buku, terdapat satu nota tertulis, ‘maruah kakak hilang, kakak tiada pilihan.’
Sekali lagi, aku tidak mampu berbuat apa-apa. Aku terkaku.
Kakak membuat keputusan menamatkan riwayat hidupnya.

Pada aku, kakak seorang yang lemah.
Hanya kerana maruahnya dirampas, kakak ambil keputusan untuk merampas kebahagiaan aku. Kakak mengambil keputusan untuk menamatkan hayat satu-satunya orang yang aku sayang. Kakak mengambil keputusan untuk menamatkan hayat dirinya sendiri. Adakah kakak tidak memikirkan tentang apa yang akan terjadi kepada aku selepas dia pergi? Dia tidak layak menentukan apa yang patut dia ambil dari aku. Tanpa kakak, bagaimana aku mampu mengecap kebahagiaan lagi?
Ibu pula, hanya sehari selepas pengebumian (yang diuruskan oleh ahli masjid berdekatan atas tuntutan fardu kifayah), dia menyambung kerja persundalannya. Tiada masa untuk berkabung. Tiada masa untuk meratap. Tiada masa untuk bersedih. Tiada masa untuk aku. Sedangkan semua ini berpunca dari dia sendiri.
Dek kerana kematian adalah satu kebiasaan di kawasan kejiranan itu, tiada siasatan susulan untuk kematian kakak. Maka, ibu terlepas begitu sahaja. Masih lagi menjadi hamba kepada nafsu, wang dan lelaki.
Pada waktu itu, aku sedar, semua perempuan dalam dunia ini lemah. Kakak lemah, ibu pun lemah. Aku tekad, aku akan rampas sebanyak mungkin maruah perempuan yang aku mampu, sebagaimana mereka merampas seluruh kebahagiaan dan kegembiraan aku yang tidak mungkin lagi akan berganti.

Setelah berpuluh tahun merampas maruah perempuan, kini, aku bersama Galah, rakan sepenjenayahan dalam bidang pelacuran. Kami sedang berada di pinggir hutan memperkemas pakaian seragam polis yang kami pakai selepas merampasnya dari dua anggota yang kami serang sebentar tadi.
“Macam mana sekarang, Bawi? Polis tengah buru kita. Budak-budak tu dah terlepas. Kita sudah menculik, membunuh, menyerang anggota polis lagi. Mati kita, Bawi. Ke tali gantung kita.” Galah bernada cemas.
Aku tajam menatap sesuatu di hadapan.
“Selagi aku tak rabakkan budak perempuan tu, selagi aku tak penggal kepala budak lelaki tu, aku tak akan puas. Maruah aku adalah nombor satu.”
Di sebalik kegelapan senja, aku dan Galah sedang berdiri di dalam semak sambil memerhati dari jarak hampir 50 meter perbuatan seorang pemandu lori pikap yang mengangkat dua tubuh manusia masuk ke dalam lorinya. Selepas beberapa ketika, lori pikap itu berlalu pergi tanpa sempat aku dan Bawi berbuat apa-apa.

“Mereka takkan terlepas.”



BERSAMBUNG...[45]

Oct 4, 2013

Vorteks #43 - Masa dan Fatamorgana.

0 nota kaki


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42]




Kaki Johan masih terus melangkah. Namun, langkahnya semakin lemah. Setapak demi setapak, setiap langkah dipastikan kemas dan kukuh. Dengan kasut yang dipakai bukanlah saiznya, tambahan lantai hutan yang tidak pernah rata, Johan perlu pastikan dirinya tidak tumbang semasa Intan masih digendong di belakang.
Intan di belakang diam tanpa bahasa. Johan sedar Intan terlena. Pada Johan, Intan berhak tidur lena setelah apa yang dilaluinya. Diculik, disorok, hampir dirogol, nyaris mati terbunuh dek tembakan, malah kini dikejar para penjenayah yang menculiknya. Hari ini mungkin menjadi hari paling buruk dalam sejarah hidup Intan. Tak mungkin pula Johan tergamak hendak kejutan Intan kembali semula ke dalam hari teruk yang masih belum berakhir.
Tapi kenyataan diri Johan yang semakin kesuntukan tenaga tidak mampu disangkal. Berjalan dalam hutan berjam-jam sambil menggendong Intan menuju ke destinasi yang tidak diketahuinya sangat memakan tenaga. Berpatah balik bukanlah pilihan, memandangkan dua orang penjenayah yang mengejar mereka sangatlah berbahaya, walaupun tidak bersenjata dan berpakaian.
Namun, yang suntuk bukan hanya tenaga. Masa juga. Matahari yang merupakan satu-satunya petunjuk jalan mereka, kini semakin condong menghilang di sebalik ketebalan hutan. Masa semakin petang. Hutan semakin gelap. Riuh unggas serta segala isi penghuni hutan semakin meriah, seolah-olah satu keraian.
Johan semakin hilang pilihan. Mahu diteruskan langkah, tiada tenaga. Mahu berhenti bermalam, takut menjadi santapan para haiwan buas.

“Aku kena kuat. Aku kena kuat.”
Berkali-kali Johan berbisik kepada diri sendiri. Namun langkahnya semakin longlai. Kakinya rapuh menahan langkah. Mulutnya terbuka menghembus lelah. Matanya kabur menahan penat.
Satu langkah, semuanya berubah. Johan sudah tiada daya. Lutut kanannya jatuh ke tanah. Diikuti dengan lutut kiri. Tangan kanan masih mengampu Intan sedangkan tangan kirinya bertongkat bumi. Dia kini separuh rebah. Tenaga yang masih ada digunakannya hanya untuk memastikan Intan tidak tersembam mencium bumi. Perlahan-lahan Johan meletakkan Intan yang masih lena bersandar ke pokok rendah berdekatan. Menakjubkan melihat Intan yang masih terlena. Sudah tentu Intan juga kepenatan sepertinya.
Johan tersandar di sebelah Intan.
Johan bernafas laju menahan penat. Jujurnya, dia buntu. Mungkin mereka kena bermalam di dalam hutan sahaja. Bab haiwan buas berkeliaran malam, itu akan difikirkannya kemudian. Biarlah kepenatan menelan mereka dahulu buat masa sekarang.
Melihat Intan di sebelah, Johan tersenyum. Dalam senyumannya, jelas kelihatan riak risau. Apa lagi boleh dia buat untuk pastikan Intan selamat? Apa lagi pilihan yang ada jika dia tidak mahu bermalam di dalam hutan, dan dalam masa sama tidak mampu untuk terus bergerak ke depan?
Penat memikirkan tindakan seterusnya, mata Johan semakin kuyu. Seperti syaitan yang bergayut di buaian, pelupuk matanya semakin berat. Beberapa kali Johan menampar pipi, tidak membenarkan dirinya untuk terlena. Dia tidak sepatutnya terlena. Ianya ibarat meletakkan makanan ke atas pinggan haiwan buas yang bakal meninjau. Namun, apakan daya. Tanpa disedarinya, matanya sudah terpejam. Fikirannya kini melayang dalam gelombang otak theta. Suasana riuh unggas di sekitar semakin pudar dalam fikiran.

Sayup. Bunyi deru enjin kenderaan.

Mata Johan terbeliak. Dia yakin dengan apa yang didengarinya. Ianya bukanlah fantasi seperti fatamorgana oasis di padang pasir yang tandus. Ianya jelas dan meyakinkan. Ianya bunyi kenderaan sedang bergerak.
Walaupun sedar dirinya sudah ketiadaan tenaga, tapi bak kata orang ‘desperate time calls for desperate measure’. Johan tidak peduli sama ada dia masih ada tenaga atau tidak, ataupun sampai ke tahap tulangnya patah atau ototnya hancur sekalipun, apa yang dia mahu ialah membawa Intan ke arah sumber bunyi yang didengarinya itu.
Johan lantas, dengan kudrat yang tinggal, bangun dan kembali menggendong Intan yang masih terlena di belakang badan. Dengan hanya berbekalkan semangat, dia bergerak menuju ke depan, meredah segala apa yang menjadi halangan. Fatamorgana atau tidak, dia tidak peduli. Padanya, bunyi deruan kenderaan itu adalah benar dan ada. Bunyi itulah yang menjadi agen pemberi semangat kepadanya.
Setelah beberapa langkah meredah pokok renek, belukar dan semak-samun, Johan memberhentikan langkah. Dia tersenyum. Di hadapannya adalah harapan. Di hadapannya adalah penantian. Di hadapannya adalah kemenangan.
Di hadapannya adalah sebatang jalan raya kecil.
Johan bersyukur. Ditadahnya tangan mengadap langit senja yang berwarna ungu, mengucapkan jutaan syukur kepada Yang Maha Mendengar.
Namun, umpama minyak yang sudah habis digunakan, pandangan Johan menjadi malap dan hitam. Dia terjelepuk di tepi jalanraya itu bersama Intan. Mereka berdua rebah tidak sedarkan diri. Tiada lagi semangat, tiada lagi kudrat. Masing-masing terbaring berdua di tepi jalan.

Bunyi deruan enjin semakin jelas. Jauh di hujung jalan ternampak suluhan lampu bermata dua. Suluhan itu datang daripada sebuah lori pikap kecil bermodel lama yang sedang melalui jalan raya tersebut. Apabila semakin menghampiri tempat Johan dan Intan terbaring, lori pikap itu memperlahankan kelajuan sebelum berhenti. Seseorang keluar dari pintu pemandu.

“Tuan, hari semakin gelap. Adalah lebih baik untuk kita tangguhkan usaha menjejak dan menyelamat ini, Tuan.” Inspektor Bakar mengangguk. Kata-kata anak buahnya memang masuk akal. Kawasan yang gelap dan berbahaya seperti di dalam hutan ini akan merumitkan lagi usaha mencari dan menyelamat. Paling tidak, mereka kini tahu dua penjenayah yang dikejar tidak lagi bersenjata (dan berpakaian). Namun, nasib dua orang mangsa yang dikejar penjenayah masih belum diketahui.
“Maklumkan kepada semua anggota untuk berkumpul di sini sebelum bergerak balik ke tempat kejadian tadi. Kita tangguhkan operasi kita sehingga diberitahu kemudian.” Setelah mendengar arahan Inspektor Bakar, anak buahnya itu menyebarkan arahan melalui sistem komunikasi gelombang radio ‘walkie-talkie’ yang mereka gunakan untuk berinteraksi.
Seorang demi seorang anggota datang melapor diri. Mereka juga kelihatan penat kerana berjam-jam meredah hutan. Inspektor Bakar sedar, ada antara mereka bukanlah arif sangat beroperasi di dalam hutan, namun sedikit sebanyak pengalaman ini boleh dijadikan bekalan masa depan.
“Tuan!” Pandangan Inspektor Bakar beralih ke arah sumber suara.
“Ada dua anggota kita tidak dapat dihubungi, Tuan.” Berita yang datang dari salah seorang anak buahnya itu sangat mengejutkan. Anggota-anggota lain yang berada berdekatan juga terkejut dan saling berpandangan sesama sendiri.
“Sudah cuba hubungi radio mereka? “
“Sudah, Tuan. Tiada respon.”
Setelah berfikir sejenak, Inspektor Bakar memberi arahan. “Kita akan bergerak bersama, menuju ke tempat terakhir dua anggota yang hilang itu dikesan. Itu prioriti tertinggi. Faham?”
“FAHAM, TUAN!”


Di satu kawasan di dalam hutan, Bawi dan Galah dilihat sedang memperkemas pakaian seragam polis yang dipakai mereka selepas mengambilnya dari dua anggota yang hilang.



BERSAMBUNG...[44]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...