Jul 6, 2012

Vorteks #1 Pilot




N19-BANDAR SELATAN: Spekulasi perkahwinan penyanyi dari kumpulan rock terkenal negara, Yusran Abdul Hamid, 38, dengan pelakon jelita, Intan Farhani Ahmad, 24, akhirnya terjawab apabila pasangan berkenaan mengumumkan tarikh pernikahan dan majlis resepsi mereka, di sini, semalam. Pasangan itu akan disatukan sebagai suami isteri di Masjid Besar Arahjaya pada jumaat, 23 Mac depan selepas solat Asar. Manakala majlis resepsi…

     “Bla, bla, bla…

     Johan menggerakkan tetikus komputer ribanya ke tanda pangkah, menutup laman sesawang berita dalam talian. Ditenungnya skrin komputer itu tanpa tujuan. Dia membetulkan kedudukan punggungnya di atas kerusi meja belajar itu, seperti ada sesuatu yang tidak kena.

     Selaku pelajar jurusan perubatan, dia sememangnya sering mengikuti perkembangan masa kini hanya secara talian. Hiburan, sukan, ekonomi, politik, semua dapat diperolehi dengan segera. Selain menjimatkan masa dan duit belanja tanpa perlu menghabiskan tenaga ke kedai membeli akhbar, ianya juga amat boleh dipercayai berbanding media cetak arus perdana yang lebih gemar menggembar-gemburkan cerita.

     “Marah ke Han?” Azlan menegur dari belakang, sekaligus mengejutkan Johan yang sedikit terbuai dek lamunan perasaan.

     “Nak marah apa?” Johan memusingkan kerusi yang didudukinya ke arah Azlan.

     “Kau tutup berita kahwin Yusran dengan Hani tu macam gaya kau nak hentak laptop tu tanpa belas kasihan.”

     “Seminggu lagi.” Johan menunduk.

     “Seminggu lagi tarikh pernikahan dia, Lan.”
     Azlan ketawa kecil.

     “Kau memang fikir kau boleh dapat dia ke, Han?”

     “Aku boleh cuba…”

     “Jangan. Dia cuma ‘square root of negative one girlfriend’ kau je.”

     Square root of negative one girlfriend. Untuk memahami frasa tersebut, kita perlu mengenal siapa Azlan.

     Azlan ialah teman sebilik Johan di universiti. Walaupun Johan pelajar jurusan perubatan, namun Azlan adalah pelajar jurusan kejuruteraan awam. Azlan dikatakan sangat pandai dalam bidangnya sampaikan sehingga kini, setiap semester, dia memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 4.00 tanpa gagal. Disebabkan kebijaksanaan itulah, Azlan dikenali sebagai ‘Academic Joker’ kerana dia sering buat kelakar dengan memasukkan istilah akademik yang kadang-kadang tidak difahami sesetengah kelompok rakannya.

     Dalam konteks frasa ‘square root of negative one girlfriend’, ‘square root of negative one’ disebut ‘imaginary’ dalam istilah matematik. Maka, istilah ‘square root of negative one girlfriend’ bermaksud ‘imaginary girlfriend’, merujuk kepada Hani, seorang artis terkenal, yang ingin dijadikan teman wanita oleh Johan. Hubungan artis dan peminat yang pada Azlan hanyalah ‘imaginary’ sedangkan Johan begitu terkesan.

     “Aku percaya, dia tak tahu pun kewujudan kau di dunia ni. Macam mana pula kau nak rampas perempuan yang bakal jadi isteri orang dalam masa tujuh hari lagi?”

     Azlan cuba meyakinkan Johan, walaupun jauh di sudut hati, dia merasakan Johan sangat tak rasional. Manakan tidak, jatuh cinta sepenuh hati dengan artis kegemaran. Get a life.

     “Can you believe? Dari berjuta-juta lelaki dalam dunia ni, kenapa Hani nak jadikan si douchebag macam Yusran tu untuk dijadikan suami?”

     Yusran merupakan salah seorang dari empat ahli kumpulan rock yang terkenal negara, kumpulan FRU. FRU adalah singkat kepada Fire Recite Unit, melambangkan bahawa semangat rock dalam perjuangan seni mereka. Namun itu dahulu. Selepas melangkaui zaman kegemilangan mereka, populariti FRU hanya dikenali sebagai kumpulan rock yang sudah hilang taring kerana kebanyakan lagu mereka kini berentak perlahan dan penuh bait-bait cinta, tidak seperti 8 tahun dahulu yang penuh dengan semangat remaja dan pemberontakan perasaan. Yusran, selaku vokalis kumpulan itu juga terkenal dengan sifat kaki kelab dan perempuan. 15 tahun dalam industri seni, hampir 30 artis wanita dikaitkan dengannya, semuanya diakhiri dengan berita buruk.

     “Sebenarnya, aku tak kisah sangat kalau Hani nak akhiri zaman bujang dia. Dari segi usia, memang sudah masanya.”
     Azlan mengangguk faham.

     “Tapi, yang buatkan aku marah, dan buatkan semua lelaki di luar sana marah, adalah dia memilih untuk menamatkannya dengan lelaki macam Yusran tu.”

     Kata-kata Johan ada benarnya.

     Hani terkenal sebagai artis yang berimej bersih dan sopan. Berkulit putih, bersuara lembut, dan memiliki senyuman yang memikat, Hani merupakan gadis idaman setiap lelaki dan menjadi mangsa cemburu kebanyakkan perempuan. Tidak pernah timbul kontroversi buruk mengenai dirinya membuatkan dia digelar ‘Everybody’s Sweetheart’.

     Maka, kenyataan media bahawa Hani dikatakan sedang berpasangan dengan Yusran pada mulanya dianggap sebagai gurauan busuk para pencetus gosip negara. Namun, selepas kenyataan dikeluarkan secara rasmi oleh mereka berdua dua bulan lalu, satu negara tergamam. Bagaimana seorang gadis idaman seantero dunia mampu bersama dengan Yusran yang menjadi cemuhan masyarakat.

     “People say third time is the charm. But for me, thirty IS the charm. Haha!”
     Itulah penyataan yang pernah dikemukan Yusran bila ditanyakan tentang hubungan dia yang pernah dikaitkan dengan 29 orang artis wanita sebelum ini. Malangnya, yang ke-30 ialah Hani.

     “Beginilah. Aku tak ada cara nak jadikan hidup kau lebih baik...”
     Azlan cuba menenangkan Johan.

     “Tapi, aku ada cara bagaimana kau boleh asingkan fikiran kau dari memikirkan hal ni, buat masa ni.”
     “Macam mana? Kalau dadah, aku tak nak.”

     “Hoi, aku tak sebodoh tu lah!” Azlan meninggikan nada, tapi dia tahu, Johan hanya bergurau.

     “Malam ni, kau siap. Aku akan bawa kau ke satu tempat dan rasai pengalaman yang takkan kau lupakan.”

     Selalunya, idea dari Azlan tidak pernah mengecewakan. Johan terlalu kenal dengan rakan sebiliknya itu, sehinggakan tanpa perlu penerangan lanjut, dia terus bersetuju.

     “Baiklah.”




BERSAMBUNG..
[2]
.

0 nota kaki:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...