Sep 14, 2012

Vorteks #10 Jaluran Alam Selari, Jalur Masa Alternatif.

0 nota kaki
[1][2][3][4][5][6][7][8][9]




“Rosak agaknya kereta aku. Atau mungkin dia sesat?” Prof. E mempersoal diri sendiri tentang kelewatan Johan. Jam sudah menunjukkan waktu petang, sedangkan Johan keluar pada awal tengahari tadi. Pada Prof. E, ke pasaraya membeli barang dan kemudian mengisi petrol di stesen minyak sebelah pasaraya tidak akan memakan masa selama ini. Gelisah, Prof. E turun dari bilik kajiannya ke ruang tamu sebelum membuka pintu dan menjenguk ke luar rumah. Masih tiada tanda kepulangan. Prof. E kembali ke ruang tamu dan duduk di sofa, masih kegelisahan.
Seketika kemudian, terdengar deruan enjin kereta lamanya. Deruan yang mampu mengejutkan sesiapa sahaja yang mendengarnya. Prof. E bangun berdiri dari tempat duduknya. Seketika, pintu dibuka, dan Johan muncul dengan bungkusan berisi minuman tenaga di tangan kiri dan kunci kereta di tangan kanan.

“Kenapa lambat?” Prof. E bertanya.
Johan tidak menjawab. Hanya mendiamkan diri. Dia menuju ke ruang dapur. Prof. E mengekorinya ke ruang dapur. Johan meletakkan bungkusan berisi minuman tenaga di atas meja di dapur berserta kunci kereta di sebelahnya. Jelas, wajahnya kesedihan.
“Kenapa lambat, Johan?” Prof. E mengulangi soalannya kerana difikirnya Johan tidak mendengarnya.

“Saya...Saya jumpa seseorang tadi.” Johan merebahkan punggungnya ke atas kerusi di meja makan. Johan masih belum bertemu mata dengan Prof. E.
“Siapa? Kau kenal ke?”
“Ya. Saya kenal.” Prof. E terkejut mendengarnya.
“Siapa?”
“Datuk saya.” Prof. E membeliakkan matanya. Dia cuba mahu mengingati kata-kata Johan sebelum ini.
“Bukankah kau kata datuk kau dah meninggal dunia lapan tahun lepas dalam zaman kau?”
“Ya.”
Ekspresi muka Prof. E berubah. Mukanya kelihatan marah.

“Kau sedar tak apa yang kau dah buat? Kau sedar tak?” Prof. E menengking Johan. Namun, Johan seperti sudah mengagak perkara tersebut bakal berlaku.
“Aku dah beritahu, kewujudan kau di masa ini terlalu bahaya. Sedikit perlakuan kau mampu mengubah masa depan, masa di mana kau datang.” Prof. E meninggikan suaranya terhadap Johan. Johan masih terduduk diam memandang meja tiada makna.
“Kami, para saintis, percaya dunia kita terdiri daripada jaluran alam yang selari yang tak terkira bilangannya, dipanggil 'parallel universe'. Satu perbuatan kau, akan wujud satu lagi jaluran alam yang lain. Tindakan kau mampu mengubah masa depan di mana kau berasal, malah mungkin mengubah masa depan zaman ini.”
Johan masih mendiamkan diri.
“Semasa di jalur masa kau berasal, datuk kau tidak bertemu dengan kau yang sudah dewasa, sedangkan apabila kau ke sini, dia bertemu dengan kau. Kau mungkin sudah mencipta satu jalur masa alternatif di mana ‘datuk kau bertemu dengan kau yang dewasa di masa akan datang’. Kami, para saintis, percaya, datuk kau yang sudah mati di masa kau mungkin tidak akan mati di masa ini kerana kau, gagal mengawal perasaan kau yang tidak matang, pergi bertemu dengan orang yang sepatutnya tidak tahu kau wujud!”
Johan menggenggam tangannya erat-erat.
“Datuk kau sudah mati di masa kau, tapi dia belum mati di masa ini, jadi kalau sesuatu berlaku akibat dari pertemuan kau itu, dan dia tidak mati di waktu yang sepatutnya, kau mungkin akan mengubah sejarah masa depan alam ini secara total. Kita mungkin di ambang kebinasaan!” Nada Prof. E makin tinggi.
“Pernah dengar perumpamaan ‘satu libas sayap kupu-kupu di timur mampu mencetus taufan di barat dunia’? Kami, para saintis, percaya, dalam kes ini, kaulah kupu-kupu itu. Perbuatan kau bertemu dengan orang yang sepatutnya mati mampu mencetus malapetaka kepada alam ini. Kau..”

“DIAM!” Johan berdiri dari kerusinya dan menghentak meja, marah.
“Saya mungkin bodoh sebab saya muda, tapi saya bukan si tolol yang perlu diherdik akibat sesuatu yang tidak pasti!” Johan membalas herdikan Prof. E tadi.
“Apa itu jaluran alam yang selari, apa itu 'parallel universe', apa itu jalur masa alternatif, Prof tidak pernahkah inginkan peluang kedua terhadap sesuatu?” Johan tepat menatap mata Prof. E.
“Pada saya, tidak dapat bertemu dengan Atuk di penghujung usianya adalah kekesalan yang paling terkesan kepada saya. Dan ini, datang ke lapan tahun sebelumnya, mungkin adalah kehendak Tuhan dengan memberikan saya peluang kedua.”

“Tuhan?” soal Prof. E.
“Kau berkata tentang Tuhan di dalam fakta sains?”
Johan bermuka hairan.
“’Tuhan’ hanyalah alasan mereka yang tidak mahu menerima fakta sains dan mahu terus percayakan dunia ini atas kehendak sendiri, sedangkan fakta sains sudah terbukti menjelaskan pelbagai perkara. Bagaimana kau bernafas, bagaimana kau dilahirkan, semua itu fakta sains.”
“Jadi, Prof tak percayakan kewujudan kuasa maha besar seperti Tuhan?”
“Sesuatu yang tidak dapat dijelaskan dengan fakta sains adalah tidak konklusif. Kami, para sainstis, percaya...”
“’Kami para saintis’? Prof asyik mengulang perkataan itu dari tadi. Adakah Prof fikirkan kalau semua saintis di dunia ini, yang wujud dari zaman dulu sampailah yang akan muncul di masa akan datang dikumpulkan, fakta dari mereka semua dapat menandingi kuasa Tuhan?”
Prof. E terdiam.

“Dalam Rukun Iman, ada percaya kepada Qada' dan Qadar, di mana mempercayai bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan-Nya semata-mata. Saya percaya, saya dihantar ke masa lapan tahun sebelumnya ini ada hikmahnya, ada sebabnya. Sebab itu, hikmah itu, tidak semestinya untuk kita. Kita beruntung jika dapat memikirkan hikmahnya, tapi jangan sampai mempersoalkan isi kandungannya. Itulah pesanan Atuk saya yang sedang tenat di atas katil tadi, semasa saya pergi bertemu dengan dia.”
Prof. E kelu seribu bahasa. Nada Johan juga bertukar suram.

“Dari keadaan dia, memang jelas dia sudah di penghujung waktunya. Kalau ikutkan sejarah di masa saya, dia akan meninggalkan kita esok hari. Saya bersyukur, dan berterima kasih kepada Prof sebab beri saya peluang untuk bertemu dengan dia untuk kali yang terakhir. Itulah peluang kedua saya.” Johan beredar dari kerusinya dan membelakangi Prof. E.
“Saya sudah temui peluang kedua saya, berkat bantuan dari Prof. Sekarang, saya harap Porf pula temui peluang kedua Prof melalui saya agar kita saling terhutang budi. Mungkin dengan bertemu semula dengan anak dan isteri Prof yang sudah lama pergi meninggalkan Prof.”
Prof. E terkejut.

“Ba..Bagaimana kau tahu tentang itu?”
“Bagi seseorang yang berpegang kuat kepada sains, Prof mengekalkan keadaan bilik utama dan bilik milik anak Prof seperti sedia kala sudah tentu bersebab. Prof mengharapkan mereka balik semula. Sama ada Prof menghalau mereka keluar, atau mereka sudah tidak tahan dan meninggalkan Prof.” Johan memusingkan kepalanya memandang Prof. E.
“Dari perangai Prof, saya rasa pilihan kedua adalah yang lebih tepat, kan?”
Johan pergi ke biliknya di tingkat atas meninggalkan Prof. E yang terkaku. Terkaku mendengar kata-kata Johan yang menaakul tepat mengenai perihal keluarganya dengan hanya meneliti keadaan rumahnya.
Lalu, Prof sedar sesuatu. Dia sedar, perasaan cepat mempercayai Johan yang selama ini kuat membelenggu dirinya adalah kerana sikap Johan begitu mirip dengan sikap anak lelakinya. Anak lelaki yang pergi meninggalkannya.



BERSAMBUNG...[11]

Sep 7, 2012

Vorteks #9 Bukan Dalam Masa yang Lama.

0 nota kaki
[1][2][3][4][5][6][7][8]




Emosi Johan bercampur-baur. Dia sendiri tidak pasti tindakannya itu adalah betul atau tidak. Tapi, kini dia sudah berdiri di hadapan jasad bernyawa datuknya. Sudah terlambat baginya untuk membatalkan keputusan yang sudah diambilnya. Mereka sudah bertentang mata.
Johan pergi bertemu datuknya yang masih hidup pada ketika itu.
“Assalamualaikum, Atuk.”
Datuk Johan yang sedang duduk melunjur di atas katil terkejut.
“Johan?”
Johan gagal mengawal emosinya lalu memeluk datuk kesayangannya itu.

Sejak dari kecil lagi, datuk kepada Johan tinggal bersama keluarga Johan. Johan membesar bersama-sama datuknya. Atuklah yang mengajar Johan mengayuh basikal di kala bapa Johan sedang sibuk mencari rezeki untuk keluarga. Kasih dan ikatan Johan bersama Atuk sangat kuat. Mereka sering keluar bersiar-siar bersama. Sehinggalah Atuk diserang angin ahmar dan membuatkan dia lumpuh separuh badan dan hanya menghabiskan masa berbaring di atas katil di rumah. Hati Johan amat sedih, namun setiap hari dia akan menjenguk Atuk di bilik, disuap Atuk makan, dilap badan Atuk dengan tuala lembap, dengan penuh kasih sayang.
Kemudian, Johan mendapat tawaran sambung belajar ke sekolah asrama penuh. Berat hatinya ingin meninggalkan Atuk. Tetapi, atas niat mahu terus belajar, Johan pasrahkan jua.
Namun, pada suatu hari persekolahan, Johan dipanggil ke pejabat lalu dibawa pulang oleh bapanya ke rumah. Semasa dalam perjalanan pulang, dengan nada perlahan, bapa Johan menceritakan apa yang sudah berlaku di rumah. Johan menangis sepanjang perjalanan pulang. Sejurus sampai ke rumah, Johan terus berlari menuju ke ruang tamu hanya untuk memeluk sekujur tubuh kaku yang dibalut kain putih. Sekelilingnya terdapat jiran tetangga sedang membacakan surah Yaasin. Johan meraung kesedihan. Datuknya sudah tiada. Lagi kesal, dia tidak berada di sisi datuknya di saat-saat akhir beliau.
Peristiwa sedih itu berlaku 18 Mac 2004.

Kini, Johan mendapat kesempatannya, memeluk erat tubuh Atuknya yang masih bernyawa. Tarikhnya 17 Mac 2004.

“Ya, Atuk. Ini Han. Han rindukan Atuk.” Atuk merenggangkan pelukan untuk menatap wajah Johan.
“Johan...Kamu nampak dewasa..” penat Atuk menutur kata.
Johan terkejut. Dia tidak mampu memikirkan apa yang patut dijelaskan kepada Atuk tentang persoalan itu. Lalu, dia spontan membuat keputusan untuk berkata benar.
“Saya Johan dari masa depan, Atuk. Entah bagaimana, saya dihantar ke lapan tahun sebelumnya, kemudian saya datang bertemu Atuk.”
Atuk tersenyum.
“Syukur,  doa Atuk nak lihat cucu Atuk dewasa dimakbulkan. Alhamdulillah.”
Johan tersentap. Dia kehilangan kata untuk berbicara. Sungguh dia tidak menyangka datuknya begitu senang mempercayainya. Kalau ayatnya tadi disebut kepada orang lain, tentu dia dianggap gila.
“Atuk percaya Han dari masa depan?” Johan bertanya.
“Tiada sebab untuk kamu menipu Atuk, Tentulah Atuk percaya.” Johan menangis teresak-esak.

“Daripada reaksi kamu tadi, Atuk sudah tahu apa kesudahan Atuk. Sebenarnya, Atuk dapat rasakannya. Atuk rasa masanya sudah semakin hampir.” Johan masih menangis teresak-esak.
“Waktu Atuk mula sakit dulu, kamu ada cakap kamu mahu jadi doktor supaya dapat rawat Atuk. Macam mana sekarang? Kamu sudah jadi doktor?” Atuk bertanya.
“Han...Han masih sedang belajar dalam tahun tiga jurusan perubatan. InsyaAllah, dua tahun lebih lagi Han bergelar doktor.” Johan gembira melihat Atuk tersenyum.
“Tapi Atuk, belajar nak jadi doktor ni sangat susah. Han takut Han tak mampu.”
“Johan, sebab ianya susahlah, ianya akan jadi lebih berharga. Berlian menjadi lebih berharga kerana usaha si jauhari menggilap dan mengasahnya. Tanpa usaha, berlian hanya batu biasa.”

Lalu, Atuk memegang tangan Johan dengan erat.
“ Atuk sangat bersyukur dapat bertemu kamu hari ini. Atuk terlalu rindukan kamu, sejak kamu ke sekolah asrama sana. “ Johan menatap wajah Atuk tanpa kata.
“Kalau ini pertemuan terakhir kita, ingatlah pesanan Atuk ini. Tidak kira apa jalan yang kamu pilih, laluinya dengan sepenuh jiwa. Sentiasa berbuat baik, dan bersangka baik. Sayangilah orang yang menyayangi kamu. Jangan lupa jasa orang yang pernah menolong kita. Jangan mudah putus asa. Satu lagi, ingatlah, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Hikmah yang terkandung tidak semestinya untuk kita. Kita beruntung jika dapat memikirkan hikmahnya, tapi jangan sampai mempersoalkan isi kandungannya.”
Johan mengangguk. Setiap kata yang didengarinya, diingatinya di dalam hati.
“Jaga emak kamu elok-elok. Kamu anak yang baik.”
Sebaik mendengar kata-kata itu, airmata Johan berlinang dengan deras.
“Han sayang Atuk.”
“Atuk pun sayangkan kamu, Johan.”

Tombol pintu bilik tiba-tiba berkocak. Ada seseorang dari luar mahu masuk ke dalam bilik yang berisi Johan dan Atuk.
“Abah. Abah OK tak? Saya macam dengar suara, Abah bercakap dengan siapa? Saya ada bawa makan tengahari ni.” Pemilik suara itu berkata sambil mengetuk pintu. Itu suara ibu Johan. Kedua-dua Johan dan datuknya berpandangan sesama sendiri sambil berdiam diri.
“Kenapa pintu berkunci? Siapa yang kunci? Tunggu kejap ya, Abah. Saya ke bawah ambilkan kuncinya.” Bunyi tapak kaki berlalu menuruni tangga menandakan ibu Johan sudah beredar dari pintu, tapi sudah tentu bukan dalam masa yang lama.

“Mak kamu sudah datang. Kalau dia jumpa kamu yang dewasa ni, sudah tentu akan merumitkan keadaan.” Johan masih terkejut datuknya begitu mudah mempercayainya. Memberitahu orang lain bahawa kita datang dari masa akan datang bukanlah sesuatu yang boleh diterima akal dengan mudah. Tapi tidak pada Atuk. Atuk mempercayai kata-kata Johan sejak awal bertentang mata.
“Lebih baik kamu tinggalkan bilik ni dengan segera. Keluar ikut tingkap dan turun menggunakan dahan pokok itu, seperti yang kamu biasa buat masa kecil dahulu.” Atuk menudingkan jarinya kepada tingkap.

“Maafkan Han atas segala salah silap Han selama ni, Atuk.”
“Kamu cucu kesayangan Atuk. Atuk tidak pernah berdendam hati.”
“Selamat tinggal, Atuk.”
Good luck, Johan.” Atuk menunjukkan isyarat tangan ibu jari.

Tombol pintu kembali berkocak. Sejurus kemudian, daun pintu terbuka menampakkan ibu Johan memegang tombol. Kemudian ditunduknya seketika untuk mengangkat dulang berisi pinggan makanan, lalu berjalan masuk ke arah meja kecil di sebelah katil.
“Macam mana boleh terkunci? Abah kunci ke?”
“Mana aku tahu, aku kan lumpuh,” jawab Atuk sambil tersenyum lebar.
Tingkap bilik terbuka luas. Johan sudah tiada dalam bilik.



BERSAMBUNG...[10]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...