Feb 20, 2011

Genius



Pada Norman, menjadi seorang yang masyarakat gelar 'genius' adalah memenatkan. Dia sendiri lebih suka digelar 'bagus dalam hobi' daripada 'genius komputer'. Namun, pada orang sekelilingnya, siapa sahaja yang mampu membuat perisian mengawal lampu isyarat jalanraya di simpang berdasarkan bilangan kereta menunggu pada usia 18 tahun, dia layak digelar genius.

     Bagi seorang yang meletakkan bidang pemkomputeran sebagai minatnya, Norman sudah tentu menjadikan komputer ribanya sebagai aset pertama yang tidak ternilai pada dirinya. Hampir setiap masa Norman bersamanya.

     Namun, malang tidak berbau.

     Semasa dia pulang dari kolej, akibat perut yang meragam kacau, dia bersinggah ke sebuah tandas awam yang sedikit terpencil di sebuah taman rekreasi terbiar.

     Busuk.
     Kotor.
     Panorama sebuah tandas awam tidak pernah lebih elok dari itu.
Tambahan pula yang tiada bayaran masuk, sudah tentu tidak diselenggara baik.

     Sewaktu melangkah keluar tandas itu, Norman disapa seorang lelaki berparut di pipi kiri yang tidak dikenali. Pakaian buruk, badan berbau, sudah tentu itu bukan petanda perkara baik akan berlaku.

     "Bagi aku beg kau tu...SEKARANG!" ujar lelaki compang-camping itu.
Norman terkejut, namun lebih terkejut apabila di tangan kiri lelaki itu ada sebilah parang satu kaki, berkarat.


     "Abang! Tolong, bang. Saya boleh bagi duit, tapi bukan beg ini!"
Norman memeluk erat beg galas berisi komputer ribanya itu.

     "Kalau kau pilih beg dari duit, sudah tentu beg itu ada sesuatu yang lebih bernilai. Bagi aku beg kau sekarang. Kalau tidak, tandas busuk inilah tempat terakhir kau lihat di dunia."

     Norman pasrah. Dalam masa yang sama dia geram kenapa waktu itu tiada orang di sekitarnya. Dia seperti tiada daya dan hanya mampu mengharap bantuan orang lalu-lalang. Malangnya, tiada siapa.

     Dengan hati berat dan luluh, dihulurnya beg itu. Si lelaki pengugut tersenyum lebar, dan dengan segera berlari meninggalkan Norman yang sugul berdiri sendirian.

     Tanpa berlengah, Norman segera menuju ke balai polis berdekatan.

     "Encik, tolong saya encik. Saya baru lepas dirompak!"
Norman merayu kepada pegawai polis bertugas.

     "Sabar. Isi borang aduan ini dulu, kami akan buat siasatan."

     "Tapi Encik, dalam beg yang dirompaknya itu, ada laptop saya. Laptop saya sudah dipasang sistem GPS. Saya boleh kesan kedudukan laptop saya hanya dengan menggunakan telefon bimbit saya ini."

     Norman berusaha menerangkan kepada pegawai polis tersebut sambil menunjukkan telefon bimbitnya, namun pegawai polis itu kelihatan tidak mempedulikannya.

     "Encik, bateri GPS itu hanya bertahan selama 3 jam selepas diaktifkan. Apa yang saya perlukan ialah encik dan beberapa pegawai lain ikut saya dan tangkap si perompak itu segera."

     Pegawai polis itu tepuk meja. Marah.

     "Awak siapa?" Suaranya meninggi.
     "Awak fikir awak anak raja? Kenapa kami perlu sediakan satu pasukan hanya untuk kes kecil awak? Kami ada beribu lagi kes remeh seperti ini yang masih belum diselesaikan."

     Norman masih merayu.
     "Tapi encik, dalam laptop tu ada banyak prototype perisian yang saya cipta. Ianya bagaikan nyawa saya, encik!"

     Pegawai berkenaan mengetap bibirnya menahan marah.
     "Awak isi borang ini. Awak hantar. Dan kami akan uruskan. Walaupun awak anak menteri sekalipun, tapi prosedur tetap kena ikut."

     "Tapi encik..."

     "Tiada tapi-tapi! Atau awak yang kami sumbat dalam lokap nanti."

     Sekali lagi, Norman pasrah.
Tanpa meneruskan laporan, Norman keluar dari balai polis itu dengan mata yang berair dan tangan yang menggenggam kuat. Menggeletar menahan marah.

     Norman nekad.



     Keesokan hari.

     "Ini satu kes pembunuhan yang kejam. Agaknya apa yang penjenayah mahukan?"
     Inspektor Abdullah dari bahagian siasatan jenayah berkata kepada pembantunya, Sarjan Ghani sambil kedua-dua mereka mendongak ke atas.

     Dalam sebuah rumah sewa, sekujur tubuh lelaki dijumpai tergantung di ruang tamu sambil kepalanya tertetak sebilah kapak. Seluruh ruang tamu dibasahi darah seolah-olah ruang pameran khusus untuk si mati. Seorang lelaki berparut di pipi kiri.

     "Tuan, kami dapati mangsa ada rekod jenayah seperti mencuri, memeras ugut dan meragut." Sarjan Gahnai memberi penerangan sambil memegang sebuah fail. Inspektor Abdullah hanya mengangguk.

     "Kami juga jumpa satu nota yang dipercayai dari pembunuh." Sarjan Ghani menghulurkan sekeping kertas A5 yang dibungkus dalam plastik barang bukti.

     Tertulis,
"INI PENGAJARAN KEPADA PIHAK POLIS.
PROSEDURAL DAN BIROKRASI MEMBUNUH."



3 nota kaki:

MS. NO NAME said...

menarik..ada sambungan x?

Anne said...

Kata Tablo, 'Genius is not the answer to all question. it's the question to all answer...'

Sebab aku tak genius, jadi aku kurang faham apa Tablo kata.

Suka cerita ini.

Anne said...

Ini anak Prof E?

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...