[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16]

Kaki Intan melangkah dengan laju. Wajahnya indah diukiri senyuman. Dia
ingin seberapa segera pulang ke rumah. Dari pagi berada di sekolah, fikiran
Intan tak dapat fokus. Dia begitu ingin balik dengan segera. Bukan sebab apa,
hanya kerana satu janji. Janji untuk belajar mata pelajaran matematik dan sains
di rumah Prof. Erman, diajar oleh Johan.
Intan sendiri tidak sedar bahawa diri dia terlebih uja. Mungkin kerana hari
sudah jumaat. Semangat berhujung minggu mengujakan diri. Mungkin juga kerana
berteman baru. Persahabatan yang baru tercipta antara dia dengan Johan
membuatkan diri Intan begitu mahu lebih mengenali. Mungkin hanya sekadar hormon
rembesan badan di usia remaja. Kemahuan untuk bersama dengan pasangan berlain
jantina.
Tidak kira mana, Intan tidak peduli. Apa dalam benak fikirannya hanyalah
mahu balik ke rumah dengan segera, mandi dan salin pakaian, dan terus ke rumah
sebelah, rumah Prof. E untuk menelaah bersama Johan.
19 Mac 2004. Jam 1315
“Assalamualaikum...” Intan jerit sejurus menjejak kaki ke dalam rumah.
Kedengaran suara ibu Intan menjawab salam, sayup di belakang dapur.
Tanpa berlengah, Intan terus ke tingkat atas, ke biliknya. Begnya
diletakkan di atas katil, dicapai tuala, dan terus masuk ke dalam bilik mandi. Beberapa
minit kemudian dia keluar dengan badan berbau segar, dikenakan t-shirt merah jambu
kegemarannya berserta seluar jean paling selesa, dan dikeluarkannya beberapa buku
dari beg sekolahnya dan satu bekas pensel berserta kalkulator.
Pintu bilik Intan diketuk.
“Intan?” Ibu Intan membuka pintu meninjau perihal anaknya.
“Ya, Ibu.”
“Intan siap-siap ni nak ke rumah Prof. E ke?”
“Ha’ah, ibu. Orang macam dah lambat ni.”
“Dekat bawah tu, ibu dah sediakan sedikit bekal makanan dalam mangkuk
tingkat. Nanti kasi jamah makanan tu, ya?”
Intan berhenti berkemas-kemas. Dia bergerak ke arah ibunya, lalu memeluk
erat ibunya.
“Ibu memang terbaik.” Ibu Intan tersenyum.
19 Mac 2004. Jam 1325
Belum sempat jari Intan mahu menekan loceng rumah Prof. Erman, pintu sudah
terbuka. Kelihatan dua lelaki; Prof. Erman dan Johan, dengan masing-masing
bersongkok dan berkopiah, dengan mata terbeliak, terkejut melihat keberadaan
Intan di depan mereka.
“Hani..Eh, Intan! Awalnya?” Johan tersasul.
Intan menepuk dahinya ke kepala.
“Intan lupa. Intan lupa hari jumaat lelaki pergi solat jumaat.”
Prof. E tersenyum.
“Tak apalah , Intan. Kamu masuk je ke dalam. Kami pergi pun tak lama,
setengah jam baliklah.” Prof. E cuba tidak mengecewakan Intan. Johan tersenyum.
“Baiklah, Prof. Terima kasih.”
Intan dibiarkan bersendirian di dalam rumah Prof. E. Dia tak pernah duduk
berseorangan di dalam rumah orang lain. Lagi memelikkan, rumah itu adalah milik
Prof. E, seseorang yang dilabel jiran sekeliling taman sebagai perengus dan
tidak bercampur sesama tetangga. Well,
jangan nilai sebuah buku dari kulit luaran sahaja. Pandangan Intan terhadap
Prof. E terus berubah apabila melihat susun atur rumah yang kemas, tersusun dan
wangi, dihiasi dengan hiasan dinding yang menarik perhatian si pemerhati. Pada
Intan, seorang perengus dan anti-sosial tidak memiliki sifat seperti ini.
Apa yang tidak diketahui Intan ialah, segala susunatur dan hiasan di rumah
itu tidak pernah berubah sejak lapan tahun lalu, sejak peristiwa Prof. E
ditinggalkan keluarganya dek kerana obsesi terhadap kajiannya.
Beberapa puluh minit kemudian, kedengaran salam diberikan di muka pintu.
Prof. E dan Johan sudah pulang dari solat jumaat di masjid.
“Bau apa ni?” Hidung Johan kuat terbau sesuatu di udara. Bau makanan.
Prof. E dan Johan tersenyum sesama sendiri. Mereka bergerak menuju terus ke
meje makan di dapur. Kelihatan Intan, dengan memakai apron, sedang memanaskan
sesuatu di atas kuali di dapur.
“Intan? Kamu buat apa?” Prof. E bertanya dengan senyuman.
“Memandangkan tadi ibu dah kirimkan makanan, Intan panaskan dan hidangkan
untuk Prof dna Yus makan,” jawab Intan.
Prof. E dan Johan berpandangan sesama sendiri. Tersenyum.
“Langkah kananlah kita, Johan,” Prof. E berseloroh.
“Johan? Kenapa Johan?” Intan bertanya.
Prof. E dan Johan terdiam. Dek kerana teruja, Prof. E dan Johan terlupa
tentang individu bernama Yusran. Seorang ‘watak lakonan’.
“Johan? Siapa Johan? Siapa kata Johan? Yusranlah, Yusran.” Prof. E cuba
menutup khilaf.
“Tapi tadi macam dengar nama Johanlah.” Intan meragui sambil tangan
meletakkan lauk di atas meja makan.
Johan dan Prof. E hanya mendiamkan diri, tidak memberi sebarang reaksi.
“Tak apalah, Prof dan Yus boleh naik dulu tukar pakaian. Lepas tu terus
turun kita makan sama-sama, OK?”
“OK!” Prof. E dan Johan jawab serentak.
Semasa naik tangga bersama untuk ke bilik di tingkat atas, Johan menyiku
ringan Prof. E.
“Nasib baik dia tak syak apa-apa,” kata Johan.
“Nasib baik dia yang tukar topik,” balas Prof.
“Lain kali kita kena lebih berhati-hati.”
Kedua-dua mereka menarik nafas lega.
19 Mac 2004. Jam 1412
Prof. Erman, Johan dan Intan masing-masing tersenyum melihat makanan di
atas meja makan.
“Marilah kita makan,” Prof. E memecah suasana.
“Bismillahirrahmannirrahim...” Johan mula membacakan doa.
Intan tersenyum menadah tangan. Prof. E tersentak dari terus menjamah makanannya
dan juga menadah tangan.
“Nanti, ucapkan terima kasih kat ibu sebab sediakan makanan yang sedap ni
ya, Intan,” ucap Prof. E kepada Intan. Intan mengangguk.
“Sedap!” Johan teruja.
“Masakan ibu memang sedap. Ibu memang nombor satu.” Intan mengangkat
ibunya.
Seketika, suasana bersama Johan dan Intan membuatkan Prof. E tersentuh
hati. Suasana makan makanan yang dimasak seorang ibu, dan duduk beramai-ramai
di meja makan sambil menggamit kenangan dia bersama keluarganya satu ketika
dahulu. Suasana berbual mesra, bertanya khabar hari dan bergurau senda di meja
makan amat dirinduinya. Kini, dia sedang laluinya bersama dua orang yang tiada
kaitan darah langsung dengannya.
Seketika, Prof. E merindukan keluarganya. Isteri dan anaknya.

0 nota kaki:
Post a Comment