[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19]

Hela nafas
dihembus panjang. Johan masih di hujung katil dalam percubaannya mengingati apa
yang berlaku pada 20 Mac 2004.
Tanpa disedarinya,
waktu sudah menginjak 30 minit memasuki 20 haribulan.
Kerana buntu, dan dalam
masa sama, tidak mampu lelap tidur, Johan keluar dari bilik tanpa hala tuju.
Koridor tingkat atas yang gelap, namun kelihatan sedikit sinar cahaya keluar
dari celah bawah pintu bilik tingkat loteng.
“Mungkin Prof.
Erman masih belum lena...”
Optimis dan ingin
tahu, Johan bergerak naik ke tangga loteng sebelum ketuk pintu bilik loteng
meminta izin masuk.
“Masuklah...”
Kebenaran diperoleh. Perlahan-lahan pintu dibuka dan kepala tertonjol masuk.
Kelihatan Prof. E sedang duduk di kerusi kerjanya sambil menghadap sebuah
komputer dan timbunan kertas dan buku rujukan. Ada gelas berisi kopi masih
berasap di tepi tetikus komputer.
“Saya mengganggu
Prof ke?”
“Kalau mengganggu
pun, kau dah pun masuk ke bilik. Bukan kau boleh patah balik pun.” Agak ironi
kata-kata Prof. Erman itu memandangkan ia ditujukan kepada seseorang yang
datang dari masa hadapan. Johan tersenyum. Dia mengheret satu kerusi yang
terletak di tepi pintu, rapat ke meja kerja Prof. Erman.
“Macam mana dengan
kajian Prof?”
Prof. E memandang
Johan tanpa ekpresi muka.
“Secara teori, aku
rasa aku dah selesai. Namun, praktikal aku tak pasti. Satu-satunya cara nak
tahu sama ada ianya berkesan adalah dengan menanti kedatangan kilat besar yang
bakal menyambar loteng ini hari isnin malam selasa nanti. 22 haribulan, malam
23.”
“Berapa peratusan
kejayaan?”
Prof. E terdiam
seketika. Jelas, dia tiada jawapan untuk soalan Johan itu.
“Aku pernah
berjanji kepada diri sendiri, kalau aku mampu mencipta mekanisma merentas masa,
destinasi pertama aku ialah bilik ini pada 1 Januari 2000. Empat tahun lalu.”
Prof. E memusingkan kerusinya mengadap ke komputer.
“Aku akan kembali
kepada tarikh itu, dan beritahu aku pada waktu itu segala maklumat yang dia
perlu tahu supaya dia dapat cipta mesin masa sesegera mungkin.”
Johan berkerut
dahi.
“Kau masih ingat
tentang ‘paradoks masa’ yang pernah aku ceritakan hari tu?”
“Ya.”
“Kalau pada 1
Januari 2000, ada aku dari masa depan datang bertemu aku pada waktu itu dan
berikan data-data tentang kajian ini, maka aku sekarang sudah pasti mampu
merentas masa sesuka hati...”
“...Namun, aku
masih di sini, sedang sedaya upaya mengkaji, sedangkan tahun 2000 sudah empat
tahun berlalu.”
“Maknanya, pada 1
Januari tahun 2000, tiada Prof dari masa depan datang bertemu?”
Prof. E hanya
tersenyum. Namun jelas di wajahnya akan tanda kekecewaan.
“Satu hari aku
tunggu. Hari sebelumnya, semasa orang ramai sibuk mahu menyambut kedatangan
alaf baru, aku sibuk berkurung dalam loteng ini berkemas, menanti tetamu yang
tidak akan pernah muncul...”
Johan dapat merasakan
kesedihan Prof. Erman.
“Seminggu aku
tunggu, dengan harapan mungkin ada masalah dalam pengiraan. Tapi, selepas
seminggu, aku sedar. Aku mungkin tidak akan mampu mencipta mesin masa, atau
paling kurang memahami mekanisma merentas masa.. Aku kecewa...”
‘...Sehinggalah
pada waktu kau muncul tempoh hari. Aku seolah-olah tak percaya. Tapi, pandang
dari sudut mana sekalipun, kau memang datang dari masa depan. Cuma, ianya bukan
atas kemahuan kau. Dari situ aku tahu, sekurang-kurangnya, aku akan paling
kurang selangkah maju dalam kajian aku. Harapan dari masa depan kembali
menyinar.”
Johan tersenyum.
“Namun, satu
persoalan timbul. Kenapa kau? Kenapa bukan aku? Kenapa bukan orang lain? Kenapa
bukan saintis lain yang turut obses dalam kajian merentas masa? Kenapa engkau,
seorang yang tidak terniat langsung untuk merentas masa?”
“Kenapa?” Johan
bertanya.
Prof. Erman sempat
menghirup kopi panasnya sebelum menjawab.
“Aku ada teori
tentang itu, tapi semuanya hanya akan terjawab pada malam selasa ini. Sama ada
berjaya atau tidak, semuanya bukan lagi bergantung kepada aku. Semuanya
bergantung kepada satu kuasa yang lebih besar...”
Mendengar
kata-kata Prof. Erman itu tadi, Johan tersenyum.
“Baiklah Prof...”
Johan bangun dari kerusi tempat duduknya.
“Saya mahu masuk
tidur dulu. Saya tidak mahu mengganggu Prof malam-malam buta macam ni...”
Johan bergerak ke
pintu. Namun, ketika dia mahu memulas tombol pintu, dia terdetik untuk
bertanyakan satu soalan kepada Prof. Erman.
“Prof...”
Prof. Erman
mengangkat muka memandang Johan di muka pintu.
“Esok 20
haribulan. Prof tahu tak apa-apa yang bakal berlaku pada 20 haribulan Mac tahun
ni?”
Beberapa saat
Prof. Erman cuba mencari jawapan dari ingatannya.
“Seperti apa?”
tanya Prof. Erman.
“Entahlah. Sesuatu
yang mampu mengubah hidup seseorang.”
“Aku rasa tak ada.
Kenapa?”
Johan menghela
nafas panjang tanda kecewa.
“Tak. Saya rasa
seingat saya, akan berlaku sesuatu pada tarikh ni, tapi saya tak mampu nak
ingat apa yang akan terjadi...”
“Mungkin ianya
lebih bersifat peribadi.”
“Mungkin...”
20 Mac 2004. Jam 0413.
Persekitaran
perumahan sunyi. Selang-seli, kedengaran salakan anjing sayup jauh. Tiada
kelibat manusia yang kelihatan, paling tidak, pada waktu itu.
Intan sedang
nyenyak tidur di biliknya. Begitu juga dengan ibunya, sedang lena diulit mimpi
di bilik utama. Namun, ibu Intan tidur seorang diri disebabkan ayah Intan,
Encik Ahmad, terpaksa bekerja di luar kawasan.
Hening pagi yang
masih sunyi, diisi dengan titisan embun di hujung daun rumput. Namun,
keheningan itu telah dicemari dengan deruan enjin, perlahan dari sebuah van
yang tidak menghidupkan lampu. Van putih itu meluncur senyap dan berhenti
betul-betul di hadapan laman rumah Intan.
Tiga orang lelaki
itu, berpakaian gelap, berjaket tebal dan juga bertopeng penuh, keluar
perlahan-lahan dari pintu van yang dibuka. Mereka juga turut membawa beberapa
batang besi di tangan. Salah seorang dari mereka membawa batang besi panjang
yang digunakan untuk mengumpil. Mereka bertiga menuju ke pintu masuk rumah
Intan tanpa sesiapa sedar.

0 nota kaki:
Post a Comment