[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20]
[21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40]
[41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52][53][54][55][56][57][58]

Natijah daripada
cahaya kilat besar yang menyambar loteng rumah Prof. E, bekalan elektrik di
seluruh kawasan perumahan itu telah terputus. Walaupun kejadian sebegitu selalu
berlaku setiap lapan tahun di kawasan itu, tapi kali ini jumlah cahaya yang
memancar dan bunyi dentuman petir amat luarbiasa. Kebanyakan penduduk setempat
cuba meninjau apa yang sudah berlaku. Ada yang keluar dari rumah dan melihat
sekeliling, ada juga yang hanya meninjau keluar dari beranda rumah.
Intan tidak
terkecuali.
Intan berlari ke
beranda rumah untuk melihat apa yang sudah berlaku. Sesampainya dia di beranda,
perkara pertama yang menarik perhatiannya adalah kereta biru yang berbunyi
penggeranya di hadapan rumah Prof. E. Kereta itu dikenali Intan. Itu kereta
milik ayahnya.
“Ibu! Ibu!” jerit
Intan ke dalam rumah. Puan Nora kemudian datang sambil mendukung Farhan.
“Kenapa?” tanya
Puan Nora.
“Itu!” sambil
Intan menuding jarinya ke arah kereta biru tadi.
22 Mac 2004, jam 2333. 3 minit selepas Kilat Thor.
“Tipu. Tak mungkin
dia boleh hilang begitu sahaja,” Inspektor Bakar mempersoalkan apa yang dia
lihat. Encik Ahmad di sebelah masih terkaku diam, juga tidak percaya dengan apa
yang dilihatnya.
“Walaupun aku
sendiri sudah bersedia untuk semua ini, tapi aku masih juga rasa ragu-ragu,”
kata Prof. Shah dari tepi meja. “Erman, adakah semuanya berjalan seperti kau
duga?”
“Ya.” Prof. E
duduk melihat sesuatu dalam timbunan pakaian yang ditinggalkan Johan di atas
kerusi. “Semuanya berjalan seperti yang aku duga, malah lebih baik dari itu.”
Dengan menggunakan
penyepit seakan-akan forseps, Prof. E mengambil sesuatu dari timbunan pakaian
tersebut.
“Lihat.” Prof. E
menunjukkan sesuatu ke arah Prof. Shah, Inspektor Bakar dan Encik Ahmad.
“Itu...Itu
serpihan peluru. Adakah...?” Inspektor Bakar tergagap.
“Ya, datang dari
Johan. Dia pergi dan berjaya tinggalkan kita serpihan peluru dari badan dia,”
jelas Prof. E.
“Kau tahu tentang
ini, Erman?” Prof. Shah meminta kepastian.
“Tidak. Tapi aku
boleh duga. Semasa hari pertama dia muncul di sini tempoh hari, dia berada
dalam keadaan bogel dan lapar. Aku teka, hanya dia sahaya yang ‘dibenarkan’
merentas masa. Bahan lain ‘bukan dia’ seperti baju tidak akan dibawa sekali.
Sebab itu serpihan peluru ini dapat ditinggalkan.” Riak muka kagum bercampur
tidak percaya jelas kelihatan di muka ketiga-tiga Prof. Shah, Inspektor Bakar,
dan Encik Ahmad.
“Untung dia pergi
dalam keadaan perut kosong. Kalau tidak, kita kena pasti kena berurusan dengan
najis dan bahan makanan yang belum hadam di sini.” Prof. E cuba berjenaka, tapi
tiada reaksi daripada yang lain. Masing-masing masih terkejut.
Selepas membiarkan
Inspektor Bakar dan Encik Ahmad menenangkan diri, Prof. E datang menghampiri
mereka.
“Inspektor.
Seperti yang saya janji, saya serah diri saya. Tangkaplah saya atas apa sahaja
kesalahan yang ada. Saya akan mengaku kesemuanya.” Prof. E menghulurkan
tangannya kepada Inspektor Bakar, tunggu untuk digari. “Yang pasti, Prof. Shah
tiada sebarang kaitan dengan semua ini.”
Prof. Shah dan
Encik Ahmad terlopong melihat tindakan Prof. E. Inspektor Bakar pula kelihatan
sedang berfikir sambil merenung wajah Prof. E.
“Maaflah, Prof
Erman. Saya tak boleh nak tahan awak. Tiada kesalahan yang boleh saya sabitkan.”
Inspektor Bakar menolak tangan Prof. E.
“Tapi...”
“Macam mana saya
nak tahan awak atas pertuduhan menculik pesakit di hospital, sedangkan pesakit
itu tidak wujud di dunia ini.”
Logik Inspektor
Bakar itu menguntumkan senyuman di wajah Prof. E dan Prof. Shah.
“Banyak yang saya
nak tanya awak, Prof Erman, tapi sekarang saya sudah penat. Untuk hari ini,
kita tamatkan di sini sahaja. Boleh?”
Prof. E hanya
mengangguk. Dia bersyukur akhirnya Inspektor Bakar percayakan dengan apa yang
dia perkatakan.
Setelah pistol
yang dipegang Prof. Shah dipulangkan kembali kepadanya, Inspektor Bakar
melangkah ke arah pintu untuk pulang.
“Inspektor Bakar!”
panggil Prof. E. Inspektor Bakar yang sudah berada di muka berpaling.
“Harap semua yang
berlaku di sini tadi dapat dirahsiakan. Perkara seperti ini memang tidak patut
dihebah-hebahkan,” pinta Prof. E.
“Saya tahu.
Lagipun, daripada sibuk mencanang cerita tentang lelaki dari masa depan, lebih
baik saya fikirkan apa yang patut saya tulis dalam laporan nanti.” Inspektor
Bakar mengeluh panjang sebelum berlalu hilang di sebalik pintu.
“Encik Ahmad?”
Prof. E beralih kepada lelaki yang berada di sebelahnya itu.
“Walaupun masih
terkejut, tapi saya rasa saya faham apa yang sudah terjadi. Jangan risau. Saya
juga tidak mahu dilabel gila dengan membawa berita ada orang datang dari lapan
tahun akan datang semata-mata untuk selamatkan anak saya.” Encik Ahmad
kelihatan lebih tenang dari tadi.
“Masalahnya
sekarang, apa perlu saya beritahu Intan...”
“Cepatlah, ibu.
Ayah mesti ada di sana.” Intan menarik tangan ibunya yang sedang mendukung
Farhan dan berjalan laju ke arah rumah Prof. E. Belum sempat Intan mahu
mengetuk pintu rumah Prof. E, pintu itu sudah terbuka. Lelaki yang membukanya
juga terkejut melihat Intan di muka pintu.
“Intan! Nora!” tegur
Encik Ahmad merujuk kepada anak dan isterinya.
“Ayah! Apa ayah
buat di rumah Prof? Kenapa ayah tak balik ke rumah? Kenapa ayah tak datang
ambil kami untuk ke hospital melawat Yusran?” soal Intan bertubi-tubi. Encik
Ahmad masih cuba untuk mencari jawapan yang patut dia perkatakan.
“Mari balik ke
rumah kita. Ayah akan ceritakan segalanya di rumah,” terang Encik Ahmad.
Di dalam rumah,
Prof. E dan Prof. Shah memerhati mereka sekeluarga dari satu sudut gelap.
“Adalah lebih baik
untuk kita tidak terlibat dengan keluarga Encik Ahmad buat seketika.
Terutamanya dengan Intan,” terang Prof. E.
“Maksud kau?”
“Aku nak pindah.
Aku tak mahu duduk sini lagi. Aku nak mulakan hidup baru.”
Prof. Shah
tersenyum mendengar kata-kata kawannya itu.
Encik Ahmad
melabuhkan punggungnya ke atas sofa. Puan Nora meletakkan Farhan di atas ribanya
sambil mengambil tempat. Intan terlebih dahulu duduk, tidak sabar mendengar apa
yang bakal diperkatakan oleh ayahnya. Walaupun ruang tamu masih bergelap, namun
terdapat sumber cahaya datang dari lampu kecemasan automatik yang terpasang di
depan rumah. Cahaya itu tidak terang, namun masih membenarkan setiap dari ahli
keluarga Encik Ahmad untuk untuk melihat wajah masing-masing.
“Intan sayang.
Ayah baru berjumpa dengan Prof Erman. Yusran terpaksa di rawat lebih lanjut di
luar negara. Kita tidak dapat bertemu dengan dia dalam masa terdekat ini.
Mungkin lebih lama dari sepatutnya,” jelas Encik Ahmad.
Berita tersebut
membuatkan Intan tergamam. “Ke mana dia dihantar, ayah?”
“Ayah tak pasti,”
kata Encik Ahmad sambil menggelengkan kepala.
Tidak dapat
menahan lagi, Intan menangis teresak-esak. Suasana sayu menyelebungi ruang
tamu, namun Encik Ahmad dan Puan Nora hanya berdiam diri dan membiarkan Intan
terus menangis.
“Ini semua salah
orang. Ini semua salah orang. Kalau orang tak kena culik, Yusran tak akan jadi
macam tu.” Intan menekup wajahnya. Tersedu-sedu Intan menangis diselangi dengan
raungan kecil. Puan Nora menggosok belakang Intan, cuba menenangkannya.
Encik Ahmad tidak
mampu untuk melihat anaknya terus bersedih dan menyalahkan diri.
“Tapi Intan,
Yusran ada sedar dari koma sebelum dia dihantar pergi. Dia ada tinggalkan pesan
untuk Intan. Dia kata satu hari nanti dia sendiri akan cari Intan. Sementara
menunggu hari itu, Intan perlu terus ke depan...”
Serta merta Intan diam,
terhenti dari tersedu. Encik Ahmad juga terhenti dari terus berkata-kata.
“Manusia perlu terus ke depan. Masa silam
dijadikan pedoman supaya kita pada masa kini tidak mengulangi kesilapan.
Hasilnya, masa depan kita akan lebih terjamin,” kata Intan
tiba-tiba. Encik Ahmad dan Puan Nora tergamam melihat Intan.
“Itulah pesan yang
Yusran tinggalkan. Itu prinsip yang dia ajar kepada Intan. Kata dia, dengan
prinsip itu, tidak kira apa pun pengalaman, rintangan dan cabaran yang kita
hadapi, kita akan dapat hadapi dengan jayanya.”
Kagum mendengar
kata-kata anaknya itu, Encik Ahmad mengangguk sambil tersenyum.
“Ya, itulah yang
Yusran pesan. Dia mahu Intan terus kuat dan kejar cita-cita Intan.” Walaupun
terpaksa menipu, tapi melihat Intan berubah dari berwajah sedihnya sebentar
tadi sangat melegakan hati Encik Ahmad. Padanya, buat masa sekarang, biarlah
Intan tidak diberitahu lagi tentang kebenaran segalanya.
------
25 Mac 2004, jam 0810, di Sekolah Menengah Bandar Selatan
(2). 3 hari selepas Kilat Thor.
“Awak pasti awak
okey, Intan?” tanya Aida. Dia dan Intan sedang berjalan bersama-sama memasuki
kelas mereka selepas tamat perhimpunan harian sekolah.
“Saya okey. Dah
dua hari saya duduk rumah tak buat apa-apa. Ayah pun tidak pergi kerja
semata-mata nak temankan saya. Kalau saya cuti lagi, terganggu pula kerja ayah
nanti. Lagipun dah banyak pelajaran yang saya terlepas.”
Di sekolah, hangat
dengan khabar angin terdapat seorang pelajar diculik, tapi hal sebenar tentang
siapakah gerangan yang diculik hanya beberapa guru dan Aida sahaja yang tahu.
“Rajin betul awak.
Kalau saya, lagi seronok kalau duduk di rumah.”
Mereka berdua
tergelak bersama-sama.
“Oh, ya.” Intan
memalingkan kepada ke arah Aida.
“Semalam,
tiba-tiba ayah ada tanya apa yang saya teringin nak buat. Awak tahu apa yang
saya jawab?”
“Apa?” tanya Aida.
“Saya beritahu dia
tentang tawaran abang awak tu. Tentang jadi model majalah Remaja Kini.”
“Jadi, apa yang
ayah awak cakap?” Aida berwajah teruja.
“Dia setuju.”
Menjerit Aida mendengar kata-kata Intan itu. Dia memeluk Intan kerana terlalu gembira.
“Tapi ayah bagi syarat...”
“Apa syaratnya?”
“Pelajaran jangan
diabaikan.”
“Ala, awak budak
pandai. Saya yakin awak boleh. Biar saya uruskan awak. Nanti saya beritahu
abang saya, okey?”
Intan tersenyum
lebar. Akhirnya perjalanan dia mengejar impian masa kecilnya akan bermula.
27 Mac 2004, jam 1000, di sebuah kawasan kampung di
Bandar Timur. 5 hari selepas Kilat Thor.
Pintu sebuah rumah
diketuk. Beberapa saat kemudian, kedengaran tapak kaki menuju ke pintu
tersebut. Pintu dibuka. Wanita separuh umur yang membuka pintu itu kelihatan
terkejut melihat gerangan yang mengetuk pintu.
“Assalamualaikum.
Awak sihat?”
“Er...Erman.
Abang.” Wanita tersebut seperti tidak percaya dengan apa yang sedang
dilihatnya. Prof. E sedang berdiri tersenyum memegang sejambak bunga.
“Saya tahu awak
tak berapa suka bunga. Tapi saya tak ada idea nak bawa apa untuk awak. Boleh
saya masuk?”
“Silakan, abang.
Silakan.”
Dalam jarak 20
meter dari situ, kelihatan Prof. Shah memerhatikan semuanya dari jauh. Dia
tersenyum. Tapi senyumannya sedikit kelat.
“Aku tak tahu apa
patut aku rasa. Aku sepatutnya gembira, tapi kenapa dalam masa sama aku berasa
sedih?”
Prof. Shah
menghidupkan enjin kereta. Dia kemudian menekan butang ‘on’ pada pemain mp3 keretanya. Bergema segenap ruang
kereta dengan melodi piano Musim Bunga ‘La
Primavera’ hasil ciptaan Antonio Vivaldi. Prof. Shah memejamkan mata
menikmati muzik kegemarannya sebelum berlalu pergi meninggalkan kawasan kampung
itu.
Sementara itu, sesuatu sedang berlaku di dalam sebuah
studio rakaman di Pusat Bandar.
“Aku ada idea baru
untuk lagu baru. Aku sudah dapat ilham,” desak seorang lelaki terhadap seorang
produser. Produser tersebut hanya menggarukan kepalanya.
“Masa kau sudah
lepas, Yus. Kau kena terima hakikat.”
“Tapi, lagu ni
bakal hit. Aku jamin.” Lelaki yang dipanggil Yus itu menghulurkan beberapa
kertas tertulis not-not muzik dan beberapa baris lirik.
“Kau pinjamkan
dulu studio kau. Nanti bila aku sudah kaya, aku bayar balik semuanya TIGA KALI
GANDA.”
Frasa ‘TIGA KALI
GANDA’ itu menarik perhatian produser tersebut. Dia kemudian membaca not-not
muzik dan baris lirik yang diberikan Yus.
Waktu itu, ketika kita sama-sama ketawa
melafaz "kita suka sama suka,"
waktu itu, sekecil mana khilaf kita lupakan sahaja.
“Mana kau dapat
idea buat lagu ni?” tanya si produser.
“Aku dapat ilham
masa tumpang lori sayur tempoh hari.”
“Tapi ini bukan
lagu rock. Ini macam lagu balada,” kata produser itu.
“Memang. Aku nak
buat ‘comeback’ dengan lagu balada,”
balas Yus. Produser itu masih ragu-ragu.
“Kau cuba dulu. Tak
rugi. Percayalah. Aku janji.” Produser itu menarik muka apabila mendengar
perkataan ‘janji’ datang dari mulut Yus. Dari pengalaman terdahulu, perkataan
‘janji’ tidak bererti apa-apa kepada Yus. Tapi, susunan muzik dan baris lirik
yang ditulis Yus itu tidak boleh dipertikaikan kehebatannya. Selaku produser,
dia nampak potensi dalam lagu tersebut.
“Baiklah. Aku
cuba. Tapi dengan satu syarat. Aku nak kau comeback
sebagai kumpulan FRU, bukan Yusran. Tiada siapa mahu dengar lagu dari ‘Yusran
yang bermasalah’. Okey?”
“Okey!”
“Dah buang semua
jambang-jambang dekat muka tu. Serabut aku tengok.”
“Okey!”
Persetujuan
termeterai.
17 April 2004, jam 2000, di kediaman Encik Ahmad, Bandar
Selatan.
Intan berdiri di
tingkap dan meninjau suasana di luar. Hujan turun tidak lebat tapi cukup untuk
membasahi bumi. Melihat titisan air hujan berlumba-lumba berlinang di kaca
tingkap membuatkan Intan teringatkan seseorang. Seseorang yang hilang tanpa
jejak.
Lamunan Intan
terhenti dan beralih ke arah telefon bimbit di tangannya yang berbunyi. Ada
satu pesanan ringkas masuk.
‘Hani, esok jangan lupa. Pukul 9 pagi saya
dan abang datang jemput di rumah.’
Pesanan ringkas
dari Aida, selaku pengurus peribadi tidak bertauliah. Aida juga yang memberikan
nama ‘Hani’ kepadanya. Kata Aida, ‘Hani’ kedengaran lebih komersial. Intan
tiada bantahan memandangkan Hani juga sebahagian dari namanya, Intan Farhani.
Nama Hani juga mengingatkannya terhadap Yusran di mana di awal pertemuan
mereka, Yusran tersilap sapa dia sebagai ‘Hani’. Mulai sekarang dia akan
dikenali sebagai Hani, nama yang melambangkan kekuatan dirinya. Mulai sekarang Intan
akan menempuh perjalanan dalam usaha merealisasikan impiannya dari kecil,
menjadi model seperti ibunya.
Intan hanya
tersenyum selepas membalas pesanan ringkas tersebut.
Dia kembali
merenung ke luar tingkap.
Sudah hampir
sebulan tiada khabar berita dari Yusran. Hampir sebulan juga Intan terkenangkan
penyelamatnya itu setiap hari. Kadangkala air mata menemani. Kadangkala
senyuman mengisi. Tapi yang pasti Intan tidak pernah menunjukkan riak sedihnya
di hadapan sesiapapun. Di hadapan orang, dia perlu kelihatan kuat dan tabah. Cukuplah
hanya dia sahaja yang tahu betapa rindunya dia dengan seseorang.
Dari tingkap, dia
cuba meninjau rumah Prof. E. Namun, apa yang dia nampak cuma rumah yang tidak
berlampu. Benarlah kata ayahnya bahawa Prof. E sudah berpindah keluar dari
kejiranan itu. Tiada siapa tahu bila dan bagaimana. Sedar-sedar sahaja rumah
Prof. E sudah kosong dan tidak berpenghuni. Hal demikian merumitkan lagi usaha
Intan untuk menjejak Yusran. Dia tidak tahu mana lagi titik mula dalam usahanya
untuk menjejak Yusran.
Namun Intan tidak
akan putus asa.
“Manusia perlu terus ke depan. Masa silam dijadikan pedoman supaya kita
pada masa kini tidak mengulangi kesilapan. Hasilnya, masa depan kita akan lebih
terjamin.”
Biarpun sebulan,
biarpun setahun, biarpun sepuluh tahun, Intan akan tetap berusaha mencari
Yusran. Dia juga percaya Yusran akan berpegang kepada janjinya untuk bertemu
kembali satu hari nanti. Tidak kira berapa lama, Intan pasti akan tunggu.
Lapan tahun
kemudian...

0 nota kaki:
Post a Comment