[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20]
[21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40]
[41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52][53][54][55][56]

Amarah dan maruah Inspektor
Bakar seperti dicabar. Dia tidak mahu sekadar melihat kereta ‘penjenayah’
meluncur pergi dan hilang di depan matanya. Dia masih tidak putus asa.
“Ikut saya ke
kereta. Kita kejar.”
Inspektor Bakar
bersama dua anak buahnya meluru ke sebuah kereta polis. Sekali lagi Inspektor
Bakar berasa marah apabila melihat keempat-empat tayar kereta polisnya itu
telah kempis akibat dibocorkan.
“Mana kereta kamu
berdua?” tanya Inspektor Bakar kepada kedua-dua anak buahnya. Mereka bertiga
kemudian bergerak bersama-sama ke sebuah lagi kereta polis yang tidak jauh dari
situ. Menjerit kuat Inspektor Bakar kehampaan apabila sekali lagi melihat
kereta polis itu juga telah pancit kesemua tayarnya.
“Kenapa ni,
Inspektor Bakar?” ada suara menyapa dari belakang. Apabila Inspektor Bakar
menoleh, kelihatan Encik Ahmad berdiri tercengang di belakangnya memegang
sebentuk kunci kereta di tangan.
Inspektor Bakar
kembali tersenyum.
“Drive laju sikit, Shah. Aku takut polis
dapat kejar kita nanti,” Prof. E memberi peringatan. Johan yang tidak sedarkan diri
diletakkannya di sebelah dengan tali pinggang keledar terikat kemas.
“Do not worry. Semasa menunggu signal kau
tadi, aku sudah pancitkan kesemua kereta polis yang ada di parking area, termasuklah yang dipandu Inspektor Bakar. That should buy us some time.”
“Tapi lebih baik
kalau kita tak pandang rendah pada Inspektor Bakar. Aku sendiri hampir
tertangkap oleh dia di lobi tadi. Kalau dia perasan lebih awal, sudah tentu aku
bukan di sini sekarang.”
Prof. Shah
ternampak sesuatu dari cermin pandang belakangnya. Dia kemudian bertukar
melihat ke cermin sisi pula sebelum kembali melihat ke cermin pandang belakang
kembali. Prof. E tertanya-tanya dengan kelakuan pelik Prof. Shah.
“Ah, malangnya!”
keluh Prof. Shah.
“Kenapa?” tanya
Prof. E.
“Kita seperti
sedang dikejar.” Prof. Shah memijak pedal minyak di kaki, membuatkan kereta yang
dipandu terus memecut dengan lajunya.
Hampir seratus
meter di belakang ada sebuah kereta berwarna biru sedang memotong kereta-kereta
lain satu demi satu pada kelajuan yang tinggi. Kelihatan yang sedang memandu
ialah Inspektor Bakar. Encik Ahmad berada di tempat duduk penumpang.
“Siapa yang kita
kejar? Saya nak ke hospital, nak melawat anak saudara Prof Erman,” tanya Encik
Ahmad kepada Inspektor Bakar.
“Ada satu kereta berwarna
silver sudah membawa lari Yusran keluar
dari hospital. Saya percaya itu perbuatan Prof Erman sendiri.”
Encik Ahmad
terkejut mendengar penjelasan Inspektor Bakar.
“Tapi kenapa?
Kenapa perlu bawa lari anak saudara sendiri yang bakal jalani pembedahan
beberapa jam lagi?” Encik Ahmad kebingungan.
“Saya sendiri tak
pasti, tapi rasanya kita akan tahu jawapannya kalau dia dapat ditangkap.”
Kereta Encik Ahmad
yang dipandu Inspektor Bakar semakin menghampiri kereta yang dipandu Prof.
Shah.
“Aku rasa itu
Inspektor Bakar pinjam kereta orang awam. Kita pusing-pusing dulu sekitar
kawasan sini supaya dapat kelirukan dia. Elak memasuki pusat bandar waktu
sekarang. Sekarang waktu puncak, jalanraya akan dipenuhi kereta. Kalau boleh,
elakkan juga lampu isyarat. Kena berhenti di lampu isyarat bermakna kita takkan
selamat.” Panjang lebar Prof. E memberi peringatan kepada Prof. Shah yang
sedang memandu. Prof. Shah hanya tersenyum.
“Kau jangan risau,
Erman. Aku tahu apa perlu aku buat. Kita ada berapa lama masa?”
“Dalam sejam
lebih, kemudian kita kena balik ke rumah aku untuk persediaan.”
Sambil tersenyum,
Prof. Shah menambah pecutan keretanya dan memasuki susur masuk lebuhraya.
Hospital Arahjaya berada di selatan Bandar Barat bersempadanan dengan utara
Bandar Selatan dan barat Pusat Bandar. Cara terbaik untuk mengelak kesesakan
waktu puncak ialah dengan memasuki lebuhraya tertutup yang menghubungkan empat
bandar utama Arahjaya. Di lebuhraya bukan sahaja kurang kenderaan, malah tiada
lampu isyarat. Kereta juga boleh dipandu laju dengan risiko kemalangan yang
dapat diminimumkan.
“Kalau masuk
lebuhraya, kereta aku ini tidak akan kalah.”
Selepas memasuki
lebuhraya, Prof. Shah memicit satu punat di bahagian bawah stereng. Tiba-tiba
enjin kereta yang dipandu Prof. Shah berderum kuat sebelum kereta itu memecut
dengan lebih laju. Prof. Shah tergelak besar, kepuasan.
“Aku tak tahu pula
kau suka ubahsuai kereta,” kata Prof. E.
“Banyak yang kau
tak tahu tentang aku, Erman.” Prof. Shah menyambung gelak ketawanya.
“Nampaknya kereta silver itu masuk ke lebuhraya,” kata
Encik Ahmad sambil menunjukkan susur masuk lebuhraya. Inspektor Bakar yang
sedang memandu di sebelah mendengus panjang.
“Mereka tak
berniat nak serah diri. Tak apa. Kita akan kejar sampai berjaya.”
Kereta biru yang
dipandu Inspektor Bakar turut memasuki lebuhraya. Namun, selepas melepasi tol,
kereta berwarna perak tadi sudah hilang dari pandangan mereka.
Sedar dirinya
gagal mengejar, Inspektor Bakar menghempas tapak tangannya ke stereng kereta,
kemarahan. “Tak guna. Kita sudah kehilangan mereka. Kereta mereka pecut laju.”
Inspektor Bakar
memperlahankan pemanduannya. Dia memberhentikan kereta di kiri lebuhraya dan
kemudian membuat panggilan kepada balai polis tempat dia bekerja. Inspektor
Bakar mengarahkan supaya diadakan sekatan jalanraya di jalan-jalan terpilih
sekitar Bandar Selatan, Pusat Bandar dan Bandar Barat. Dia juga mengarahkan
supaya diletakkan unit peronda di setiap susur keluar lebuhraya. Namun, jauh di
sudut hati Inspektor Bakar, dia sedar bahawa cara begitu tidak akan berkesan
jika orang yang diburunya sudahpun berada di luar kawasan operasi.
“Kita akan ke Balai
Polis Utama Arahjaya. Di sana saya akan pulangkan kereta ini kepada awak, Encik
Ahmad. Maaf susahkan awak.” Inspektor Bakar kembali memandu memasuki jalan.
“Tuan Inspektor,
tadi tuan kata kemungkinan yang bawa lari Yusran ialah pakciknya, Prof Erman,
kan?” soal Encik Ahmad. Inspektor Bakar mengangguk.
“Saya rasa, kalau
Prof Erman, hanya ada dua tempat sahaja dia selalu ada. Universiti tempat dia
mengajar dan juga rumah dia. Saya tahu sebab hampir setiap hari saya perhatikan
dia. Dia tiada kehidupan lain,” terang Encik Ahmad. Inspektor Bakar tertarik
perhatian.
“Kita boleh cuba
periksa dulu dua tempat itu. Tak rugi pun kalau periksa sana, kan?” sambung
Encik Ahmad. Inspektor Bakar setuju.
“Kita ke
universiti dulu.”
22 Mac 2004, jam 2110. 2 jam 20 minit sebelum Kilat Thor.
Kereta berwarna perak
yang dipandu Prof. Shah berhenti di hadapan pagar rumah Prof. E di Bandar
Selatan. Setelah memerhatikan keadaan sekeliling, kedua-dua Prof. E dan Prof.
Shah perlahan-lahan memapah Johan yang masih tidak sedarkan diri keluar dari
kereta dan dibawa masuk ke dalam rumah. Kudrat dua orang pertengahan abad
memapah seorang lelaki muda bukannya mudah. Tambahan pula mereka perlu
berhati-hati kerana masih terdapat serpihan peluru di dalam badan Johan.
Kedua-dua profesor itu mengambil masa yang lama hanya untuk memapah Johan naik
ke tingkat atas. Johan kemudian di bawa ke bilik loteng rumah, bilik di mana
Prof. E menyimpan segala maklumat tentang kajiannya berkenaan fenomena merentas
masa.
Setelah pintu
bilik loteng dibuka, Prof. Shah yang buat pertama kali melangkah masuk ke bilik
sulit tersebut sedikit terperanjat.
“Kita letakkan
Johan di kerusi itu,” kata Prof. E merujuk kepada sebuah kerusi yang berada di
tengah-tengah bilik. Badan Johan diletakkan dan dibetulkan kedudukannya supaya
stabil.
“Mana?” tanya
Prof. Shah.
“Mana apa?” balas
Prof. E.
“Mana mesin masa
kau?” jelas Prof. Shah.
“Mesin masa apa?”
balas Prof. E.
“Mesin masa.
Bukankah kau kaji fenomena merentas masa? Sepatutnya ada mesin masa yang besar
dalam bilik kajian kau ni, atau paling kurang sebuah mesin sebesar tab mandi.
Kenapa hanya ada kerusi kayu di tengah bulatan kapur?”
“Kerusi kayu
penebat elektrik terbaik. Malah, tiada skru dalam kerusi kayu itu. Seratus
peratus kayu. Aku tak mahu gunakan kerusi besi. Bahaya.”
Prof. Shah garu
kepala. “Are you joking, Erman? Aku
tanya mana mesin masa. Mana?” Nada suara Prof. Shah semakin meninggi. Prof. E
hanya tersenyum.
“Inilah mesin
masanya, Erman. Ini!” Prof. E mendepakan tangannya.
“Ini? Apa? Kerusi?”
Prof. Shah masih tidak jelas.
“Bukan. Bukan
kerusi. Tapi alam. Alam kita.”
“Alam? Apa maksud
kau?” Prof. Shah semakin buntu.
“Tiada kuasa
manusia setanding rahsia alam. Alam ini sendiri yang menghantar Johan datang,
dan alam ini juga yang akan mengambil Johan pulang. Sebenarnya, kajian aku
masih tidak lengkap. Walaupun aku sudah fahaminya secara teori, tapi aku masih
gagal untuk mengaturkan model makmal kajian aku. Bukan...Sebenarnya, aku tak
akan berjaya untuk mengaturkannya.”
Prof. Shah
terduduk mendengar penjelasan Prof. E. Raut wajahnya kelihatan kecewa.
“Maafkan aku kalau
kau kecewa. Tapi janji aku tentang akan berkongsi segala maklumat tentang
kajian ini kepada kau, akan tetap aku kotakan. Janji aku tetap janji.” Kata-kata
Prof. E itu tidak mengubah riak muka Prof. Shah.
Tiba-tiba, pintu
bilik loteng itu dibuka. Dua lelaki memasukinya.
“Jangan bergerak,
kamu berdua ditahan atas pertuduhan melakukan kes penculikan.”
Kedua-dua Prof. E
dan Prof. Shah berpaling ke arah suara itu. Kelihatan Inspektor Bakar berdiri
di pintu mengacukan pistol ke arah mereka. Encik Ahmad berada di belakang
Inspektor Bakar kelihatan buntu.
22 Mac 2004, jam 2135. 1 jam 55 minit sebelum Kilat Thor.

0 nota kaki:
Post a Comment