[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37]

Nafas hembusan
Intan dapat dirasai di pipi kiri Johan. Pada mulanya, Intan berada segan
apabila Johan menggendongnya di belakang. Tapi lama kelamaan, terasa perasaan
yang amat selesa dek kehangatan badan Johan yang dirasainya.
Satu titisan air
tepat mengenai pipi kanan Johan. Johan memberhentikan langkahnya sambil
mendongak ke atas. Lalu, bunyi titisan air menghentam dedaun pokok memenuhi
ruang.
“Hujan.”
Sambil menunggu
respon dari Intan, Johan memandang sekeliling, mencari mana-mana kawasan yang
boleh dijadikannya tempat berteduh. Pandangannya terhenti pada sebatang pokok
besar dengan pangkalnya dipenuhi dengan beberapa batang pokok renek. Celahan
pokok-pokok renek itu sesuai dijadikan bukan sahaja tempat berteduh, akan
tetapi tempat persembunyian jikalau Bawi dan Galah menghampiri.
“Intan, kita pergi
berteduh di sana dulu, ya.” Tiada respon dari Intan.
Tidak menunggu
jawapan, Johan terus bergerak ke arah pangkal pokok itu. Sampai di sana, Johan
kemudian merendahkan badannya sebelum mencangkung untuk meletakkan Intan ke
bawah. Apabila dia berpusing melihat Intan, Johan tersenyum.
“Tidur rupanya.”
Hujan makin lebat.
Akan tetapi, Johan bersyukur kerana hutan tebal dengan dedaun di atasnya
membentuk kanopi ini menyaring kelebatan air hujan menyebabkan mereka tidak
basah sangat ketika berada di bawah. Juga, tempat berteduh mereka tersorok dari
timpaan air hujan.
Intan masih
terlena. Johan tidak sampai hati ingin mengejutnya. Sekali-sekala, Intan
bergerak ke kanan dan ke kiri membetulkan kedudukan diri. Walaupun pangkal
batang pokok tidaklah seselesa mana dibandingkan bantal dan tilam, akan tetapi
orang seperti mereka tiada kuasa untuk memilih. Dapat bersandar di pangkal
batang pokok sudah cukup bertuah bagi mereka.
Tempias air
mengenai muka Intan. Selepas kening dan dahinya bergerak, Intan membuka mata.
“Kita di mana?”
“Shhhh!” Johan di sebelah menunjukkan
isyarat jari di bibir.
“Kita sedang
berteduh dari hujan. Terlalu bahaya untuk teruskan perjalanan.”
Intan mengangguk.
Faham.
Sebenarnya, Intan
tidak sedar sejak bila dia tertidur. Sedar-sedar sahaja, dia sudah berada di
bawah pokok, ditempias hujan. Namun, melihat Johan masih di sisi, dia rasa
selamat.
Intan menghembuskan
nafas ke tapak tangan dan menggosok-gosok lengannya berkali-kali. Sekali-sekala,
Intan mengepit kedua-dua belah tapak tangannya bersilang di bawah ketiak untuk
mendapatkan haba badan. Baju T nipis yang dipakainya untuk tidur ini tidak
mampu menjadi penebat terbaik untuk dirinya yang sedang kesejukan.
Segala gelagat
Intan diperhatikan Johan. Tanpa bicara, Johan menanggalkan bajunya,
meninggalkan hanya singlet hitam di badannya. Intan terlopong.
“Nah, pakai!
Walaupun lembab sikit, tapi baju ni
tak basah.” Johan menghulurkan baju yang ditanggalkannya tadi ke arah Intan.
Intan masih terlopong.
“Maaflah kalau ada
busuk peluh. Buat-buat tak bau sajalah, ye.”
Kata-kata yang berserta senyuman itu membuatkan jantung Intan berdegup kencang.
Dengan perlahan, tangan Intan menyambut baju yang dihulurkan. Dia tiada kata,
lidahnya kelu, hatinya sayu rawan.
Johan mengalihkan
pandangannya kepada pokok rendah disebelahnya. Dia kurang pasti apakah spesies
pokok itu, tapi daun-daunnya yang lebar dan besar telah memerangkap air hujan
seperti sebiji mangkuk yang menadah. Johan memetik sehelai daun itu dan dengan
berhati-hati membawa air tadahannya ke hadapan Intan.
“Minumlah. Awak nampak
haus tadi.”
Sekali lagi
jantung Intan dirasanya berdetak laju. Untuk beberapa saat, pandangan mata
Intan tepat ke arah wajah Johan yang terukir senyuman. Akan tetapi, peluang
untuk Intan melegakan tekak yang kehausan tidak dilepaskannya. Tiga kali Intan
menyuruh Johan menadahkan untuknya. Dia tidak pernah terfikir air hujan adalah
begitu nikmat.
Johan juga tidak
melepaskan peluang membekalkan dirinya dengan air yang secukupnya. Ini sahaja
peluang bagi mereka untuk segar semula.
“Awak. Awak tak
sejuk?” tanya Intan.
Johan tersenyum
tiga saat. “Kalau saya sejuk, awak nak datang rapat peluk saya ke?”
Jawapan Johan
membuatkan Intan beralih pandangan dan terdiam. Kulit wajahnya yang putih gebu
itu jelas kemerah-merahan. Mungkin sebab sejuk, mungkin juga sebab malu.
“Jangan risau.
Saya tak sejuk. Saya sudah biasa sejuk-sejuk macam ini.”
Berfikir sejenak,
Johan sangat tidak sangka insan disebelahnya itu adalah artis yang selama ini
dia minati. Berdua berteduh bawah hujan. Bersama minum air tadahan. Malah
sanggup pula dia memakai baju yang busuk dengan peluh. Bagi Johan, ini adalah
pengalaman yang tidak dapat dia lupakan. Johan juga sedar, mereka masih belum
selamat. Belum lagi selamat.
Johan merenung air
hujan yang menghentam lantai hutan. Ada sesuatu yang difikirkan di dalam benak
fikirannya.
Hujan. Adakah Bawi dan Galah akan memperlahankan langkah
mereka memburu kami? Adakah mereka juga mencari tempat berteduh? Ataupun ini peluang
mereka untuk terus mengejar kerana mereka fikir kami akan berhenti berteduh?
Bagaimana dengan Prof. Erman? Selamatkah dia? Kami pula, ke mana patut kami
tuju dalam hutan ini?
Satu jawapan pun
Johan tiada.
“Kita patut
berteduh, Bawi. Basah nanti,” Galah cuba mengajak Bawi berhenti. Sebenarnya,
dia sudah kepenatan. Sakit kepalanya dihentak tadi pun belum habis hilang lagi.
“Sabar dulu,
Galah. Hujan macam ni adalah peluang
terbaik kita nak jejak budak-budak keparat tu.
Mereka pasti akan berteduh menunggu hujan reda.”
Jawapan Bawi
membuatkan Galah mencuka. Mahu atau tidak, dia terpaksa ikut kehendak Bawi
kerana dia tidak mahu dirinya senasib dengan Zul yang mati dengan mata
terbeliak. Apa sahaja yang akan
membuatkan nyawa aku panjang, aku akan ikut, fikir Galah.
“Aku dapat
rasakan, kita tak jauh dari mereka. Aku dah tak sabar nak kerjakan budak-budak tu.”
“Hujan ini akan
merumitkan proses menjejak oleh anjing pengesan.” Inspektor memicit pangkal
hidungnya dengan tangan kiri, memikirkan jalan penyelesaian terbaik. Tangan
kanannya masih membelek-belek bukti video dari telefon bimbit yang Prof. E
tinggalkan.
“Kita tiada masa. Nyawa
mereka lebih penting. Cepat. Kita hantar masuk satu pasukan ke dalam hutan.
Unit K9 dan anjing pengesan akan proceed
selepas hujan reda.”
“BAIK, TUAN!”
“Akhirnya hujan
telah turun,” Prof. E sedang bercakap dengan dirinya sendiri di dalam keretanya.
“Hujan ini mungkin
berterusan sehingga malam 22 haribulan nanti di mana kilat Thor kedua akan
muncul. Harap-harap, Johan dapat diselamatkan sebelum waktu tersebut.” Prof. E
menghidupkan enjin keretanya, memijak pedal klac, menggerakkan tombol gear ke
angka satu dan memandu kereta memasuki jalanraya.
“Aku masih ada
tanggungjawab yang perlu diselesaikan. Johan, tolonglah selamat. Aku akan
hantar kau pulang ke zaman kau.”

0 nota kaki:
Post a Comment