[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38]

Nadinya dapat
dirasakan berdenyut kencang, namun itu tidak sedikitpun membuatkan Inspektor
Bakar gelisah. Dia memang dikenali sebagai pegawai polis yang berdedikasi,
bertanggungjawab dan sentiasa fokus dengan kerja. Sifat itulah yang membuatkan
dia dihormati orang bawahannya dan rakan-rakan sepasukan.
“Kita akan mula
masuk ke dalam hutan. Misi kita adalah untuk menyelamatkan seorang mangsa culik
perempuan dan seorang lelaki yang belum dikenal-pasti serta menangkap dua
penjenayah dikehendaki. Pastikan semua bergerak menuju ke arah selatan. Cari
sebarang petunjuk yang mungkin ditinggalkan mangsa culik ataupun dua orang
penjenayah itu. Laporkan sebarang penemuan sesegera mungkin. Faham?”
“FAHAM, TUAN!”
Sahutan serentak satu pasukan mencari yang diketuai Inspektor Bakar itu
membangkitkan semangat setiap ahlinya. Setelah mengambil tempat masing-masing,
operasi mencari, menyelamat dan menangkap pun bermula. Pada jarak dua meter di
antara setiap ahli pasukan, barisan panjang dengan tenaga 8 ahli mula melangkah
masuk ke dalam hutan bagi mengesan orang yang dicari. Semua itu berlangsung
semasa hujan masih lebat mencurah ke bumi.
Intan memerhatikan
Johan. Johan tiada reaksi, hanya memandang permandangan hujan yang menimpa
lantai hutan. Intan mengangkat punggungnya dan bergerak merapati Johan sehingga
bahu kirinya bersentuhan dengan belakang badan Johan. Johan terkejut.
“Saya tahu awak
pun sejuk. Apa kata kita rapat lagi. At least kita boleh saling memanaskan antara
satu sama lain.” Intan merapatkan lagi badannya ke sisi Johan. Johan, tiada
kata, hanya menarik nafas panjang.
Rapat? Saling memanaskan antara satu sama lain? Eh, itu
semua ayat dalam filem hindustan. Filem di mana hero dan heroin terperangkap
dalam ribut salji dan hanya ada sesama sendiri untuk memanaskan badan
masing-masing. Kulit bertemu kulit. Haba saling bertukar. Adakah...
Fikiran Johan jauh
melayang. Gelagatnya sekali-sekala menjeling Intan di sebelah, kemudian dipejam
rapat kedua belah matanya, dan kemudian menghembus nafas panjang selepas lama
ditahan membuatkan Intan tersenyum. Intan sedar, Johan sedang malu. Segan.
Mungkin ini kali pertama insan yang dipanggilnya Yusran ini sebegini rapat
dengan manusia berlainan jantina. Tapi Intan tidak peduli. Pada matanya, Yusran
adalah penyelamat dirinya, dan dia berhak mendapat layanan baik, paling kurang
saling bertukar haba badan ketika kesejukan.
Pada Johan pula,
dapat kesempatan berada serapat ini dengan Hani, selaku pemain utama dalam
industri hiburan tanahair untuk beberapa tahun akan datang, adalah di luar
jangkaannya. Gembira ada, gementar sudah tentu.
Bunyi satu das
tembakan memecah suasana damai hujan.
Inspektor Bakar
dan pasukannya serentak mengangkat kepala mendongak ke atas. Dari bunyi tembakan, jaraknya mungkin dalam kurang
dua batu ke hadapan. Inspektor Bakar saling bertukar pandangan dengan beberapa
ahli pasukannya. Dia perlu buat keputusan yang cepat untuk bertindak.
“Kita percepatkan
langkah. Maju.”
Intan menutup
mulut, terkejut. Johan meletakkan jari ke bibir, memberi isyarat kepada Intan
supaya tidak membuat apa-apa bunyi. Bunyi tembakan tadi kedengaran sangat
hampir, seolah-olah sumbernya hanya beberapa kaki di belakang pokok tempat
mereka berteduh.
“Aku tahu kau di
sekitar sini. KELUAR!”
Muncul suara
melaung dari jarak lebih kurang 10 meter dari tempat Intan dan Johan berada.
Intan memandang Johan dengan mata membuntang ketakutan. Jari Johan masih di
bibir. Dia membongkokkan badannya meninjau ke belakang dari celahan pokok renek
di sekeliling. Tepat matanya ternampak kelibat dua lelaki; seorang berbadan
besar, seorang kurus tinggi sedang masing-masing memegang pistol di tangan.
Bawi dan Galah
akhirnya sudah begitu hampir dengan mereka.
“Tak apa ke kau
tembak ke atas tadi? Polis mungkin boleh dengar.” Galah kelihatan sedikit risau
dengan tindakan Bawi yang berjalan di hadapannya. Bawi hanya tersenyum segaris.
“Jangan risau.
Pada masa polis boleh sampai ke sini, budak berdua tu sudah jadi tawanan kita. Mereka berdua berada sekitar sini,
mungkin sedang berteduh. Kesan yang mereka tinggalkan di sini sangat baru.
Mereka tak jauh.”
“Tapi mana?”
“Budak perempuan
yang dipanggil Intan tu, kalau dia
panik, dia akan tercungap-cungap dan bernafas dengan laju. Sebab tu aku
lepaskan tembakan. Bagi dia dalam ketakutan. Siapa boleh menyorok dengan nafas
yang macam tu.”
Johan memandang
Intan di sebelahnya. Walaupun tangan Intan masih menerkup mulut, tapi dia
kelihatan bernafas dengan laju, bahunya naik turun dengan pantas menarik dan
menghembus nafas.
Hyperventilation. Anxiety attack.
Satu keadaan di mana gangguan dalam pernafasan disebabkan oleh serangan panik
atau kebimbangan yang melampau. Ia akan menyebabkan orang yang mengalaminya
bernafas dengan pendek dan laju, selalunya diikuti dengan dengusan nafas yang
keras. Bernafas melalui beg kertas dapat mengurangkan gejala hyperventilation
ini. Tapi, berada di dalam hutan tebal dengan hujan lebat menghentam bumi,
memiliki beg kertas adalah mustahil.
“Text-book anxiety attack. Aku patut buat
sesuatu,” Johan berbisik. Dia perlu pantas memikirkan sesuatu. Hujan mungkin
berpihak kepada Johan.
Aku kena tenang. Mereka berdua masih memandang ke kiri
dan ke kanan disebabkan mereka tidak tahu kami di sini. Aku kena gunakan
peluang ini sebaik mungkin.Inilah masanya. Masa untuk melawan, masa untuk
berdepan.
Hujan yang turun
memang membantu. Air yang jatuh dari atas dan menghentam dedaun pokok renek
memberikan efek seperti daun itu bergerak-gerak. Maka, permandangan seperti
adanya kelibat di belakang pokok sedangkan hanya daun yang melambai di
sekeliling dapat mengaburi pandangan si pemerhati. Kelebihan ini diambil Johan
untuk keluar dari tempat berteduhnya dan bergerak menyelinap dari satu rimbunan
pokok renek ke rimbunan yang lain tanpa mengundang perhatian Bawi dan Galah.
Akhirnya, Johan kini sudah memintas lokasi Bawi dan Galah dan senyap-senyap
sudah berada di rimbunan pokok di belakang mereka berdua.
“Aku kira sampai
tiga. Kalau korang keluar sebelum aku
habis kira, nyawa korang mungkin
selamat.”
Tamat sahaja ayat
itu dilafazkan, Galah rebah ke bumi akibat satu libasan yang dihadiahkan Johan
menggunakan alat pemotong dawai tepat ke kepala dari belakang. Sepantas
mungkin, Johan melempar alat pemotong dawai dari tangan kanannya ke tanah dan
terus menyambar pistol dari tangan Galah yang tertiarap tidak sedarkan diri
lalu mengacukan pistol itu tepat ke belakang kepala Bawi. Bawi tidak sempat
berpusing.
“Jatuhkan pistol
kau dan angkat tangan atau kepala kau berkecai,” gertak Johan dengan suara
tenang.
Bawi tiada
pilihan. Pilihan untuknya berpusing dan mengadap Johan juga tidak diberi
keizinan. Dia lalu menjatuhkan pistolnya ke atas tanah dan mengangkat tangan
seperti gaya takbiratul ihram tanpa dapat melihat wajah Johan.
“Berani. Kau budak
yang berani. Aku sangkakan kau hanya budak mentah yang mahu menjadi hero
menyelamatkan seorang gadis cantik.”
Dalam hati Johan
terdetik bahawa separuh dari penyataan Bawi itu adalah benar. Budak mentah yang mahu menjadi hero
menyelamatkan seorang gadis cantik. Johan senyum segaris.
“Sebab utama aku
lari dari korang adalah sebab korang berpistol. Ambil pistol, korang hanyalah anjing yang hilang gigi
dan kuku.”
Itu bukan omong
kosong. Johan sudah dilatih seni mempertahankan diri dari kecil oleh datuknya.
Keberanian adalah sesuatu yang memang ada dalam dirinya.
“Budak, siapa nama
kau?” tanya Bawi.
“Aku tiada nama,”
jawab Johan.
“Baiklah, budak.
Biar aku beritahu kau sesuatu. Aku nasihatkan kau tarik picu pistol itu dan
tamatkan nyawa aku di sini. Sebabnya, kalau aku ada rezeki untuk bernyawa lagi,
aku akan cari kau sampai ke lubang cacing hanya untuk jadikan kepala kau
sebagai koleksi hiasan awet di dinding tandas rumah nenek aku.”
Johan mendengus,
tanda menempelak kata-kata Bawi itu.
“Ya, tapi macam
mana kau nak cari aku sedangkan muka aku pun kau tak pernah pandang?”
“Hahaha...” Bawi
ketawa tidak bernada.
“...aku mungkin
tak cam muka kau. Tapi aku SANGAT cam muka Intan, muka mak Intan, muka bapak Intan, alamat rumah Intan, dan
banyak lagi.”
Johan berubah muka,
mencerun.
“Hanya untuk
menarik kau keluar dari lubang cacing, aku sanggup awet Intan kesayangan kau
dari bahagian pusat ke lutut dan gantung depan pintu rumah Encik Ahmad sebagai
pameran.”
Johan mengetap
bibir.
“Oh, sudah pasti
aku akan buat semua tu selepas aku puas main ‘benda yang di tengah’ tu. Hahaha!” Bawi merapatkan jari
telunjuk dan jari hantu tangan kanannya dan menggerakkannya seperti isyarat
mengorek.
Kemarahan Johan
berada di kemuncak.
Satu hentakan kuat
menghinggap ke kepala Bawi dengan menggunakan hulu pistol yang dipegang Johan.
Hentakan itu cukup membuatkan Bawi hilang kesdaran dan jatuh rebah menyembah
bumi.
Genggaman tangan
Johan menggeletar. Sedikit lagi dia mungkin akan menarik picu pistol dan
menamatkan hayat Bawi. Akan tetapi rasional menerpa mengatakan bahawa saat
peluru menembusi kepala Bawi, maka dirinya terletak sama taraf dengan pemusnah
masyarakat itu.
“Maaf, aku takkan membunuh.”

0 nota kaki:
Post a Comment