[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27]

Lampu sorot masih tepat
memancarkan cahaya dari ruang atas bilik studio ke wajah Hani. Namun, studio
yang sebelum ini riuh dengan suara penonton di kerusi dan staf yang
berlari-lari di belakang pentas, kini sunyi. Setiap pasang mata khusyuk
tertumpu kepada Hani di hadapan pentas. Mereka semua terkejut dengan pengalaman
pahit yang dialami selebriti nombor satu negara itu. Siapa sangka, di sebalik
wajah ceria Hani, terdapat ruang hitam berisi pengalaman pahit.
“Ini akan menjadi
rancangan temubual yang bakal mencatat sejarah jumlah tontonan.” Penerbit
rancangan sedang tersenyum kepuasan di bilik suntingan.
“Jadi, Hani. Sudah
tentu Hani terselamat dari peristiwa itu. Jika tidak, Hani tidak mungkin dapat
berada di sini, kan?” Hos rancangan sedang memainkan peranan.
“Ya. Saya selamat
dan sihat.” Hani ketawa kecil.
“Dalam peristiwa
itu, perkara apa yang paling terkesan kepada Hani sampai sekarang?” Soalan itu menamatkan
senyuman di wajah Hani, seperti ada sesuatu yang terus muncul di benak fikirannya
sejurus selesai disoal.
“Selama saya
terikat dan dikurung dalam bilik kecil itu, berkali-kali saya terdengar deruan
enjin kapal terbang yang terbang rendah dan keretapi yang melintas lalu.
Kadang-kadang serentak. Kadang-kadang berselang seli. Kadang-kadang sunyi sepi.”
Hos rancangan
mengangguk.
“Sehingga kini,
bila saya terdengar bunyi keretapi melintas, ataupun enjin kapal terbang yang melintas
rendah, saya akan terfikirkan pengalaman terkurung dan terikat di dalam bilik
yang dikawal oleh lelaki-lelaki durjana.”
“Adakah Hani
trauma?”
“Ya? Maafkan saya?”
Hani meminta soalan diulang kerana tidak jelas.
“Bunyi keretapi
dan enjin kapal terbang. Adakah Hani trauma bila terdengar dua bunyi itu?”
Hani tersenyum
kembali.
“Pada mulanya,
memang saya trauma. Tapi, apa yang berlaku selepas itu membuatkan saya tidak
mengambil rasa takut dan trauma sebagai sesuatu yang mengganggu hidup. Saya
mampu untuk terus tersenyum.”
“Apa yang berlaku
selepas itu?”
20 Mac 2004, jam 0836.
“Johan. Johan.
Bangun.”
“Johan. Buka mata.
Sedarkan diri.”
Prof. Shah menepuk
bahu Johan berkali-kali untuk sedarkan Johan dari keadaan hipnosis. Johan masih
keras dan tidak sedarkan diri. Darah merah mengalir perlahan dari lubang hidung
sebelah kanannya.
“Dia okey tak ni?”
Prof. Erman yang berada di belakang Prof. Shah kelihatan risau.
“Sampai berdarah
hidung. Kejutkan dia. Buat sesuatu.”
“AKU TENGAH CUBA
KEJUTKAN DIA. KAU JANGAN BISING.” Prof. Shah meninggikan suara. Peluh meleleh
dari rambut jarang miliknya. Jelas, Prof. Shah panik.
“Inilah risiko
yang aku katakan. Dia boleh hilang minda kalau dibiarkan berterusan.”
Prof. E mengeluh
panjang. “Ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
“Dan ini juga
tidak patut berlaku.” Prof. Shah mengangkat tinggi tangan kanannya dan kemudian
menghayunkannya kuat ke pipi Johan sehingga menyebabkan Johan tersungkur jatuh
dari kerusi ke atas lantai. Prof. E tergamam.
“SAKIT!” Johan
yang terbaring di atas lantai, menggosok-gosok pipi kirinya. Dia lihat tapak
tangannya yang menggosok tadi. “Darah. Takkan sampai berdarah saya kena tampar?”
sambil menunjukkan tapak tangannya yang terdapat kesan darah kepada Prof. Shah
dan Prof. E.
“Kau dah sedar.
Baguslah. Kami ingat kau dah hilang!” Prof. E memegang bahu Johan, dan
ditolongnya Johan untuk berdiri semula.
“Tapi, darah...”
“Itu darah dari
hidung kau. Kau dah masuk alam separa sedar terlalu lama sampai berdarah
hidung. Nyaris kami tak boleh nak kejutkan kau tadi.” Prof. Shah menjelaskan
keadaan.
“Jadi, kau
ditampar dengan kuat supaya tersedar dari terus hilang.”
“Aku rasa, tampar
tu bukan dalam prosedur, kan?” Prof. E memandang Prof. Shah dengan wajah sinis.
Prof. Shah hanya berdengus panjang sambil menarik muka kelat.
“Sebenarnya, aku
tak sangka prosedur hipnosis ciptaan aku ni boleh berjaya.” Johan dan Prof. E
menguntum senyuman.
“Lagi aku tak
sangka, si Johan ni rupanya betul-betul orang dari masa hadapan.”
“Aku sendiri pun
ada keraguan tentang Johan ni,” Prof. E mencelah. “Tapi rasanya, aku percayakan
dia seratus peratus sekarang.”
Johan tersenyum.
“Apa yang penting,
kita dah dapat maklumat yang mampu bantu kes penculikan Intan.” Johan menyapu
darah yang sudah berhenti meleleh dari hidungnya.
“Ya. Bunyi enjin
kapal terbang melintas rendah dan keretapi berlalu.”
Beberapa minit
kemudian, Prof. Shah keluar dari bilik bacaannya dengan membawa peta di tangan.
Dia pergi ke ruang tamu untuk menyertai Prof. Erman dan Johan.
“Ini peta
Arahjaya. Dengan beranggapan penjenayah tak keluar dari Arahjaya, kita boleh pinpoint kebarangkalian tempat budak
perempuan tu disorok.” Prof. Shah membentangkan peta di atas meja tengah ruang
tamu. Johan dan Prof. E duduk merapati meja.
“Bunyi kapal terbang
terbang rendah bermaksud tempat Intan disorok berada berdekatan dengan landasan
lapangan terbang. Manakala, bunyi keretapi melintas bermaksud ada landasan
keretapi berdekatan bersebelahan dengan tempat itu.” Prof. E berfikiran
logikal.
“Lapangan Terbang
Utama Arahjaya berada di selatan Bandar Timur. Memang ada laluan keretapi di
situ, untuk tujuan penghantaran kargo dan pengangkutan awam.” Johan hanya
mengangguk mendengar keterangan Prof. E itu.
“Berdasarkan
maklumat ini, since Arahjaya ada satu
saja lapangan terbang, apa yang polis perlu buat adalah pergi periksa setiap
rumah kosong yang boleh dijadikan tempat sorok di sepanjang landasan keretapi
dalam lingkungan kawasan lapangan terbang.” Prof. Shah pula bersuara.
Johan dan Prof. E
berpandangan sesama sendiri.
“Shah.” Prof. Shah
memandang Prof. E yang memanggilnya.
“Johan datang dari
masa depan. Jadi, agak susah kalau dia terlibat dengan polis. Dia tiada ID, tiada
pengenalan diri, malah Johan sebenar pada masa ini masih berada di bangku sekolah.”
“Jadi?”
“Aku harap kita
tak libatkan polis. At least bukan
dalam masa sekarang.”
“Jadi, apa yang
kau nak cadangkan?”
Kedua-dua Prof.
Shah dan Johan menunggu jawapan dari Prof. E.
“Aku rasa, kita
siasat dulu di mana tempat sebenar Intan disorok. Bila sudah ada kepastian, kita
hubungi polis sebagai anonymous. Dengan begini, kita semua tak terlibat secara
langsung dengan polis.” Prof. E menjelaskan. Johan berdiam diri.
“Bahaya. Aku tak
nak campur. Aku hanya boleh tolong sampai sini saja. Aku tak nak mati di tangan
penculik amatur.” Prof. Shah duduk bersandar di sofa.
Johan dan Prof. E,
sekali lagi, berpandangan sesama sendiri.
“Tak apa, Prof.
Shah. Bantuan Prof dengan hipnosis tadi pun sudah banyak membantu.” Johan
menggulungkan peta dan memegangnya di tangan kanan.
“Mari Prof. E. Masa
untuk menyelamat. Kita ke selatan Bandar Timur.”

0 nota kaki:
Post a Comment