[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28]

Angin laju yang
masuk melalui celah tingkap kereta yang terbuka sedikit menyeluarkan bunyi
seperti siulan yang panjang. Namun, perkara itu bukanlah kerunsingan utama yang
berada di minda kedua-dua Prof. Erman dan Johan. Mereka berdua kini berada di
dalam kereta yang laju meluncur di atas lebuhraya dalam kelajuan 100 kilometer
sejam. Kedua-dua mereka fokus dengan apa yang sedang dilakukan masing-masing.
Prof. E sedang memandu, manakala Johan duduk di sebelah, sedang gigih menelaah
peta yang dibekalkan Prof. Shah sebentar tadi.
Dengan kelajuan
seperti ini, mereka berdua akan sampai ke tempat yang dituju dalam masa kurang
40 minit.
Walaupun Prof. E
kelihatan fokus dalam permanduannya, tetapi dia sebenarnya sedang gigih
memikirkan sesuatu.
Hari ini 20 haribulan. Aku kena pastikan segalanya
berjalan lancar sebelum 22 haribulan memandangkan kilat Thor yang seterusnya
adalah pada malam 23 itu. Ada beberapa data yang perlukan kepastian. Aku kena
selesaikan segera. Kalau aku terlepas malam 23 itu, maka Johan tidak dapat pulang
ke masa depan. Kilat Thor seterusnya adalah pada 8 tahun akan datang,
kemungkinan itu adalah tarikh dia disambar sebelum ni. Aku kena lengkapkan
semua data kajian aku, supaya usaha aku selama berpuluh tahun ini tidak sia-sia.
Aku juga kena pastikan tiada dua Johan dalam satu masa sama. Ianya bakal
menyusahkan semua orang, termasuk kemungkinan mengganggu perjalanan aliran
masa.
Begitulah seorang
professor. Begitu mementingkan kajian. Namun, Prof. E sendiri sedar, kewujudan
Johan banyak membawa perubahan kepada dirinya. Terlalu banyak perkara yang
perlu dia lihat kembali, terutamanya keutamaan antara kajiannya dengan keluarga
yang telah meninggalkannya.
“Johan.” Prof. E
memulakan bicara.
“Kita akan
berhenti di sebelah barat Lapangan Terbang Utama Arahjaya dan jalan kaki
menyusuri tepi landasan keretapi. Kalau terjumpa pondok atau rumah yang
mencurigakan, kita akan sahkan itu adalah tempat Intan disorok, kemudian kita
akan buat panggilan kepada polis supaya mereka boleh datang serbu.”
“Anonymously?” Johan bertanya. Prof. E
memusingkan kepala memandang Johan.
“Ya. Anonymously. Lebih baik kita tak
terlibat dengan polis..”
“..memandangkan
saya ni orang yang tak sepatutnya wujud dalam zaman ini, memang adalah terbaik
kalau kita berdua, terutamanya saya, tidak terlibat dengan polis,” Johan
memotong dan menyambung kata-kata Prof. E. Johan memandang Prof. E dan
tersenyum.
“Saya faham.
Walaupun pada saya, kedatangan saya ke sini memang ada tujuannya sendiri, tapi
saya tak patut untuk terus berada dalam zaman masa ini. Jadi, saya percaya 100%
Prof mampu untuk hantar saya pulang ke masa depan. Boleh, kan?”
“Sudah tentu. Kau sedang bercakap dengan orang
yang sudah habiskan masa hidupnya mengkaji fenomena merentas masa.” Prof. E
tergelak kecil.
Kemudian, mereka
berdua berdiam seketika. Bunyi angin seperti siulan menutup suasana sunyi.
“Sebenarnya...”
Prof. E memandang
Johan yang sedang mahu mula bicara.
“...sekarang,
perasaan untuk menyelamatkan seseorang yang penting membuatkan saya
berkobar-kobar. Perasaan menjadi sebahagian dari sejarah untuk seseorang yang bakal
mengubah masyarakat, membuatkan saya jadi bangga.” Johan senyum.
“Intan begitu
penting, huh?”
“Di masa saya, dia
dikenali sebagai Hani. Sebelum ini, kita hanya menganggap golongan selebriti
dan artis hanya sekadar bertujuan menghibur. Ada juga di kalangan mereka yang
dipandang hina dek kerana kerjayanya. Tapi, kewujudan Hani menyangkal semua
itu. Dia adalah ikon. Dia telah mengubah persepsi masyarakat terhadap golongan
seperti dia. Dia sudah buktikan, siapa sahaja, tak kira status atau taraf
kedudukan, mampu terus mengejar cita-cita dan berjaya.”
Prof. E tersenyum.
“Kalau kita
berdiam diri dan tidak pergi menyelamatkan Intan, saya pasti masa depan akan
berubah. Entah bagaimana masa depan tanpa Hani yang bakal saya pulang.”
“Bukan, maksud
aku, Hani tu, begitu penting bagi kau, huh?”
Johan memusingkan
kepalanya laju ke arah Prof. E. Mukanya jadi merah. Prof. E tersenyum.
“Bila kau
bercerita tentang Hani, muka kau jadi berseri-seri. Kau juga begitu semangat
nak selamatkan Intan dari diculik, seolah-olah itu memang adalah tanggungjawab
kau. Kau seperti tak takut kalau hilang nyawa.”
Johan hanya
menunduk, senyum.
“Jadi, Hani begitu
penting pada kau, huh?”
Johan mengambil
masa untuk menjawab soalan itu.
“Memang betul saya
ada simpan perasaan terhadap Hani. Secara peribadi, saya antara orang yang
terkesan dengan bawaan positif yang dia sebarkan. Saya berubah keras menuju
kepada impian saya menjadi doktor. Tapi..” Johan berdiam, mematikan ayat.
“Tapi apa?”
“Macam mana nak
cakap. Hmm.. Prof takkan tak pernah ada perasaan terhadap artis kegemaran atau
mana-mana selebriti?”
Prof. E memandang
ke atas mengingati sesuatu. “Aku pernah suka dengan pembaca berita radio masa
sekolah rendah dulu. Tapi bila aku nampak muka sebenar dia, aku terus tak suka.”
Serentak,
kedua-dua Prof. E dan Johan tergelak besar.
“Hani lain. Dari
wajah, suara, perwatakan, semuanya mampu menarik hati sesiapa sahaja. Sebab
itulah, saya tahu, bukan saya saja yang suka pada dia. Mungkin beribu...tidak,
beratus ribu lagi lelaki yang sukakan dia. Maka, kebarangkalian untuk saya
mungkin lebih rendah dari dijangkiti penyakit smallpox.”
“Now, you are talking like a medical student.”
Sekali lagi,
mereka berdua tergelak besar bersama-sama.
Selang beberapa
saat selepas gelakan mereka reda, Johan mengeluh panjang.
“Kenapa mengeluh?”
tanya Prof. E.
“Hmm... Bergelak
ketawa dengan Prof mengingatkan saya dengan bapa saya. Entahlah, saya tak
sangka saya akan cakap begini, tapi saya rasa saya rindu dengan mereka. Ibu dan
bapa saya.”
Prof. E menguntum
senyuman. “Aku pun, Johan. Aku pun.”
Johan bingung. Apa maksud ‘aku pun’? Prof. E pun rindukan
ibu bapa aku? Atau dia rindukan ibu bapa dia? Entahlah.
Johan hanya
berdiam diri. Dia tidak mahu mempersoal kata-kata Prof. E tadi.
Prof. E masih
tersenyum.
Walau apapun yang bakal berlaku, aku berjanji, aku akan
hantar budak ni balik ke masa depan, balik ke zaman dia. Beberapa hari ni, dia
banyak mengubah aku ke arah yang lebih baik. Dia sudah memberi cahaya harapan kepada
kajian aku yang selama ini buntu. Dia sudah membuatkan aku kembali mempersoal
apa yang sudah aku buat selama ini sama ada berbaloi atau tidak, dan persoalan
itu adalah baik. Dia sudah mambuatkan aku berbaik semula dengan Shah, walaupun
tidak sepenuhnya. Dia sudah membuatkan aku kembali terkenang saat berseronok
bersama yang tersayang. Bergelak ketawa tanpa merunsingkan fikiran. Dia sudah
membuatkan aku rindu.
Aku rindukan keluarga aku. Anak dan isteri aku. Terima
kasih, Johan.
Aku janji, aku akan hantar kau balik ke masa depan.

0 nota kaki:
Post a Comment