[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33]

“Ish, awak ni! Peliknya soal macam tu.”
Intan menolak bahu Aida yang sedang duduk di sebelahnya sambil
tersenyum-senyum.
“Pelik apa pula?
Soalan saya mudah. Suasana macam mana yang awak rasa paling romantik sekali?” Aida
mengulang tanya soalannya.
Intan masih tidak
menjawab. Dia memandang ke siling bilik darjah sambil mengusap-usap dagunya
seolah-olah terdapat janggut sepanjang dua inci. Tiba-tiba Intan tersenyum
lebar.
“Hah, dah ada
jawapan?” teruja si Aida selepas melihat perubahan riak muka Intan.
“Begini. Saya
dikurung oleh ahli sihir jahat di tingkat paling atas satu menara tinggi. Semasa
saya tengah bersedih, tiba-tiba kedengaran bunyi jeritan dan pertarungan di
luar. Bila saya jenguk ke luar, rupanya terdapat seorang wira datang mahu
selamatkan saya. Dia sedang bertarung sengit dengan naga jagaan ahli sihir itu.
Selepas dia tewaskan si naga dan ahli sihir, dia panjat ke tingkap bilik saya
dikurung...”
“Macam mana dia panjat
menara yang tinggi tu? Guna tali?” Aida mencelah.
“Alaa...Jangan
potong dulu, cerita tak habis lagi!” Gelak sakan Aida dan Intan. Lalu, Intan
sambung bercerita.
“Sewaktu si wira
itu masuk melalui tingkap, saya sedang terduduk di atas lantai. Baju perisai
besi yang dipakai si wira itu memantulkan cahaya matahari dari luar tingkap,
membuatkan mata saya silau. Wira itu nampak seperti bersinar disirami cahaya. Disebabkan
silau juga, saya tak nampak muka si wira, hanya bayang dia saja.” Aida
tersenyum mendengar cerita Intan.
“Lalu, dia
hulurkan tangan kepada saya dan berkata...”
“...kahwinilah
saya!” Aida mencelah lagi.
Gamat satu bilik
darjah dipenuhi dengan gelak tawa mereka berdua.
“Wah, romantiknya!”
Untuk seketika,
ingatan Intan terimbas satu memori bersama Aida. Memori tentang angan-angan
ingin diselamatkan oleh wira berbaju perisai besi.
“Tepat pada
masanya.”
Kini, di hadapan
Intan berdiri seorang lelaki yang baru sahaja menyelamatkannya dari menjadi
mangsa rakus nafsu. Lelaki yang juga boleh dianggap wira penyelamat.
Disebabkan
pantulan cahaya matahari yang masuk melalui tingkap, lelaki penyelamat itu kelihatan
seperti bersinar disirami cahaya. Namun, bukanlah bersinar disebabkan memakai
baju perisai besi seperti yang pernah Intan angan-angankan. Sinaran itu
disebabkan pantulan dari peluh yang meleleh di muka, badan dan tangan.
Lelaki penyelamat
itu kemudian mengeluarkan pisau pendek yang terselit di pinggang. Dia memotong
ikatan tangan dan kaki Intan serta kemudian menarik perlahan-lahan pita pelekat
yang tertampal di mulut Intan. Intan kemudian meregang-regangkan pergelangan
tangan dan kakinya.
Lelaki penyelamat
itu menghulurkan tangan ke arah Intan.
“Awak okey?”
Pada Intan, masa
seperti terhenti seketika. Jauh di sudut hati, Intan merasakan bahawa dia bakal
menjadi mangsa kerakusan nafsu si penculik. Dia tak pernah sangka bahawa
dirinya akan diselamatkan oleh lelaki yang sedang berdiri di hadapannya ini.
Seorang lelaki yang baru dikenalinya beberapa hari lalu.
“Yusran?”
Johan baru
tersedar bahawa di hadapan Intan, dia dikenali sebagai Yusran.
“Ya, Yusran datang
menyelamat.”
Huluran tangan
Johan disambut Intan.
Johan membantu
Intan berdiri. Akibat dari terlalu lama diikat dan terbaring, Intan mengalami sedikit
kesukaran untuk berdiri. Apabila Intan dapat berdiri, dia terus memeluk erat
Johan.
Johan terkejut
kerana dipeluk. Dipeluk oleh seorang gadis yang bakal menjadi idaman banyak
orang termasuk dirinya. Seorang idola.
“Terima kasih.
Terima kasih sebab datang.” Air mata kembali berlinang di pipi Intan. Kali ini
bukan air mata ketakutan, tetapi air mata kesyukuran.
Johan tersenyum.
Dia menepuk-nepuk belakang badan Intan.
“Mari kita keluar
cepat,” ujar Johan.
“Mana kau nak
pergi, hah? Jahanam.”
Kedua-dua Intan
dan Johan terkejut dengan suara itu.
Bawi yang tadi
terjelepuk di tepi sudah sedarkan diri. Dia sedang duduk tertonggek sambil
menggosok-gosok bahagian belakang kepalanya yang dipukul Johan. Kemudian, Bawi
meraba-raba tepi badannya. Dia sedang mencapai pistol yang diselitkan di
pinggang.
Johan nampak aksi
Bawi mahu mencapai pistol. “Cepat, Intan. Dia ada pistol.”
Johan memegang
erat tangan Intan dan berlari keluar dari bilik.
Bawi sempat
mengeluarkan pistolnya dan mengacu ke arah mereka.
Tembakan pertama dilepaskan.
Tersasar. Johan dan Intan sudah berlari hilang dari pandangan.
Prof. Erman yang
berada di kawasan hutan di luar rumah terkejut mendengar bunyi tembakan. “Alamak,
mereka ada pistol!”
Kenapalah si Johan ini degil sangat. Aku dah ingatkan
banyak kali, kita serahkan sahaja kepada pihak polis. Sekarang dia nak berlagak
hero, sedangkan si penculik ada pistol.
Prof. E kembali
memerhati kawasan luar rumah tinggalan itu. Dia amat berharap Johan sempat
keluar menyelamatkan diri.
Johan dan Intan
dengan pantas menuruni tangga. Di tingkat bawah, mereka ternampak Galah yang
juga sudah sedarkan diri. Galah dengan muka dalam kesakitan, kelihatan sedang
memegang kawasan kepalanya yang dipukul. Dia mungkin sedang separa sedar.
Johan melepaskan
tangan Intan buat seketika. Tanpa berlengah masa, dia hadiahkan satu tendangan
tepat ke arah kepala Galah. Galah kembali tersungkur kesakitan.
Kedengaran Bawi
sedang menuruni tangga.
Johan tanpa membuang
masa kembali mencapai tangan Intan. Mereka berdua sambung berlari menuju ke
pintu keluar hadapan.
Bawi sudah berbaki
enam anak tangga. Dia nampak kelibat Johan dan Intan di pintu keluar. Segera,
dia mengacukan pistol dan melepaskan tembakan kedua. Masih tersasar.
Johan dan Intan
terkejut dengan tembakan yang hampir satu kaki mengenai mereka itu. Mereka
panik. Dari dalam rumah, mereka sepatutnya keluar melalui pintu dan menuju ke
arah kanan untuk bertemu dengan kedudukan Prof. E menyorok.
Tembakan ketiga
dilepaskan. Kali ini berjaya mencalarkan bahu kanan Johan.
Johan menjerit
kesakitan. Intan di sebelah bertambah panik.
Dek kerana
tembakan itu menyerang kanan Johan, Johan dan Intan secara spontan bergerak ke
kiri selepas keluar dari pintu. Mereka menuju ke arah yang bertentangan dengan
tempat Prof. E berada.
Sewaktu Bawi
sampai di pintu keluar, Johan dan Intan sudah hilang dari pandangan.
“Johan, kenapa kau
ke kiri? Sana menuju ke arah hutan tebal,” kata Prof. E yang menyaksikan
segala-galanya.

0 nota kaki:
Post a Comment