[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31]

Hambar.
Intan yang sedang
duduk memeluk kakinya, masih berada di penjuru paling jauh dari pintu bilik
tempat dia dikurung. Tajam matanya menatap pintu bilil. Seluruh bahasa tubuhnya
mengadap ke arah pintu itu sambil meneka-neka siapa yang bakal masuk
melaluinya. Adakah si penjahat durjana? Ataupun ahli pasukan penyelamat? Ataupun
ayahnya? Mungkinkah perwira dengan berbaju perisai sambil membawa pedang
panjang seperti figura yang selalu dijaja sebagai hero dalam cerita dongeng
kanak-kanak? Badannya yang masih menggigil ketakutan tidak peduli apapun
jawapannya, asalkan yang masuk melalui pintu itu bukanlah si durjana bermuka
rakus seperti haiwan yang ketagihan nafsu.
Sekali-sekala,
Intan membetulkan pelukan tangannya. Peluh yang pecah membasahi badan
membuatkan cengkaman tangan menjadi licin dan tidak kuat. Kadang kala Intan
menggenggam lengan baju untuk menguatkan pelukan. Dia tidak berniat mahu
melepaskan pelukan badannya itu. Dari perlakuannya, merapatkan kedua-dua belah
kakinya ke badan dan menjadikan kedua-dua tangannya sebagai pengunci, memeluk
kaki dengan erat adalah sebagai tanda dia akan mempertahankan kehormatan
dirinya walaupun apa yang bakal dihadapinya. Dia perempuan. Dia sedar, dia
seperti seketul anak kambing dikurung di dalam sebuah kandang singa yang lapar.
“Ibu...”
Perlahan suara
keluar dari mulut Intan. Suara yang agak terketar-ketar. Kali terakhir dia
ternampak ibunya adalah apabila ibunya diserang di kepala oleh salah seorang
lelaki durjana itu semasa dia diusung culik keluar dari rumah. Dia nampak
dengan jelas ibunya jatuh rebah ke atas lantai dengan darah merah likat
mengalir keluar.
Ibunya bukanlah
seorang yang kuat. Di mata Intan, ibunya sangat lembut dan bersopan santun. Setiap
susun laku ibunya begitu lembut, sehinggakan sesiapa yang memandang akan berada
sejuk dan redup. Malah, bibir yang sentiasa dihiasi senyuman menjadikan ibu
Intan sentiasa diselubungi aura penyayang.
Adakah ibu tidak apa-apa?
Adakah ibu selamat?
Adakah ayah ada bersama ibu sekarang?
“Ayah...”
Disebutnya pula
seorang lagi insan terpenting dalam hidupnya. Ayah Intan adalah seorang ‘family
man’. Dia begitu mengutamakan keluarga. Dahulu, pernah dia membatalkan lawatan
perniagaan ke luar negara hanya kerana Intan menghidap demam. Katanya, “Ayah
kerja kuat untuk keluarga. Jadi, tiada guna kalau dapat duit banyak tapi
keluarga terabai.” Intan berazam, satu hari nanti, bila sampai masanya, dia
akan mencari seorang teman hidup mirip ayahnya. Seseorang yang mengutamakan
keluarga melebihi segalanya. Seseorang yang sanggup berkorban demi insan yang
disayangi.
Intan berfikiran,
mengenali ayahnya, mungkin ayah sekarang sudah berada di sisi ibunya. Ayah
mesti sedang sedaya upaya cuba menenangkan ibu. Dalam masa sama, dia mesti
sedang berkeras mendesak semua pegawai polis dan pegawai penyiasatan menjejak
anaknya yang diculik. Ayah tidak akan duduk diam berpeluk tubuh. Dia akan cari
seribu satu cara untuk menyelamatkan anaknya.
Ayah, saya berada di sini.
Ayah datanglah selamatkan saya.
Ayah jangan biarkan para penjahat ini terlepas begitu
sahaja.
“Farhan...”
Farhan adalah nama
adik lelaki kecil Intan. Berumur dua tahun, Farhan masih belum boleh berenggang
lama dari ibunya. Walaupun kecil, mulutnya sangat becok dan kuat berceloteh. Namun,
bahasa yang dipertuturkan tidak dapat difahami, maklum, bahasa budak kecil
berumur dua tahun. Tapi, gelagat Farhan sentiasa menceriakan suasana rumah. Dia
adalah penyeri kepada keluar Encik Ahmad.
Pada Intan, Farhan
terlalu kecil untuk memahai apa yang sedang berlaku kepada keluarganya. Separuh
dari hati Intan bersyukur bahawa bukan Farhan yang berada di tempatnya. Bagi
seorang budak kecil berumur dua tahun untuk dijadikan mangsa penculikan, azab
yang bakal dirasai mungkin jauh berlipat kali ganda dari apa yang dialaminya.
Namun, separuh lagi dari hatinya berasa sedih kerana ada kemungkinan dia tidak
dapat bersua muka menikmati riang gembira bersama Farhan.
Farhan sihat?
Farhan, kakak sayang Farhan.
Farhan sayang kakak?
Airmata kembali
membasahi pipi Intan. Dengan hanya memikirkan terdapat kemungkinan dia tidak
dapat pulang bertemu dengan keluarganya, Intan sudah tidak dapat menahan
kesedihan.
“Aida...”
Di saat bersedih
seperti ini, nama kawan baiknya muncul di bibir. Aida adalah seorang kawan yang
ada di waktu suka dan duka. Senang bila bersama Aida. Tiada rahsia antara
mereka. Aida adalah satu-satunya insan yang tahu akan cita-cita Intan untuk
menjadi seorang selebriti. Intan takut untuk berterus-terang mengenai keinginan
itu kepada ibubapanya, tetapi tidak kepada Aida. Aida merupakan seorang kawan
yang memahami. Dia tahu ketika mana dia perlu menegur Intan, ketika mana dia
hanya perlu mendengar rungutan Intan dan ketika mana dia perlu menasihati
Intan. Intan bersyukur dikurnia seorang kawan seperti Aida.
Intan meneka, Aida
mungkin merupakan manusia yang paling sedih apabila mendengar berita Intan
diculik selain kedua ibubapanya. Aida mungkin tidak mampu untuk berbuat
apa-apa, tetapi bila dia mendengar berita itu, dia mungkin akan sentiasa
bersama ibu Intan. Di samping dapat menenangkan ibu Intan, Aida juga pasti mahu
menjadi antara individu pertama yang mendengar tentang perkembangan kes Intan
diculik.
Aida. Bersabarlah.
Kalau dipanjangkan
usia,
kita akan bersama
lagi.
“Manusia perlu terus ke depan. Masa silam dijadikan
pedoman supaya kita pada masa kini tidak mengulangi kesilapan. Hasilnya, masa
depan kita akan lebih terjamin.”
Tiba-tiba,
kata-kata Yusran (Johan) muncul dalam benak fikiran Intan. Wajah Yusran secara
automatik timbul dalam fikirannya. Senyumannya, wajah seriusnya, suaranya,
semuanya dapat dibayang oleh Intan. Walaupun hanya baru beberapa hari berkenalan,
tetapi Yusran sangat mempengaruhi Intan. Sedar tidak sedar, wajah Intan menjadi
kemerah-merahan, dan airmata sudah berhenti mengalir.
Wajah Intan
bertukar.
“Ya. Kalau aku
putus asa sekarang, maka inilah penamat hidup aku. Manusia perlu terus ke
depan.”
Kok kok kok.
Pintu bilik Intan
dikurung diketuk. Lalu, tombol bergoncang, berputar dan pintu dibuka.

0 nota kaki:
Post a Comment