[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48]

Nafasnya dihembus
kencang.
Encik Alex memang
tidak selesa apabila terkurung di ruang yang sempit, apatah lagi dalam jangka
masa yang lama. Klaustrofobia? Tidak. Encik Alex hanya tidak selesa dengan
sesuatu yang tidak dapat dijangka. Ditahan polis sejurus selepas sampai di
depan pagar rumah Encik Ahmad, kemudian dikurung di dalam bilik kecil di balai polis
bertemankan hanya kerusi dan meja, diterangi cahaya dari lampu yang tergantung
di siling, mana ada manusia yang akan selesa dalam keadaan sebegitu. Apatah
lagi terdapat satu cermin besar yang dipercayainya cermin dua hala. Encik Alex
percaya dia sedang berada di dalam bilik soal siasat polis.
Apa agaknya yang polis tahu? Adakah Zul tertangkap?
Adakah sebab dia tertangkap, aku tak dapat menghubunginya? Terlalu banyak persoalan yang difikirkan Encik Alex.
Walaupun resah, tapi dia harus kekal tenang kerana dia tahu ada mata yang
sedang memerhatikannya di sebalik cermin itu.
Setelah hampir 90
minit Encik Alex dikurung bersendirian, Inspektor Bakar masuk dengan satu gelas
berisi air kosong di tangan kanan. Diletaknya gelas itu di hadapan Encik Alex
yang sedang berpeluh dingin. Encik Alex memandang tepat ke arah wajah garang
Inspektor Bakar. Dari wajahnya sahaja, Encik Alex tahu Inspektor Bakar bukan
seorang yang boleh dibuat main.
“Minum. Awak
nampak haus,” Inspektor Bakar memulakan kata. Segera, gelas itu disambar dan
air di dalamnya diteguk Encik Alex sehingga punggung gelas berada di atas.
“Terima kasih,
Tuan.” Inspektor Bakar senyum melihat gelagat Encik Alex.
“Awak haus. Saya
berikan air. Itu satu perbuatan yang baik, betul?” Inspektor Bakar melabuhkan
punggungnya ke atas sebuah lagi kerusi.
“Betul, Tuan,”
balas Encik Alex.
“Sekarang, saya
mahu awak juga buat baik kepada saya. Boleh?”
“Saya cuba, Tuan.”
“Baiklah, kita
mulakan dengan satu soalan. Saya harap awak buat baik dengan saya dengan tidak
menipu saya.”
“Baiklah.”
“Apa hubungan awak
dengan Zul?”
Encik Alex
terkejut mendengar soalan pertama dari Inspektor Bakar. Kepalanya ligat mencari
jawapan yang selamat.
“Saya tidak kenal
sesiapa yang bernama Zul.” Dari nada suara yang terketar-ketar, Inspektor Bakar
sudah tahu apa yang difikirkan Encik Alex.
“Kan saya sudah
kata, jangan menipu.” Encik Alex menunduk diam.
“Biar saya ulang
soalan saya supaya awak boleh lebih faham. APA HUBUNGAN AWAK DENGAN ZUL, BAWI
DAN GALAH.”
Bawi dan Galah sedang
berada di dalam sebuah kereta di tepi jalan. Dengan gelap malam dan tersorok di
bawah pokok, mereka kelihatan sedang menunggu sesuatu. Bawi sibuk memerhati
kawasan sekeliling, manakala Galah sedang membelek-belek pistol Glock 19 di tangan.
“Tak sangka, hanya
dengan merampas pakaian polis, kita boleh dapat ambil kereta orang awam sesuka
hati,” kata Galah. Dia cuba acah-acah mengacukan pistolnya ke luar, tapi
tindakannya itu dimarahi Bawi di sebelah.
“Bangang. Kalau polis
nampak, macam mana?”
Terkecut Galah
dimarahi Bawi. Masih terbayang-bayang difikiran Galah bagaimana Bawi dengan
hati keringnya merampas nyawa Zul siang tadi. Dia tidak mahu jadi seperti Zul.
Jalan terbaik baginya adalah untuk tidak membangkitkan kemarahan Bawi.
“Daripada kau
sibuk membelek pistol polis itu, apa kata kau tinjau sama kawasan sekeliling. Mereka
pasti akan lalu jalan ini untuk pulang ke rumah,” kata Bawi. Matanya masih
sibuk memerhati keadaan sekeliling. Setiap kereta yang berlalu, pasti akan
ditinjaunya siapa penumpang di dalam. Setiap orang yang berjalan pergi akan
ditatap wajah mereka agar tidak terlepas walau seorang. Semuanya kerana dendam.
“Kau pasti mereka
akan lalu sini? Mana tahu, mereka pergi ke balai polis dulu, buat laporan.”
Galah mahukan kepastian.
“Kalau dia pergi
lapor polis dulu sekalipun, dia pasti akan pulang ke rumah. Dia pasti akan lalu
jalan ini. Waktu itu, kita tamatkan segalanya,” balas Bawi.
Bawi dan Galah sedang
berada di dalam sebuah kereta di tepi jalan, hanya 100 meter dari rumah Encik
Ahmad.
Di sebuah pondok
menunggu bas di Pusat Bandar, Intan dan Johan masih menunggu. Diikutkan, jika
segalanya lancar, Prof. Erman akan ambil masa kurang setengah jam perjalanan. 30
minit sudah berlalu, bermakna Prof. E akan sampai pada bila-bila masa. Namun,
beberapa faktor harus diambil kira, termasuklah kemampuan Prof. E untuk memandu
malam dan keupayaan kereta yang dipandu memandangkan usia kereta itu sepadan
dengan tuannya. Mengenangkan bagaimana Prof. E dan keretanya, Johan tergelak
sendirian.
“Apa yang awak
gelakkan?” tanya Intan sambil membetulkan baju Johan yang dipakainya.
“Tiada apa-apa.
Saya cuma bayangkan Prof dan keretanya,” jawab Johan. Intan turut tersenyum.
“Awak tak sejuk?
Awak cuma bersinglet.”
“Tak apa. Awak
lebih perlukannya.”
Intan terdiam. Suasana
janggal berlegar di keliling mereka berdua. Tiada topik yang boleh dibicarakan.
Tiada subjek untuk dibualkan.
“Manusia
perlu terus ke depan. Masa silam dijadikan pedoman supaya kita pada masa kini
tidak mengulangi kesilapan. Hasilnya, masa depan kita akan lebih terjamin.”
“Eh?” Johan
terkejut mendengar apa Intan ungkapkan. Tiba-tiba.
“Betul, kan? Itu
prinsip awak yang awak beritahu saya tempoh hari, kan?”
Johan masih
terkejut, tapi diangguknya tanda setuju.
“Saya ada
terfikir. Setelah apa yang saya lalui; diserang oleh penculik di rumah, melihat
ibu saya dipukul depan mata, dikurung di sebuah rumah usang, hampir dirogol
tiga lelaki durjana, dan kemudian dikejar lari ke dalam hutan tebal, semua ini
adalah pengalaman pahit yang tak akan saya lupakan. Saya mungkin akan tersedar pada
tengah malam dek kerana mimpi ngeri, atau saya mungkin tak dapat tidur langsung
disebabkan ketakutan, atau lebih teruk, saya mungkin akan jadi kurang siuman
dan hilang akal...”
Intan menarik
nafas dalam-dalam sebelum menyambung, “...Tapi, manusia perlu terus ke depan,
kan? Masa silam saya mungkin akan menghantui saya, tapi saya tetap kena tempuh,
kan? Supaya saya tak ulangi mana-mana kesilapan, kan? Supaya masa depan saya
terus terjamin, bukan?”
Intan memandang
tepat ke mata Johan. Johan mengangguk. Mereka berdua saling bertukar senyum.
“Jadi, saya mahu
minta izin awak. Saya mahu pegang prinsip yang sama dengan apa awak pegang.
Saya pasti, dengannya, saya mesti dapat tempuh liku-liku susah dalam kehidupan
saya yang seterusnya.”
“It’s not mine. It’s yours,” kata Johan.
Lembut.
Hani. Prinsip itu saya dapat dari awak, dan sekarang awak
pula dapat dari saya. Kelakar. Sangat kelakar bagaimana takdir dan masa memainkan
peranan masing-masing. Kelak, dengan prinsip yang sama, awak bakal memberi
inspirasi kepada berjuta-juta orang lain di luar sana.
Lamunan Johan
tersentak. Bunyi hon dari kereta tua memecah suasana.

1 nota kaki:
e-novel ke nie ?? kena baca dari awal nie
Post a Comment