[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49]

“Rasanya, sakit
tak kalau kena tembak?”
Soalan Azlan
menarik perhatian Johan. Johan yang sedang menulis nota di meja belajarnya
dengan serta-merta meletakkan pennya dan berpusing menghadap Azlan yang sedang
berbaring di atas katil. Teman sebilik Johan di kolej itu kelihatan sedang
membaca buku komik.
“Kenapa tiba-tiba
kau tanya?” Soalan Azlan dibalas dengan soalan dari Johan.
“Komik ni. Hero
dia ditembak di dada, tapi masih boleh melawan balik dengan bergayanya.”
“Komik, Lan. Apa
yang kau expect?”
Azlan tukar posisi
dari berbaring kepada duduk.
“Dari segi fizik
balistik, aku tahu bagaimana sesebuah pistol berfungsi dan jenis-jenis peluru
yang boleh meninggalkan kesan paling teruk kepada mangsa. Aku belajar engineering. Aku tahu bagaimana
mekanisme trajektori peluru dari dalam senjata, ke luar senjata, dan seterusnya
mengenai target. Tapi apa yang lebih
menarik minat aku adalah apabila peluru tersebut masuk ke dalam target, contohnya manusia. Sedangkan
kena cubit dengan awek pun sakit, inikan pula ada peluru masuk dalam badan.”
Johan tersenyum.
Azlan yang tipikal, selalu bertanyakan soalan trivia yang kadangkala tak pernah
difikirkan orang.
“Kau sebagai
pelajar medic, mesti tahu kan?” Azlan
memandang Johan, menunggu jawapan.
Selepas
menghembuskan nafas panjang, Johan menjawab, “Kesan dari tembakan selalunya
bergantung kepada saiz senjata yang digunakan. Tapi secara general, luka ditembak selalunya datang dari laluan peluru yang
masuk ke dalam badan. Ianya seperti badan kita ditebuk. Seolah-olah daging
dibelah hidup-hidup. Dan lebih mengerikan adalah sesuatu yang dipanggil shock wave. Shock wave ini mampu buatkan organ penting kita rosak dan pecah
walaupun peluru tidak menuju ke arah organ tersebut. Ianya umpama gelombang
yang merebak bila kita baling batu ke dalam air, tapi dalam kes ini, air itu
adalah daging kita, tubuh badan kita.”
Azlan tergamam.
“Kalau kau tanya
sakit tak kena tembak, jawapan aku tentulah sakit. Tapi aku tak pernah rasa.
Orang yang pernah rasa saja tahu sakitnya macam mana. Teringin nak rasa ke,
Lan?” tanya Johan. Azlan menggelengkan kepala.
“Dengar penerangan
kau pun dah rasa seriau satu badan.”
Mengenang memori
Johan bersama Azlan membuatkan dia bersyukur. Awal hari tadi Johan hampir
merasa sakitnya badan dilalui peluru. Kini, dia sudah selamat bersama Intan di
sebelah melihat kelibat dua orang lelaki tu yang keluar dari sebuah kereta.
“Prof. Erman!”
Intan bersuara gembira.
Prof. E sambil
tersenyum meluru sebelum memeluk Intan dan Johan. Sedikit janggal di pihak
Intan dan Johan, namun dibiarkan sahaja. Mungkin itu cara Prof. E menunjukkan
rasa empatinya.
“Syukurlah kamu
selamat. Syukurlah.” Tak pasti, tapi Johan melihat mata Prof. E seperti
bergenang dengan air mata. Demi mengelakkan suasana janggal, Johan cuba alih
tumpuan.
“Prof. Shah, terima
kasih kerana datang. Tak sangka Prof boleh duduk berdua dengan Prof. E tanpa
melibatkan perang,” gurau Johan. Prof. Shah dan Johan ketawa kecil sambil
berjabat salam.
“Intan, ini Prof. Shah. Dia kawan Prof. E.”
Tergelak sedikit Prof. Shah mendengar kata-kata Johan. Kawan? Belum tahap itu
lagi rasanya.
“Tanpa lengahkan
masa, marilah kita pulang. Ibu bapa kamu sudah menunggu di rumah,” kata Prof. E
kepada Intan. Intan gembira mendengar kedua-dua ibu bapanya selamat di rumah.
Jam di dinding
menunjukkan hampir pukul dua pagi, namun Encik Ahmad dan isterinya masih berada
di ruang tamu menunggu khabar berita dari Inspektor Bakar. Encik Ahmad mahu tahu
perkembangan selepas Encik Alex ditahan. Sekali-sekala Encik Ahmad meninjau ke luar
rumah, melihat kalau-kalau Inspektor Bakar sudah tiba. Tiada Inspektor Bakar.
Hanya terdapat tiga pegawai polis yang berkawal di sekitar.
Lain pula cerita
dengan isteri Encik Ahmad, iaitu Puan Nora. Selepas menemani Farhan tidur di
bilik, dia terus turun ke ruang tamu dan duduk di sofa, tidak berganjak.
Wajahnya kelihatan sugul, matanya masih bengkak dan merah akibat banyak
menangis. Puan Nora seperti masih menyalahkan diri sendiri akibat dari
kegagalannya menyelamatkan Intan dari dibawa pergi penculik.
Terdapat bunyi deruan
enjin kenderaan di luar pagar rumah. Encik Ahmad melihat ke luar melalui
tingkap. Kelihatan Inspektor Bakar keluar dari pintu sebuah kenderaan pacuan
empat roda milik polis. Encik Ahmad terus meluru ke pintu untuk menyambut
Inspektor Bakar, sekaligus untuk mengetahui perkembangan siasatan. Pintu
dibuka, Inspektor Bakar dijemput ke ruang tamu.
“Bagaimana?” tanya
Encik Ahmad, tidak sabar.
Setelah menarik
nafas panjang, Inspektor bakar mula melapor. “Setelah didesak, Alex memberi
pengakuan. Dia mengaku mengupah seseorang untuk pecah masuk ke dalam rumah
Encik Ahmad bertujuan untuk menakut-nakutkan Encik Ahmad sekeluarga, tapi dia
tidak mengaku mengarahkan mereka menculik anak Encik Ahmad.”
“Mungkinkah dia
menipu, Inspektor?” tanya Encik Ahmad.
“Kami rasa tidak.
Pada kami, kejadian penculikan ini adalah inisiatif penjahat yang diupahnya
sendiri. Namun, Alex mengaku ikut serta dengan rancangan orang yang diupahnya itu
dan teruskan dengan penculikan.”
“Penjahat itu?
Dapat kesan?” tanya Encik Ahmad lagi.
“Alex hanya
berhubung dengan Zul dan tidak pernah berurusan dengan dua lagi rakan jenayah
Zul, iaitu Bawi dan Galah. Selepas Zul ditemui mati, Bawi dan Galah gagal kami
kesan.”
“Anak kami? Intan?”
Puan Nora mencelah dari belakang.
“Maafkan kami.
Sehingga kini kami masih belum dapat jejak di mana Intan berada.”
Puan Nora kembali
duduk di sofa. Kecewa.
Suara perbualan
antara Inspektor Bakar dengan Encik Ahmad semakin hilang dan tenggelam dalam
fikiran Puan Nora. Entah untuk keberapa pusingan, air matanya kembali
berlinangan. Puan Nora tidak dapat membayangkan kejadian buruk yang menimpa
anak perempuan kesayangannya itu. Selamatkah? Penatkah? Cederakah? Dahagakah?
Laparkah? Terlalu banyak soalan tanpa jawapan.
Tiba-tiba, naluri
keibuan Puan Nora seolah-olah tersentak. Dia dapat merasakan sesuatu sedang
memanggilnya dari luar. Hilang akal? Adakah ini kesan dari beberapa episod
kekecewaan yang melampau? Apapun, ianya tidak diendahkan Puan Nora.
Secara tiba-tiba
dan tergesa, Puan Nora berlari melintasi suaminya dan Inspektor Bakar dan
menuju ke pintu rumah. Dibukanya pintu tersebut dan dengan berkaki ayam, Puan
Nora berlari keluar ke arah pintu pagar. Tiga orang pegawai polis yang berjaga
turut mengiringinya di belakang. Sampai di pintu pagar, Puan Nora memberhentikan
langkahnya dan tergamam melihat sesuatu.
Encik Ahmad turut
mengikuti isterinya yang berkelakuan pelik itu. Inspektor Bakar berada di
belakang Encik Ahmad. Langkah kedua-dua mereka juga turut terberhenti selepas
memandang sesuatu di hadapan.
“Assalamualaikum,
Ibu. Ayah.”
Intan yang
diselubungi selimut di badan sedang menyeberangi jalan menuju ke rumahnya sambil
diiringi Prof. E di sebelah.
Dari pagar, Puan
Nora dan Encik Ahmad berlari ke tengah jalan, menyambut kepulangan anak mereka.
Mereka bertiga berpelukan. Kedengaran suara Puan Nora dan Intan berteriak
menangis kegembiraan. Encik Ahmad juga tidak mampu menahan sebak dan turut
berlinang air matanya. Tersentuh hati semua yang menyaksikannya. Prof. E di
sebelah turut tersenyum puas. Kerjanya menemukan kembali seorang anak kepada
ibu bapanya sudah selesai.
“Awak siapa?”
tanya Inspektor Bakar sambil menghulurkan salam kepada Prof. E.
“Saya jiran Encik
Ahmad,” balas Prof. E sambil menuding jari ke arah rumahnya di belakang. “Saya
terjumpa Intan di Pusat Bandar, berjalan sendirian tanpa arah tuju.”
Tiba-tiba Prof. E
dipeluk Encik Ahmad.
“Terima kasih,
Prof. Terima kasih.” Encik Ahmad memeluk erat Prof. E. Prof. E hanya mampu
tersenyum sambil mengusap belakang badan Encik Ahmad sebagai tanda
segala-galanya sudah reda.
Segala peristiwa
itu disaksikan Johan dan Prof. Shah dari dalam kereta di hadapan rumah Prof. E.
Mereka berdua juga terharu melihat pertemuan semula keluarga Encik Ahmad itu.
“Jadi, segalanya
sudah selesai. Penjahat sudah tertangkap. Yang diculik sudah dipulangkan,” kata
Prof. Shah.
“Penjahat sudah
tertangkap? Betulkah?” tanya Johan.
“Ya. Dengar kata
dalangnya adalah musuh perniagaan Encik Ahmad,” jawab Prof. Shah.
“Bawi dan Galah?”
tanya Johan lagi.
“Siapa Bawi dan
Galah?” Prof. Shah kebingungan.
Serentak semasa
itu, Johan terlihat kelibat seseorang di seberang jalan sedang berjalan
menghampiri kelompok keluarga Encik Ahmad dengan laju sambil mengacukan
sesuatu.
“Oh, tidak.” Johan
meluru keluar dari kereta meninggalkan Prof. Shah kebingungan. Dia berlari
menuju ke arah tempat Encik Ahmad sekeluarga berpelukan.
“Matilah kau,
perempuan!”
Bawi hanya berada
di jarak 15 meter dari kedudukan Encik Ahmad sekeluarga sambil mengacukan
pistol. Encik Ahmad, Puan Nora, Intan dan Prof. E terkejut. Inspektor Bakar
dengan refleks mahu mencapai pistol di pinggangnya, namun dia sedar sudah
terlambat.
Bawi melepaskan
satu das tembakan.
Tembakan Bawi
mengenai seseorang.
Inspektor Bakar
dengan pantas membalas beberapa tembakan ke arah Bawi. Bawi rebah selepas
menerima dua tembakan.
Satu lagi tubuh
rebah ke bawah.
“Azlan, rupanya
kena tembak tidaklah sakit mana.”
Johan terbaring
tidak sedarkan diri berlumuran darah di atas jalan.

0 nota kaki:
Post a Comment