[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49][50]

“Aku rasa ini
bukan idea yang bagus. Kita berada dekat sangat dengan rumah yang kita rompak
pagi tadi.” Kata-kata dari mulut Galah itu dibalas dengan pandangan tajam dari
Bawi.
“Aku tak peduli.
Bila aku kata budak-budak tu bakal rasakan akibatnya, aku tak akan tarik
balik.”
“Tapi kalau
budak-budak tu dapat sampai sini pun, polis ada ramai dekat rumah tu.”
“Kau takut polis?”
tanya Bawi.
“Mestilah. Aku tak
mahu ‘masuk’ lagi.” Galah merujuk kepada penjara, tempat yang sudah menjadi
rumah keduanya.
Bawi mengabaikan
Galah. Pandangannya tertumpu kepada kelibat sesuatu di hadapannya yang berjarak
100 meter. Kelibat seorang lelaki tua dan seorang gadis, berada seberang jalan menuju
ke arah rumah Encik Ahmad.
“Itu budak perempaun
keparat tadi,” merujuk kepada Intan yang sedang bersama dengan Prof. E. Bawi
jadi teruja. Dia memperbetulkan tempat duduknya di dalam kereta dan cuba
memulas kuncinya untuk menghidupkan enjin. Galah juga turut teruja melibat
perlakuan Bawi di sebelah.
“Kau nak buat apa,
Bawi?” tanya Galah.
“Kita akan datang
dekat dan cari budak lelaki seorang lagi tadi. Bila nampak budak lelaki tu, aku
akan tembak mati dia dan mana-mana saksi dan bawa lari budak perempuan itu.”
Bawi masih lagi dalam usahanya untuk menghidupkan enjin kereta. Berkali-kali
dia memusingkan kunci, tapi apa yang kedengaran adalah bunyi enjin yang
tersekat-sekat dan mati sebelum dihidupkan.
Beberapa kali
percubaan untuk menghidupkan enjin kereta masih gagal. Kesabaran Bawi sudah
sampai ke batasannya. Dia lantas keluar dari kereta dengan pistol erat di
tangan.
“Bawi, jangan buat
kerja gila!” jerit Galah dari dalam kereta. Namun Bawi tidak mengendahkannya
dan terus menapak laju menuju ke arah tempat Intan berada. Galah tak senang
duduk, dia berpindah dari tempat duduk penumpang ke tempat duduk pemandu. Dia
juga berkali-kali cuba untuk menghidupkan enjin, namun tetap tidak berjaya.
Sementara, Bawi
semakin menghampiri Intan.
Bawi melepaskan
picu keselamatan pistolnya. Glock 19
bukanlah susah untuk dikendali. Sambil melangkah laju ke depan, tangan bawi lurus
mengacukan pistol itu ke arah Intan. Dia melihat seorang perempuan datang
memeluk Intan dan diikuti pula oleh seorang lelaki.
“Itu tentu ibu
bapa budak itu. Baguslah. Biar aku selesaikan semuanya sekaligus.”
Lurus tangan Bawi
hanya fokus mengacukan pistolnya ke arah Intan. Dia tidak peduli, pasti ada
darah perlu ditumpahkannya. Dendam dia dengan budak lelaki yang menjatuhkan
maruahnya ketika di dalam hutan tadi akan ditanggung oleh budak perempuan itu.
Sayangnya, Bawi belum sempat meratah tubuh budak itu. Tidak apa, masih ramai
lagi mangsa ranum di luar sana.
“Matilah kau,
perempuan!”
Bawi hanya berada
di jarak 15 meter dari kedudukan Intan dan keluarganya. Encik Ahmad, Puan Nora,
Intan dan Prof. E terkejut. Inspektor Bakar yang berada berdekatan dengan
refleks mahu mencapai pistol di pinggangnya, namun dia sedar sudah terlambat.
Bawi melepaskan
satu das tembakan.
Tembakan Bawi
mengenai seseorang yang tiba-tiba datang menghadang.
Inspektor Bakar
dengan pantas membalas beberapa tembakan ke arah Bawi. Bawi rebah selepas
menerima dua tembakan.
Walaupun sudah
rebah berlumuran darah, Bawi tersenyum puas. Niat dia mahu menjadikan Intan
galang ganti kepada dendamnya terhadap Johan tidak kesampaian kerana
tembakannya disambut oleh orang yang sepatutnya. Tembakan itu disambut oleh
Johan yang datang menjadi perisai kepada Intan.
Bawi hilang
kesedaran.
“YUSRAN!”
Bergema jeritan
Intan melihat seorang lelaki dikenalinya rebah di hadapannya. Kejadian berlaku
begitu pantas, setiap yang menyaksikannya masih dalam keadaan terkejut. Encik
Ahmad, Puan Nora, dan Prof. E masing-masing masih lagi kaku, terkejut dengan
apa yang sudah berlaku. Prof. Shah lari mendapatkan Johan yang sudah hilang
kesedaran di atas jalan.
“Cepat, kita bawa
dia ke hospital,” gegas Prof. Shah.
Dengan bantuan
kereta pacuan empat roda polis sebagai pengiring, Johan dengan segera dapat dibawa
ke Hospital Arahjaya. Johan terus di bawa ke bilik pembedahan wad kecemasan
hospital untuk diselamatkan. Bawi yang masih bernyawa juga dimasukkan ke dalam
wad yang sama.
Suasana sayu
memenuhi ruang menunggu wad kecemasan. Intan masih tidak berhenti menangis di
pelukan ibunya, Puan Nora. Encik Ahmad di sebelah Puan Nora cuba menenangkan
anaknya. Di hujung koridor, Prof. E berdiri sendirian sambil bersandar di
dinding menunggu khabar berita dari bilik pembedahan. Inspektor Bakar
menghampiri Prof. E.
“Maafkan saya,
Prof. Saya difahamkan Yusran itu anak saudara Prof, betul?” tanya Inspektor
Bakar. Prof. E hanya mengangguk setuju tanpa suara.
“Saya tak pasti,
tapi adakah anak saudara Prof ialah orang yang berada dalam video ini?” Inspektor
Bakar menunjukkan sebuah rakaman video dari telefon bimbitnya. Video tersebut
adalah salinan video yang Prof. E sendiri rakam semasa Johan sedang
menyelamatkan Intan dari Bawi dan Galah di rumah terbiar di pinggir Bandar
Timur.
Prof. E menonton
video itu sampai habis tanpa perasaan. Dia tidak keluarkan satu pun perkataan
sejak dari menjejakkan kaki di hospital tadi.
“Bagaimana? Lelaki
dalam video ini ialah anak saudara Prof, kan? Boleh saya tahu kenapa dia boleh
berada di tempat kejadian?”
Prof. E memandang
Inspektor Bakar dengan pandangan yang dingin.
“Tuan Inspektor...”
satu suara dari belakang Inspektor Bakar datang mencelah. Suara itu milik Prof.
Shah.
“Maafkan saya jika
saya terlalu direct, tapi dalam bilik
bedah sana ada dua nyawa sedang bertarung untuk meneruskan hidup masing-masing.
Satu nyawa milik seorang anak muda yang baru sahaja menjadikan dirinya perisai
kepada budak perempuan yang diculik. Seorang lagi ialah penjenayah yang, pada
saya, patut dibiarkan menggelupur mati di tepi jalan tadi.” Ayat Prof. Shah yang
tajam dan keras menarik perhatian Inspektor Bakar. Dia kemudian menghalakan
badannya ke arah Prof. Shah.
“Saya rasa tuan is one good cop. Kalau saya, saya takkan
bawa penjenayah itu datang sini untuk dirawat. But in the other hand, saya kenal pistol yang penjenayah pakai
untuk tembak mangsa tadi. Itu pistol Glock.
Pistol Glock adalah pistol yang biasa
digunakan pihak polis. Selepas saya tanya-tanya satu dua soalan kepada anak
buah tuan, saya dapat tahu cerita ada dua anak buah tuan yang sudah dirampas
pakaian dan senjatanya oleh dua penjenayah yang tuan buru.”
“Apa poin encik?”
tanya Inspektor Bakar kepada Prof. Shah.
“My point is, as a good cop, daripada tuan sibuk buat sesi soal jawab di hospital
ini sementara ada di dalam sana nyawa yang masih tidak tentu keadaannya, adalah
lebih baik tuan pergi keluar dan cari seorang lagi penjenayah yang sedang bebas
dengan pakaian dan senjata polis akibat dari kecuaian anak buah tuan sendiri. Penjenayah
boleh lari, tapi orang yang ditembak takkan ke mana-mana.”
Inspektor Bakar sentap
dan terdiam. Selepas melawan renungan dengan Prof. Shah, akhirnya Inspektor Bakar
pergi meninggalkan kedua-dua Profesor tersebut.
“Thank you, Shah.”
“Don’t thank me yet. Kita hanya
panjangkan masa sebelum pihak polis sedar tentang identiti sebenar Johan. Kita
kena fikirkan sesuatu.” Prof. Shah bersandar di sebelah Prof. E.
Beberapa puluh
minit kemudian, seorang doktor keluar dari bilik pembedahan membawa berita.
Prof. E, Prof. Shah, Encik Ahmad, Puan Nora dan Intan yang berada dalam dakapan
ibunya menyerbu doktor tersebut untuk mengetahui keadaan pesakit.
“Siapa ahli
keluarga?” tanya doktor.
“Saya. Bagaimana?”
balas Prof. E ringkas.
“Berita baiknya,
walaupun peluru bergerak menghampiri jantung pesakit, namun tiada organ yang
terjejas. Peluru dapat dikeluarkan. Pesakit dapat diselamatkan.” Kata-kata
doktor tersebut membuatkan semua narik nafas lega dan gembira, kecuali Prof. E.
“Berita buruknya?”
tanya Prof. E.
Soalan itu
membuatkan yang lain terdiam. Keadaan menjadi suram semula. Semua menanti
jawapan dari doktor. Doktor tersebut kelihatan teragak-agak untuk membuka
berita buruk yang ada.
“Begini, peluru
yang dikeluarkan tidak sempurna. Kami didapati terdapat satu serpihan peluru berada
di bahagian lumbar badannya.”
“Jadi?”
“Kami tiada
kepakaran untuk mengeluarkan serpihan tersebut kerana prosedurnya yang terlalu
rumit. Jadi, kami akan panggil pakar dari luar Arahjaya. Paling awal,
pembedahan akan dijalankan dalam masa satu hari setengah. Itupun, peratusan
kejayaan pembedahan hanyalah 50-50. Kalau berjaya sekalipun, pesakit mungkin
akan mengalami lumpuh.”

0 nota kaki:
Post a Comment