Jan 24, 2014

Vorteks #53 - Masa Merah.



[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20]
[21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40]
[41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52]




Suasana di dalam hutan itu sungguh sunyi. Tiada bunyi unggas, juga tiada bunyi desiran angin bergeser dengan dedaunan. Udara seperti kaku dan tidak bergerak. Hanya yang  kedengaran adalah bunyi Intan menapak memijak patah dahan-dahan kering di permukaan tanah hutan.
Intan berseorangan memerhati kiri dan kanan. Berbaju T lusuh dengan seluar kapas nipis, Intan dengan perlahan meneruskan langkah menuju ke depan. Hutan tempat dia berada kini terlalu sunyi. Malah suasananya terlalu kelam, suram dan lembap, terasa seperti ditelan kegelapan sedikit demi sedikit. Intan takut. Namun dia tetap melangkah ke depan sambil memerhatikan persekitaran.
Tiba-tiba Intan terlanggar sesuatu di hadapannya. Seseorang. Satu tubuh berdiri tegak di hadapan Intan sambil matanya menatap tajam. Tubuh itu milik lelaki yang dikenalinya. Lelaki yang pernah berniat jahat terhadapnya. Lelaki yang dipanggil Zul.
Intan terkejut. Intan takut. Dia spontan memusing badan dan berlari ke arah bertentangan. Intan berlari melintasi pokok renek, tunggul, batang kayu reput, timbunan daun-daun kering, apa sahaja yang berada dalam perjalanan akan ditempuhinya. Intan berlari sekuat hati tanpa peduli sama ada dirinya dikejar Zul atau tidak. Padanya, lagi jauh dia bergerak, lagi selamat dirinya daripada menjadi mangsa pemuas nafsu.
Dek kepenatan, rentak langkah lariannya menjadi semakin perlahan. Daripada pecutan menjadi lari-lari anak. Kemudian dari lari-lari anak menjadi sekadar berjalan pantas. Sehingga satu tahap, kakinya hanya melangkah satu demi satu dengan perlahan meredah lantai yang penuh dengan daun-daun kering. Nafas Intan tercungap-cungap kepenatan.
Sehingga kudrat dirasakannya betul-betul berada di hujung kemampuan, barulah Intan berpaling ke belakangnya melihat sama ada dia dikejar oleh Zul atau tidak. Tiada. Tiada Zul. Hanya asap kabut yang semakin menebal di belakangnya. Intan memberhentikan langkahnya. Dia menunduk dan membongkokkan badan melepas lelah dan keringat badan. Nafasnya laju, selaju dadanya yang berombak turun naik.
Semasa dia sedang membongkok kepenatan, Intan perasan ada sesuatu berada di hadapannya. Dia mengangkat kepala. Kali ini tiba giliran kelibat seorang lelaki berbadan besar dan seorang lagi berbadan kurus tinggi berada di hadapannya. Bawi dan Galah. Mereka berdua memandang tepat ke arah Intan sambil menggenggam pistol di tangan.
Intan sekali lagi terkejut. Punggung Intan jatuh ke tanah. Intan terduduk. Matanya terbeliak melihat dua lelaki di hadapannya. Dia sedar tiada apa dia boleh buat lagi. Tenaganya kontang untuk terus bangun dan berlari, apatah lagi untuk mengatasi kekuatan dua lelaki. Intan hanya mampu mengeluarkan air mata.
Intan pasrah. “Tolonglah.”
Suasana sekeliling tiba-tiba menjadi cerah. Cahaya bersinar dari mana-mana. Cahaya putih itu semakin terang dan terik sehingga menyilaukan mata. Hutan yang sebelumnya gelap dan kelam menjadi begitu terang dan bercahaya. Begitu terang sehinggakan persekitaran kelihatan hilang disinari cahaya, termasuklah pokok-pokok dan juga penjahat berdua yang berada di hadapan Intan. Hilang ditelan cahaya.
Intan dapat merasakan badannya seperti ringan dan terapung perlahan-lahan. Tangannya seperti dipegang seseorang. Intan menoleh ke arah empunya tangan yang memegangnya tetapi suasana yang silau menyukarkan pandangan. Intan pasti ianya bukan milik salah seorang dua penjahat tadi. Walaupun erat, tapi tangan tersebut memegang dengan penuh kehormatan dan tanpa kekerasan. Intan seperti terbang dibawa oleh tuan tangan tersebut.
Suasana semakin silau dan Intan tiada pilihan kecuali memejam mata.
Mata Intan dipejam.

“Intan...”
Satu suara menyapa. Intan membuka matanya.
Alangkah terkejutnya Intan selepas mendapati dia kini sedang berada di tepi pantai. Tiada lagi hutan, tiada lagi penjahat, tiada lagi cahaya putih yang menyilaukan. Bajunya juga sudah bertukar. Intan kini memakai gaun maksi serba putih berkaki ayam. Kakinya memijak lembut di atas pasir-pasir pantai yang halus. Pipinya ditiup angin sepoi-sepoi bahasa dari arah laut yang berair jernih kebiruan. Kering semua kesan air mata.
Intan mendongak melihat langit. Matahari memancar suam, menyorok di sebalik awan. Langit sungguh indah seperti sesuatu yang hanya boleh dilihat di atas kanvas lukisan dinding. Biru langit disulam putih awan berserta garisan perak yang memberi bentuk, sangat indah tak tergambarkan. Bersertakan pula hamparan laut membiru dengan deruan ombak memukul pantai berpasir bersih. Segalanya kelihatan indah.

“Intan...”
Suara yang sama kedengaran. Intan menoleh ke kanan.
“Awak...” Intan membalas sapaan. Intan merenung wajah lelaki yang berada si sebelahnya itu. Lelaki tersebut berbaju kemeja putih dan berseluar putih. Senyumannya sangat menenangkan.
Mereka berdua berdiri berhadapan sesama sendiri.
“Intan, awak selamat di sini,” kata lelaki tersebut.
“Awak selamatkan saya? Kenapa?” tanya Intan.
“Tak perlu bersebab. Jika seribu kali awak dalam bahaya, maka seribu kali saya akan datang selamatkan awak,” jawab lelaki itu.
“Tapi...kenapa saya?” Intan berkeras bertanya.
“Awak istimewa. Awak istimewa kepada orang. Awak istimewa kepada....saya.” Lelaki tersebut menghulurkan tangan kanannya untuk disambut. Intan sambil tersenyum ceria ingin membalas huluran tangan tersebut.
Angin kencang datang secara tiba-tiba. Tangan lelaki tersebut terhenti sebelum sempat disambut Intan. Intan melihat wajah lelaki tersebut. Wajahnya kelihatan kaku seperti tidak bernyawa. Satu titik merah muncul di dada baju lelaki itu. Daripada sebesar titik menjadi sebesar duit syiling. Daripada sebesar duit syiling tompok merah itu merebak menjadi sebesar pinggan dan kemudian terus membesar memenuhi seluruh baju lelaki itu. Baju lelaki tersebut tidak lagi berwarna putih, sebaliknya berwarna merah. Merah darah. Bukan sahaja baju, malah seluar turut dijangkiti warna merah darah seluruhnya.
Intan terkejut dan takut. Tanpa disedari Intan mengundur ke belakang sehingga kakinya terkena gigi air. Dilihatnya air pantai tersebut. Warnanya bukan lagi jernih kebiruan, tetapi bertukar merah darah. Seluruh laut bertukar merah darah. Matahari memancar cahaya merah. Langit yang sebelumnya indah turut bertukar merah. Seluruh kawasan penuh dengan merah.
Lelaki di hadapan Intan semakin hilang ditenggelami merah. Dihulurnya tangan ke hadapan untuk disambut namun belum sempat Intan mencapainya, lelaki itu hilang ditelan kemerahan. Yang tinggal hanya tompok merah darah yang semakin membanjiri kawasan sekitar. Seluruh kawasan beransur-ansur ditelan kemerahan.
Intan takut. Dipejamkannya mata sebelum menjerit.

“YUSRAN!”
Intan mencelikkan mata. Dia terjaga dari tidurnya, terjaga dari mimpinya. Dia berada di atas katil di dalam biliknya di rumah. Ibunya yang menemaninya tidur di sebelah turut terjaga mendengar jeritan Intan. Dengan segera Puan Nora memeluk anaknya yang masih terkeliru antara mimpi dengan realiti. Serta-merta air mata membasahi pipi Intan. Intan kemudian memeluk kembali Puan Nora dengan erat dan menekup mukanya ke dada ibunya itu.
“Tak apa, sayang. Tak apa. Semuanya cuma mimpi.” Puan Nora mengusap-usap kepala Intan yang masih menggeletar terkejut.

“Yusran...”



BERSAMBUNG...[54]

0 nota kaki:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...