[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20]
[21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40]
[41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52][53]

Inspektor Bakar
berpakaian preman melangkah masuk melalui pintu lobi hospital. Hospital
Arahjaya. Hospital di mana Johan sedang dirawat. Hospital yang sama juga
menempatkan Bawi yang masih belum sedarkan diri.
Inspektor Bakar kemudian
berhenti melangkah dan berdiri tegak sambil melihat jam di tangan. Beberapa
saat kemudian, Inspektor Bakar dihampiri dua orang lelaki yang merupakan
pegawai bawahannya, juga berpakaian awam.
“Selamat petang, tuan.”
Kedua-dua pegawai tadi tunduk sedikit tanda hormat.
“Selamat petang. Bagaimana
dengan Bawi?” Inspektor Bakar mula bertanya.
“Dia masih belum
sedarkan diri, tuan. Kata doktor yang merawat, kemungkinan dia tidak akan
sedarkan diri dalam masa yang terdekat ini,” lapor salah seorang pegawai
bawahan tadi. Inspektor Bakar hanya mengangguk sebagai respon.
“Saya mahu bilik
Bawi dirawat sentiasa diawasi dua pegawai kita, setiap masa. Faham?”
“Faham, tuan!”
“Bagaimana pula
dengan budak bernama Yusran itu?” tanya Inspektor Bakar lagi.
“Kami sudah tempatkan
seorang pegawai mengawal mereka. Setakat ini, dia masih tidak sedarkan diri.
Dia ditemani seorang lelaki yang dipanggil Profesor Shah. Pakciknya, Profesor
Erman, pulang ke rumah. Kami sudah letakkan satu pasukan peronda untuk memantau
Profesor Erman di rumahnya. Setakat ini tiada aktiviti yang mencurigakan.”
Inspektor Bakar
sekali lagi mengangguk sebagai respon laporan tersebut.
“Bagus. Teruskan
memantau semua yang terlibat. Walaupun saya tak rasa mereka bersalah, tapi
mereka seperti ada sesuatu yang dirahsiakan.”
“Maksud tuan, dua
orang profesor dan budak yang ditembak tu?” tanya salah seorang pegawai
bawahan.
“Ya. Apapun yang
mereka sembunyikan, saya mahu tahu.”
Di koridor tingkat satu unit rawatan rapi (ICU) Hospital
Arahjaya:
Prof. Shah
memasukkan beberapa keping duit syiling ke dalam mesin minuman layan diri. Dia menekan
butang kopi hitam sebagai pilihan minuman. Setelah beberapa saat bunyi
mekanikal dan air bersilih ganti, secawan kopi panas diisi di dalam cawan
kertas siap untuk diminum. Prof. Shah memegang cawan itu dengan berhati-hati.
Dihembusnya air di dalam cawan itu sebelum dihirup sedikit untuk dirasa.
“Ah, tak sedap! Aku
rindu saat aku duduk di meja bersama secawan kopi panas premium bertemankan
alunan muzik klasik. Kenapa aku perlu berada di hospital yang penuh dengan bau
antiseptik ni?” Prof. Shah mengeluh panjang. Dia kemudian teringatkan perbualannya
bersama dengan Prof. E awal tengahari tadi.
“Shah, kau tolong
aku boleh? Aku kena balik dan sediakan segala kelengkapan yang perlu. Kau
tunggu di sini dan tolong tengok-tengokkan Johan. Kalau ada apa-apa, kau terus call aku. Okey?”
“Last time I checked, aku tak terima
arahan dari kau, Erman,” balas Prof. Shah.
“Tolonglah, Shah.
Aku tak boleh buat semua perkara ni seorang diri. Aku cuma boleh harapkan kau
seorang.” Prof. E cuba meyakinkan Prof. Shah.
Lama Prof. Shah
memandang Prof. E. Setelah beberapa saat, Prof. Shah bersetuju dan mengangguk
kepala.
“Aku akan tolong
atas sebab janji yang telah kau persetujui. Tapi jangan kerana aku bersetuju
nak tolong, kau ambil kesempatan terhadap aku pula.”
Prof. E tersenyum
mendengar kata-kata Prof. Shah itu. “Aku tahu kau seorang yang boleh diharap...”
Prof Erman segera
meninggalkan Prof. Shah dan hilang dari pandangan.
“Erman, aku rasa
kau ada sembunyikan sesuatu. Perangai kau terus berubah setelah kau baca Fail J
yang aku bagi. Kau jadi baik terhadap aku, dan kau terlalu ambil berat terhadap
budak Johan itu. Apa sebenarnya yang sedang kau rahsiakan?” Prof. Shah berbisik
berseorangan.
Di rumah Encik Ahmad, di Bandar Selatan:
“Ibu, bila kita
nak pergi ke hospital?” tanya Intan kepada ibunya. Puan Nora, Intan dan adik
kecilnya, Farhan, sedang menikmati minum petang di meja makan.
“Kita tunggu ayah
balik dulu, ya. Ayah kata dia kena ke balai polis untuk beri keterangan. Nanti
dia selesai, dia balik, kita ajak dia sama-sama pergi ke hospital,” balas Puan
Nora sambil menyuapkan anak lelakinya makan.
“Tapi orang nak
tengok Yusran. Orang nak teman Yusran. Orang nak tahu keadaan Yusran,” desak
Intan.
“Sabar dulu,
sayang. Ibu pun nak jumpa wira yang selamatkan anak ibu itu. Ibu mahu berterima
kasih banyak-banyak kepada dia. Tapi kita tak boleh keluar dari rumah ini
sesuka hati. Polis suruh kita hati-hati. Ada seorang lagi penjahat yang masih
bebas di luar sana.”
Puan Nora cuba
menerangkan dengan sabar dan tenang. Puan Nora sedar, jika dia tersalah sebut
sesuatu, dia mungkin akan mengundang kembali ingatan ngeri dalam fikiran Intan.
Anak perempuannya itu hampir menjadi mangsa rogol dan bunuh. Bukan mudah untuk
terus mengukir senyuman selepas berlaku perkara hitam sebegitu.
“Yusran betul-betul
seperti wira. Dia muncul secara tiba-tiba dan berkali-kali selamatkan orang.
Kalau bukan kerana dia, mesti orang tak duduk dekat sini melihat wajah ibu,
adik dan ayah.” Intan senyum kepada ibunya. Ibunya hampir tidak dapat menahan
air mata melihat anaknya begitu cekal dan tabah. Puan Nora lalu menghulurkan
tangannya memegang tangan Intan. Mereka berdua memegang erat tangan sesama
sendiri.
Di bilik loteng rumah Prof. Erman, di Bandar Selatan:
Prof. E kelihatan
sedang duduk di meja kerjanya yang penuh dengan kertas-kertas laporan dan fail sambil
menekup muka. Beberapa kali keluhan kedengaran sebagai tanda tidak puas hati
mengenai sesuatu.
“Aku tiada keyakinan
ianya akan berjaya, tapi aku tiada pilihan. Cuma ini sahaja jalan yang aku ada.”
Prof. E kemudian
menyambar sehelai kertas terkandung beberapa graf dari timbunan kertas di atas
meja dan meneliti tajam corak garis graf tersebut.
“Kalau percaturan
aku ini benar, aku bukan sahaja mampu tunaikan janji aku, malah aku juga dapat
selamatkan kau seterusnya meletakkan penamat kepada kajian yang sudah aku bazirkan
berpuluh-puluh tahun mengkajinya.”
Prof. E memakai
kembali cermin matanya dan meneruskan kerjanya. Dia kemudian mengambil satu
fail yang berlabel ‘Fail J’ dan mengamati isi di dalamnya.
“Fail J ini adalah
kunci segala-galanya. Di dalamnya menerangkan mengapa kajian aku selama ini
tidak mempunyai sebarang perkembangan yang signifikan. Kalaulah aku dapat Fail
J ni lebih awal lagi...”
Prof. E melegakan
belakang badannya dengan bersandar. Dia memerhati sekeliling bilik dan kemudian
mengeluh panjang.
Keadaan di dalam
bilik loteng itu kelihatan sedikit pelik. Semua barang-barang di dalam bilik
itu disusun rapat menghimpit sekeliling dinding, meninggalkan kawasan lapang
yang luas di tengah. Satu bulatan berdiameter 4 meter dilukis menggunakan
kapur. Kawasan bulatan itu dikosongkan tanpa sebarang barangan kecuali satu
kerusi kayu yang berada di tengah-tengah bulatan.
“Aku akan hantar
kau kembali ke masa depan, Johan. Bertahanlah.”
21 Mac 2004, jam 1730. 30 jam sebelum Kilat Thor.

1 nota kaki:
Dude!
Post a Comment