[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45]

Orang ramai yang
berada sekitar tertarik dengan kedatangan dua kenderaan pacuan empat roda milik
pasukan polis. Kedua-dua kenderaan tersebut berhenti di hadapan pagar rumah
Encik Ahmad. Disuluhi lampu jalan yang menyinar waktu malam, kelihatan
Inspektor Bakar keluar dari salah sebuah kenderaan tersebut. Dia kemudian menuju
masuk melalui pagar rumah Encik Ahmad sebelum mengetuk pintu. Pintu dibuka.
Encik Ahmad mempelawa Inspektor Bakar masuk sambil menjenguk-jenguk kawasan
luar untuk mencari kelibat anak perempuannya. Namun tiada.
Dari jauh terdapat
dua pasang mata yang melihat situasi itu.
“Agaknya, berjaya
tak budak perempuan itu diselamatkan?” Prof. Shah bersuara.
“Tiada kelibat
mereka berdua, Johan dan Intan. Rasanya belum berjaya diselamatkan.” Prof. E di
sebelah menjawab pertanyaan. Mereka berdua berada di depan muka pintu rumah
Prof. E, memantau keadaan rumah Encik Ahmad untuk mengetahui berita terkini
tentang Johan dan Intan.
“Bukankah lebih
mudah jika kita berjumpa terus dengan bapa budak perempuan itu dan jelaskan
segalanya,” Prof. Shah memberi cadangan.
“Tidak. Lebih baik
kita tak libatkan banyak orang dalam hal ini. Siapa mahu percaya cerita karut
yang bakal kita bongkarkan.” Prof. E menolak cadangan Prof. Shah. Prof. Shah
mengangguk. Benar. Siapa mahu percaya ada remaja dari masa depan datang untuk
selamatkan seorang gadis yang diculik.
“Mari kita masuk
dan sambung ujikaji.”
Prof. Shah melibat
kelibat Prof. E yang melintasinya masuk ke dalam rumah dan menaiki tangga ke
tingkat atas. Dia sebenarnya sedikit pelik dengan Prof. E. Apa sebenarnya di
dalam kepada pesaingnya itu.
“Aku kemukakan syarat
yang tidak masuk akal untuk satu fail yang langsung tidak aku fahami. Tanpa
berfikir panjang, dia setuju. Apa sebenarnya yang dia fikirkan?” Prof. Shah mengeluh
kebingungan.
Lantas, Prof. Shah
terkenang semula saat dia kemukakan syarat siang tadi.
“Boleh aku tengok
Fail J tu?”
Prof. Shah senyum berhelah.
“Boleh. Tapi dengan syarat.”
“Apa syaratnya?”
Prof. E bertanya.
“Aku mahu ambil
bahagian dalam projek kau ini. Sebarang kajian, penerbitan, mahupun
pembentangan, aku akan dinamakan sebagai rakan kongsi dengan status yang sama taraf
dengan kau. Tak kurang tak lebih.”
Mendengar syarat dari
Prof. Shah itu, Prof. E berdiam diri seketika.
“Tunjukkan kepada
aku isi Fail J, dan kau automatik menjadi partner aku dalam kajian ini.” Satu
ayat dari mulut Prof. E yang mengejutkan Prof. Shah. Begitu mudah dia menerima
syarat prof. Shah. Hasil kajian mengenai fenomena merentas masa yang
dijalankannya selama berpuluh tahun atas usaha sendiri, dengan mudah dia
bersetuju untuk berkongsi dengan seseorang yang menganggap dirinya sebagai
musuh.
“Apa sudah jadi
dengan Erman yang aku kenal?”
Suasana turut
tegang di dalam rumah Encik Ahmad.
“Apa semua ini?”
Encik Ahmad dan isterinya terbeliak luas melihat rakaman video dari telefon
bimbit yang ditemui di tempat kejadian. Video yang dirakam Prof. E semasa
bersembunyi di tepi rumah Intan disembunyikan.
“Apa jadi kepada
Intan? Siapa lelaki yng bersamanya? Siapa penjahat itu? Di mana penjahat itu
sekarang? Di mana Intan?” Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Encik Ahmad.
Isterinya di sebelah hanya menutup mulut menahan air mata yang sedang
bergenang.
“Kami sudah kerah
pasukan menjejak mereka di dalam hutan, tapi akibat waktu yang sudah malam, kami
terpaksa tangguhkan operasi,” jelas Inspektor Bakar.
“Maknanya, polis
biarkan anak saya dikejar dua penjenayah tersebut di dalam hutan?” Nada Encik
Ahmad bertukar tinggi.
“Tidak. Kami
percaya dua penjenayah tersebut tidak mampu untuk terus mengejar anak encik. Lelaki
yang bersamanya bertindak melindungi anak encik, dan kami percaya mereka mampu
lepas dari buruan dua penjenayah tersebut.”
Encik Ahmad dan
isteri saling bertukar pandangan.
“Siapa lelaki itu?”
tanya Encik Ahmad.
“Itulah yang kami
harap dari encik. Mungkin encik kenal lelaki tersebut?” Inspektor Bakar
menunjukkan telefon bimbit yang sedang memaparkan imej berhenti lelaki yang
berlari bersama Intan. Encik Ahmad dan isteri menatap imej itu seketika. Isteri
Encik Ahmad menggelengkan kepala.
“Gambarnya kurang
jelas, tapi kami pasti kami tidak kenal lelaki ini,” kata Encik Ahmad.
Inspektor Bakar mengangguk faham.
“Lelaki ini
mungkin dalam usia awal 20-an. Kalau kemudian Encik Ahmad tahu mengenainya,
sila hubungi saya.” Inspektor Bakar menyimpan telefon bimbit tadi sebagai bahan
bukti dan melangkah meninggalkan Encik Ahmad dan isteri yang sedang duduk di
sofa.
“Tunggu,
Inspektor!” Encik Ahmad bangun dan menghampiri Inspektor Bakar, meninggalkan
isterinya sendirian.
“Ya?” Inspektor
Bakar mematikan langkah.
“Tentang soalan Inspektor
pagi tadi, mengenai ada orang berdendam dengan saya atau tidak, saya ada satu
nama.” Ayat Encik Ahmad menarik minat Inspektor Bakar.
“Siapa?”
Di satu kawasan di
sekitar Bandar Selatan, Encik Alex berada di dalam keretanya, sedang resah
kerana panggilan telefonnya tidak diangkat.
“Ke mana pula
keparat Zul ni? Berkali-kali aku call tapi tak angkat-angkat. Tengah
sibuk melayan nafsu ke?” Selepas
menekan beberepa butang di telefon bimbitnya, Encik Alex kemudian meletakkan
telefon tersebut di telinga. Deringan di hujung talian masih tidak berjawab.
Sekali lagi Encik Alex memaki hamun Zul. Semua jenis perkataan kesan sudah
disebutnya.
Dek kerana kesabaran
yang sudah menjadi cetek, Encik Alex mencampakkan telefon bimbitnya ke atas
kerusi tempat duduk. Hatinya terasa sedikit tidak tenang, seperti ada berlaku
sesuatu yang di luar perancangan. Mungkin ideanya mengupah penculik dari
kalangan penggiat sindiket pelacuran bukanlah idea yang bagus.
Selepas beberapa
saat menyandarkan dahi ke stereng kereta, telefon bimbitnya tadi berdering.
Dengan pantas Encik Alex mengambil semula telefon tersebut dan melihat ID
pemanggil.
Ahmad ACB (Work).
“Ahmad? Apa yang
dia mahu? Adakah dia bersetuju dengan pertolongan yang aku tawarkan siang tadi?”
Selepas beberapa ketika, Encik Alex menekan butang hijau di telefonnya.
“Hello, Encik
Ahmad. Macam mana? Sudah puas fikir?” Suara Encik Alex bertukar menjadi mesra.
Orang jahat memang bermuka-muka.
“Baiklah. Saya
akan datang ke rumah awak untuk berbincang. Tunggu saya, ya.”
Selepas mematikan
talian, Encik Alex menghela nafas panjang. Wajahnya yang tadi kelihatan marah
sudah mampu mengukir senyuman. Lantas, dia menghidupkan enjin dan mula bergerak
ke rumah Encik Ahmad tanpa mengetahui apa yang bakal dia hadapi.
“Ahmad, Ahmad.
Bodoh punya orang.”

0 nota kaki:
Post a Comment