[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46]

Hari sudah separuh
berlalu, matahari sudah condong ke barat, namun Johan masih terbaring di atas
katil di dalam bilik kolej kediamannya. Dibeleknya beberapa helai kertas
keratan dari majalah hiburan yang dikoyakkannya. Salah satu keratan tersebut
tercetak lirik lagu Kanvas nyanyian
kumpulan Fire Recite Unit (FRU) yang
kononnya sebagai lagu ‘comeback’ ke
dalam industri seni dengan genre yang berbeza dari sebelumnya. FRU yang popular
suatu masa dahulu dengan genre rock, kini memilih genre lebih perlahan dan berentak
balada.
“Apa yang special sangat dengan lagu ni? Lirik pun
entah apa maksudnya. Irama pun perlahan, mendayu, lembik.” Johan merungut
sambil meneliti lama bait-bait lirik lagu itu.
Waktu itu, ketika
kita sama-sama ketawa
melafaz "kita suka sama suka,"
waktu itu, sekecil mana khilaf kita lupakan sahaja.
Hilang tempat bertemu,
tempat pulang, aku tidak peduli.
Kerana hanya senyumanmu itu yang mahu aku lindungi.
Pertemuan, perpisahan
sebanyak bintang di atas kanvas malam...
Namun kini,
aku sangat tidak menginginkannya datang.
Aku hanya mahu kau di sisi,
di saat sukaku, dukaku.
Mari mula dari sini.
Mari bina esok milik kita.
Mari lakukannya seperti kita baru sahaja dilahirkan semula.
Seperti bunga ditiup angin musim panas,
mari kita berkembang cerah segera.
melafaz "kita suka sama suka,"
waktu itu, sekecil mana khilaf kita lupakan sahaja.
Hilang tempat bertemu,
tempat pulang, aku tidak peduli.
Kerana hanya senyumanmu itu yang mahu aku lindungi.
Pertemuan, perpisahan
sebanyak bintang di atas kanvas malam...
Namun kini,
aku sangat tidak menginginkannya datang.
Aku hanya mahu kau di sisi,
di saat sukaku, dukaku.
Mari mula dari sini.
Mari bina esok milik kita.
Mari lakukannya seperti kita baru sahaja dilahirkan semula.
Seperti bunga ditiup angin musim panas,
mari kita berkembang cerah segera.
Johan mengeluh
panjang. Tidak disedari, gelagat Johan diperhati teman sebiliknya Azlan sejak
dari tadi.
“Kau mengeluh
macam mana sekalipun, bukan kau boleh buat apa.” Mendengar kata-kata tadi,
Johan mengalihkan pandangannya ke arah Azlan.
“Aku kurang faham
apa yang membuatkan Hani terpikat dengan si Yusran ni. Katanya, dia mula
berminat dengan Yusran selepas mendengar lagu Kanvas ini dari radio.” Johan
kembali mengeluh panjang. Azlan dari tepi hanya tersenyum. “Katanya, lirik lagu
ini sangat bermakna buat Hani.”
Azlan menghampiri
Johan sebelum merebahkan punggungnya ke atas katil, duduk di sebelah Johan yang
masih berbaring. “Jodoh, Johan. Jodoh. Siapalah kita mahu mempertikaikannya.”
Mendengar nasihat
Azlan, Johan mengukir senyuman. Senyum sumbing.
Memori.
Memori masa lalu
tiba-tiba terlintas di benak Johan. Dia tersenyum. Kali ini senyumannya tidak
lagi sumbing. Dia tersenyum sambil memandang Intan di sebelahnya yang sedang
leka melihat suasana sekeliling.
Pakcik Nizam
berhenti rehat di sebuah hentian rehat dan rawat. Mahu buang air katanya.
Setelah beberapa destinasi Pakcik Nizam berhenti untuk mengambil bekalan
bajanya, kini mereka sudah memasuki lebuhraya dan menuju ke arah Pusat Bandar.
Waktu rehat ini, Intan dan Johan berkeputusan untuk turun sebentar dari
belakang lori. Selain berniat melejangkan badan yang terasa sengal dek kerana
terlalu lama terlambung-lambung di belakang lori, mereka juga berharap dapat
seketika lari dari udara beraroma baja yang memenuhi ruang di belakang lori
tersebut. Namun, siapalah mereka untuk merungut. Dikutip dan diselamatkan dari
tepi jalan, diberi air dan makanan, malah dibenarkan menumpang sehingga ke
Pusat Bandar tanpa syarat, semua itu tidak ternilai hendak dibandingkan dengan
tempat duduk kelas ekonomi meleset bertemankan beg-beg baja organik.
Hentian rehat dan
rawat yang mereka singgahi ini tidaklah besar. Tiada kedai makan mahupun tempat
orang ramai. Hanya satu bangunan tandas dan beberapa dangai yang disediakan untuk
pengunjung. Terdapat juga beberapa buah lori treler yang berhenti bersama.
Mungkin pemandu-pemandunya yang kepenatan ambil keputusan untuk melelapkan mata
seketika memandangkan hari sudah jauh malam. Ragam orang mencari rezeki.
Johan dan Intan
duduk di atas satu tunggul kayu yang rata.
“Awak!” Intan
memanggil Johan. Johan menyahut.
“Bila difikirkan,
siang tadi, saya amat pasti nasib saya akan menjadi buruk. Pada satu ketika,
saya amat pasti yang saya akan jadi barang pemuas nafsu mereka tadi.” Intan
menggigit bibirnya, teringatkan memori pahitnya.
“Entah dari mana,
awak datang. Awak selamatkan saya. Dan kini, kita berada di sini. Selamat.
Dalam perjalanan pulang ke rumah.” Intan mengukir senyuman. Johan turut sama.
“Terima kasih.”
Ucapan terima kasih
Intan hanya disahut dengan anggukan dari Johan.
‘Manusia perlu
terus ke depan. Masa silam dijadikan pedoman supaya kita pada masa kini tidak
mengulangi kesilapan. Hasilnya, masa depan kita akan lebih terjamin.’
Ungkapan itulah
yang Johan pegang dari kali pertama dia dengar sehinggalah ke hari ini. Dalam
konteks Johan, masa depan merupakan masa silamnya, maka dia perlu sedaya upaya
untuk terus ke depan. Dia perlu sedaya upaya memastikan Intan terselamat supaya
Hani pada masa depan mampu memberi sinar kepada orang ramai, termasuk dirinya.
Pada Johan, dirinyalah
yang perlu ucapkan TERIMA KASIH. Tanpa Intan, tanpa Hani, dia mungkin tidak
sampai ke tempat dia berada kini.
“Baiklah. Mari
sambung perjalanan.” Suara Pakcik Nizam memanggil dari jarak 10 kaki. Serentak,
Intan dan Johan bangun dan menuju ke arah lori. Semasa melintas depan lori,
Johan terperasan ada seorang lagi penumpang di tempat duduk kelindan lori
Pakcik Nizam. Berusia mungkin pertengahan 30-an, dengan muka berjambang dan
rambut tidak terurus, lelaki itu sedang terlentok tidur bersandarkan cermin
pintu lori.
“Siapa?” Johan
bertanya kepada Pakcik Nizam.
“Oh, dia seperti
kamu. Pakcik jumpa berjalan seorang diri di pinggir hutan. Katanya sedang ‘mencari
ilham’.” Pakcik Nizam menguit kedua-dua jari telunjuknya membentuk tanda
petikan semasa menyebut ‘mencari ilham’. Tidak mengerti apa yang dimaksudkan
Pakcik Nizam, Johan hanya berlalu ke belakang dengan senyuman.
Setelah semua
siap, mereka menyambung perjalanan ke bandar.
Suasana sunyi
seketika, tiada kata. Hanya kedengaran bunyi deruan enjin lori yang sedang
bergerak dinaiki mereka.
Johan melihat
Intan yang sedang termenung melihat bumbung lori. Mungkin tiada isu mahu
dibicara, maka suasana menjadi diam. Johan tanpa disedarinya bersenandung.
Walupun perlahan namun cukup untuk menarik minat Intan di sebelah.
“Awak humming lagu apa?” soal Intan. Soalan
itu mengejutkan Johan yang sedikit terleka bersenandung.
“Er...Ar..Lagu
reka-reka je...Hehe!” jawab Johan,
kurang meyakinkan.
“Nyanyilah kuat
sikit, saya nak dengar,” pinta Intan.
“Tapi suara saya
tak sedap,” elak Johan.
“Tak apa, bukan
suara saya sedap pun.”
Tipu. Pernah
sekali Johan menonton rancangan siaran langsung di televisyen di mana Hani
diminta untuk menyanyi sebuah lagu. Lagu Kanvas.
Suara Hani sedap. Lunak. Lagu Kanvas
menjadi hit hanya selepas rancangan itu bersiaran.
“Awak suka lagu
apa?” tanya Johan.
“Apa-apa saja pun
boleh,” jawab Intan sambil tersenyum.
Johan membalas
senyum. Ditariknya nafas dalam-dalam sebelum berdehem membuat persedianan.
Intan tergelak kecil melihat gelagat Johan.
Waktu itu, ketika
kita sama-sama ketawa
melafaz "kita suka sama suka,"
waktu itu, sekecil mana khilaf kita lupakan sahaja...
melafaz "kita suka sama suka,"
waktu itu, sekecil mana khilaf kita lupakan sahaja...
Dalam
banyak-banyak lagu, Johan memilih lagu Kanvas
yang dibencinya.
Hilang tempat bertemu,
tempat pulang, aku tidak peduli.
Kerana hanya senyumanmu itu yang mahu aku lindungi.
Intan hanya
mendengar, dan terus mendengar. Walaupun lari nada, walaupun dia tidak tahu
lagu tersebut, namun Intan terus mendengar dengan senyuman.
Pertemuan, perpisahan
sebanyak bintang di atas kanvas malam...
Namun kini,
aku sangat tidak menginginkannya datang.
Aku hanya mahu kau di sisi,
di saat sukaku, dukaku.
Tanpa disedari,
Pakcik Nizam dan lelaki berjambang di sebelahnya juga mendengar nyanyian Johan.
Walaupun bukanlah sesedap mana, namun nyanyian itu sangat menghiburkan mereka
berdua. Lelaki berjambang itu kemudian mengeluarkan buku notanya dan menulis
sesuatu.
Mari mula dari sini.
Mari bina esok milik kita.
Mari lakukannya seperti kita baru sahaja dilahirkan semula.
Berlatarkan deruan
enjin lori yang sedang bergerak, diikuti dengan sekali sekala irama kereta lain
memintas, lagu yang dinyanyikan Johan ini begitu asyik dan menyenangkan Intan. Senyuman
tidak lekang dari wajah Intan. Intan sedar bahawa lagu yang didengarinya ketika
itu akan menjadi lagu kegemarannya. Lagu yang dinyanyikan oleh ‘wira berbaju
perisai’, walaupun setting hanya
berada di belakang sebuah lori berisi beg baja, namun bagi Intan ini adalah
persembahan terbaik sepanjang hidupnya, mungkin seumur hidup, sehingga ke akhir
hayat.
Apa yang Intan masih
belum sedar ialah dia mungkin sudah jatuh cinta.
Seperti bunga ditiup angin musim panas,
mari kita berkembang cerah segera.
Beberapa ketika
kemudian, lori mula bergerak perlahan dan banyak berhenti. Suasana di luar juga
sudah berubah, kenderaan di sekeliling kedengaran semakin banyak. Dari
sangkaan, mereka sudah memasuki kawasan padat. Ini bermakna mereka sudah hampir
sampai ke destinasi, Pusat Bandar.
Kemudian, lori
berhenti. Kedengaran pintu lori dibuka dan ditutup. Beberapa saat kemudian,
Pakcik Nizam muncul di bahagian belakang lori.
“Kita sudah
sampai.” Pakcik Nizam memberitahu Johan dan Intan dengan senyuman.
Pakcik Nizam berjalan
ke depan lori dan bertemu dengan lelaki berjambang yang sudahpun turun dari
lori.
“Terima kasih,
Abang Nizam.” Lelaki berjambang itu menghulurkan salam sebelum disambut erat
oleh Pakcik Nizam.
“Tak apa. Abang
berbangga dapat tolong seorang artis terkenal.” Pakcik Nizam tersenyum lebar.
“Mana ada, bang.
Saya sudah tak laku. Muzik rock sudah
semakin mati.”
“Kalau rock semakin mati, kamu tukarlah muzik
lain,” seloroh Pakcik Nizam.
“Mungkin.
Begitulah perancangannya.” Lelaki berjambang itu melihat buku nota di tangannya
sebelum tersenyum dan berlalu pergi.
“Fuh, tak sangka
aku bertemu dengan artis, Yusran dari FRU,” bicara Pakcik Nizam seorang diri.

0 nota kaki:
Post a Comment