[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42]

Kaki Johan masih terus
melangkah. Namun, langkahnya semakin lemah. Setapak demi setapak, setiap
langkah dipastikan kemas dan kukuh. Dengan kasut yang dipakai bukanlah saiznya,
tambahan lantai hutan yang tidak pernah rata, Johan perlu pastikan dirinya
tidak tumbang semasa Intan masih digendong di belakang.
Intan di belakang diam
tanpa bahasa. Johan sedar Intan terlena. Pada Johan, Intan berhak tidur lena
setelah apa yang dilaluinya. Diculik, disorok, hampir dirogol, nyaris mati
terbunuh dek tembakan, malah kini dikejar para penjenayah yang menculiknya.
Hari ini mungkin menjadi hari paling buruk dalam sejarah hidup Intan. Tak mungkin
pula Johan tergamak hendak kejutan Intan kembali semula ke dalam hari teruk
yang masih belum berakhir.
Tapi kenyataan
diri Johan yang semakin kesuntukan tenaga tidak mampu disangkal. Berjalan dalam
hutan berjam-jam sambil menggendong Intan menuju ke destinasi yang tidak diketahuinya
sangat memakan tenaga. Berpatah balik bukanlah pilihan, memandangkan dua orang
penjenayah yang mengejar mereka sangatlah berbahaya, walaupun tidak bersenjata
dan berpakaian.
Namun, yang suntuk
bukan hanya tenaga. Masa juga. Matahari yang merupakan satu-satunya petunjuk
jalan mereka, kini semakin condong menghilang di sebalik ketebalan hutan. Masa
semakin petang. Hutan semakin gelap. Riuh unggas serta segala isi penghuni
hutan semakin meriah, seolah-olah satu keraian.
Johan semakin
hilang pilihan. Mahu diteruskan langkah, tiada tenaga. Mahu berhenti bermalam,
takut menjadi santapan para haiwan buas.
“Aku kena kuat.
Aku kena kuat.”
Berkali-kali Johan
berbisik kepada diri sendiri. Namun langkahnya semakin longlai. Kakinya rapuh
menahan langkah. Mulutnya terbuka menghembus lelah. Matanya kabur menahan
penat.
Satu langkah,
semuanya berubah. Johan sudah tiada daya. Lutut kanannya jatuh ke tanah. Diikuti
dengan lutut kiri. Tangan kanan masih mengampu Intan sedangkan tangan kirinya
bertongkat bumi. Dia kini separuh rebah. Tenaga yang masih ada digunakannya
hanya untuk memastikan Intan tidak tersembam mencium bumi. Perlahan-lahan Johan
meletakkan Intan yang masih lena bersandar ke pokok rendah berdekatan.
Menakjubkan melihat Intan yang masih terlena. Sudah tentu Intan juga kepenatan
sepertinya.
Johan tersandar di
sebelah Intan.
Johan bernafas
laju menahan penat. Jujurnya, dia buntu. Mungkin mereka kena bermalam di dalam
hutan sahaja. Bab haiwan buas berkeliaran malam, itu akan difikirkannya kemudian.
Biarlah kepenatan menelan mereka dahulu buat masa sekarang.
Melihat Intan di
sebelah, Johan tersenyum. Dalam senyumannya, jelas kelihatan riak risau. Apa lagi
boleh dia buat untuk pastikan Intan selamat? Apa lagi pilihan yang ada jika dia
tidak mahu bermalam di dalam hutan, dan dalam masa sama tidak mampu untuk terus
bergerak ke depan?
Penat memikirkan
tindakan seterusnya, mata Johan semakin kuyu. Seperti syaitan yang bergayut di
buaian, pelupuk matanya semakin berat. Beberapa kali Johan menampar pipi, tidak
membenarkan dirinya untuk terlena. Dia tidak sepatutnya terlena. Ianya ibarat
meletakkan makanan ke atas pinggan haiwan buas yang bakal meninjau. Namun,
apakan daya. Tanpa disedarinya, matanya sudah terpejam. Fikirannya kini
melayang dalam gelombang otak theta. Suasana riuh unggas di sekitar semakin
pudar dalam fikiran.
Sayup. Bunyi deru
enjin kenderaan.
Mata Johan
terbeliak. Dia yakin dengan apa yang didengarinya. Ianya bukanlah fantasi
seperti fatamorgana oasis di padang pasir yang tandus. Ianya jelas dan
meyakinkan. Ianya bunyi kenderaan sedang bergerak.
Walaupun sedar
dirinya sudah ketiadaan tenaga, tapi bak kata orang ‘desperate time calls for desperate measure’. Johan tidak peduli
sama ada dia masih ada tenaga atau tidak, ataupun sampai ke tahap tulangnya
patah atau ototnya hancur sekalipun, apa yang dia mahu ialah membawa Intan ke arah
sumber bunyi yang didengarinya itu.
Johan lantas,
dengan kudrat yang tinggal, bangun dan kembali menggendong Intan yang masih
terlena di belakang badan. Dengan hanya berbekalkan semangat, dia bergerak
menuju ke depan, meredah segala apa yang menjadi halangan. Fatamorgana atau
tidak, dia tidak peduli. Padanya, bunyi deruan kenderaan itu adalah benar dan
ada. Bunyi itulah yang menjadi agen pemberi semangat kepadanya.
Setelah beberapa
langkah meredah pokok renek, belukar dan semak-samun, Johan memberhentikan
langkah. Dia tersenyum. Di hadapannya adalah harapan. Di hadapannya adalah penantian.
Di hadapannya adalah kemenangan.
Di hadapannya adalah
sebatang jalan raya kecil.
Johan bersyukur. Ditadahnya
tangan mengadap langit senja yang berwarna ungu, mengucapkan jutaan syukur
kepada Yang Maha Mendengar.
Namun, umpama minyak
yang sudah habis digunakan, pandangan Johan menjadi malap dan hitam. Dia
terjelepuk di tepi jalanraya itu bersama Intan. Mereka berdua rebah tidak
sedarkan diri. Tiada lagi semangat, tiada lagi kudrat. Masing-masing terbaring
berdua di tepi jalan.
Bunyi deruan enjin
semakin jelas. Jauh di hujung jalan ternampak suluhan lampu bermata dua. Suluhan
itu datang daripada sebuah lori pikap kecil bermodel lama yang sedang melalui
jalan raya tersebut. Apabila semakin menghampiri tempat Johan dan Intan
terbaring, lori pikap itu memperlahankan kelajuan sebelum berhenti. Seseorang
keluar dari pintu pemandu.
“Tuan, hari
semakin gelap. Adalah lebih baik untuk kita tangguhkan usaha menjejak dan
menyelamat ini, Tuan.” Inspektor Bakar mengangguk. Kata-kata anak buahnya
memang masuk akal. Kawasan yang gelap dan berbahaya seperti di dalam hutan ini akan
merumitkan lagi usaha mencari dan menyelamat. Paling tidak, mereka kini tahu
dua penjenayah yang dikejar tidak lagi bersenjata (dan berpakaian). Namun,
nasib dua orang mangsa yang dikejar penjenayah masih belum diketahui.
“Maklumkan kepada
semua anggota untuk berkumpul di sini sebelum bergerak balik ke tempat kejadian
tadi. Kita tangguhkan operasi kita sehingga diberitahu kemudian.” Setelah
mendengar arahan Inspektor Bakar, anak buahnya itu menyebarkan arahan melalui
sistem komunikasi gelombang radio ‘walkie-talkie’ yang mereka gunakan untuk
berinteraksi.
Seorang demi
seorang anggota datang melapor diri. Mereka juga kelihatan penat kerana
berjam-jam meredah hutan. Inspektor Bakar sedar, ada antara mereka bukanlah
arif sangat beroperasi di dalam hutan, namun sedikit sebanyak pengalaman ini
boleh dijadikan bekalan masa depan.
“Tuan!” Pandangan
Inspektor Bakar beralih ke arah sumber suara.
“Ada dua anggota
kita tidak dapat dihubungi, Tuan.” Berita yang datang dari salah seorang anak
buahnya itu sangat mengejutkan. Anggota-anggota lain yang berada berdekatan
juga terkejut dan saling berpandangan sesama sendiri.
“Sudah cuba
hubungi radio mereka? “
“Sudah, Tuan.
Tiada respon.”
Setelah berfikir
sejenak, Inspektor Bakar memberi arahan. “Kita akan bergerak bersama, menuju ke
tempat terakhir dua anggota yang hilang itu dikesan. Itu prioriti tertinggi.
Faham?”
“FAHAM, TUAN!”
Di satu kawasan di
dalam hutan, Bawi dan Galah dilihat sedang memperkemas pakaian seragam polis
yang dipakai mereka selepas mengambilnya dari dua anggota yang hilang.

0 nota kaki:
Post a Comment