[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44]

“Masih ada sesuatu
yang aku tak faham...” Azlan menepuk bahu Johan yang sedang khusyuk melayari
internet. Johan sedikit terkejut. Teman sebiliknya itu memang terkenal dengan
perangai suka berbual secara tiba-tiba tanpa tajuk.
“Apa dia?” Johan
mengalihkan perhatiannya kepada Azlan.
“Macam mana
selebriti seperti Hani yang cantik, lembut dan sopan boleh terpikat dengan si
Yusran yang dah out-of-date tu?”
“Really? Aku tengah bersedih dengan
berita Hani nak bernikah dengan Yusran tu, kau pula nak timbulkan lagi
tentangnya.” Johan sedikit marah.
“Hahaha. Lepaklah
brader. Jangan serius sangat. Hani tu kan hanya ‘square root of negative one
girlfriend’ kau je, kan?” Azlan tergelak kecil.
Imaginary girlfriend. Kekasih yang hanya dalam angan-angan.
Johan tersenyum
senget. Dia tahu, rakan baiknya itu bukanlah berniat jahat. Kalaulah bukan
Johan mengenali si Azlan sebegitu, sudah tentu dia akan terasa dengan perangai
Azlan yang straightforward itu.
“Sebenarnya...”
Johan memulakan cerita.
“Sebenarnya, Hani
pernah beritahu dulu yang dia sangat meminati lagu ‘Kanvas’ dari kumpulan FRU
Yusran tu. Sejak dari temubual itu, para wartawan mula gandingkan mereka berdua
dalam photo shoot majalah-majalah hiburan. Mungkin dari situ mereka rapat, kot...”
Melihat wajah
Johan yang berubah bila bercerita tentang Hani dan Yusran, Azlan menepuk bahu
Johan berkali-kali, menenangkannya. “Sabarlah, Johan. Orang kerdil macam kita
tak ada kuasa. Jom, aku belanja kau ABC dekat cafe kolej Zeta.”
“Kolej Zeta bukan
kolej perempuan ke? Boleh ke kita masuk?” Johan bertanya.
“Sebab itulah ABC
dekat sana sedap. Aku kenal seorang makcik dekat cafe tu. Kita boleh masuk tanpa masalah. Untung-untung, dia boleh
kenalkan kita dengan seorang dua awek, buat jiwa kau merawat lara.”
Pecah suasana
bilik dipenuhi gelak ketawa mereka berdua.
Kepala Johan
terhantuk dek buai kenderaan.
Johan mula
tersedar dari pengsan. Dia menggosok kepalanya yang kesakitan. Matanya dibuka
perlahan-lahan melihat suasana.
Bawi. Galah.
Terfikirkan dua
penjahat itu membuatkan Johan terkejut dan membuka mata seluas-luasnya.
Mana Intan?
“Awak dah bangun?”
Suara Intan datang dari sebelah.
Johan memandang
Intan. Intan selamat. Johan masih terpinga-pinga dengan apa yang berlaku.
Dialihnya pandangan kepada seluruh tempat dia berada. Sebuah ruangan yang
kecil, bertutup dengan kain kanvas tebal, dipenuhi dengan barangan pertanian
seperti beg baja dan beberapa botol berisi cecair berlabel ‘racun’. Ruangan itu
panas, berbuai-buai tidak sekata, dan diiringi dengan bunyi deruan enjin
kenderaan.
“Kita berada di
belakang sebuah lori yang sedang bergerak.” Intan memberikan jawapan kepada
soalan yang berlegar di fikiran Johan. Johan memandang Intan. Dari wajah Intan,
Johan pasti Intan sendiri tidak pasti bagaimana mereka boleh berada di belakang
sebuah lori tersebut.
Kenderaan yang
mereka naiki menjadi semakin perlahan sebelum berhenti. Kedengaran bunyi pintu
dibuka dari bahagian hadapan kenderaan itu. Seseorang keluar, dan dari arah
tapak kakinya, sedang menuju kebahagian belakang kenderaan tersebut.
Johan dan Intan
menegakkan badan masing-masing, bersedia untuk menerima siapa sahaja yang bakal
mereka berdepan. Johan memegang pisau bersarung yang masih terselit di pinggang
kirinya.
“Siapapun mereka,
aku kena lindungi Intan,” benak fikiran Johan bersuara.
Kain kanvas
bertentangan dengan tempat Johan dan Intan berada diselak. Ternampak kelibat
seorang lelaki berjambang dengan memakai topi memancing. Lelaki itu tersenyum.
“Kamu berdua sudah
tersedar?” Lelaki berjambang itu berkata dengan senyuman. Dihulurnya dua botol
air mineral 1.5 liter kepada Johan. “Ambil air ni. Pakcik tahu kamu dahaga.
Minumlah.”
Johan dan Intan
masih memandang tanpa tindak balas. Terkejut barangkali.
“Jangan terkejut.
Nama pakcik, Nizam. Pakcik jumpa kamu berdua di tepi jalan tadi. Jadi, pakcik
angkat masuk ke dalam lori.” Lelaki tadi berbual dalam suara yang lembut.
Johan dan Intan
menghembuskan nafas lega. Perkara buruk dalam fikiran adalah mereka kembali menjadi
tawanan Bawi dan Galah. Melihat lelaki yang menggelarkan diri Pakcik Nizam ini
bercakap lembut dan mesra, Johan dan Intan berasa lega dan selamat.
“Pakcik dari dalam
hutan cari baka pokok. Masa keluar, pakcik nampak kamu berdua terbaring di tepi
jalan. Takkan pakcik nak biarkan. Jadi, pakcik ambil keputusan bawa kamu keluar
hutan sekali.”
Johan menyambut
dua botol air yang dihulurkan Pakcik Nizam tadi dan memberikan satu botol
kepada Intan. Intan membuka botol tersebut dan meminum airnya tanpa segan. Johan
masih memandang pakcik Nizam yang masih tersenyum.
“Kamu berdua sesat
dalam hutan ke?” tanya Pakcik Nizam.
“Ya. Kami tersesat
semasa berkhemah.” Johan menjawab. Dia terpaksa menipu kerana kebenaran
bukannya mudah untuk diterangkan.
“Kalau macam tu,
biar pakcik hantar kamu ke balai polis berhampiran.”
Mendengar
kata-kata Pakcik Nizam itu, Johan teringatkan pesan Prof. Erman yang
memahukannya untuk tidak melibatkan pihak polis.
“Pakcik hantar
kami ke bandar yang berhampiran je
lah. Dari sana kami akan contact ibu
bapa kami.” Sekali lagi, Johan menipu. Intan memandang Johan.
“Pakcik mahu ke
Pusat Bandar, tapi sebelum ke sana, pakcik akan singgah di beberapa tempat
dulu, nak ambil baja. Mungkin tengah malam baru sampai Pusat Bandar. Tak apa ke?” Pakcik Nizam kelihatan memberi
kerjasama.
“Malam? Sekarang
pukul berapa?” Johan cuba menjengah luar lori untuk melihat langit.
“Sekarang baru
lepas masuk waktu Isyak. Lori ni tak boleh pandu laju sangat, nanti meragam.
Jadi, mungkin akan sampai lambat ke Pusat Bandar. Tak apa ke?” Sekali lagi
Pakcik Nizam bertanya.
“Kalau macam tu,
kami ikut pakcik ke pusat Bandarlah, ya? Boleh?”
“Boleh.” Pakcik Nizam
masih tersenyum. Murah senyuman betul lelaki 50-an ini.
“Kalau kamu berdua
lapar, dalam kotak sana ada roti ban. Makanlah, buat alas perut.” Pakcik Nizam
menudingkan jarinya ke arah sebuah kotak kecil yang berada di sebelah Intan. Memang
mereka berdua lapar. Intan dan Johan memandang sesama sendiri sambil tersenyum.
“Terima kasih,
pakcik.”
Sebelum beredar,
Pakcik Nizam sempat bertanyakan nama mereka berdua.
“Saya Johan, ini
Hani.”
Intan memandang
Johan. Sekali lagi Intan tahu Johan menipu. Sepatutnya Johan memperkenalkan mereka
sebagai ‘Yusran dan Intan’, bukan ‘Johan dan Hani’. Tapi Intan tidak kisah. Dia
berasakan mungkin Johan mahu menyembunyikan identiti mereka.
Namun, sebenarnya
Johan terlepas cakap dan terlupa dirinya patut dia dipanggil Yusran dan Hani
dipanggil Intan.
Kemudian, Pakcik
Nizam meneruskan perjalanan dengan belakang lorinya berisi dua insan, Johan dan
Hani.

0 nota kaki:
Post a Comment