[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47]

“Okey, nampaknya
pertemuan kita sampai di sini sahaja,” kata Pakcik Nizam sambil tersenyum
lebar. Dihulurnya tangan untuk dijabat. Johan dengan segera menyambutnya.
“Terima kasih,
pakcik. Jasa pakcik tak akan kami lupa.” Giliran Intan pula bersalaman.
“Pakcik yang patut
berterima kasih. Kamu berdua sudah teman pakcik. Selalunya pakcik buat kerja sorang-sorang.” Pakcik Nizam cukup
merendah diri. Senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya. Sesiapa yang melihat
Pakcik Nizam pasti akan berasa selesa.
“Lagipun, ada
penyanyi menghiburkan pakcik tadi,” sambung Pakcik Nizam, berseloroh. Intan
juga ketawa kecil. Johan tersipu malu. Dia tidak sangka suaranya boleh didengar
sampai ke bahagian hadapan lori.
Selepas seketika,
Pakcik Nizam beredar bersama lorinya, meninggalkan Johan dan Intan di sebuah
pondok menunggu bas di Pusat Bandar. Di tangan Johan terdapat beberapa keping
duit syiling yang diberi oleh Pakcik Nizam sebentar tadi. Buat telefon keluarga
katanya. Seraya, mata Johan liar mencari mana-mana pondok telefon awam yang
berdekatan. Ada satu di seberang jalan dalam lingkungan 20 meter jarak.
“Apa kita nak buat
sekarang?” tanya Intan kepada Johan.
“Kita call seseorang untuk ambil kita balik.
Okey?” Intan mengangguk setuju.
Walaupun sudah
lewat malam, namun Pusat Bandar tidak pernah lekang dengan manusia dan
kenderaan. Walaupun jalanraya dua lorong, namun kenderaan yang berpusu-pusu
menyukarkan mereka untuk ke seberang. Johan melihat kiri dan kanan, menunggu
peluang untuk melintas. Sejurus nampak peluang, Johan terus menggenggam tangan kanan
Intan dan memimpinnya melintas jalan.
Intan terkejut
tangannya dipegang. Terasa seperti satu renjatan elektrik mengalir ke seluruh
badan. Namun, badannya hanya menurut, berlari-lari anak melintas jalanraya.
“Kenapa hati aku
berdebar-debar? Takkan hanya sebab dia pegang tangan aku, aku jadi macam ini?
Bukankah tadi dia siap dukung aku lagi?” Intan mempersoalkan hatinya.
Johan melepaskan
genggaman tangannya ketika sampai ke pondok telefon awam tersebut. Selepas
memasukkan beberapa keping duit syiling pemberian Pakcik Nizam tadi, Johan
menekan beberapa punat nombor yang diingatinya.
Intan yang berada
di tepi merenung tangan kanannya. Wajahnya kemerah-merahan, namun akibat
disinari cahaya lampu neon beberapa bangunan berdekatan, wajahnya kelihatan
biasa. Cuma mata Intan kelihatan bundar dan basah bersinar.
“Awak tak apa-apa?”
tegur Johan yang sedang menunggu deringan di sebalik talian. Johan perasan
tindak-tanduk Intan sedikit lain.
“Ah, tak! Tak
apa-apa,” jawab Intan tanpa memandang wajah Johan. Digenggamnya telapak tangan
kanan dan diletakkan di dada.
“Mungkinkah ini...”
bisik Intan kepada diri sendiri. Intan semakin larut ke dalam lamunan sendiri.
Persekitaran yang sebelum ini ditemani dengan bunyi lalu-lalang kenderaan,
semakin lenyap dari pendengaran Intan. Yang jelas hanyalah bunyi jantungnya
yang berdegup kencang. Namun, Intan melayan degupan itu dengan menguntumkan
senyuman. Wajahnya bertambah merah, semakin jelas kerana dibayangi kontra kulit
putih gebunya. Pelik, tapi Intan sukakan perasaan ini. “Mungkinkah aku sudah
ja..”
“Intan?” Bahu
Intan dicuit Johan. Lantas, Intan tersedar dari lamunan singkatnya.
“Awak okey ke ni?
Nampak lain macam je.”
Mata Intan dan
Johan bertemu. Segera, Intan mengalih pandangannya ke arah lain. Johan
kebingungan. Tak faham langsung dia dengan apa yang sedang berlaku.
“Saya baru selesai
call Prof. Erman. Dia akan ambil kita
di sini sesegera mungkin.” Tiada jawapan dari Intan. “Tapi sebelum Prof. E
sampai, saya perlu berterus terang mengenai sesuatu kepada awak.”
Intan terkejut
mendengar ayat yang diluahkan Johan. Dia, dengan mata yang terbeliak besar, berpusing
kepada dan memandang tepat ke arah Johan yang berada di sebelahnya.
“Adakah
dia...Adakah dia...Adakah dia nak luahkan perasaan dia terhadap aku?” sekali
lagi Intan menyoal hatinya. Parah.
Sementara, di rumah Prof. E di Bandar Selatan:
“Siapa?”
Satu soalan
ringkas diajukan oleh Prof. Shah kepada Prof. E yang sedang memegang gagang
telefon selepas tamat perbualan. Dengan tenang, Prof. E meletakkan gagang
telefon tersebut dan kemudian perlahan-lahan mengangkat muka memandang Prof.
Shah.
“Johan,” jawab
Prof. E. Ringkas.
“Johan? Maksud
kau, Johan yang call tadi?” Prof.
Shah ingin mendapatkan kepastian.
“Ya... dan dia
selamat. Dia ada bersama Intan di Pusat Bandar. Dia suruh aku datang ambil
mereka berdua.” Jawapan Prof. E itu mengejutkan Prof. Shah.
“Hahaha! Johan
selamat. Malah berjaya selamatkan si budak perempuan yang kena culik itu. That boy was amazing. Tak sangka dia
boleh selamat setelah apa yang berlaku padanya,” Prof. Shah tersenyum kagum.
“Aku tahu dia akan
selamat. Tapi aku sendiri terkejut dapat berita sebegini,” kata prof. E.
“Itu maknanya kau
masih belum percayakan budak Johan itu sepenuhnya,” sakat Prof. Shah.
“Jom, aku nak ikut
kau jemput mereka. Nak juga aku tengok wajah budak perempuan yang bakal
mengubah dunia tu”
Selepas mencapai satu gugusan
kunci dari atas meja , Prof. E dan Prof. Shah keluar dari rumah dan menuju ke
kereta. Enjin kereta dihidupkan dan kemudian mereka bergerak membelah kelat
malam menuju ke Pusat Bandar.
Di Pusat Bandar
pula, Intan dan Johan sedang duduk bersebelahan di pondok menunggu bas tempat
Pakcik Nizam tinggalkan mereka tadi. Walaupun diterangi cahaya putih lampu
kalimantang, namun persekitaran agak gelap dan malap. Wajah Intan kelihatan serius
mendengar penjelasan dari Johan.
“Jadi, awak tak
mahu terlibat dengan polis? Kenapa?” tanya Intan.
“Saya tak boleh
beritahu secara terperinci kenapa, tapi saya memang tak boleh terlibat dengan
polis,” jawab Johan.
“Tapi, awak kata rumah
saya penuh dengan polis. Nanti bila sampai rumah, macam mana dengan awak?”
“Prof. E yang akan
serahkan awak kepada famili awak. Dia akan kata dia ternampak awak di Pusat
Bandar dan bawa awak terus ke sini.”
“Apa pula saya nak
cerita bila polis tanya macam mana saya boleh berada di Pusat Bandar?”
“Awak ceritakan
yang awak diselamatkan seseorang dan awak lari tumpang naik lori seseorang dan
berhenti turun di Pusat Bandar. Cuma jangan sebut dan cerita langsung tentang
saya dan apa yang saya sudah buat.”
Intan terdiam. Dia
memandang lantai. Kakinya yang berkasut besar itu menguis-nguis habuk di lantai
walaupun habuk-habuk itu tidak dapat dilihatpun oleh mata kasar.
“Baiklah. Tapi
satu saya nak tanya. Macam mana awak boleh tahu saya disembunyikan di rumah
terbiar tu?”
Soalan dari Intan itu
menguntumkan senyuman di bibir Johan.
“Saya tak boleh
cerita. Tapi satu hari nanti, kalau kita ada jodoh untuk bertemu semula, saya
ceritakan semuanya,” jawab Johan.
“Janji?”
“Janji.”
Intan menghulurkan
jari kelingking kanannya ke arah Johan. Jari tersebut disambut dengan cakukan
dari jari kelingking kanan Johan. Janji bertaut.

0 nota kaki:
Post a Comment