[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51]

Hanya air mata
yang berlinang. Tiada suara yang mampu terkeluar dari Intan apabila melihat
sekujur badan terbaring di atas katil hospital. Terdapat satu tiub berhubung
dari mesin ke mulut, beberapa tiub lagi disambungkan ke lengan, dan berselirat
wayar terlekat di dada. Ianya bukanlah satu permandangan yang sedap dipandang
Intan. Apatah lagi pemilik tubuh itu ialah seorang lelaki yang pernah
menyelamatkannya dan kini lelaki tersebut tidak sedarkan diri selepas menghalang
tembakan yang sepatutnya ditujukan ke arahnya.
Bilik unit rawatan
rapi yang menempatkan Johan masih tidak dibenarkan doktor untuk dikunjungi,
akan tetapi para pengunjung boleh meninjau keadaan di dalam melalui tinkap kaca
khas dari bilik menunggu di sebelah. Intan hanya berdiri tegak di tepi tingkap
untuk melihat Johan yang terbaring di dalam. Puan Nora dan Encik Ahmad duduk di
kerusi berhampiran Intan manakala Prof. E dan Prof. Shah hanya berdiri di
penjuru bilik.
Encik Ahmad
berdiri dan berjalan menghampiri Prof. E.
“Prof, saya sangat-sangat
berterima kasih kerana menemui anak saya. Terima kasih.” Encik Ahmad menunduk
sedikit kepalanya tanda berterima kasih. Prof. E hanya mengangguk.
“Semua
perbelanjaan untuk anak saudara Prof, saya akan tanggung sepenuhnya. Saya akan
pastikan dia mendapat rawatan yang terbaik. Prof jangan risau.”
“Terima kasih.
Tapi kos pembelanjaan bukan masalah utama,” balas Prof. E.
“Saya rasa lebih
elok Encik Ahmad bawa Intan pulang berehat. Dia pasti sangat penat dengan
segala apa yang sudah berlaku. Bawa Puan Nora sekali. Berehatlah di rumah.
Nanti ada apa-apa berita, saya akan hubungi Encik Ahmad.”
Encik Ahmad
bersetuju dengan cadangan Prof. E. Dia menghampiri Intan yang masih berdiri
tegak meninjau keadaan Johan.
“Intan, mari kita
balik berehat. Intan mesti penat, kan? Lagipun, adik masih ada di rumah. Nanti
kalau Yusran sedar, Prof. Erman akan panggil kita di rumah.” Encik Ahmad dengan
lembut memegang bahu Intan sambil memujuk.
“TIDAK. Orang tak
nak balik. Orang nak teman Yusran.” Intan menepis tangan Encik Ahmad, membantah
untuk pulang ke rumah.
Prof. E
menghampiri Intan dan berkata, “Intan, baliklah dulu. Kita tak boleh buat
apa-apa pun kalau hanya berdiri di sini.”
“Tapi, Yusran tak
pernah tinggalkan saya semasa selamatkan saya tadi, kenapa saya tak boleh buat
perkara yang sama? Dia sentiasa ada bila saya perlukan dia, dia melindungi saya
bila saya dalam bahaya, kenapa saya tak boleh buat perkara yang sama kepada
dia?” balas Intan.
Prof. E berdiri
sebelah dan menggosok-gosok kepala Intan sambil berkata, “Intan balik rumah dan
banyakkan berdoa kepada Tuhan Yang Maha Esa supaya Yusran sembuh dengan segera.
Itu lagi baik dari berdiri tegak di sini, kan?”
Prof. Shah di
penjuru bilik terkejut mendengar kata-kata Prof. E. Setahu dia, sekian lama
mengenalinya, Prof. E ialah seorang saintis yang menentang konsep agama dan
ketuhanan. Dia hanya berpegang kepada prinsip sains dan logik pemikiran.
Kata-kata sebegitu tidak akan muncul dari mulut Prof. E yang dulu.
“Berapa banyak kau
dah berubah, Erman,” bisik sendiri Prof. Shah.
Intan hanya
berdiam diri. Dia merasakan lututnya semakin lemah akibat dari berdiri terlalu lama.
Pandangan matanya menjadi kabur dan semakin gelap. Badannya menjadi lembik dan tanpa
sempat disedarinya, dia pitam. Prof. E sempat sambut tubuh Intan sebelum jatuh
ke lantai. Segera, Encik Ahmad memanggil doktor berhampiran datang memeriksa
keadaan Intan.
“Dia tiada
apa-apa. Hanya kepenatan. Kami boleh masukkan dia ke dalam wad untuk berehat.”
Penerangan ringkas dari doktor tersebut membuatkan Encik Ahmad dan Puan Nora
mearik nafas lega.
“Lebih baik Encik
Ahmad bawa dia balik ke rumah sementara dia masih belum sedarkan diri. Inilah
kesempatannya.” Mendengar cadangan Prof. Shah, Encik Ahmad bersetuju membawa
anaknya pulang. Betul. Mereka tiada fungsi jika hanya berdiri di situ. Adalah
lebih baik pulang dan berehat sementara menunggu berita seterusnya.
Encik Ahmad
sekeluarga keluar dari bilik menunggu itu meninggalkan dua profesor berada bersama.
“Kau pun, kalau
nak balik, aku tak kisah,” kata Prof. E kepada Prof. Shah.
“It’s okay. I’m fine here,” balas Prof.
Shah. “Aku ada satu soalan untuk kau, Erman.”
“Apa dia?” balas
Prof. E.
“Bila kau kata
kepada bapa budak tu ‘kos pembelanjaan bukan masalah utama’, apa yang
sebenarnya kau maksudkan?”
Soalan Prof. Shah
itu membuatkan Prof. E menghela nafas panjang.
“Masa.”
“Apa?” tanya Prof.
Shah semula untuk kepastian.
“Masa.”
“Masa?”
“Ya, masa. Johan perlu
sembuh sebelum malam 23 haribulan.”
Prof. Shah menjadi
sedikit keliru. “Malam 23 sebab berlakunya fenomena kilat Thor tu?”
Prof. E bergerak
ke kerusi tempat Puan Nora duduk tadi dan melabuhkan punggungnya ke kerusi itu.
“Malam 23 itu, kilat Thor akan muncul. Aku akan hantar Johan balik ke masa dia
pada malam tu.”
“Tapi, kan lagi
baik tunggu dia sembuh dulu?” soal Prof. Shah.
“Tidak, kilat Thor
hanya berlaku setiap lapan tahun di satu-satu tempat yang spesifik, jadi kalau
kita terlepas peluang ini, kita kena tunggu lapan tahun lagi. Johan tidak boleh
tinggal lapan tahun lagi sebab sekarang ada wujud DUA Johan dalam satu masa.
Masalah pasti akan timbul nanti.” Prof. E menberi penjelasan.
“Tapi, dalam
keadaan Johan sekarang, tak mungkin dia boleh sembuh dalam masa sehari dua ni. It’s impossible!” balas Prof. Shah.
“Aku tahu. Aku
tahu. Tapi, aku sudah janji kepada Johan untuk hantar dia pulang.”
“Induced coma? Kita biarkan dia tidur
selama lapan tahun,” cadang Prof. Shah.
“Tidak, Johan
bantah cara itu. Lagipun risikonya sangat tinggi untuk digunakan dalam jangka
masa lama. Lapan tahun sangat lama. Otak dia boleh cacat nanti.”
“Tak boleh ke kau buat sesuatu. Contohnya
bawakan kilat Thor tu ke sini, cipta kilat Thor kau sendiri? Kau habiskan masa
berpuluh-puluh tahun untuk kaji benda ni, tak mungkin kau tak ada satu
eksperimen simulasi kilat Thor kau sendiri?”
“Secara teorinya,
sebab kenapa ianya digelar ‘kilat Thor’ adalah kerana kilat itu mempunyai
jumlah tenaga yang terlalu besar sehingga mampu mengoyak dimensi. Jumlah tenaga
sebegitu besar tidak mampu dihasilkan dalam eksperimen. Semua yang aku kaji
hanyalah teori. TEORI.”
Prof. E menekup
mukanya, buntu.
Suasana bilik
menunggu itu menjadi suram.
“Jadi, kilat Thor
tidak boleh di bawa ke sini,” keluh Prof. Shah.
Prof. E mengangkat
muka memandang Prof. Shah. Wajah Prof. E kelihatan ceria tersenyum.
“Brilliant, Shah. BRILLIANT!” Prof. E berdiri dan menepuk belakang Prof. Shah.
“Jika kita tak
boleh bawa kilat Thor ke Johan, kita bawa Johan ke kilat Thor.”

0 nota kaki:
Post a Comment