[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20]
[21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40]
[41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52][53][54][55]

Kereta yang sedang
dipandu Prof. Shah berhenti secara mengejut di hadapan pintu utama Hospital
Arahjaya. Prof. Shah memanjangkan tangan membuka pintu belakang. Muncul masuk
Prof. E memapah sekujur badan yang tidak sedarkan diri. Pintu kemudian ditutup
dengan segera.
“Go, go. GO!” jerit Prof. E. Prof. Shah kemudian
memijak pedal minyak sepenuhnya, membuatkan kereta yang dipandunya memecut
dengan pantas ke depan. Sejurus selepas kereta itu memecut, kelihatan kelibat
Inspektor Bakar keluar dari pintu utama hospital dan kemudian marah kepada diri
sendiri kerana tidak sempat menahan Prof. E.
Beberapa jam
sebelum itu...
22 Mac 2004, jam 0805. 14 jam 45 minit sebelum Kilat
Thor.
“Ayah, bila kita
nak pergi melawat Yusran di hospital?” Intan bertanya kepada Encik Ahmad yang
sedang membaca surat khabar di meja makan. Puan Nora yang sedang menyapukan jem
ke permukaan roti juga mengalihkan pandangannya ke arah Encik Ahmad, menanti
jawapan dari mulut suaminya itu.
“Ayah tak pasti,
nanti ayah tanya Prof Erman sama ada Yusran dibenarkan melawat atau tidak. Ayah
dapat berita, pembedahannya akan dijalankan malam ni.”
Riak wajah Intan
jelas kecewa dengan jawapan ayahnya itu. Dia mahu melawat Yusran sesegera
mungkin. Jika boleh sekarang, maka sekarang juga dia mahu pergi.
“Intan sayang.
Intan jangan risau. Lepas ayah bertanyakan kepada Prof. Erman, kita akan pergi
melawat Yusran. Dia mungkin perlukan sokongan kita sebelum menjalani
pembedahan, kan? Lagipun dia kan hero kepada anak ayah ni.” Encik Ahmad
mengusap kepada Intan. Sekuntum senyuman terukir di bibir Intan. Paling tidak ,
jawapan tadi dapat meredakan keterujaan Intan untuk melawat Yusran di hospital.
“Baiklah, ibunya.
Saya ada beberapa hal lagi perlu diselesaikan dengan pihak polis. Awak dan
anak-anak bersiaplah. Kalau cepat selesai, maka cepatlah kita ke hospital. Nanti
apa-apa, saya call rumah.” Puan Nora
mengangguk tanda faham. Selepas Puan Nora salam suaminya, dan diikuti oleh
Intan, Encik Ahmad berlalu keluar dari rumah bersama beg bimbit kerjanya.
22 Mac 2004, jam 1034, di Hospital Arahjaya. 12 jam 56
minit sebelum Kilat Thor.
“Apa maksud kau
cari jalan supaya mereka tangguhkan pembedahan?” Suara Prof. Shah menjadi
tinggi mendengar kata-kata Prof. E di sebelah lain talian. Prof. Shah sedang
berada di lobi hospital untuk membuat panggilan kepada Prof. E. Satu hari
suntuk dia berada di hospital memantau keadaan Johan yang masih terbaring tidak
sedarkan diri. Matanya menjadi lebam, sengal menjalar seluruh badan. Prof. Shah
sudah berada di tahap maksimumnya.
“Kalau pembedahan itu
dijalankan malam ini, kita tak boleh nak bawa pulang Johan ke rumah,” balas
Prof. E di sebelah talian.
“Adalah lebih baik
kau datang sini dan selesaikan semuanya dengan pihak pengurusan hospital.
Lagipun kau kan ‘pakcik’ dia, you have
the power to consent or not to consent the operation.” Ada betulnya cakap
Prof. Shah itu. Prof. Shah seorang tidak akan mampu untuk mengubah apa-apa
keadaan di hospital.
“Baiklah, lepas
aku selesai urusan di sini, aku akan ke sana dengan segera,” jelas Prof. E.
Prof. Shah mematikan
talian.
22 Mac 2004, jam 1430, di Bandar Selatan. 9 jam sebelum
Kilat Thor.
Telefon di atas
meja Prof. E berdering.
“Tentu si Shah
lagi ni. Dia memang tak boleh sabar langsung,” ngomel Prof. E sendirian. Dia
dengan segera mengangkat telefon dan menjawab panggilan.
“Prof. Erman, ini
saya, Ahmad.” Suara di hujung talian bukanlah milik Prof. Shah.
“Ya Encik Ahmad.
Apa boleh saya tolong?”
“Begini. Intan nak
sangat-sangat melawat Yusran. Kami dengar dia akan jalani pembedahan malam ini.
Jadi, boleh kami datang melawat sebelum pembedahannya?”
Prof. E buntu
untuk memberi jawapan.
“Beginilah, Encik Ahmad.
Saya sendiri tak pasti boleh melawat atau tidak, tapi saya akan ke sana
sebentar lagi. Nanti saya beritahu sama ada boleh melawat atau tidak, ya?”
“Kalau begitu,
baiklah. Intan nak sangat bertemu dengan Yusran. Kami belum berkesempatan nak
berterima kasih kepada dia.”
“Saya faham, dan
saya rasa Johan,...er...Yusran pun faham.”
Selepas Encik
Ahmad mengucapkan terima kasih, Prof. E mematikan talian.
Prof. E kemudian
membuka laci meja kerjanya dan mengambil sesuatu sebelum meletakkannya ke dalam
poket dalam jaket yang dipakainya.
“Aku harap aku tak
perlu gunakan benda ni,” kata Prof. E sambil menepuk-nepuk poket jaketnya yang terisi
sepucuk pistol.
22 Mac 2004, jam 1630, di Balai Polis Utama Arahjaya. 7
jam sebelum Kilat Thor.
Berkali-kali
Inspektor Bakar meneliti senarai nama pada skrin sebuah komputer. Ianya merupakan
senarai dari pangkalan data untuk penduduk Arahjaya yang diperolehnya dari Jabatan
Pendaftaran.
“Tiada rekod
lelaki bernama Yusran dengan usia dan wajah seperti dia. Malah, Prof. Erman
hanya ada isteri dan anak lelaki yang sudah lama tidak tinggal bersama. Dia
tidak ada saudara mara yang lain, apatah lagi seorang anak saudara.”
Inspektor Bakar
memicit ruang antara kedua-dua matanya yang kepenatan. Berada di hadapan komputer
untuk masa yang lama sememangnya memenatkan. Tambahan pula, pegawai polis
sepertinya sudah biasa dengan tugasan luar dari tugasan atas meja.
Inspektor Bakar kembali
merenung skrin komputer.
“Siapa sebenarnya
Yusran itu?”
Setelah lama
berfikir, Inspektor Bakar mendapat satu idea untuk memastikan identiti lelaki
bernama Yusran itu.
“Kalau aku dapat
cap jari si Yusran itu, tentu kerja aku akan jadi lebih mudah.” Inspektor Bakar
kemudian bangun dari kerusinya, dicapainya jaket yang tersidai di kerusi tadi
dan berlalu pergi menuju ke Hospital Arahjaya.
22 Mac 2004, jam 1745. 5 jam 45 minit sebelum Kilat Thor.
Telefon bimbit
Encik Ahmad bergegar di dalam kocek seluar. Dia lupa untuk mematikan mod senyap
telefon bimbitnya selepas keluar dari balai polis awal siang tadi. Namun
begitu, dia sedar akan gegaran tersebut dan mengeluarkan telefonnya untuk
melihat siapakah gerangan yang sedang memanggil.
Perkataan ‘Rumah’ muncul di skrin telefon.
“Hello. Abang.
Nora ni,” suara perempuan di hujung talian.
“Ya, awak. Kenapa?”
“Anak kita banyak
kali bertanya bila nak melawat hospital. Dia desak saya suruh telefon tanya,”
jelas Puan Nora.
Encik Ahmad tiada
jawapan. Dia hanya mampu berdiam diri.
“Intan kata dia
sanggup pergi ke hospital sendiri naik teksi kalau abang sibuk,” sambung suara
di talian.
“Maaflah, tapi Prof
Erman tak beri apa-apa jawapan lagi,” jelas Encik Ahmad, ringkas.
“Tak apalah, Nora.
Awak beritahu Intan, saya sendiri akan ke hospital bertanyakan keadaan Yusran
sama ada boleh dilawat atau tidak. Kebetulan, saya sudah dekat dengan hospital.
Kalau boleh melawat, saya sendiri akan balik ambil semua di rumah. Jangan
keluar rumah. Seorang penjenayah masih lagi terlepas. Bahaya kalau nak naik
teksi. Faham?”
“Baiklah, saya
akan terangkannya kepada Intan,” kata Puan Nora sebelum menamatkan panggilan.
22 Mac 2004, jam 1830, di Hospital Arahjaya. 5 jam sebelum
Kilat Thor.
“Datang pun
engkau. Lama aku tunggu,” kata Prof. Shah kepada Prof. E dalam nada perli. Prof.
E baru sahaja masuk ke kawasan menunggu wad unit rawatan rapi.
“Aku sudah
bercakap dengan doktor. Pembedahan Johan akan berlangsung jam 9 malam ini. Jam
8 malam dia perlu berada di bilik persiapan,” kata Prof. E.
“Kau bagi
kebenaran untuk teruskan pembedahan?” tanya Prof. Shah.
“Mereka kata, ini berkaitan
dengan kes polis, maka consent dari
waris tidak diperlukan. Waris hanya akan diberitahu,” jawab Prof. E.
“Jadi, macam mana
kita nak bawa Johan balik ke rumah?” Prof. Shah dan Prof. E berpandangan sesama
sendiri.
“Kita gunakan ini.”
Prof. E menunjukkan pistol di dalam poket jaketnya.
“KAU GILA? Kau
tahu tak berlambak polis ada di lobi semata-mata nak pasang mata memantau si
Johan tu? Walaupun dia bukan suspek, tapi kehadiran dia menjadi tanda tanya,”
herdik Prof. Shah.
“Kita hanya akan
gunakannya bila perlu sahaja. Sekarang, kita perlu pastikan Johan dapat di bawa
keluar dari bilik ICU tu sebelum pukul 8 malam.”
“How?” tanya Prof. Shah.
“Don’t worry. I have an idea. Kau hanya
perlu ke bawah dan sediakan kereta di hadapan pintu utama pada pukul 7 lebih
nanti, lepas aku bagi isyarat.”
Prof. Shah
mendengar selanjutnya perancangan dari Prof. E.
“You’re crazy, Erman. You owe me big time.
Big time!”
Inspektor Bakar
sedang berjalan dari lobi menuju ke wad ICU. Sambil berjalan, dia memeriksa
telefon bimbitnya jika ada pesanan atau panggilan tidak berjawab dari anak
buahnya. Tiba-tiba tangannya terlanggar bahu seorang doktor yang sedang menolak
laju pesakit di atas kerusi roda dalam keadaan tergesa-gesa. Telefon bimbit
Inspektor Bakar terjatuh ke lantai, membuatkan telefon tersebut berpisah kepada
beberapa bahagian.
“Maafkan saya,”
kata Inspektor Bakar itu kepada doktor tersebut. Doktor tersebut hanya diam dan
tidak bersuara, malah terus laju menolak kerusi roda pesakitnya itu.
“Hm, at least pandanglah aku. Sibuk sangat
agaknya doktor zaman sekarang ni,” bisik Inspektor Bakar perlahan sambil
mengutip bahagian-bahagian telefon bimbitnya di lantai.
“Tuan!”
Ada suara
memanggil Inspektor Bakar dari hujung koridor. Ianya datang dari salah seorang dari
dua anak buahnya yang ditugaskan untuk memerhati Johan. Inspektor Bakar dihampiri
anak-anak buahnya itu yang tercungap-cungap akibat berlari.
“Kenapa?” tanya
Inspektor Bakar.
“Yusran...Yusran
sudah hilang. Doktor dan jururawat bertugas kata dia sudah dibawa pergi oleh
seorang lelaki yang menyamar dengan berpakaian doktor dan memiliki sepucuk pistol.”
“APA? BILA?” tanya
Inspektor Bakar dalam nada tinggi.
“Baru saja. Baru
saja tadi.”
Inspektor
berpaling ke belakang, teringatkan doktor yang menolak pesakit di atas kerusi
roda dengan tergesa-gesa tadi.
“Kamu berdua, ikut
saya!” Inspektor Bakar dan dua anak buahnya berlari menuju ke lobi hospital,
mencari kelibat ‘doktor’ tadi. Kelihatan dari jauh ‘doktor’ tadi sedang memapah
pesakitnya di pintu masuk utama hospital.
Kereta yang sedang
dipandu Prof. Shah berhenti secara mengejut di hadapan pintu utama Hospital
Arahjaya. Prof. Shah memanjangkan tangan membuka pintu belakang. Muncul masuk ‘doktor’
tadi sambil memapah sekujur badan yang tidak sedarkan diri. Pintu kemudian
ditutup dengan segera.
“Go, go. GO!” jerit ‘doktor’ itu. Prof.
Shah kemudian memijak pedal minyak sepenuhnya, membuatkan kereta yang
dipandunya memecut dengan pantas ke depan. Sejurus selepas kereta itu memecut,
kelihatan kelibat Inspektor Bakar dan dua anak buahnya keluar dari pintu utama
hospital. Inspektor Bakar kemudian marah kepada diri sendiri kerana tidak
sempat menahan ‘doktor’ tersebut.
“Kau memang gila,
Erman. Datang hospital bawa pistol, culik pesakit, lari dari polis hanya untuk
satu eksperimen yang tidak tentu hasilnya. Macam mana aku boleh terlibat dengan
kau ni, Erman?”
“Merungutlah
banyak-banyak. Tapi apa yang aku nampak dari cermin pandang belakang tu
hanyalah senyuman kau, Shah. You are
enjoying this!” balas ‘doktor’ tadi sambil membuka baju samarannya.
Prof. Shah
tersenyum lebar sambil memandu dengan pantas menuju ke Bandar Selatan.
22 Mac 2004, jam 1925, berhampiran Hospital Arahjaya. 4
jam 5 minit sebelum Kilat Thor.

0 nota kaki:
Post a Comment