[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20]
[21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40]
[41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52][53][54]

“Abah, jangan
dimanjakan sangat budak kecil tu. Nanti besar dia jadi degil,” kata ibu Johan
yang sedang menyidai kain di ampaian. Johan, berumur 4 tahun pada masa itu, sedang
bermain dengan datuknya di halaman rumah.
“Apa salahnya seorang
atuk nak luangkan masa dengan cucu kesayangannya,” kata datuk Johan sambil mencuit
pipi cucu lelakinya itu. Ibu Johan hanya mampu tersenyum melihat telatah dua
lelaki itu.
Johan kemudian
melompat ke belakang datuknya meminta di gendong.
“Oh, Han nak atuk onbu ya?” kata datuk Johan. Johan
mengangguk.
“Abah, jangan ajar
cucu abah tu perkataan pelik. Nanti besar dia jadi pelik,” tegur ibu Johan.
Datuk Johan, sambil menggendong cucunya di belakang, bergerak ke arah ibu
Johan.
“Onbu bukan perkataan pelik. Ianya
perkataan Jepun bermaksud gendong,” jelas datuk Johan.
“Ya, saya tahu onbu tu gendong. Tapi anak saya tu bukan
orang Jepun,” balas ibu Johan.
“Tapi emak kamu orang
Jepun,” balas datuk Johan pula. Perbualan di antara ibu dan datuk hanya diperhatikan
oleh Johan.
Peristiwa
berkenaan merupakan memori paling awal dalam ingatan Johan. Johan membesar
rapat bersama datuknya. Banyak yang dipelajari daripada datuknya. Waktu kecil
Johan banyak dihabiskan bersama datuknya.
“Atuk, jom main
dekat taman,” pelawa Johan yang berumur 6 tahun. Sambil tersenyum, datuk Johan
merendahkan badannya, menyamakan paras pandangan antara mereka berdua.
“Kerja sekolah
sudah siap? Nanti kalau belum siap, ibu marah,” tutur datuk Johan, lembut.
“Belum. Nanti
lepas mainlah Han buat. Kita pergi main dulu.”
“Tak boleh, Han.
Jom kita buat kerja sekolah sama-sama dulu. Lepas siap kerja sekolah, baru kita
keluar main.”
“Tapi...” Johan
masih mencuba untuk berunding.
“Tak apa, Han.
Atuk boleh tolong Han buat. Cepat sikit siap,” celah Atuk.
“OKEY!” jerit
Johan kegembiraan. Mereka berdua naik ke tingkat atas, menuju ke bilik
bersama-sama.
Waktu kecil Johan,
bapanya jarang berada di rumah. Selalunya selepas seminggu kerja di luar
kawasan baru bapanya pulang. Maka, datuk Johan mengambil keputusan tinggal
bersama-sama menemani Johan dan ibunya. Disebabkan itu, Johan lebih rapat
dengan datuknya berbanding bapanya sendiri.
“Han. Oh, Han!
Mana cucu atuk ni?” panggil datuk Johan.
Johan yang sedang
berada di dapur meluru ke arah datuknya yang berada di ruang tamu.
“Assalamualaikum,
Atuk. Atuk dah balik? Atuk pergi mana? Han baru balik sekolah, tapi cari-cari Atuk
tak ada,” kata Johan yang ketika itu berusia 7 tahun.
“Hah, Atuk ada
satu hadiah untuk Johan. Jom ikut Atuk ke luar rumah.”
Datuk Johan menghulurkan
tangan, kemudian disambut oleh Johan. Mereka berdua keluar ke laman luar rumah.
“Tadaaa!”
Datuk Johan menunjukkan sesuatu di halaman rumah. Wajah Johan bertukar dari
terkejut kepada gembira dan teruja. Johan meluru ke arah hadiah itu.
“Wah, basikal!”
Johan memegang hendal basikal berkenaan.
“Basikal ini untuk
Johan ke, Atuk?”
“Sudah tentulah.
Atuk baru belikan tadi, untuk Johan.”
Kebetulan ibu
Johan sedang berada di pintu melihat semuanya. “Abah, jangan manjakan sangat
Johan tu. Lagipun dia mana tahu tunggang basikal.”
Menyedari
kata-kata ibunya itu benar, mimik muka Johan bertukar cebik.
“Han jangan risau.
Atuk boleh ajarkan. Nak?” Kata-kata datuk Johan itu serta merta menukarkan riak
wajah Johan kembali ceria. Johan berkali-kali mengangguk kepala tanda bersetuju
dengan pelawaan datuknya.
“Hah, sebelum
pergi main, tukar baju sekolah tu dulu. Nanti berpeluh baju jadi masam,”
nasihat ibu Johan sambil tersenyum. Johan bergegas naik ke tingkat atas untuk
tukar baju meninggalkan ibu dan datuknya. Beberapa saat kemudian, dia turun
semula dengan berpakaian lebih kasual.
“Mari, Atuk.”
Datuk Johanlah
merupakan insan yang mengajarnya menunggang basikal. Bukan itu sahaja, banyak
lagi skil-skil hidup yang diajar datuk kepada Johan. Merawat luka kecil,
menanam pokok di laman, membancuh simen, menggergaji kayu dan papan, semua
diajar oleh datuk Johan kepadanya semenjak dari kecil lagi.
Sebab itulah Johan
amat menyayangi datuknya.
Datuk Johan sedang
membaca buku di beranda rumah. Johan yang berumur 12 tahun menghampiri datuknya
sebelum berkata, “Atuk, mari kita mandi.”
Datuk Johan
membalas pelawaan Johan dengan senyuman. Dia kemudian meletakkan buku bacaannya
ke tepi dan memusingkan badan mengadap Johan.
“Atuk boleh mandi
sendiri, Han. Atuk bukannya tak pandai mandi.”
“Tapi Han nak
tolong Atuk. Dulu Han kecil, Atuk selalu tolong Han mandi.”
“Tapi Atuk bukan
budak kecil macam Han dulu. Atuk dah tua.”
“Han tak peduli.
Han nak tolong Atuk mandi juga.” Johan melepaskan tuil brek yang mencengkam roda
kerusi datuknya. Johan kemudian menolak kerusi roda yang diduduki datuknya ke
arah bilik mandi. Datuknya tiada pilihan lain kecuali terpaksa menurut kehendak
cucu kesayangannya itu. Walaupun Johan bersikap degil dan tidak peduli, namun
datuk Johan langsung tidak berkecil hati dengan Johan. Malah dia berbangga
kerana cucunya masih mahu bersamanya walaupun dia kini sudah berkerusi roda.
Datuk Johan
mengalami lumpuh bahagian bawah badan dan sebahagian otot muka akibat dari
kesan serangan angin ahmar.
Selesai mandi,
datuk Johan memanggil Johan untuk duduk berbual bersama-sama.
“Johan, Atuk rasa
Johan memang ada sikap degil tak dengar kata,” datuk Johan mula bicara.
“Emak kata degil
Han datang dari Atuk juga.” Mereka berdua gelak bersama-sama.
“Degil tak salah.
Yang salah ialah degil tidak kena pada tempatnya. Kalau Han nak jadi degil, degillah
ketika menghadapi cabaran. Jadi degil dengan tidak berputus asa sehingga
berjaya. Jadi degil untuk membawa kebaikan kepada orang yang kita sayang. Itu
namanya degil bertempat.”
Johan mengangguk
sambil senyum mendengar nasihat datuknya.
“Han janji. Han
hanya akan degil bila kena pada tempatnya. Han hanya akan degil bila perlu bawa
Atuk masuk mandi atau bawa Atuk untuk makan.” Mereka berdua tergelak sekali
lagi..
“Suatu hari nanti,
Han akan bertemu dengan seseorang yang Johan rasa berbaloi untuk jadi degil.
Jadi degil demi kebahagiaan dia, jadi degil demi keselamatan dia. Waktu itu,
Johan tidak boleh berputus asa. Johan tidak boleh menyesal. Johan kena terus
berusaha menuju ke depan. Okey?”
“Atuk. Banyak sangat
perkataan ‘degil’. Johan tak faham.”
Sekali lagi mereka
berdua berbalas gelak ketawa.
“Atuk. Adakah ini
degil yang Atuk ceritakan? Johan tidak berputus asa menyelamatkan seseorang
yang Johan anggap berbaloi. Johan tidak berputus asa. Johan tidak pernah
menyesal. Malah, Johan rasa puas dan berbangga. Johan hanya terus berusaha
menuju ke depan.”
Sejalur air mata
berlinang membasahi pipi Johan yang sedang terbaring tidak sedarkan diri di dalam
wad unit rawatan rapi.

0 nota kaki:
Post a Comment