[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20]
[21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40]
[41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52][53][54][55][56][57]

Naik buntu fikiran
Puan Nora apabila asyik dihujani pertanyaan daripada anak perempuannya. Intan
kerap kali bertanyakan tentang perihal ayahnya yang masih tidak memberi jawapan
tentang rancangan untuk melawat Yusran di hospital.
“Ayah mana, ibu?
Dah malam dah, kenapa ayah tak cakap apa-apa lagi? Macam mana kita nak melawat
Yusran kalau ayah tak cakap apa-apa?” desak Intan. Puan Nora tiada jawapan
untuk soalan-soalan Intan itu. Dia pun sudah berkali-kali cuba menelefon Encik
Ahmad, tapi deringan tamat tanpa berangkat. Risau juga hati dibuatnya. Masakan
tidak, seorang lagi penjenayah masih bebas di luar sana. Dia tidak dapat
membayangkan jika berlaku sesuatu perkara buruk terhadap suaminya.
“Sabar Intan. Ibu
pun sudah banyak kali call ayah kamu,
tapi dia tak angkat.” Perit hatinya melihat wajah kecewa Intan. Perit lagi
memikirkan di mana keberadaan suaminya sekarang. Tapi, apa yang perlu dan dapat
Puan Nora lakukan hanyalah bertenang dan mengawal keadaan di rumah.
Puan Nora sekali
lagi menekan punat di telefon dan mendengar deringan di hujung talian.
“Ayahnya,
angkatlah telefon...”
22 Mac 2004, jam 2136, di bilik loteng rumah Prof. Erman.
1 jam 54 minit sebelum Kilat Thor.
Encik Ahmad dapat
merasakan telefon bimbit di dalam saku seluarnya bergetar. Namun, badannya kaku
disebabkan keadaan genting yang sedang dihadapinya. Dari pandangan matanya, dia
berada di belakang Inspektor Bakar yang sedang mengacukan pintu ke arah Prof. E
dan Prof. Shah. Manakala, Yusran kelihatan terduduk tidak sedarkan diri di atas
kerusi di tengah-tengah bilik.
“Jangan bergerak,
kamu berdua ditahan atas pertuduhan melakukan kes penculikan,” tegas Inspektor
Bakar.
“Inspektor, ini
bukan seperti apa yang tuan nampak,” Prof. Shah cuba menenangkan keadaan. Prof.
E di sebelah perlahan-lahan menghampiri Prof. Shah sambil tangannya mencapai
sesuatu di belakang badan.
“Melarikan pesakit
dari hospital dianggap satu jenayah, tidak kira siapa pun pelakunya,” nada
suara Inspektor Bakar semakin tinggi. Dia juga perlahan-lahan melangkah masuk
ke dalam bilik. Setapak demi setapak. Encik Ahmad masih berada di belakangnya
mengekori.
Sedar tidak sedar,
Prof. E sudah berada di belakang Prof. Shah. Dia kemudian menyilangkan siku
kiri erat ke leher Prof. Shah sambil mengeluarkan pistol yang berada di
belakang badannya menggunakan tangan kanan. Pistol poin 38 BlackHawk itu diacukan ke arah Inspektor Bakar.
Ketiga-tiga Prof.
Shah, Inspektor Bakar dan Encik Ahmad terkejut dengan tindakan Prof. E itu.
“Saya tidak
berniat mahu biadab. Tapi kalau perlu, saya akan lepaskan tembakan ini kepada
sesiapa sahaja yang menghalang saya, termasuk tuan inspektor sekalipun,” Prof.
E memberi amaran.
“Prof sanggup
menembak seorang polis? Besar kesalahan itu.”
“Tiada masalah
jika polis tersebut pecah masuk ke dalam rumah saya tanpa kebenaran. Di
mahkamah nanti saya akan katakan saya salah anggap dia sebagai perompak. Saya
amat yakin tuan inspektor tiada sebarang waran untuk memecah masuk rumah saya
ini. Betul, kan?” terang Prof. E.
“Kau jadikan aku
tebusan, Erman?” kata Prof. Shah yang meronta-ronta dibelenggu siku Prof. E.
“Maafkan aku Shah.
Kau bukan tebusan, cuma sebagai perisai aku.”
“Itu langsung
tidak melegakan hati,” balas Prof. Shah.
“Prof Erman, jangan rumitkan keadaan. Kita
masih boleh berbincang,” Inspektor Bakar mencadangkan.
“Tuan letakkan
pistol tuan dan kita berbincang. Kalau tidak, saya tidak teragak-agak untuk
menembak tuan dan Encik Ahmad di belakang tuan. Saya tidak bergurau.”
Keadaan bilik jadi
sangat tegang. Renungan Prof. E jelas menunjukkan yang dia tekad dan tiada
keraguan. Dia kelihatan bersedia jika perlu melepaskan tembakan. Inspektor
Bakar juga sedar Prof. E bukan bergurau.
“Baiklah. Saya
tahu Prof bukan orang jahat. Saya akan letakkan pistol ini dan kita berbincang,
okey?” Inspektor merendahkan badannya sebelum meletakkan pistolnya dari tangan
ke atas lantai. Tindakan itu diambil kerana dia berdepan dengan risiko sampingan
yang tinggi. Dia bertanggungjawab terhadap keselamatan Encik Ahmad, Prof. Shah
sebagai tebusan dan juga Johan. Jika Inspektor Bakar masih berdegil, keadaan
mungkin bertukar buruk.
Pistol di lantai kemudian
ditendang ke arah Prof. E oleh Inspektor Bakar. Kedua-dua Inspektor Bakar dan
Encik Ahmad mengangkat kedua-dua tangan mereka tanda menyerah.
“Encik Ahmad,
ambil tali di tepi pintu itu dan ikat tangan Inspektor Bakar ke belakang.”
Menerima arahan dari
Prof. E, Encik Ahmad menuruti. Prof. E kemudian menyuruh Prof. Shah mengambil
tali yang sama dan mengikat tangan Encik Ahmad pula. Kedua-dua Inspektor Bakar
dan Encik Ahmad disuruh duduk di atas lantai. Pistol Inspektor Bakar diberikan
kepada Prof. Shah.
“Maafkan aku,
Shah. Keadaan memaksa,” merujuk kepada perlakuan Prof. E menjadikan Prof. Shah
sebagai perisai manusia.
“Tak apa. Aku
faham. Tapi kau perlu jelaskan banyak perkara, Erman,” balas Prof. Shah.
Prof. E
menghampiri Inspektor Bakar dan Encik Ahmad.
“Maafkan saya,
Inspektor, Encik Ahmad. Saya cuma mahu diberi masa 2 jam, kemudian saya akan serah
diri jika saya ada buat apa-apa kesalahan. Ini semua untuk kebaikan semua,
terutamanya untuk Johan.”
“Johan? Siapa
Johan?” tanya Inspektor Bakar.
Prof. E dan Prof.
Shah saling berpandangan.
“Begini, budak
lelaki ini bernama Johan, bukan Yusran. Kami terpaksa sembunyikan identitinya
atas sebab-sebab tertentu,” jawab Prof. E.
“Sebab-sebab
tertentu? Apa sebabnya?” lagi dari Inspektor Bakar.
“As crazy as it sounds, budak ini datang
dari masa depan. Lebih tepat lagi, 8 tahun akan datang,” jelas Prof. Shah pula.
Mata Inspektor
Bakar dan Encik Ahmad terbeliak. Suasana menjadi diam buat beberapa saat
sebelum Inspektor Bakar tergelak kecil.
“Oh, rupanya aku
terlibat dalam jenayah psikotik.” Inspektor Bakar menyambung kembali gelak tawanya.
Encik Ahmad tidak menunjukkan sebarang reaksi. Prof. E hanya berdiam diri.
Prof. Shah tersenyum sedikit.
“Apa semua ini?
Sebuah cult yang percaya manusia
boleh merentas masa? Ajaran sesat?” sambung Inspektor Bakar.
“Aku juga anggap
semua ini gila pada mulanya. Tapi jika ianya gila, cuba kau jelaskan bagaimana
budak Johan ini boleh selamatkan anak perempuan Encik Ahmad bukan sekali tapi
dua kali,” Prof. Shah memberhentikan gelak tawa Inspektor Bakar.
“Tiga kali,
sebenarnya,” celah Prof. E.
Inspektor Bakar
terdiam. Encik Ahmad masih terkejut.
“Pertama, Johan
selamatkan Intan semasa Intan hampir dilanggar kereta beberapa hari lalu. Kan,
Encik Ahmad?”
Encik Ahmad
mengangguk.
“Kedua, dia berjaya
melarikan Intan dari sarang persembunyian penculik. Inspektor sendiri lihat
rakaman video yang saya tinggalkan, kan?” sambung Prof. E.
“Ketiga, Johan
menghalang tembakan ke arah Intan tempoh hari.”
Wajah Inspektor
Bakar dan Encik Ahmad bertukar serius.
“Saya pertaruhkan
reputasi saya yang mengkaji fenomena ini selama berpuluh tahun ke atas budak
ini. Gila dia, gilalah saya. Semua soalan akan terjawab kurang dua jam lagi.”
“Tapi bukankah
Yusran, bukan...Johan itu sedang tenat dan perlu jalani pembedahan? Kenapa dia
perlu berada di sini?” tanya Encik Ahmad.
“Kami mahu hantar
dia pulang ke lapan tahun akan datang. Satu-satunya masa yang sesuai ialah pada
malam ini,” jawapan ringkas Prof. E mengejutkan Encik Ahmad dan Inspektor Bakar.
Prof. Shah datang
menghampiri Prof. E. “Kau yakin semuanya akan berjalan lancar? Bila nampak
hanya kerusi yang tersedia di sini, aku mula jadi sangsi dengan kau, Erman.”
“Aku sendiri tiada
keyakinan, tapi kita hanya perlu tunggu dan lihat. Percayalah dengan aku,” bisik
Prof. E.
22 Mac 2004, jam 2250. 40 minit sebelum Kilat Thor.
Hampir satu jam
Inspektor Bakar dan Encik Ahmad diikat dan ditawan Prof. E dan Prof. Shah. Inspektor
Bakar hanya memerhatikan kelibat kedua-dua profesor itu dari atas lantai. Mereka
berdua sedang sibuk dengan sesuatu di meja kerja. Inspektor Bakar kemudian
mengalihkan pandangan kepada Encik Ahmad di sebelahnya. Encik Ahmad kelihatan
menggerak-gerakkan badannya dek kerana kesejukan.
“Encik Ahmad.
Kalau awak boleh longgarkan ikatan tangan saya, saya mungkin ada peluang rampas
balik pistol dari mereka,” bisik Inspektor Bakar, perlahan. Encik Ahmad
memandang ikatan tangan Inspektor Bakar di belakang.
“Tangan saya juga
terikat kuat. Risikonya tinggi. Saya tak berani. Kita tunggu sahaja berapa lama
Prof E katakan tadi.”
“Tapi, mereka
mungkin menipu. Mereka mungkin berniat akan bunuh kita semua jika segalanya
tidak berjaya. Kita kena bertindak cepat.”
“Walaupun Prof
Erman nampak sebegitu, tapi saya yakin dia tidak mungkin sampai tahap mahu
membunuh. Lagipun, kita tidak rugi apa-apa kalau beri mereka sedikit lagi masa,”
kata Encik Ahmad penuh keyakinan.
Udara bilik
menjadi semakin sejuk. Prof. E dan Prof. Shah sedang berbincang di meja kerja
mengenai perancangan seterusnya.
“Apa yang kita nak
buat kalau semua ini tidak berjaya, Erman?” tanya Prof. Shah.
“Maksud kau?”
“Polis dan bapa
budak perempuan itu. Mereka sudah tahu banyak. Lagipun, Johan dalam keadaan
kritikal,” jelas Prof. Shah.
“Kita tiada
pilihan selain berjaya.”
“Tapi kau kata kau
serahkan segala-galanya kepada alam.”
“..dan Tuhan.
Kalau Dia izinkan, segalanya akan jadi lancar. Tapi kalau berlaku sebaliknya,
aku akan tanggung segalanya, Shah. Aku tak akan kaitkan nama kau.”
Mendengar
kata-kata Prof. E itu membuatkan perasaan Prof. Shah bercampur baur. Dia tidak
tahu sama ada patut rasa lega dengan jaminan Prof. E atau risau dengan
ketidakpastian yang ada.
“Apa... Apa sedang berlaku?”
Satu suara lemah
kedengaran membuatkan semua kepala berpaling ke satu arah. Suara itu datang
dari tubuh yang berada di atas kerusi di tengah-tengah bilik. Suara itu datang
dari Johan.
Johan sudah
sedarkan diri.
“Apa sudah
berlaku?” tanya Johan sekali lagi. Suaranya lemah, mungkin masih berasa sakit
dari luka tembakan. Dia melihat Encik Ahmad dan seorang yang tidak dikenalinya
terduduk di lantai berhadapan dengannya. Bila dipaling kepalanya ke kiri, dia
ternampak Prof. E dan Prof. Shah di meja kerja. Kesemua mereka sedang
memandangnya dengan muka terkejut.
“Johan, kau sudah
sedar?” tanya Prof. E. Prof. E menghampiri Johan dengan segera.
“Hani... Intan...
Intan bagaimana? Dia selamat?” tanya Johan.
“Intan selamat.
Dia selamat. Penjahat sudah ditembak,” jawab Prof. E.
“Sedar dari koma
dan perkara pertama kau tanya ialah budak perempuan itu. Dia betul-betul
penting, ya?” senda Prof. Shah pula. Encik Ahmad kelihatan terharu dengan
Johan.
“Koma? Apa sudah
terjadi?” tanya Johan sekali lagi.
“Kau ditembak, kau
koma. Tapi sekarang kau berada di loteng rumah aku. Aku mahu hantar kau balik.”
Prof. E cuba menjelaskan segalanya dengan ringkas.
“Oh, patutlah satu
badan rasa sakit, kena tembak rupanya.” Johan tersenyum dalam kesakitan.
“Yusran!”
Inspektor Bakar bersuara. Johan memandang Inspektor Bakar.
“Encik siapa?”
tanya Johan dalam nada perlahan menahan sakit.
“Saya Inspektor
Bakar, pegawai polis yang bertugas menyiasat ke atas semua yang berlaku.” Johan
hanya mengangguk mendengar jawapan itu.
“Awak dijadualkan
untuk menjalani pembedahan bagi mengeluarkan serpihan peluru yang masih berada
di dalam badan awak. Tapi Prof Erman dan rakannya melarikan awak dari hospital
dan bawa awak ke sini atas satu tujuan yang saya tak pasti. Boleh awak beritahu
saya lebih lanjut?” soal Inspektor Bakar. Prof. Shah ingin menghalang soal
siasat itu, tapi dihalang Prof. E.
“Inspektor, Encik
Ahmad. Kalian mungkin sudah tahu, nama saya bukan Yusran, tapi Johan. Saya
datang dari masa depan tahun 2012, lapan tahun dari sekarang. Pada mulanya saya
tidak pasti kenapa saya di bawa ke tahun ini, tapi akhirnya saya sedar saya
ditakdirkan untuk menyelamatkan Intan dari bahaya. Jika Prof E bawa lari saya
dari hospital ke sini, saya yakin tujuan dia adalah untuk hantar saya pulang ke
zaman saya. Saya yakin Prof E boleh lakukannya kerana dia sudah berjanji dengan
saya.” Prof. E tersenyum mendengar jawapan Johan.
“Tapi kenapa anak
saya? Kenapa Intan?” tanya Encik Ahmad.
Johan tersenyum
lama sebelum menjawab, “Encik Ahmad, saya tidak boleh berikan maklumat lebih
lanjut mengenai Intan pada masa hadapan, tapi cukuplah saya beritahu bahawa Intan
bakal menjadi seseorang yang penting suatu hari nanti. Menyelamatkan dia
sekarang akan memberi impak besar kepada ramai orang, terutamanya diri saya
sendiri.”
“Begitu penting
sehingga awak sanggup gadaikan nyawa, sanggup ditembak?” tanya Encik Ahmad
lagi.
“Ya. Pada saya,
Intan seorang yang istimewa. Peranan saya mungkin sudah selesai sampai sini,
tapi seterusnya terpulang kepada keputusan Intan dan orang sekelilingnya,
termasuk Encik Ahmad. Nasihat saya, ambil masa dan dengar apa yang Intan
mahukan. Biarkan dia buat keputusan sendiri mengenai apa yang dia mahu lakukan dengan
hidupnya, dan dalam masa yang sama, sokong dia sepenuhnya. Encik Ahmad boleh buat
sebegitu, kan?”
Encik Ahmad mengangguk.
“Johan, terima kasih. Terima kasih kerana sanggup gadaikan nyawa untuk Intan. Saya
terhutang budi dengan awak. Budi yang tidak mungkin dapat saya balas.”
Johan hanya
tersenyum mendengar kata-kata Encik Ahmad.
“Macam mana saya
nak tahu semua yang dicakapkan awak boleh dipercayai?” tanya Inspektor Bakar
yang masih dalam keraguan.
“Tiada cara. Kau
cuma perlu tunggu dan lihat,” celah Prof. Shah.
Keadaan bilik
loteng dirasakan semakin berubah. Bilik menjadi begitu sejuk sehingga nafas
yang dihembuskan melalui hidung dan mulut membentuk asap, membentuk wap air.
“Apa sudah jadi?
Kenapa bilik jadi sejuk tiba-tiba?” tanya Prof. Shah kepada Prof. E.
“Ini ialah
fenomena awal sebelum Kilat Thor. Udara menjadi sejuk akibat dari penurunan jumlah
tenaga di persekitaran. Perbezaan tenagalah yang membuatkan Kilat Thor akan
menyambar.”
“Prof Erman, saya
masih tidak percaya semua ini. Jika niat awak bawa Johan ke sini adalah untuk
hantar dia ke masa depan, bukankah bermakna kita semua di sini juga akan dibawa
bersama?” celah Inspektor Bakar. Prof. Shah mengangguk dan bersetuju dengan
soalan itu sambil menunggu jawapan dari Prof. E.
“Saya sangat yakin
kita tidak akan terlibat. Tapi, sebagai langkah berjaga-jaga, kita tidak boleh
berada dalam lingkungan bulatan yang saya lukiskan dengan kapur di lantai.”
Prof. E menerangkan signifikan bulatan tersebut.
“Tuan Inspektor
jangan risau. Kita hanya perlu percayakan Prof. E. Dia sudah buatkan yang
terbaik.” Johan mengalihkan pandangannya dari Inspektor Bakar ke arah Prof. E.
“Prof, saya
berterima kasih kepada Prof atas segalanya. Pada mulanya, saya sendiri anggap
saya merentas masa lapan tahun sebelumnya adalah sesuatu yang gila. Nasib saya
baik sebab berjumpa dengan Prof. Tanpa Prof, mungkin sia-sia saya di bawa ke sini.
Mungkin saya akan jadi tidak siuman dengan segala perkara yang tidak masuk dek
akal ini. Cuma saya harap, selepas semua ini berakhir, Prof dapat kembali ke
kehidupan yang sepatutnya Prof lalui. Kehidupan bersama isteri dan anak.
Pergilah cari mereka. Rendahkan ego dan minta maaf kepada mereka. Mulakan hidup
baru. Seseorang yang baik seperti Prof juga berhak mendapat kebahagiaan.”
Prof. E hanya
berdiam diri. Dia sedar apa yang diperkatakan Johan itu benar-benar belaka.
“Tak sangka kau
dapat lecture dari budak muda,” Prof.
Shah berjenaka.
“Prof. Shah.”
Prof. Shah
tersentak namanya dipanggil Johan.
“Nampak gaya macam
Prof sudah berbaik dengan Prof Erman. Baguslah”
“Mana ada
berbaik...” celah Prof. Shah.
“Tiada guna
bermusuh dengan seseorang kerana peristiwa lama. Manusia perlu terus ke depan. Masa silam dijadikan pedoman supaya kita
pada masa kini tidak mengulangi kesilapan. Hasilnya, masa depan kita akan lebih
terjamin. Jika kita terus
dibelenggu masa silam, kita yang rugi.”
Prof. Shah hanya
mendiamkan diri, merenung wajah Johan tanpa sebarang respon. Prof. E di sebelah
hanya tersenyum memerhati. Johan juga tersenyum melihat reaksi Prof. Shah.
“Kenapa kau
bercakap macam orang nak mati?” senda Prof. Shah sekali lagi.
Bilik terasa
semakin sejuk. Asap sejuk mula muncul entah dari mana. Bilik juga menjadi
suram. Cahaya dari lampu menjadi semakin malap tanpa sebab nyata.
“Baiklah, masanya
sudah tiba. Jauhkan diri dari sempadan bulatan di lantai.”
Prof. E
menghampiri Inspektor Bakar dan Encik Ahmad. Dia kemudian melonggarkan ikatan
tali di tangan mereka berdua. Selepas ikatan dilonggarkan, Inspektor Bakar
meleraikan tali di tangannya kemudian menolong melepaskan ikatan di tangan
Encik Ahmad. Sambil mahu berdiri, mata Encik Ahmad dan Inspektor Bakar tertumpu
ke arah Johan. Mereka tergamam melihat apa yang sedang berlaku di sekeliling
Johan.
Asap sejuk yang
tadinya bergerak rawak, kini mula bergerak mengelilingi Johan sebagai pusat.
“Johan, aku tunggu
kau di sini selepas lapan tahun. Kami akan rawat kecederaan kau bila kau sampai
nanti. Jumpa lagi.” Prof. E mengangkat tangannya sebagai tanda selamat.
“Sela...”
PLAAANNNGGGGG!
Belum pun sempat
Johan menghabiskan ayatnya, loteng rumah Prof. E disambar cahaya kilat dan
diikuti petir yang kuat. Cahaya memenuhi segenap ruang di bilik loteng itu.
Semua yang ada di situ tidak mampu menahan silau sinar cahaya sehingga memaksa
mereka semua menutup mata. Cahaya itu bersinar selama beberapa saat sebelum kemudiannya
hilang serta merta.
Kilat besar itu
mengakibatkan seluruh taman perumahan putus bekalan elektrik. Malah suasana
menjadi riuh apabila kebanyakan kereta di sekeliling telah berbunyi penggeranya
kesan dari dentuman petir tadi.
Pedih kerana
disinar cahaya secara tiba-tiba, Inspektor Bakar dan Encik Ahmad membuka mata
mereka perlahan-lahan. Selepas mata dibuka, di sebalik samar-samar asap sejuk
yang masih berbaki, apa yang mereka nampak hanyalah kerusi kayu kosong dengan
sepasang baju dan seluar milik hospital yang dipakai Johan tertinggal di
atasnya.
Johan sudah
hilang.
Prof. E
menghampiri kerusi tersebut.
“Mana Johan? Mana
budak itu?” tanya Inspektor Bakar.
Sambil memegang
baju yang tertinggal, Prof. E berkata dengan senyuman terukir di bibir, “Johan
sudah pulang.”
22 Mac 2004, jam 2332. 2 minit selepas Kilat Thor.

0 nota kaki:
Post a Comment