
“Selamat pagi,
Johan. Selamat kembali.”
Satu suara
kedengaran dari satu sudut bilik. Suara itu datang dari seorang lelaki
pertengahan umur yang sedang duduk memerhati.
Suara itu datang
dari Prof. Shah.
“Oh, rupanya saya
bukan bermimpi.” Ayat pertama keluar dari mulut Johan.
“Prof, apa sudah
jadi? Kita tidak berjaya ke?” tanya Johan kepada Prof. Shah.
Prof. Shah tidak
memberi sebarang reaksi. Wajahnya kelihatan serius sehingga membuatkan kedut di
wajahnya kelihatan jelas. Entah kenapa, pada pandangan Johan, Prof. Shah
kelihatan lebih tua dari biasa.
“Lapan tahun kita
tak berjumpa, langsung kau tak mahu tanya khabar aku, Johan?”
“Lapan tahun?”
Johan kebingungan. Bukankah hanya semalam dia dan Prof. Shah berada di loteng bersama-sama
Prof. E, Encik Ahmad dan Inspektor Bakar...
Johan tersedar
akan sesuatu. Dia dengan segera memeriksa badannya. Dia tidak lagi berpakaian
pesakit hospital. Dia meraba dada, belakang badan, bahu, tangan dan beberapa
tempat lagi di tubuhnya. Tiada. Tiada luka tembakan.
Johan berwajah
terkejut dan memandang ke arah Prof. Shah.
“Jangan risau.
Sejurus selepas kau sampai malam tadi, aku terus periksa badan kau. Tiada luka.
Luka tembakan kau sudah pulih,” terang Prof. Shah.
“Jadi...” Johan menunggu ayatnya dihabiskan.
“Ya. Kau sudah
kembali ke tahun 2012.”
Mereka berdua
saling berbalas pandangan. Susah untuk Johan mengagak, tapi daripada reaksi
wajah Prof. Shah, kelihatan dia seperti langsung tidak gembira dengan apa yang
berlaku. Bukankah mereka sudah berjaya? Bukankah Johan sudah dapat pulang ke
tahun 2012 bermakna semuanya seperti yang dirancang?
“Aku tahu kau
lapar. Turun ke dapur, ada sedikit makanan,” Prof. Shah berdiri dan terus
keluar dari bilik meninggalkan Johan sendirian. Johan jadi bingung dengan
reaksi Prof. Shah.
“Apa sudah
terjadi?”
Semasa melangkah
turun menuju ke dapur, Johan dapat merasakan suasana rumah Prof. E berbeza jika
dibandingkan dengan semasa dia, Azlan dan Fitri ‘menceroboh’ masuk tujuh hari
lepas. Tiada kain putih yang menutup perabot. Dinding kelihatan kotor.
Persekitaran juga kelihatan berhabuk tebal. Udara sedikit sesak sehingga
dirasakannya agak sukar untuk bernafas.
Dapur yang Johan
masuki sangat berbeza dengan dapur rumah Prof. E yang ada dalam ingatannya. Kelihatan
Prof. Shah sedang membancuh kopi. Di atas sebuah meja buruk terdapat sebuku
roti potong. Barangan lain kelihatan berterabur dan tidak tersusun.
Untuk mulakan
perbualan, Johan bertanyakan satu soalan. “Prof, bukankah saya kena tembak?
Tapi kenapa tak ada luka tembakan? Parut pun tak jumpa.”
Prof. Shah
mengambil sedikit masa sebelum menjawab.
“I am no expert in this, tapi Erman ada
beritahu sesuatu, hanya kau sahaja dibenarkan merentas masa, maka bahan lain
selain kau akan ditinggalkan. Sebab itu kami jumpa serpihan peluru yang
tertanam dalam badan kau dulu di dalam timbunan baju selepas kau pergi lapan
tahun lepas. Katanya, semasa disambar Kilat Thor, kau diuraikan dalam bentuk
lebih kecil, kemungkinan dalam bentuk molekul berasingan dan dibawa pergi
merentas dimensi masa melalui wormhole
yang tidak boleh nampak dengan mata kasar. Bila kau sampai semalam, molekul
tersebut disusun semula dan membentuk kau semula. Semasa proses susunan molekul
itulah luka tembakan kau mungkin dipulihkan semula seperti dirinya yang asal.”
Johan mengangguk
walaupun dia kurang faham sepenuhnya.
“Oh, ya! Mana
Prof. E?”
Soalan Johan itu
membuatkan Prof. Shah yang sedang mengacau kopi terhenti seketika. Soalan itu
seperti mengganggu konsentrasi fikirannya. Johan mengambil sepotong roti dan
memakannya sambil menunggu jawapan dari Prof. Shah. Johan dapat rasakan ada
sesuatu yang tidak kena.
Selepas kelihatan
lebih bertenang, Prof. Shah membawa dua cawan kopi dan duduk di kerusi sebelah
Johan. Satu cawan untuk Johan, satu cawan lagi dihirup Prof. Shah. Mata Johan
mengekori setiap tingkah perlakuan Prof. Shah. Dia yakin ada sesuatu yang ingin
diberitahu, namun hanya menunggu ianya keluar dari mulut Prof. Shah.
“Johan, lapan tahun bukanlah satu jangka waktu yang
singkat. Banyak perkara boleh berlaku.” Ayat yang keluar dari mulut Prof. Shah
agak menggerunkan Johan.
“Aku tak pasti macam mana nak beritahu kau. Mungkin aku patut mula dari
awal,” Prof. Shah menghirup kopi dari cawannya sekali lagi sebelum menyambung
kata-katanya.
“Selepas kau pergi, kami semua hidup seperti biasa. Erman tinggalkan
rumah ini dan pulang kepada keluarganya. Budak perempuan itu pula, Intan,
seperti yang kau ceritakan, mula berjinak dalam dunia glamor selepas mendapat
kebenaran dari bapanya, Ahmad. Aku tetap mengajar di universiti. Semuanya
berjalan dengan lancar.”
Johan serius mendengar.
“Tapi segalanya bermula selepas dua tahun kemudian, lebih kurang enam
tahun lepas. Penjara Induk Arahjaya diserang. Beberapa banduan dapat melarikan
diri hasil bantuan orang luar. Salah seorang daripada banduan tersebut ialah
Bawi.”
“BAWI?” Johan terkejut.
“Ya, Bawi. Dia selamat selepas ditembak Inspektor Bakar lapan tahun
lepas. Selepas itu, dia dibicara di mahkamah dan sedang dalam proses menunggu
disabitkan kesalahan. Kalau menurut rekod segala kesalahan dia sebelum ini, dia
mungkin dijatuhkan hukuman gantung.”
“Mungkin?” tanya Johan.
“Belum pun dia disabitkan kesalahan, dia berjaya lepas dari penjara
hasil bantuan dari kawannya seorang lagi, Galah.”
“Galah...” Johan sedang membayangkan wajah Galah.
“Walaupun polis sedaya upaya menjejak mereka, tapi mereka berjaya
sembunyikan diri. Sehinggalah pada suatu hari, Balai Polis Utama Arahjaya
diserang sekumpulan penjenayah bersenjata yang digelar Freedom. Mereka diketuai
oleh Bawi sendiri. Mereka menawan balai polis itu dan kemudian membunuh beberapa
anggota polis sebagai amaran. Inspektor Bakar adalah salah seorang dari mangsa.”
Johan tersentak dari tempat duduknya.“Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un… Inspektor Bakar..” Johan hilang kata-kata. Dia menekup mukanya.
“Kerajaan dan badan berkuasa cuba berunding
dengan Freedom, tapi Freedom tidak mahu berbincang, malah bercadang untuk
sesuatu yang lebih besar.”
“Apa yang mereka mahu?”
“Kawasan jajahan. Disebabkan Balai Polis Utama
Arahjaya mempunyai simpanan senjata dan kenderaan perisai yang besar, maka Freedom
menggunakannya untuk menawan beberapa kawasan di Bandar Selatan. Oleh sebab
kerajaan dan pasukan keselamatan yang tinggal tidak mempunyai bekalan senjata
yang cukup, ditambah pula dengan ancaman bahaya terhadap nyawa orang awam, maka
kerajaan terpaksa bersetuju memberi sebahagian Bandar Selatan sebagai kawasan
jajahan mereka.”
“Kenapa kita tidak minta bantuan luar?”
“Negara luar anggap semua ini hanya konflik
dalaman Arahjaya, malah ada negara yang mendapat faedah dari kejatuhan
Arahjaya, maka mereka tidak pedulikan permintaan kita.”
Prof. Shah bangun dari kerusinya.
“Mari ikut aku.”
Johan mengekori Prof. Shah dari belakang.
Mereka menuju ke pintu dan keluar ke laman rumah.
“Lihatlah. Enam tahun sudah berlalu. Hampir 80
peratus Bandar Selatan kini sudah dalam jajahan Freedom.”
Kata-kata Prof. Shah menyokong apa yang Johan
nampak. Dari laman tempat mereka berdiri, kelihatan beberapa rumah sedang
terbakar dijilat api. Asap hitam menjulang ke langit. Langit di atas kawasan
perumahan itu kelihatan gelap disebabkan asap. Kawasan perumahan yang dulu
kelihatan harmoni dan terjaga, kini seolah-olah kawasan terbiar. Dinding rumah
menjadi hitam dek asap. Sampah sarap berada di mana-mana. Kereta-kereta buruk
tersadai, malah ada yang seperti sudah rentung terbakar. Pemandangan begini
bukan pemandangan biasa di negara yang aman.
“Arahjaya kini terbahagi kepada dua; tanah
kerajaan dan jajahan Freedom. Kawasan jajahan Freedom juga dipanggil Parahjaya
oleh orang awam.”
“Parahjaya?”
“Ya. Kita sedang dalam zaman parah. Zaman perang
dalaman. Kita sedang berperang dengan Freedom. Dengar khabar, Freedom juga mendapat
bantuan dari negara luar yang berminat untuk takluk Arahjaya. Sebab itu mereka
menjadi semakin kuat hari demi hari. Satu perkara yang mereka gemar lakukan
ialah membakar rumah dan kereta tanpa sesuka hati tanpa sebab musabab.”
Johan terperasankan sesuatu. Tiada manusia.
“Mana penduduk? Mana orang lain?” tanya Johan
bernada tinggi.
“Pada awal serangan, kebanyakan penduduk dapat
lari selamatkan diri ke utara. Tapi selepas Bandar Selatan dijajah, baki penduduk
yang tinggal dipaksa berpindah ke timur Bandar Selatan untuk bekerja. Mereka
diberi tempat tinggal dan makan dengan syarat mereka bekerja untuk Freedom.
Bercucuk tanam, mengumpul hasil hutan, membuat makanan, malah ada yang menjadi pekerja
di kilang proses dadah.”
Johan memandang sekeliling. Pandangannya jatuh
ke arah rumah di seberang jalan. Rumah keluarga Encik Ahmad. Rumah itu
kelihatan kosong, rosak dan sudah lama terbiar.
Johan bergerak rapat ke arah Prof. Shah.
“Mana Prof. E? Mana keluarga Encik Ahmad? Mana
Intan?” Dia kemudian menggenggam kedua-dua bahu Prof. Shah dan menggoncangkan
badan Prof. Shah.
“MANA MEREKA?”
tempik Johan.
“Antara serangan
Freedom terawal adalah bangunan yang menempatkan pejabat urusan majalah Remaja
Kini, tempat di mana Intan bekerja. Bawi berniat mahu cari Intan, atas dasar
ingin membalas dendam dengan apa yang pernah berlaku kepadanya. Tapi Intan
berjaya melarikan diri.”
Johan terkelu
mendengar penerangan Prof. Shah.
“Bawi kemudian
keluarkan tawaran kepada siapa sahaja untuk bawa Intan kepadanya sebagai
tukaran kepada sebahagian kawasan tanah di Bandar Selatan. Walaupun kedengaran
kejam, tapi oleh kerana desakan hidup dalam perang, ada segelintir kelompok orang
awam mula mencari Intan dengan harapan dapat hidup lebih senang. Kini, Intan dan
satu keluarga Encik Ahmad sedang dalam pelarian. Keberadaan mereka
dirahsiakan.”
Johan terduduk
atas lantai. Dia sudah kehilangan kata-kata untuk bersuara.
“Satu hari, Bawi
ada dapat laporan tentang kedudukan Intan. Dalam satu serbuan, Intan hampir
ditangkap dan ditawan, akan tetapi aku dan Erman cuba datang menghalang.
Akibatnya, Erman pula yang ditangkap dalam usaha dia membantu Intan dan
keluarganya melepaskan diri. Aku, Intan dan keluarga dapat lepas. Tapi
Erman...”
“Kenapa dengan
Prof E?...” tanya Johan dengan suara lemah.
“Sebagai
pengajaran kepada orang awam yang lain, Erman diseksa di hadapan khalayak ramai.
Selepas dua hari diseksa dengan teruk, Bawi buat keputusan menamatkan riwayat
Erman dengan kejamnya.”
Tertunduk Johan ke
tanah mendengar cerita Prof. Shah. Air mata membasahi pipinya.
“Kenapa...Kenapa
boleh jadi begini?”
Prof. Shah menjadi sebak melihat reaksi Johan terhadap kenyataan yang
dia ceritakan. Dia kemudian memapah Johan yang sudah menjadi lemah dan longlai
masuk ke dalam rumah. Dibawanya Johan ke bilik tidur tadi untuk berehat dan bertenang.
Johan berbaring di atas katil. Namun badannya kaku, dia hanya merenung siling
bilik.
Prof. Shah duduk di sebelah Johan memandang ke arah tingkap.
“Prof..?”
“Ya?”
“Adakah semua yang terjadi ini salah saya?”
“Kenapa kau kata begitu, Johan?”
“Semasa kali pertama Prof Erman sedar saya dari masa depan, dia ada
kata pada saya yang kewujudan saya di waktu itu terlalu bahaya. Saya adalah
kewujudan yang tak sepatutnya ada.”
Prof. Shah hanya
mengangguk diam.
“Adakah disebabkan
saya pergi merentas masa ke lapan tahun lepas membuatkan masa depan jadi
berubah daripada yang sepatutnya saya lalui?” sambung Johan.
Prof. Shah
menghela nafas dalam-dalam sebelum dihembusnya panjang.
“Erman pernah beritahu
aku, sejak dari serangan pertama Freedom, dia dapat merasakan bahawa jalur masa
sekarang tidak sama dengan jalur masa yang kau lalui. Dengan kata lain, kau kini
sedang berada di jalur masa alternatif sedangkan ini adalah jalur masa sebenar
kepada kami yang lain. Ini bukan jalur masa kau. Ada sesuatu berlaku yang
membuatkan jalur masa ini menyimpang daripada yang sepatutnya. Ianya mungkin
dari perlakuan kau, tapi mungkin juga dari perlakuan orang lain. Mungkin
perkara kecil yang mencetuskan sesuatu yang lebih besar kemudiannya. Pernah
dengar orang kata ‘a butterfly flapping its wings in the
east can cause a tornado in the west’?”
“The Butterfly Effect,” jawab Johan.
“Precisely! Sebab itu kau tidak boleh salahkan diri kau dengan
apa yang sudah berlaku. Apa yang boleh kita usahakan ialah mencari penyelesaian
untuk segala masalah yang ada.”
Suasana bilik menjadi senyap dan sunyi.
“Johan..?”
“Ya?”
“Kau nak tahu apa lagi yang Erman cakap tentang kau?”
“Apa?”
“Dia suruh aku janji kepadanya untuk tunggu kau di sini pada malam
tadi. Dia suruh aku janji akan sambut kau dengan makanan sebab katanya kau akan
lapar. Dia juga suruh aku berjanji untuk memastikan kau selamat walau apa pun
yang terjadi. Katanya, jika ada kau dan Intan, segala-galanya boleh kembali
aman seperti sedia kala. Sebab itu dia sanggup korbankan diri hanya untuk
memastikan Intan selamat.”
Tiada tindak balas dari Johan. Bilik kembali menjadi senyap dan sunyi.
“Tapi...”
Johan dengan perlahan mengubah posisi badannya dari berbaring kepada
duduk. Prof. Shah hanya melihat perlakuan Johan itu.
“Semasa kita baru berjumpa tempoh hari...bukan, lapan tahun lepas, saya
ada beritahu bahawa Intan bukan sebarang
selebriti. Intan adalah idola orang ramai yang membawa pengaruh positif kepada
semua orang. Walaupun saya anggap sebegitu, tapi saya tidak tahu pula sampai
begini sekali Arahjaya jadi jika tiada Intan.”
Prof. Shah
tundukkan kepalanya. Dia sendiri tidak tahu apa yang patut dia respon dengan
kenyataan Johan itu.
“Kalau benar jika
ada saya dan Intan maka segala-galanya boleh kembali aman, apa patut saya buat?
Dari mana patut saya mulakan? Apa peranan saya? Apa peranan Intan? Bagaimana
kami boleh terus berjuang untuk hidup?”
Johan menekup
mukanya.
“Saya dibawa
merentas masa. Saya fikir saya istimewa. Saya jadi wira selamatkan anak gadis
dalam bahaya. Tapi apa yang saya dapat? Apa yang saya sudah buat kepada masa
depan?”
Prof. Shah sedar
Johan masih menyalahkan diri sendiri.
“Saya tidak patut
mengganggu takdir dan masa. Masa tidak patut berlagak wira. Saya hanya manusia
biasa. Saya bukan lelaki istimewa yang merentas masa.”
Bilik itu kini
dipenuhi dengan bunyi esakan Johan. Tiada apa yang Prof. Shah boleh katakan
lagi untuk mengembalikan semangat Johan.
Adakah ini
pengakhirannya?
Adakah tiada jalan
untuk mengembalikan keamanan di Arahjaya?
Adakah Johan dan
Intan memang tidak ditakdirkan bersama?
Takdir dan masa adalah
sesuatu yang misteri. Tiada manusia mampu melawannya. Jika sudah tertulis, maka
jadilah ia.

Kritikan membina amat dialu-alukan.
Message di Empire State of cEro.
Mention di twitter @cerolian.
Emel di ceroofcerolian[at]gmail[dot]com
Sila baca entri penutup oleh cEro di sini.
Terima kasih kerana terus menyokong.
.
0 nota kaki:
Post a Comment