
“Selamat pagi,
Johan. Selamat kembali.”
Satu suara
kedengaran dari satu sudut bilik. Suara itu datang dari seorang lelaki
pertengahan umur yang sedang duduk memerhati.
Suara itu datang
dari Prof. E.
“Oh, rupanya saya
bukan bermimpi.” Ayat pertama keluar dari mulut Johan.
“Prof, apa sudah
jadi? Kita tidak berjaya ke?” tanya Johan kepada Prof. E.
Prof. E hanya
tersenyum. Senyuman itu membuatkan kedut di wajahnya kelihatan jelas. Entah
kenapa, pada pandangan Johan, Prof. E kelihatan lebih tua dari biasa.
“Lapan tahun kita
tak berjumpa, langsung kau tak mahu tanya khabar aku, Johan?”
“Lapan tahun?”
Johan kebingungan. Bukankah hanya semalam dia dan Prof. E berada di loteng
bersama-sama Prof. Shah, Encik Ahmad dan Inspektor Bakar...
Johan tersedar
akan sesuatu. Dia dengan segera memeriksa badannya. Dia tidak lagi berpakaian
pesakit hospital. Dia meraba dada, belakang badan, bahu, tangan dan beberapa
tempat lagi di tubuhnya. Tiada. Tiada luka tembakan.
Johan berwajah
terkejut dan memandang ke arah Prof. E.
“Jangan risau.
Sejurus selepas kau sampai malam tadi, kami terus periksa badan kau yang
telanjang bulat itu. Tiada luka. Tiada luka tembakan,” terang Prof. E.
“Jadi...” Johan
menunggu ayatnya dihabiskan.
“Ya. Selamat
kembali ke tahun 2012.”
Selepas mengadu
perutnya lapar, Prof. E membawa Johan ke dapur di tingkat bawah untuk sarapan.
“Kami sudah
sediakan sarapan untuk kau. Makanlah. Isi semula perut kau tu, Johan.”
Tanpa berlengah,
Johan menyumbat apa sahaja makanan yang dapat dicapainya ke dalam mulut. Prof.
E hanya tersenyum menemaninya di kerusi sebelah.
Kedengaran pintu
depan dibuka. Dua lelaki masuk dan terus menuju ke dapur. Mereka ialah Prof.
Shah dan Inspektor Bakar.
“Johan, kau sudah
sedar? Syukurlah.” Prof. Shah menghampiri Johan sebelum memeluknya. Janggal,
tapi Johan biarkan sahaja. Dia tidak pernah sangka Prof. Shah boleh jadi semesra
begini. Inspektor Bakar hanya berdiri di tepi sambil tersenyum.
“Aku jaga kau dari
malam tadi tunggu kau sedar, tapi kau buat keputusan untuk sedar semasa aku berada
di luar. Kau memang tak guna,” seloroh Prof. Shah. Johan hanya tersenyum. Dia
masih gigih menjamah makanan.
“Oh, boleh aku
tanya sesuatu?” Inspektor Bakar mencelah.
“Walaupun serpihan
peluru ditinggalkan lapan tahun lepas semasa Johan dibawa pulang, tapi kenapa
di badan dia tiada luka peluru? Malah tiada parut?”
Johan juga ingin
tahu jawapannya. Dia ingin tahu apa yang berlaku.
“Aku sendiri tiada
jawapan tepat, tapi aku hanya boleh agak apa yang terjadi. Yang hanya
dibenarkan merentas masa ialah Johan, bahan lain selain Johan akan
ditinggalkan. Sebab itu kita jumpa serpihan peluru di dalam timbunan baju
selepas dia pergi lapan tahun lepas. Seterusnya, semasa disambar Kilat Thor,
Johan mungkin diuraikan dalam bentuk lebih kecil, kemungkinan dalam bentuk
molekul berasingan dan dibawa pergi merentas dimensi masa melalui wormhole yang kita tidak boleh nampak
dengan mata kasar. Semasa sampai semalam, molekul tersebut disusun semula dan
membentuk Johan dalam ‘birthday suit’-nya.
Semasa proses susunan molekul itulah luka tembakan Johan mungkin dipulihkan
semula seperti dirinya yang asal.”
Prof. Shah
mengangguk faham. Johan hanya mendengar tanpa sebarang respon. Inspektor Bakar
masih menggaru kepalanya.
“Itu hanya telahan
aku. Kita sedang berbincang tentang kuasa yang lebih besar dari pemahaman
manusia,” jelas Prof. E.
“Jadi, sebab itukah
kau culik Johan dari hospital lapan tahun dulu? Sebab Johan akan lebih cepat sembuh
dan pulih selepas merentas masa berbanding menjalani pembedahan?” tanya
Inspektor Bakar.
Prof. E dan Prof.
Shah saling bertukar senyuman.
“Tidak. Pada waktu
itu, aku cuma mahu hantar Johan pulang ke masa depan. Aku baru dapat tahu
fenomena penyembuhan ini semasa menyambut Johan malam tadi. Kami sudah bersedia
untuk bawa dia ke hospital jika lukanya melarat, tapi nampaknya tiada
keperluan.”
Ketidakpastian
dalam jawapan Prof. E itu sedikit sebanyak membuatkan Johan berasa gerun. Apa
jadi kalau dirinya tidak sembuh dari luka tembakan? Apa jadi kalau lukanya
makin melarat selepas merentas masa?
“Oh, Johan.
Selepas makan, naiklah ke atas dan mandi. Pakaian dan barang-barangan kau
semasa kau ceroboh rumah aku ini tujuh hari lepas aku letak di dalam bilik tadi.
Telefon bimbit kau sudah aku cas penuh. Beberapa hari ini, telefon bimbit kau
asyik berdering ada orang panggil. Mungkin penting. Nanti lepas kau siap, aku
nak bawa kau jumpa seseorang.”
Tiada soalan dari
Johan selepas mendengar penerangan panjang Prof. E. Johan masih belum
sepenuhnya menyesuaikan diri sendiri selepas tujuh hari berada di tahun 2004.
Selepas selesai
makan, Johan meninggalkan yang lain di dapur dan naik ke atas untuk mempersiapkan
diri seperti yang diminta Prof. E.
Sambil Johan membutangkan
bajunya, dia tersenyum. Pengalaman seminggu merentas ke masa silam, bertemu
dengan watak-watak yang tidak pernah disangka ada sebelum ini, merupakan
pengalaman yang amat bermakna kepadanya.
Pengalaman bersama
dengan Prof. Erman dan Prof. Shah. Walaupun mereka berdua ada sejarah buruk
bersama, akan tetapi melalui dirinya, mereka kini menjadi rapat dan baik
semula. Pengalamannya berdepan dengan bahaya ketika di dalam misi menyelamat,
bertembung dengan Bawi dan Galah. Johan tidak pernah sangka dia berani sampai
begitu sekali. Semuanya kerana seseorang. Seseorang yang bernama Hani.
“Huh!” Johan
mengeluh. “Jika hari ini sudah 23 haribulan, maka aku sudah terlambat. Ikutkan
jadual, Hani dan Yusran bakal diijabkabulkan selepas Asar. Walaupun sekarang masih
pagi, tapi siapalah aku sehingga mampu untuk membatalkan majlis pernikahan orang.
Aku bukanlah wira yang berani merempuh majlis pernikahan seseorang dengan
menunggang kuda seperti dongengan barat. Aku mungkin hanya memori masa silam
Hani. Hani sudah buat pilihan dia sendiri. Aku yakin, pilihan dia adalah yang
terbaik untuknya.”
Tangan Johan terberhenti
dari habis mengenakan butang bajunya. Dia tertunduk dan terduduk di pinggir
katil. Sambil pejamkan mata, dia terbayang akan Intan yang sedang ceria tersenyum.
Matanya mula basah.
“Nampak gaya, square
root of negative one masih kekal
sebagai imaginary.”
Telefon bimbit
Johan berdering, sekaligus membawa Johan kembali ke alam realiti. Disebabkan
deringannya bukan muzik tema Doraemon, maka Johan tahu yang memanggilnya bukan emaknya.
Azlan. Itu yang
tertulis di ID pemanggil.
Johan menekan
butang hijau untuk menjawab.
“Wei, mana kau
menghilang? Lama aku cuba call, kenapa tak jawab?” suara Azlan meninggi di
hujung talian.
“Aku cuti. Aku
berehat di rumah,” jawab Johan.
“Hahaha, jangan
tipu. Aku tahu kau sedang merawat luka di hati...”
Johan hanya
mendiamkan diri.
“...tapi kau ada
tengok berita tak Rabu lepas?” sambung Azlan.
“Berita apa?”
“Kau seriously tak tahu? Berita baik tu?”
“Er...macam mana
nak kata ek. Aku terputus hubungan
dengan dunia luar selama seminggu, jadi aku tak tahu apa-apa berita.”
“Seriously? Beritanya tentang square
root of negative one girlfriend kau
tu, Hani.”
“Kenapa dengan Hani?” tanya Johan.
Selepas mendengar penjelasan panjang lebar dari Azlan di hujung talian,
Johan mula mengangkat kepala dan berdiri tegak. Dia menamatkan panggilan,
menghabiskan butang bajunya, dan kemudian terus bergegas ke tingkat bawah
menuju ke dapur.
“Prof! Prof tahu tak...”
Ayat Johan termati apabila melihat tiada siapa di dapur. Johan kemudian
mencari di ruang tamu, juga tiada sesiapa. Dia kemudian kembali naik ke tingkat
atas dan meninjau setiap bilik yang ada, juga tiada. Yang ada cuma perabot yang
dilapik dengan kain putih untuk menghalang habuk.
“Mana mereka pergi?” detik hati Johan.
Johan kemudian naik ke tingkat loteng rumah. Namun dia tetap gagal
mencari sesiapapun. Prof. E, Prof. Shah, mahupun Inspektor Bakar, ketiga-tiga
mereka seolah-olah lesap dari rumah tersebut.
“Mungkin mereka keluar...”
Johan turun ke tingkat bawah sambil berlari anak untuk meninjau luar
rumah. Niatnya mahu melihat sama ada mereka bertiga ada di luar rumah atau
paling kurang mengesan sama ada kereta mereka masih berada di situ.
Selepas membuka pintu dan mengambil beberapa langkah ke depan, kaki
Johan terhenti. Johan kaku seketika selepas melihat siapa yang sedang berdiri
di laman rumah. Seorang gadis sedang berdiri tegak dengan senyuman dalam jarak
lima meter. Sedikit kesayuan terpancar dari mata gadis itu, mungkin dek kerana
matanya yang kelihatan basah bersinar.
Johan masih tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya. Berdiri di
hadapannya adalah seorang gadis yang selama ini hanya dilihatnya di kaca
televisyen mahupun di layar perak.
Berdiri di hadapannya ialah Hani. Intan Farhani Ahmad.
“Hai, Johan,” tegur Hani.
“Ha...Hai,” balas Johan, gagap.
“Awak kenal saya lagi?” tanya Hani sambil melangkah merapatkan diri.
“Ha...Ha...” Johan masih tergagap.
“Isnin lepas, saya bertemu dengan Prof Erman. Dia cari saya di tempat
kerja. Dia sudah ceritakan segala-galanya kepada saya. Saya sudah tahu
segalanya.”
Hani merapatkan lagi jurang di antara mereka.
“Saya...Awak...” Johan hilang perkataan.
“Pada mulanya saya tak percaya. Saya anggap Prof gila. Lagipun, siapa
yang boleh percaya perkara seperti merentas masa. Prof. Erman pun sama seperti
awak, dia juga terus hilang lapan tahun lepas. Dia dengan tiba-tiba datang
semula mencari saya selepas lapan tahun dan terus bercerita tentang itu, bukanlah
sesuatu yang mudah untuk diterima. Tapi selepas diterangkan lebih terperinci
oleh Prof Erman dan Prof Shah, saya jadi semakin faham dan dapat menerimanya.”
“Saya...” Johan masih kelu lidah.
“Bila difikirkan semula, semuanya masuk akal apabila selama lapan tahun
saya berusaha mencari awak, mencari seseorang yang bernama Yusran, tapi sampai
sudah tidak kesampaian. Rupanya yang patut dicari bukannya Yusran, tetapi
Johan.”
Hani masih melangkah perlahan.
“Tapi...awak dan Yusran...”
“Saya bersyukur nama awak bukan Yusran. Yusran yang saya kenal tu sangat
teruk, mempergunakan kontrak untuk mencari publisiti murahan sehingga menjerat
saya ke arah perkahwinan.” Hani sudah berada di hadapan Johan. Dia kemudian
menggenggam baju Johan dan meletakkan kepalanya di dada Johan.
“Semua salah awak. Disebabkan awak guna nama Yusran, disebabkan awak
nyanyikan lagu Kanvas, saya terjerat dengan lelaki durjana itu. Bila
dapat tahu penyanyi kepada lagu yang pernah awak nyanyikan itu bernama Yusran,
saya mula teruja dan mahu mengenali dia. Rupanya dia bukan Yusran yang sama.
Malah, dia sendiri pernah berkata lagu itu diciplaknya semasa terdengar
seseorang menyanyikannya di belakang lori. Pihak pengurusan pula sukakan idea
publisiti untuk menjodohkan saya dengan Yusran, tapi di saat saya mahu menolak,
segala-galanya sudah terlambat. Saya terikat dengan kontrak.”
Johan hanya diam mendengar.
“Dunia glamor sangat kejam. Saya tak pernah suka dia. Saya sukakan
Yusran yang lain. Saya rindukan Yusran yang menjadi penyelamat saya.”
Genggaman Hani semakin kuat. Dek tidak mampu menahan perasaannya lagi,
Hani menangis sambil menekup mukanya ke dada Johan.
Lapan tahun bukanlah satu jangka waktu yang singkat. Johan faham,
segala yang ditanggung Hani sepanjang lapan tahun itu bukan sesuatu yang kecil.
Malah dia kagum dengan Hani kerana masih mampu tersenyum dan memberi harapan
positif kepada seluruh dunia terutama kepada peminatnya.
“Jangan risau. Segala-galanya sudah berakhir, kan?” Johan menepuk-nepuk
bahu Hani. Hani kembali menjarakkan diri untuk melihat wajah Johan.
“Saya baru dapat tahu tadi, awak batalkan perkahwinan awak dan
mengumumkan untuk bersara dari dunia glamor. Betul, kan?” tanya Johan.
“Ya, saya memang sudah lama fikirkannya. Tapi selepas berjumpa dengan
Prof Erman tempoh hari, saya jadi tekad. Walaupun masih banyak lagi perlu
diuruskan, tapi segala-galanya memang akan tamat.”
“Kalau begitu, mari kita mulakan semula. Hai, nama saya Johan. Saya
berumur 23 tahun dan sedang belajar di univeriti dalam jurusan perubatan.”
Johan menghulurkan tangannya untuk bersalam.
“Nama saya Intan Farhani. Boleh panggil saya Intan. Saya menganggur
sekarang. Harap awak boleh belanja saya makan malam bila-bila awak senang.”
Hani menyambut salam Johan.
Johan dan Hani saling berbalas senyuman. Johan menyapu air mata di pipi
Hani. Hani meminta maaf kerana sudah membasahkan baju Johan dengan air mata.
Mereka berdua terpandang beberapa orang yang sedang berdiri di seberang jalan
bertentangan dengan rumah Prof. E. Kelihatan Prof. E, Prof. Shah, Inspektor
Bakar, Encik Ahmad dan Puan Nora sedang berdiri memandang mereka berdua sambil
tersenyum riang. Hani membalas senyuman mereka dengan lambaian tangan. Johan
mengajak Hani berjalan ke arah mereka semua.
“Jadi, betullah yang awak ni setahun lebih muda dari saya, ya? Awak
juga peminat setia saya, kan?” seloroh Hani.
“Peminat fanatik, square root of negative one girlfriend,” jawab
Johan sambil mengangguk dan tersenyum.
“Imaginary!” balas Hani. “Banyak perkara yang nak saya ceritakan
kepada awak. Saya ada lapan tahun punya cerita untuk awak.”
“Jangan risau, saya ada seumur hidup untuk awak. Lagipun, saya kan
lelaki yang merentas masa.”

Kritikan membina amat dialu-alukan.
Message di Empire State of cEro.
Mention di twitter @cerolian.
Emel di ceroofcerolian[at]gmail[dot]com
Sila baca entri penutup oleh cEro di sini.
Terima kasih kerana terus menyokong.
.
0 nota kaki:
Post a Comment