[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20]
[21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40]
[41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52]

Suasana di dalam
hutan itu sungguh sunyi. Tiada bunyi unggas, juga tiada bunyi desiran angin
bergeser dengan dedaunan. Udara seperti kaku dan tidak bergerak. Hanya yang kedengaran adalah bunyi Intan menapak memijak
patah dahan-dahan kering di permukaan tanah hutan.
Intan berseorangan
memerhati kiri dan kanan. Berbaju T lusuh dengan seluar kapas nipis, Intan
dengan perlahan meneruskan langkah menuju ke depan. Hutan tempat dia berada
kini terlalu sunyi. Malah suasananya terlalu kelam, suram dan lembap, terasa seperti
ditelan kegelapan sedikit demi sedikit. Intan takut. Namun dia tetap melangkah
ke depan sambil memerhatikan persekitaran.
Tiba-tiba Intan
terlanggar sesuatu di hadapannya. Seseorang. Satu tubuh berdiri tegak di
hadapan Intan sambil matanya menatap tajam. Tubuh itu milik lelaki yang
dikenalinya. Lelaki yang pernah berniat jahat terhadapnya. Lelaki yang
dipanggil Zul.
Intan terkejut.
Intan takut. Dia spontan memusing badan dan berlari ke arah bertentangan. Intan
berlari melintasi pokok renek, tunggul, batang kayu reput, timbunan daun-daun
kering, apa sahaja yang berada dalam perjalanan akan ditempuhinya. Intan
berlari sekuat hati tanpa peduli sama ada dirinya dikejar Zul atau tidak.
Padanya, lagi jauh dia bergerak, lagi selamat dirinya daripada menjadi mangsa
pemuas nafsu.
Dek kepenatan,
rentak langkah lariannya menjadi semakin perlahan. Daripada pecutan menjadi
lari-lari anak. Kemudian dari lari-lari anak menjadi sekadar berjalan pantas.
Sehingga satu tahap, kakinya hanya melangkah satu demi satu dengan perlahan
meredah lantai yang penuh dengan daun-daun kering. Nafas Intan tercungap-cungap
kepenatan.
Sehingga kudrat
dirasakannya betul-betul berada di hujung kemampuan, barulah Intan berpaling ke
belakangnya melihat sama ada dia dikejar oleh Zul atau tidak. Tiada. Tiada Zul.
Hanya asap kabut yang semakin menebal di belakangnya. Intan memberhentikan
langkahnya. Dia menunduk dan membongkokkan badan melepas lelah dan keringat badan.
Nafasnya laju, selaju dadanya yang berombak turun naik.
Semasa dia sedang
membongkok kepenatan, Intan perasan ada sesuatu berada di hadapannya. Dia
mengangkat kepala. Kali ini tiba giliran kelibat seorang lelaki berbadan besar
dan seorang lagi berbadan kurus tinggi berada di hadapannya. Bawi dan Galah.
Mereka berdua memandang tepat ke arah Intan sambil menggenggam pistol di
tangan.
Intan sekali lagi
terkejut. Punggung Intan jatuh ke tanah. Intan terduduk. Matanya terbeliak
melihat dua lelaki di hadapannya. Dia sedar tiada apa dia boleh buat lagi.
Tenaganya kontang untuk terus bangun dan berlari, apatah lagi untuk mengatasi
kekuatan dua lelaki. Intan hanya mampu mengeluarkan air mata.
Intan pasrah.
“Tolonglah.”
Suasana sekeliling
tiba-tiba menjadi cerah. Cahaya bersinar dari mana-mana. Cahaya putih itu
semakin terang dan terik sehingga menyilaukan mata. Hutan yang sebelumnya gelap
dan kelam menjadi begitu terang dan bercahaya. Begitu terang sehinggakan persekitaran
kelihatan hilang disinari cahaya, termasuklah pokok-pokok dan juga penjahat
berdua yang berada di hadapan Intan. Hilang ditelan cahaya.
Intan dapat
merasakan badannya seperti ringan dan terapung perlahan-lahan. Tangannya
seperti dipegang seseorang. Intan menoleh ke arah empunya tangan yang
memegangnya tetapi suasana yang silau menyukarkan pandangan. Intan pasti ianya
bukan milik salah seorang dua penjahat tadi. Walaupun erat, tapi tangan
tersebut memegang dengan penuh kehormatan dan tanpa kekerasan. Intan seperti
terbang dibawa oleh tuan tangan tersebut.
Suasana semakin
silau dan Intan tiada pilihan kecuali memejam mata.
Mata Intan
dipejam.
“Intan...”
Satu suara
menyapa. Intan membuka matanya.
Alangkah
terkejutnya Intan selepas mendapati dia kini sedang berada di tepi pantai. Tiada
lagi hutan, tiada lagi penjahat, tiada lagi cahaya putih yang menyilaukan.
Bajunya juga sudah bertukar. Intan kini memakai gaun maksi serba putih berkaki
ayam. Kakinya memijak lembut di atas pasir-pasir pantai yang halus. Pipinya
ditiup angin sepoi-sepoi bahasa dari arah laut yang berair jernih kebiruan.
Kering semua kesan air mata.
Intan mendongak
melihat langit. Matahari memancar suam, menyorok di sebalik awan. Langit sungguh
indah seperti sesuatu yang hanya boleh dilihat di atas kanvas lukisan dinding.
Biru langit disulam putih awan berserta garisan perak yang memberi bentuk,
sangat indah tak tergambarkan. Bersertakan pula hamparan laut membiru dengan
deruan ombak memukul pantai berpasir bersih. Segalanya kelihatan indah.
“Intan...”
Suara yang sama kedengaran.
Intan menoleh ke kanan.
“Awak...” Intan
membalas sapaan. Intan merenung wajah lelaki yang berada si sebelahnya itu.
Lelaki tersebut berbaju kemeja putih dan berseluar putih. Senyumannya sangat
menenangkan.
Mereka berdua
berdiri berhadapan sesama sendiri.
“Intan, awak
selamat di sini,” kata lelaki tersebut.
“Awak selamatkan
saya? Kenapa?” tanya Intan.
“Tak perlu
bersebab. Jika seribu kali awak dalam bahaya, maka seribu kali saya akan datang
selamatkan awak,” jawab lelaki itu.
“Tapi...kenapa
saya?” Intan berkeras bertanya.
“Awak istimewa. Awak
istimewa kepada orang. Awak istimewa kepada....saya.” Lelaki tersebut
menghulurkan tangan kanannya untuk disambut. Intan sambil tersenyum ceria ingin
membalas huluran tangan tersebut.
Angin kencang
datang secara tiba-tiba. Tangan lelaki tersebut terhenti sebelum sempat
disambut Intan. Intan melihat wajah lelaki tersebut. Wajahnya kelihatan kaku
seperti tidak bernyawa. Satu titik merah muncul di dada baju lelaki itu. Daripada
sebesar titik menjadi sebesar duit syiling. Daripada sebesar duit syiling
tompok merah itu merebak menjadi sebesar pinggan dan kemudian terus membesar
memenuhi seluruh baju lelaki itu. Baju lelaki tersebut tidak lagi berwarna
putih, sebaliknya berwarna merah. Merah darah. Bukan sahaja baju, malah seluar
turut dijangkiti warna merah darah seluruhnya.
Intan terkejut dan
takut. Tanpa disedari Intan mengundur ke belakang sehingga kakinya terkena gigi
air. Dilihatnya air pantai tersebut. Warnanya bukan lagi jernih kebiruan,
tetapi bertukar merah darah. Seluruh laut bertukar merah darah. Matahari
memancar cahaya merah. Langit yang sebelumnya indah turut bertukar merah.
Seluruh kawasan penuh dengan merah.
Lelaki di hadapan
Intan semakin hilang ditenggelami merah. Dihulurnya tangan ke hadapan untuk
disambut namun belum sempat Intan mencapainya, lelaki itu hilang ditelan
kemerahan. Yang tinggal hanya tompok merah darah yang semakin membanjiri
kawasan sekitar. Seluruh kawasan beransur-ansur ditelan kemerahan.
Intan takut. Dipejamkannya
mata sebelum menjerit.
“YUSRAN!”
Intan mencelikkan
mata. Dia terjaga dari tidurnya, terjaga dari mimpinya. Dia berada di atas
katil di dalam biliknya di rumah. Ibunya yang menemaninya tidur di sebelah turut
terjaga mendengar jeritan Intan. Dengan segera Puan Nora memeluk anaknya yang
masih terkeliru antara mimpi dengan realiti. Serta-merta air mata membasahi
pipi Intan. Intan kemudian memeluk kembali Puan Nora dengan erat dan menekup mukanya
ke dada ibunya itu.
“Tak apa, sayang. Tak
apa. Semuanya cuma mimpi.” Puan Nora mengusap-usap kepala Intan yang masih
menggeletar terkejut.
“Yusran...”
