[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41]

Apabila sesat, sama
ada di dalam bandar atau di dalam hutan, adalah lebih baik untuk tidak bergerak
sesuka hati. Namun, jika keselamatan perlu diutamakan, bergeraklah di atas satu
garisan lurus.
Bagi kes hilang
arah di dalam hutan, permukaan hutan yang tidak rata dan dipenuhi dengan akar
kayu, daun-daun kering serta ranting mereput menyukarkan kita untuk bergerak di
atas satu garisan lurus. Maka, dengan sedikit pengetahuan geografi dan bantuan
dari kedudukan matahari, untuk keluar dari hutan yang tebal bukanlah sesuatu
yang mustahil.
Semua itu
dipelajari Johan daripada datuknya.
Johan sedar, dia
dan Intan kini berada di dalam hutan di Bandar Timur. Selagi mereka bergerak
menuju ke arah timur, kemungkinan mereka akan bertemu dengan jalan kampung atau
jalan tanah merah adalah tinggi. Jadi, disebabkan suasana yang beransur petang,
Johan dan Intan hanya perlu sentiasa bergerak membelakangi matahari untuk
menuju ke arah timur.
Namun, segalanya
perlu dilakukan sewaktu matahari masih kelihatan.
“Masa semakin
suntuk. Hari semakin gelap. Kita kena segera keluar dari hutan.” Johan membuka
kata setelah beberapa ketika dia dan Intan yang digendong hanya berdiam diri.
“Apa patut kita
buat?” Intan bertanya. Nafasnya yang menghembus di belakang leher Johan sedikit
sebanyak membuatkan Johan berasa geli.
“Kita tiada
pilihan. Kalau masih tak jumpa jalan keluar, kita terpaksa bermalam. Tapi,
malam di dalam hutan amatlah bahaya.” Bukan niat mahu menakutkan, tapi sememangnya
realiti. Sesetengah haiwan buas mencari sumber makanan pada waktu malam
disebabkan persekitaran yang gelap dan haiwan mangsa yang kemungkinan tidak
bergerak. Johan tidak mahu menjadi makan malam kepada haiwan buas di dalam
hutan, memandangkan setelah apa yang dia dan Intan lalui untuk menyelamatkan
diri dari Bawi dan Galah sebentar tadi.
Intan hanya
berdiam diri. Walau takut, tapi baginya, selagi dia bersama lelaki yang
dipanggilnya ‘Yusran’ ini, dia akan sentiasa berasa selamat.
“Awak jangan
risau. Saya rasa tiada cara penjahat dua orang tadi dapat mengejar kita. Kita
dah rampas kasut mereka dan buangkan pakaian mereka. Sangat susah bagi mereka
untuk bergerak dengan kaki ayam dan hanya berseluar dalam.”
Intan ketawa kecil
mendengar kata-kata Johan tadi. Terbayang dalam fikirannya imej Bawi dan Galah
yang hanya berseluar ‘kecil’ mencari jalan di dalam hutan.
Kasut Galah
diambil Johan dan dipakainya. Kaki Johan pula diberikan kepada Intan. Namun,
luka di kaki Intan tetap tidak membenarkannya untuk berjalan di dalam hutan,
jadi Intan masih digendong oleh Johan di belakang. Kasut Bawi, pakaian dan
pistol mereka berdua disorokkan di satu kawasan jauh dari tempat Bawi dan Galah
dipengsankan. Memang ada niat untuk Johan membawa salah satu dari pistol itu sebagai
senjata, tapi dia merasakan ianya akan jadi menyusahkan memandangkan dia kena
menggendong Intan. Lagipun dia tiada kemahiran dalam menggunakan pistol. Cukuplah
alat pemotong dawai dan sebilah pisau yang diselitkan di pinggang sebagai
senjata untuknya.
“Nasib hujan dah semakin
reda. Kalau masih hujan lebat, alamatnya makin cepatlah suasana menjadi gelap.”
Setapak demi
setapak Johan melangkah. Sekali sekala, Johan membetulkan tangannya yang
mengampu peha Intan. Sekali sekala dia berhenti dan memandang atas ke arah
matahari dari samar-samar hujan rintik dan celahan daun untuk menentukan arah.
Mereka berdua basah, bukan hanya dek penangan air hujan yang masih turun, malah
juga dari titisan peluh yang keluar dari tubuh masing-masing. Tapi mereka tidak
peduli. Mereka bersama, itu yang penting.
Intan memperkemas
tangannya yang mencangkuk dada Johan. Pegangannya semakin erat dan rapat. Johan
hanya tersenyum.
“Terima kasih...”
Nada suara Intan perlahan, berbisik.
“Apa?” Johan
bertanya kerana tidak jelas kedengaran.
“Terima kasih.”
Intan mengulang dengan suara yang lebih kuat. “Terima kasih sebab datang
selamatkan saya. Terima kasih kerana buat semua ini. Kalau awak tak datang,
saya rasa saya lagi rela mati dari jadi mangsa mereka tadi.”
Johan tersenyum.
“Awak jangan
risau. Awak akan selamat. Awak akan dapat terus kejar cita-cita dan impian awak
selepas ni. Awak akan menjadi kuat daripada pengalaman yang awak dapat. Awak
akan terus memberi inspirasi terhadap orang ramai supaya jangan berputus asa
dan berputus harap dalam berusaha.”
Mendengar
kata-kata Johan, Intan sedikit kebingungan. Sedikit tidak masuk akal
memandangkan dirinya baru berumur 16 tahun dan masih bersekolah. Bagaimana pula
dia mampu memberi inspirasi kepada orang ramai? Namun kata-kata itu sedikit
sebanyak menghilangkan rasa takut dalam hati.
Intan meletakkan
kepalanya ke bahu Johan, mencari keselesaan.
Johan masih tersenyum
dan terus melangkah.
“TUAN!”
Panggilan dari
salah seorang anak buahnya menarik perhatian Inspektor Bakar. Melihat dari
jauh, anak buahnya itu sedang menunjukkan sesuatu di sebalik pangkal pokok
besar. Inspektor Bakar meninggalkan posisinya dan segera menuju ke pokok itu.
Kelihatan di
sebalik ranting kayu dan daun-daun kering, beberapa helai pakaian digumpalkan
bersama sepasang kasut dan disorok. Turut kelihatan dua pucuk pistol.
“Ianya seperti
disorok.” Inspektor Bakar membelek gumpalan pakaian yang terdapat disitu. Dua
pasang baju dan seluar lelaki. Dua pucuk pistol. Tapi hanya sepasang kasut.
“Kesan barang ini
disorokkan masih baru. Dua pasang baju dan seluar lelaki.Tapi, siapa punya?”
“Dua pakaian
lelaki, mungkin milik dua orang penculik itu, Tuan.” Seorang pegawai di sebelah
kanan Inspektor Bakar memberi respon.
“Kemungkinan
besar, Tuan. Lagipun ada dua pucuk pistol. Kemungkinan milik mereka berdua.” Seorang
lagi pegawai di kiri Inspektor Bakar menyuarakan pendapat.
“Takkan mereka dua
lelaki yang bersenjata kalah dengan budak perempuan yang merupakan mangsa culik
mereka sendiri?”
“Mungkin ini kerja
seorang lagi lelaki yang dilihat berlari ke dalam hutan bersama mangsa, Tuan.
Lelaki yang tidak dapat dikenalpasti itu.”
Inspektor Bakar
mengangguk. “Tapi, siapa dia?” Mereka bertiga berpandangan sesama sendiri
kebingungan.
“Tak apa. Bungkus
barang ini. Ianya mungkin bahan bukti. At
least kita tahu mereka sudah tidak bersenjata. Kita sambung proses mencari
dan menyelamat.”
“Tapi, siapa dia?”
Tanya Galah kepada Bawi. Bawi membalas dengan pandangan tajam.
Mereka berdua
masih meredah hutan mencari jalan dengan hanya berpakaian masing-masing sehelai
seluar dalam. Sekali sekala Galah menampar pehanya yang dihinggap nyamuk hutan.
“Masalahnya, macam
mana dia boleh tahu tempat persembunyian kita di sini? Tiada siapa yang tahu...”
“...kecuali Alex.”
Bawi memotong kata-kata Galah.
Betul. Hanya Encik
Alex, dalang kepada rancangan penculikan Intan yang merupakan anak pesaing
perniagaannya, Encik Ahmad yang tahu tempat mereka sembunyikan Intan. Selain
mereka berdua dan Zul yang sudah mati dibunuh, hanya Encik Alex sahaja boleh
disyaki.
“Nantilah kau,
Alex.” Bawi mengenggam erat penumbuknya.
