[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35]

“Kenapa kau bunuh
dia, Bawi?” Galah cuba mempertikaikan tindakan drastik Bawi.
Mereka berdua
melangkah keluar dari rumah tinggalan itu. Bawi masih mendiamkan diri.
“Kalau dia mati,
macam mana kita nak dapat bayaran dari Encik Alex?”
Mendengar
kenyataan dari Galah itu, langkah Bawi terhenti di hadapan luar pintu. Dengan
pistol masih di tangan, dia berpusing memandang Galah yang berada di tepinya.
Perlakuan itu membuatkan Galah terkejut dan terlompat ke belakang satu langkah.
“Dari awal lagi
aku tak pernah anggap si celaka Zul tu sebagai ketua. Tapi dia sibuk mengarah
kita sana-sini seolah-olah kita ni kuli dia.”
Mendengar
kata-kata Bawi itu, Galah menarik nafas lega. Lega dirinya tidak diapa-apakan
Bawi. Dia tidak mahu nasibnya menjadi semalang Zul.
“Tentang urusan
dengan Alex, kita anggap semuanya sudah terbatal. Aku tak suka berurusan dengan
orang macam Alex tu. Lagipun, aku ada plan
lain nak dibuat dengan budak perempuan tu. Plan
yang lebih menguntungkan,” sambung Bawi dengan senyuman di bibir.
Galah kemudian
menoleh ke belakang, meninjau mayat Zul yang terlentang di tengah ruang rumah. Hatinya
sayu melihat kawannya itu sudah tidak bernafas. Tapi business is business, teman datang dan pergi, kali ini dia memilih
untuk terus bersama Bawi.
Dengan sepucuk
pistol seorang, Bawi dan Galah bersiap sedia untuk memasuki hutan di sebelah
kiri rumah, kawasan hutan di mana Johan dan Intan tuju untuk melarikan diri.
Tanpa disedari, segala gelagat mereka sudah dirakam oleh Prof. Erman melalui
aplikasi kamera video di telefonnya. Prof. E masih bersembunyi di dalam kawasan
semak samun di kanan rumah.
“Johan, kenapalah
kau berlari ke arah hutan. Hutan tu hutan tebal. Kau sudah letakkan diri dalam
keadaan bahaya. Sama ada kau jadi makanan haiwan liar di dalam hutan, ataupun
kau jadi mangsa bunuh si penculik durjana tu.”
Johan dan Intan
masih berlari di dalam hutan. Mereka berdua sudah memasuki kawasan hutan tebal
di mana pokok-pokok yang meninggi membentuk kanopi menutup langit. Lantai hutan
menjadi sedikit lapang dek kerana ketiadaan semak samun lalang yang tinggi.
Yang ada hanyalah pokok-pokok renek dan lapisan daun kering yang gugur dari atas.
Intan
memperlahankan langkahnya. Johan yang masih memegang tangan Intan dapat rasakan
yang Intan mungkin keletihan. Melihat pokok sebesar dua pemeluk di hadapan, dengan
pangkal batangnya sesuai dijadikan tempat bersembunyi, Johan mengambil
keputusan untuk berhenti dan berehat seketika.
“Kita berehat di
sini dulu ya, Intan.”
Intan terduduk
kepenatan. Nafas laju dihembusnya berulang-ulang kali. Sekali sekala, dia menolak
rambutnya yang menutup dahi ke belakang.
Johan berdiri
bersandar dan cuba menjenguk ke belakang. Tiada kelibat dua penculik yang
bernama Bawi dan Galah itu lagi. Apa yang lebih merisaukan adalah bunyi
tembakan keempat yang didengarinya sejurus selepas mereka berdua masuk ke
kawasan hutan. Adakah mereka ternampak Prof. E? Adakah itu tembakan untuk Prof.
E?
“Prof. E bukanlah
seorang yang akan masuk campur dalam keadaan genting seperti tadi. Aku rasa dia
selamat. Mungkin tembakan keempat tadi adalah amaran kepada aku dan Intan.”
Johan cuba untuk menenangkan hati.
“Awak..” Intan
memanggil Johan.
“Awak..” Panggilan
diulang kerana Johan tidak memberi respon.
“AWAK!” Suara
Intan sedikit meninggi. Tersentak, Johan berpaling. “Ya, Intan.”
“Macam mana awak
tahu saya diculik di sini?” Soalan Intan menarik perhatian Johan. Johan jelas
bahawa dia tidak bersedia untuk menjawab soalan seperti itu. Dia tiada idea
untuk mereka cerita dan juga masih tidak bersedia untuk menceritakan hal
sebenar.
Saya boleh tahu awak diculik di sini sebab saya datang
dari masa depan. Itu bukanlah
jawapan yang bagus untuk menerangkan segalanya.
Johan memandang
Intan. Nafas yang tercungap-cungap akibat kepenatan. Bibir kelihatan kering.
Rambut basah akibat peluh. Baju tidur yang nipis penuh dengan kekotoran.
Berkaki ayam.
BERKAKI AYAM?
Ya, dia baru sedar
Intan berkaki ayam. Diculik di dalam rumah, dikurung di dalam rumah tinggalan
usang dan berlari keluar melarikan diri dalam keadaan tergesa-gesa, siapa
peduli jika perlu berkaki ayam?
Johan kemudian duduk
dan memegang kaki Intan. Kelihatan calar sana-sini akibat tidak beralas semasa
berlari di dalam hutan yang penuh dengan ranting kayu dan batu. Sewaktu
disentuh kawasan calar itu, Intan dengan refleks memberi respon sakit, pedih.
“Maaf ya, Intan.
Saya tak sedar awak berkaki ayam tadi.”
“Tak apa. Awak sudah
datang selamatkan saya. Takkan saya nak minta awak bawakan kasut extra pula,
kan?”
Johan tersenyum.
Dia sedikit lega kerana tidak perlu menjawab soalan Intan sebelum tadi.
Intan sedar Johan
tidak menjawab soalannya, atau lebih tepat, mengelak untuk menjawab soalan itu.
Dia tidak kisah. Dapat diselamatkan dari sekumpulan penjahat yang rakus dengan
nafsu sudah memadai buatnya ketika ini.
“Dengan keadaan
kaki awak, agak menyusahkan untuk awak berjalan dalam hutan.”
Mendengar
kata-kata Johan, Intan sedikit terkejut. Dia tidak menyangka kata-kata seperti
itu datang dari seseorang yang dianggapnya sebagai ‘wira berbaju perisai’.
“Maksud awak, saya
ini menyusahkan awak? Saya sudah menjadi beban kepada awak?” Intan menunduk kecewa,
menatap kakinya yang menjadi punca segalanya.
Johan tersenyum. Dia
sedar Intan sudah tersalah faham.
Johan kemudian
bergerak dengan belakangnya mengadap ke depan Intan, dan mencangkung.
“Onbu?”
“Huh? Onbu?”
balas Intan yang bingung dengan kata-kata Johan tadi.
“Ya, onbu. Gendong belakang. Piggyback.” Johan menepuk-nepuk belakang
badannya. Intan masih tercangak-cangak.
“Sekarang masa untuk
ke depan. Kita kena sentiasa bergerak. Dengan duduk di sini tak berbuat
apa-apa, sama ada kita akan jadi pengisi perut haiwan buas, ataupun jadi mangsa
bunuh penculik tadi. Jadi, kita kena terus bergerak bersama-sama.”
“Tapi...”
“Awak kepenatan.
Jelas awak dehydrated akibat kurang
air dan banyak berpeluh. Tambahan teruk pula dengan keadaan kaki awak. Jadi,
satu-satunya cara untuk kita terus ke hadapan adalah dengan onbu.”
“Tapi...”
Johan segera menarik
badan Intan rapat ke belakang badannya. Johan meletakkan kedua-dua tangan Intan
ke atas bahunya. Dia kemudian mengampu peha Intan dan menginjakkan badannya
bangun dari posisi cangkung. Intan terkejut, terkesima, malu pun ada.
“Maaflah, tapi
kita tiada masa untuk bertukar pendapat,” jelas Johan.
Johan memulakan
langkah berjalan memijak ranting-ranting kayu. Intan masih tercengang selepas
digendong Johan.
“Tapi, saya berat,
busuk, basah dengan peluh...” bisik Intan, malu.
Johan dengar akan bisikan
Intan itu. Dia tersenyum tanpa jawapan.
Selangkah demi
selangkah, Johan yang menggendong Intan di belakang bergerak terus masuk ke
dalam hutan.
