[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32]

“Sana ada satu
lagi.”
Johan menuding
jarinya ke arah sebuah rumah tinggalan di tepi landasan keretapi. Rumah dua
tingkat itu kelihatan usang dan tidak berpenghuni, akan tetapi sekelilingnya
kemas dan bebas dari lalang yang tinggi. Jelas kelihatan, walaupun tidak
dijaga, namun rumah itu masih digunakan orang.
Johan dan Prof.
Erman menyembunyikan diri di sebalik dahan-dahan pokok rendah.
“Sudah dua rumah
kita jumpa. Harap yang ketiga ini betul tempatnya.” Prof. E mengeluarkan alat
GPS dari poket bajunya. Dia ingin memastikan koordinat rumah tersebut supaya
nanti mudah untuknya melaporkan kedudukan kepada pihak polis.
“Biar saya pergi
dekat sikit. Kalau betul, saya beri isyarat kepada Prof dari jauh, ya?”
Prof. E
menganggukkan kepalanya tanda setuju dengan cadangan Johan. Johan kemudian
dengan perlahan bergerak sembunyi dari satu pokok ke pokok yang lain, semakin
menghampiri rumah tinggalan itu.
Akhirnya Johan
berada di dinding luar rumah tersebut. Dia dengan bersandarkan belakangnya ke
dinding, perlahan-lahan menyusur langkah menghampiri bahagian depan rumah itu. Tangan
kanannya masih erat memegang pemotong dawai yang sepanjang satu hasta. Pemotong
dawai itu telah digunakannya semasa memotong dawai pagar untuk memasuki kawasan
landasan keretapi sebentar tadi. Pemotong dawai itu juga difikirnya boleh
dijadikan sebagai senjata. Johan sedar, jika dia mahu menyelamatkan Intan, dia
perlu berhadapan dengan si penculiknya. Maka, senjata adalah perlu.
Prof. E jauh di
sebalik pokok. Jarak antara mereka dalam 30 meter, namun dipisahkan oleh
pokok-pokok renek dan lalang tinggi menjulang. Prof. E gigih memerhatikan Johan
di sebalik dedaun tumbuhan hijau itu. Sebelah kiri tangannya memegang alat GPS,
manakala sebelah kanan tangannya memegang telefon bimbit dengan tertera nombor
balai polis di skrin. Dia hanya menunggu untuk menerima isyarat dari Johan.
Jika Johan memberi isyarat tangan bersilang membentuk pangkah, maka rumah
tinggalan itu bukanlah tempat Intan disembunyikan. Jika Johan memberikan
isyarat tangan membentuk bulatan, maka Prof. E hanya perlu menekan butang hijau
di telefonnya dan melaporkan kepada pihak polis tentang kedudukan rumah itu.
Bagi Prof. E, adalah penting untuk segera melaporkan kedudukan tempat Intan
disembunyikan ini kepada pihak polis.
Sekali-sekala, kelihatan
pandangan Johan beralih memandang ke kedudukan Prof. E di dalam hutan. Ini bagi
memastikan dirinya tidak hilang dari pandangan Prof. E. Adalah penting untuk
dia dapat berinteraksi dengan Prof. E walaupun dari jarak jauh.
Degup jantung
Johan dapat dirasai dirinya. Kencang.
“Kau dari mana,
Bawi?”
Suara yang datang
dari dalam rumah tinggalan itu memberhentikan langkah Johan. Dia mengintai ke
dalam rumah melalui hujung penjuru bawah sebuah tingkap. Kelihatan kelibat dua
lelaki. Seorang berbadan besar sedang berdiri, seorang berbadan kurus tinggi
sedang duduk di atas kerusi sambil memegang majalah hiburan lama untuk bacaan.
Johan mendiamkan
diri sambil cuba mendengar perbualan mereka.
“Aku dari
belakang. Baru lepas tahan pintu bilik mandi dengan kerusi. Zul sudah terkurung
dalam bilik mandi tu.” Lelaki berbadan besar itu menjawab pertanyaan temannya
tadi.
“Berani betul kau,
Bawi. Berapi si Zul tu nanti marah.”
“Alaa, siapa suruh
mandi lama sangat. Aku peduli apa dia marah. Aku tak pernah anggap dia ketua.
Aku pun nak merasa yang fresh. Asyik
dapat saki-baki, tak seronok.”
“Pergh! Berani betul kau ni.”
“Sebelum si Zul
sedar dia terkurung, aku nak naik ratah lauk aku dulu. Kau nak join tak, Galah?”
“Lepas kau selesai, kau panggil aku. Tapi
jangan hentam sampai lunyai. Jadi sayur, lembik, aku tak suka.”
“Kita bertiga je.
Itupun seorang dah kena kurung. Layan kita dua orang, takkan nak lunyai kot.” Serentak
Galah dan Bawi ketawa terbahak-bahak.
“Jadi, dalam rumah ini ada tiga orang saja. Mereka ini dipanggil
Bawi dan Galah. Seorang sudah kena kurung di belakang, dipanggil Zul.” Johan cuba untuk mengenalpasti keadaan.
Bawi bergerak ke
arah tangga. Selepas dua anak tangga dinaikinya, dia kembali berpusing ke arah
Galah yang masih duduk di tengah ruang.
“Wei, Galah. Kau
tahu apa nama lauk kat atas tu?”
“Kenapa kau nak
tahu?”
“Aku nak jerit
nama dia masa tengah ‘enjut-enjut’.”
Galah tergelak
kecil. Dia kemudian terdiam seketika sambil memegang dagunya memikirkan
sesuatu. Bawi masih terhenti di anak tangga kedua, menunggu jawapan dari Galah.
“Tak salah aku,
semalam aku ada terdengar emak dia panggil dia. Hmm..” Galah masih terus
berfikir.
“CEPATLAH!” Bawi
meninggi suara, mendesak.
“Hah, aku ingat!
INTAN! Mak dia panggil dia Intan.”
“INTAN?” jerit Johan dalam hati.
Rupanya, ‘lauk’
yang dibualkan mereka merujuk kepada manusia. Manusia yang dicarinya selama
ini, Intan. Fresh, ratah, sayur, lunyai, enjut-enjut, semua itu merujuk kepada
perkara buruk yang bakal berlaku terhadap Intan.
Berderau amarah
Johan dapat dirasakannya mengalir dalam darah. Adrenalin merembes ligat.
Semakin kuat genggaman Johan memegang alat pemotong dawai di tangannya.
Johan berpusing ke
arah kedudukan di mana Prof. E berada. Dia tidak nampak Prof. E, tapi dia tahu
Prof. E memerhatikannya. Johan kemudian mengangkat tangannya membentuk bulatan
sebagai tanda isyarat positif bahawa Intan berada di dalam rumah tinggalan itu.
Dari jauh, Prof. E
nampak isyarat Johan. Prof. E terkejut, seperti ada satu renjatan menyelubungi
badannya. “THIS IS IT. Aku kena segera call
polis.”
Prof. E dengan
segera menekan butang hijau di telefon bimbitnya. Dilekapnya telefon itu ke
telinga. Kedengaran bunyi deringan di hujung talian. Kemudian, deringan itu
dijawab.
“Hello, polis.
Saya ada maklumat tentang satu kes penculikan...”
“Intan! Intan!
Intan!” Bawi mengajuk-ajuk nama anak gadis di bawah tawanannya itu.
“Sedap tak, Intan?
Nak lagi tak, Intan?” Galah melayan ajukan. Bergema gelak tawa Bawi dan Galah.
Bawi kemudian menyambung langkahnya mendaki tangga ke tingkat atas. Galah
menghabiskan gelaknya dan kemudian sambung membelek majalah di tangan.
Johan di sebalik
tingkap berpeluh. Marah. Kakinya menggeletar. Dia kemudian memejamkan matanya
dengan kuat, seperti mahu mengumpul keringat.
Lalu, Johan
membuka mata. Dia mengangkat alat pemotong dawai di tangannya dan bergerak
menuju ke pintu masuk rumah itu.
Setelah selesai
membacakan koordinat yang tertera di alat GPS kepada polis, Prof. E beralih
pandangannya ke arah kedudukan Johan. Dia terkejut. Johan sudah tiada di tempat
dia sepatutnya berada.
“Johan, apa kau sedang
buat?” benak hati Prof. E kerisauan.
Johan melangkah
masuk ke ruang tamu tempat Galah sedang duduk membaca majalah. Bawi sudah tidak
kelihatan. Dia pasti sudah berada di tingkat atas.
Kelibat Johan
terhalang dengan majalah yang sedang dibaca Galah. Johan dengan langkah laju
menghampiri Galah.
“Hey!” Johan
menegur.
Galah terkejut.
Namun, sebelum sempat dia menurunkan majalah melihat siapa yang menegur, satu
libasan kuat hinggap ke sebelah kiri kepalanya. Hadiah khas dari Johan.
Seperti yang difikirkan,
Johan menggunakan alat pemotong dawai itu sebagai senjata.
Jatuh tersungkur
Galah dari atas kerusi terus ke lantai. Dia terus hilang kesedaran.
Johan kemudian
melangkah laju menuju ke tangga.
Di tingkat atas,
Bawi mengetuk pintu tiga kali sebelum memulas tombol pintu bilik Intan
dikurung. Mangga selak tambahan pintu sudah dibukanya terlebih dahulu. Selepas
pintu dibuka, kelihatan Intan ketakutan sedang memperkemas kedudukan dirinya di
hujung penjuru bilik.
Intan tidak
menangis, tapi kakinya yang terikat bersama sedang bersedia untuk menendang.
Bawi dari pintu
perlahan-lahan menghampiri Intan.
“Jangan takut,
Intan. Abang ada.”
Bawi terus
menghampiri Intan.
Intan menggeletar
ketakutan.
Bawi sudah berada
kurang satu kaki dari Intan.
Intan mengangkat
kedua kakinya sambil menendang ke arah Bawi berkali-kali, tapi dia hanya berjaya
menendang angin kerana Bawi dapat mengelak.
Dengan tangan ke
hadapan, Bawi menerkam kedua-dua kaki Intan. Dia berjaya menangkap kaki Intan
dan mematikan cubaan tendangan Intan. Intan menjerit, namun tiada suara kerana
mulutnya ditutup pita.
“Jeritlah. Jerit.
Tiada siapa peduli.”
“Ya Tuhan Yang
Maha Besar. Selamatkanlah hamba-Mu ini.”
Satu bunyi
hentakan kuat berdentum.
Gerakan Bawi terhenti.
Dia tiba-tiba jatuh terjelepuk ke sebelah kanan kaki Intan.
Berdiri tegak di
belakang Bawi ialah seorang lelaki dengan alat pemotong dawai di tangan.
“Tepat pada
masanya.”
