Sep 27, 2013

Vorteks #42 - Masa Semakin Suntuk.

0 nota kaki


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41]




Apabila sesat, sama ada di dalam bandar atau di dalam hutan, adalah lebih baik untuk tidak bergerak sesuka hati. Namun, jika keselamatan perlu diutamakan, bergeraklah di atas satu garisan lurus.
Bagi kes hilang arah di dalam hutan, permukaan hutan yang tidak rata dan dipenuhi dengan akar kayu, daun-daun kering serta ranting mereput menyukarkan kita untuk bergerak di atas satu garisan lurus. Maka, dengan sedikit pengetahuan geografi dan bantuan dari kedudukan matahari, untuk keluar dari hutan yang tebal bukanlah sesuatu yang mustahil.
Semua itu dipelajari Johan daripada datuknya.
Johan sedar, dia dan Intan kini berada di dalam hutan di Bandar Timur. Selagi mereka bergerak menuju ke arah timur, kemungkinan mereka akan bertemu dengan jalan kampung atau jalan tanah merah adalah tinggi. Jadi, disebabkan suasana yang beransur petang, Johan dan Intan hanya perlu sentiasa bergerak membelakangi matahari untuk menuju ke arah timur.
Namun, segalanya perlu dilakukan sewaktu matahari masih kelihatan.

“Masa semakin suntuk. Hari semakin gelap. Kita kena segera keluar dari hutan.” Johan membuka kata setelah beberapa ketika dia dan Intan yang digendong hanya berdiam diri.
“Apa patut kita buat?” Intan bertanya. Nafasnya yang menghembus di belakang leher Johan sedikit sebanyak membuatkan Johan berasa geli.
“Kita tiada pilihan. Kalau masih tak jumpa jalan keluar, kita terpaksa bermalam. Tapi, malam di dalam hutan amatlah bahaya.” Bukan niat mahu menakutkan, tapi sememangnya realiti. Sesetengah haiwan buas mencari sumber makanan pada waktu malam disebabkan persekitaran yang gelap dan haiwan mangsa yang kemungkinan tidak bergerak. Johan tidak mahu menjadi makan malam kepada haiwan buas di dalam hutan, memandangkan setelah apa yang dia dan Intan lalui untuk menyelamatkan diri dari Bawi dan Galah sebentar tadi.
Intan hanya berdiam diri. Walau takut, tapi baginya, selagi dia bersama lelaki yang dipanggilnya ‘Yusran’ ini, dia akan sentiasa berasa selamat.
“Awak jangan risau. Saya rasa tiada cara penjahat dua orang tadi dapat mengejar kita. Kita dah rampas kasut mereka dan buangkan pakaian mereka. Sangat susah bagi mereka untuk bergerak dengan kaki ayam dan hanya berseluar dalam.”
Intan ketawa kecil mendengar kata-kata Johan tadi. Terbayang dalam fikirannya imej Bawi dan Galah yang hanya berseluar ‘kecil’ mencari jalan di dalam hutan.
Kasut Galah diambil Johan dan dipakainya. Kaki Johan pula diberikan kepada Intan. Namun, luka di kaki Intan tetap tidak membenarkannya untuk berjalan di dalam hutan, jadi Intan masih digendong oleh Johan di belakang. Kasut Bawi, pakaian dan pistol mereka berdua disorokkan di satu kawasan jauh dari tempat Bawi dan Galah dipengsankan. Memang ada niat untuk Johan membawa salah satu dari pistol itu sebagai senjata, tapi dia merasakan ianya akan jadi menyusahkan memandangkan dia kena menggendong Intan. Lagipun dia tiada kemahiran dalam menggunakan pistol. Cukuplah alat pemotong dawai dan sebilah pisau yang diselitkan di pinggang sebagai senjata untuknya.
“Nasib hujan dah semakin reda. Kalau masih hujan lebat, alamatnya makin cepatlah suasana menjadi gelap.”

Setapak demi setapak Johan melangkah. Sekali sekala, Johan membetulkan tangannya yang mengampu peha Intan. Sekali sekala dia berhenti dan memandang atas ke arah matahari dari samar-samar hujan rintik dan celahan daun untuk menentukan arah. Mereka berdua basah, bukan hanya dek penangan air hujan yang masih turun, malah juga dari titisan peluh yang keluar dari tubuh masing-masing. Tapi mereka tidak peduli. Mereka bersama, itu yang penting.
Intan memperkemas tangannya yang mencangkuk dada Johan. Pegangannya semakin erat dan rapat. Johan hanya tersenyum.
“Terima kasih...” Nada suara Intan perlahan, berbisik.
“Apa?” Johan bertanya kerana tidak jelas kedengaran.
“Terima kasih.” Intan mengulang dengan suara yang lebih kuat. “Terima kasih sebab datang selamatkan saya. Terima kasih kerana buat semua ini. Kalau awak tak datang, saya rasa saya lagi rela mati dari jadi mangsa mereka tadi.”
Johan tersenyum.
“Awak jangan risau. Awak akan selamat. Awak akan dapat terus kejar cita-cita dan impian awak selepas ni. Awak akan menjadi kuat daripada pengalaman yang awak dapat. Awak akan terus memberi inspirasi terhadap orang ramai supaya jangan berputus asa dan berputus harap dalam berusaha.”
Mendengar kata-kata Johan, Intan sedikit kebingungan. Sedikit tidak masuk akal memandangkan dirinya baru berumur 16 tahun dan masih bersekolah. Bagaimana pula dia mampu memberi inspirasi kepada orang ramai? Namun kata-kata itu sedikit sebanyak menghilangkan rasa takut dalam hati.
Intan meletakkan kepalanya ke bahu Johan, mencari keselesaan.
Johan masih tersenyum dan terus melangkah.

“TUAN!”
Panggilan dari salah seorang anak buahnya menarik perhatian Inspektor Bakar. Melihat dari jauh, anak buahnya itu sedang menunjukkan sesuatu di sebalik pangkal pokok besar. Inspektor Bakar meninggalkan posisinya dan segera menuju ke pokok itu.
Kelihatan di sebalik ranting kayu dan daun-daun kering, beberapa helai pakaian digumpalkan bersama sepasang kasut dan disorok. Turut kelihatan dua pucuk pistol.
“Ianya seperti disorok.” Inspektor Bakar membelek gumpalan pakaian yang terdapat disitu. Dua pasang baju dan seluar lelaki. Dua pucuk pistol. Tapi hanya sepasang kasut.
“Kesan barang ini disorokkan masih baru. Dua pasang baju dan seluar lelaki.Tapi, siapa punya?”
“Dua pakaian lelaki, mungkin milik dua orang penculik itu, Tuan.” Seorang pegawai di sebelah kanan Inspektor Bakar memberi respon.
“Kemungkinan besar, Tuan. Lagipun ada dua pucuk pistol. Kemungkinan milik mereka berdua.” Seorang lagi pegawai di kiri Inspektor Bakar menyuarakan pendapat.
“Takkan mereka dua lelaki yang bersenjata kalah dengan budak perempuan yang merupakan mangsa culik mereka sendiri?”
“Mungkin ini kerja seorang lagi lelaki yang dilihat berlari ke dalam hutan bersama mangsa, Tuan. Lelaki yang tidak dapat dikenalpasti itu.”
Inspektor Bakar mengangguk. “Tapi, siapa dia?” Mereka bertiga berpandangan sesama sendiri kebingungan.
“Tak apa. Bungkus barang ini. Ianya mungkin bahan bukti. At least kita tahu mereka sudah tidak bersenjata. Kita sambung proses mencari dan menyelamat.”

“Tapi, siapa dia?” Tanya Galah kepada Bawi. Bawi membalas dengan pandangan tajam.
Mereka berdua masih meredah hutan mencari jalan dengan hanya berpakaian masing-masing sehelai seluar dalam. Sekali sekala Galah menampar pehanya yang dihinggap nyamuk hutan.
“Masalahnya, macam mana dia boleh tahu tempat persembunyian kita di sini? Tiada siapa yang tahu...”
“...kecuali Alex.” Bawi memotong kata-kata Galah.
Betul. Hanya Encik Alex, dalang kepada rancangan penculikan Intan yang merupakan anak pesaing perniagaannya, Encik Ahmad yang tahu tempat mereka sembunyikan Intan. Selain mereka berdua dan Zul yang sudah mati dibunuh, hanya Encik Alex sahaja boleh disyaki.

“Nantilah kau, Alex.” Bawi mengenggam erat penumbuknya.



BERSAMBUNG...[43]

Sep 20, 2013

Vorteks #41 - Dendam yang Memakan Masa.

0 nota kaki

[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40]




Adalah menjadi impian setiap ahli fizik teori (theoritical physicist)untuk membuktikan kesahihan teori yang mereka cadangkan melalui eksperimen, bukan sekadar formula matematik, model abstrak dan rumusan dari teori ahli fizik terdahulu yang lebih berunsurkan hipotetikal. Namun, hakikatnya kebanyakan teori tersebut terlalu susah untuk dibuktikan melalui eksperimen kerana mungkin wujudnya faktor yang tidak mampu dikawal, pembolehubah yang terlalu besar dan tiada kewujudan fizikal, ataupun sekadar teori tersebut yang terlalu tidak masuk dek akal.
Fenomena merentas masa adalah antara perkara yang dilabel tidak masuk dek akal. Salah satu sebabnya adalah tiada bukti sahih bahawa fenomena itu boleh berlaku, pernah berlaku dan akan berlaku. Tiada teori yang dibentangkan oleh para ahli fizik yang menyatakan bahawa merentas masa adalah sesuatu yang tidak mustahil. Tiada teori kukuh adalah disebabkan oleh para ahli fizik yang masih tidak dapat mengenalpasti  pembolehubah yang benar-benar terlibat dalam fenomena tersebut.
Jadi, bagi kebanyakan manusia, merentas masa adalah mustahil.
Namun, kemustahilan adalah sesuatu yang digemari para ahli fizik teori. Kerana mencabar kemustahilan adalah sesuatu yang dipandang besar dan dihormati jika berjaya. Jika tidak berjaya, bukan sahaja masa sia-sia dihabiskan, malah berisiko dilabel ‘tidak siuman’.

Dibiarkan seketika Prof. Shah memanjangkan ketawanya.
“Kalau kita boleh berkongsi data kajian, dan berkongsi isi yang terkandung dalam Fail J itu, aku mungkin boleh hantar Johan balik ke masa hadapan pada waktu kilat Thor yang seterusnya. ”
Prof. Shah masih ketawa. Dia seolah-olah mengabaikan kata-kata Prof. Erman tadi.
“Fail J?”
“Ya, Fail J.” Prof. E menjawab ringkas. Prof. Shah di hadapannya masih belum habis berdekah.
Apa yang kelakar? Aku tak buat lawak? Aku sedang membongkar kajian sulit dia yang selama ini dia rahsikan dari semua orang. Reaksi yang sepatutnya dia beri adalah terkejut, sebab aku tahu akan rahsianya. Bukannya ketawa.
“Kenapa kau ketawa, Shah?” Mendatar nada suara Prof. E.
“Ha...ha...ha...” Prof. Shah menghabiskan sisa ketawanya sebelum menyambung kata.
“Kau mesti tak sangka reaksi aku begini, kan? Kau mesti anggap aku akan terkejut bila kau sebut tentang Fail J dan kajian sulit aku, kan?” Walaupun kata-kata Prof. Shah itu benar, tapi Prof. E tidak memberi sebarang reaksi.
“Hanya dua orang selain aku yang tahu tentang Fail J. Pertama ialah pemilik asal Fail J sendiri, merangkap lecturer aku masa di universiti dahulu. Kedua, ialah bekas tunang aku, merangkap isteri  kau yang kau tinggalkan selepas kau rampas dia dari aku.” Prof. Shah tepat memandang mata Prof. E.
“Kau tak pernah kenal lecturer aku, lagipun dia dah lama meninggal dunia. Jadi, aku teka, kau dapat tahu tentang Fail J melalui isteri kau dulu, kan?”
Tepat telahan Prof. Shah. Namun, Prof. E masih berdiam diri tiada jawapan.
“Kau nak tahu? Semasa dia putuskan pertunangan kami dan memberitahu mahu mengikut kau, aku kecewa. Aku fikir, apa kelebihan kau sampai dia sanggup tinggalkan aku dan pilih kau? Kau professor, aku professor. Kau berharta, tapi aku lebih kaya. Malah, kalau nak ikutkan paras rupa, helaian rambut kau di atas kepala yang boleh dibilang itu membuktikan kehebatan berada di pihak aku.”

Prof. Shah bangun dari tempat duduknya dan bergerak ke tingkap, menjenguk pemandangan luar. Prof. E masih membatu di sofa.
“Kau rampas tunang aku. Disebabkan itu, aku benci kau. Aku berniat nak jatuhkan kau. Bertahun-tahun selidik setiap apa yang kau buat. Aku siasat setiap kajian kau, setiap laporan kau. Tanpa aku sedar, aku jadi obses dengan kau, hanya sebab kau merampas satu-satunya insan yang aku sayang.”
Prof. E menunduk kepalanya.
“Ketika itu, aku dapat tahu kau sedang mengkaji fenomena merentas masa, time travelling, sesuatu yang dilabel orang ramai termasuk para ilmuwan sebagai ridiculous. Jadi, aku buat keputusan, aku nak sabotaj kajian kau. Aku mahu kajian kau dilihat sebagai sesuatu yang sia-sia. Aku nak malukan kau sehingga kau tiada tempat di atas dunia untuk menyorok...”
Prof. Shah kemudian berpusing menghadap Prof. E.
“...tapi sehinggalah aku jumpa Fail J.”
Prof. E mengangkat muka, memandang wajah Prof. Shah.
“Aku diberitahu, isi dalam Fail J adalah kunci kepada misteri merentas masa. Dari Fail J, aku dapati kajian kau berada di landasan yang betul. Setiap kajian kau sama seperti yang tercatat di dalam Fail J. Sooner or later, kau mungkin akan menjadi orang pertama yang mampu merungkai misteri time travelling.” Prof. Shah memicit pangkal hidung antara dua matanya.
“Aku jadi panik. The fact that you are on the right track sangat menakutkan aku. Jadi, aku beritahu tentang Fail J kepada isteri kau, dan memberitahu dia bahawa akulah orang yang paling hampir merungkai misteri itu. Aku suruh dia pulang ke pangkuan aku kerana aku sudah lebih berjaya dari kau. Kau tahu apa yang dia kata pada aku?”
Prof. E geleng kepala.
“Dia kata, kalau itu kunci kepada segala misteri, aku harap kau hapuskannya dari muka bumi ini.”
Prof. E bermuka terkejut.
“Jelas kekecewaan di raut wajah dia. Jelas dia tak bahagia bersama kau. Walaupun begitu, dia tetap tidak mahu ikut aku dan meninggalkan kau. Aku kenal perangai dia, dia bukan seorang yang berahsia. Maka, dia surely akan beritahu kau tentang Fail J. Itu membuatkan aku lebih membenci kau.”
Prof. Shah menggeleng kepala.
“Hasil kebencian yang membuak-buak, aku sebarkan khabar angin bahawa aku sendiri ada jalankan kajian sulit dan rahsia mengenai fenomena merentas masa. Kononnya aku sendiri ada hasil kajian aku mengenai time travelling, malah kononnya hasil kajian akulah yang paling hampir dengan kejayaan. Semuanya hanya untuk menarik perhatian kau. Semuanya adalah untuk hari ini, hari di mana kau datang merayu meminta bantuan dan pertolongan aku dan menyebut tentang Fail J...”
“Jadi, semua itu merupakan khabar angin semata-mata?” Prof. E membuka mulut.
“Ya, tentang kajian sulit dan rahsia fenomena merentas masa, itu semua khabar angin. Aku langsung tak berminat nak kaji fenomena tu. Tiada data untuk dikongsi. Tiada kajian untuk diberi.” Prof. E memejam mata menahan kekecewaan. Prof. Shah kembali ketawa besar.
“Aku patut rakam pujuk rayu kau tadi yang nakkan kita berkongsi data kajian. Puas hati aku. Hahaha!”

“Tapi, Fail J?”
Ketawa Prof. Shah terhenti, terbantut. Suasana ruang tamu menjadi sunyi, tiada suara buat seketika.
“Adakah Fail J wujud?”
Riak wajah Prof. Shah berubah.
“Ya, Fail J memang wujud. Isi kandungannya memang mengenai merentas masa. Lecturer aku yang menulisnya itu sangat rapat dengan aku. Kami seperti keluarga. Aku jumpa Fail J semasa mengemas rak pejabat dia beberapa minggu selepas dia meninggal.”
“Adakah kau masih memiliki Fail J?”
“Sudah tentu.”
“Boleh aku tengok Fail J tu?”

Prof. Shah senyum berhelah. “Boleh. Tapi dengan syarat.”



BERSAMBUNG...[42]

Sep 6, 2013

Vorteks #40 - Masa Bantuan.

0 nota kaki

[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39]




“Ya, aku yakin.” Wajah Galah tidak sepadan dengan kata-katanya.
“Kau betul-betul yakin dia boleh diharap?” Zul bertanyakan lagi sekali, untuk kepastian.
“Aku tak pernah berurusan dengan dia, tapi lelaki bernama Bawi ni memang terkenal dengan kredibiliti dia dalam mencari stok gadis muda.”
Zul menggaru kepalanya yang tidak gatal. Kata-kata dari Galah tadi langsung tidak meyakinkan. Dia masih ragu-ragu untuk menerima Bawi masuk dalam kumpulan mereka.
“Kalau bukan disebabkan aku sudah ketandusan lubang, aku memang tak nak berurusan dengan si Bawi tu.” Zul kemudian merenung wajah Galah seketika.
“Baiklah. Esok kau bawa aku ke tempat Bawi.”

“Woi! Woi! Bangun!”
Pipi Galah ditampar perlahan berkali-kali. Mimpi? Tidur? Oh, pengsan. Galah dengan berat membuka mata. Kesan hentakan di kepalanya masih berdenyut, sakit. Dia sudah hilang kira, entah berapa banyak kali sudah dia dihentam di kepala sampai pengsan hari ini. Dua kali? Tiga kali? Entah. Apa yang dia tahu, kalau perkara ini berterusan, dia mungkin boleh mati akibat gegaran otak.
Galah membangunkan diri sendiri bermula dengan bertongkatkan siku. Dia baru sedar, mereka berdua masih di dalam hutan.
“Hari semakin gelap. Bahaya duduk dalam hutan malam-malam. Silap-silap kita boleh dibaham sang belang.” Bawi berdiri tegak di sebelah. Selepas berusaha untuk berdiri, Galah baru sedar bahawa dia sudah tidak berkasut dan berpakaian. Hanya seluar dalam ditinggalkan.
“Mana kasut dan baju aku?” keluh Galah.
“Jangan banyak bising. Budak keparat tu dah rampas semua barang kita termasuk pistol dan kasut semasa kita dua-dua pengsan diserangnya. Kita kena keluar dari hutan ni segera.” Dari jawapan itu, Galah menurunkan pandangannya kepada Bawi. Bawi juga tidak berkasut. Agak melucukan apabila ternampak badan Bawi yang gendut dan boroi tidak berpakaian.
“Budak lelaki tu memang berani, pandai. Dengan berbuat begini, pergerakan kita akan lambat dan dia boleh terus bergerak jauh dari kita.” Sambil menggenggam penumbuk, Bawi berkumat-kamit menyumpah seranah buruannya yang terlepas.
“Budak, aku akan pastikan otak kau dijadikan makanan anjing liar tepi jalan.”
Galah mengeluh panjang. Dalam hatinya merungut, kenapalah dia boleh terlibat jauh dengan si Bawi yang tak stabil ni.

Loceng pintu rumah Prof. Shah berbunyi bertalu-talu.
Prof. Shah sedang berada di bilik bacaan, duduk di atas kerusi yang selesa sambil membaca sebuah buku tulisan Stephen Hawking bertajuk ‘A Briefer History of Time’. Dia cuba mengabaikan bunyi yang datang dari pintu rumahnya itu. Sangkanya, jika dibiarkan, segala gangguan yang tidak bermakna akan berlalu begitu saja. Tapi dia salah. Bunyi loceng masih bertalu-talu, malah diserikan lagi dengan hentaman ke pintu yang bertubi-tubi.
“Shah! Aku tahu kau ada di dalam!”
Sayup suara itu menyapa telinga Prof. Shah. Dia mengeluh panjang. Dia kenal pemilik suara itu. Seseorang yang dibenci.
“Ah! Aku patut hire seorang maid.” Prof. Shah meletakkan cermin mata membacanya ke atas meja bersebelahan dengan buku yang sedang dibacanya tadi. Dengan gerak badan malas dia bangun, keluar dari bilik bacaan. “Seorang maid yang muda, cantik dan pakai French maid custome. Perghh!”
Prof. Shah menuju ke pintu utama. Loceng masih berulang bunyi. Pintu masih dihentam berkali-kali.

“Which part of ‘aku tak nak masuk campur’ yang kau tak faham?” Itu adalah ayat pertama yang keluar dari mulut Prof. Shah selepas membuka pintu. Kelihatan Prof. Erman berdiri dengan dahi berkerut seribu.
“Aku perlukan bantuan kau, Shah.”
Prof. Shah terdiam berdiri memegang pintu. Ini kali pertama dia melihat Erman yang dibencinya selama ini berwajah sebegitu. Risau, penat, berharapan, tiga ekspresi itu bercampur baur untuk membentuk wajah Prof. E sekarang. Pastinya, bantuan yang diperlukan Prof. E adalah penting. Jika tidak, masakan Prof. E sanggup datang seorang diri merayu bantuan dari seorang insan yang diketahui membenci dirinya sepenuh hati.
“Mana Johan?”

“APA? KAU TINGGALKAN DIA DIKEJAR PENJAHAT DI DALAM HUTAN?”
Prof. Shah menghempas belakangnya ke sofa. Kisah yang diceritakan Prof. E di ruang tamu itu terlalu hebat untuk dibayangkan. Bagaikan filem. Tapi, apa yang lebih membeliakkan matanya adalah tindakan Prof. E meninggalkan Johan dan Intan berlari menyelamatkan diri di dalam hutan sambil dikejar si penculik bersenjata.
Prof. E hanya menunduk.
“Aku tiada kuasa. Tiada daya. Apa yang aku boleh buat adalah serahkan tugas menyelamat kepada polis.” Prof. E menjawab perlahan.
“Apa jadi kalau polis terlambat? Bila mereka dapat kejar, Johan dan Intan sudah menjadi mayat?” Tinggi nada Prof. Shah berdebat.
“Habis, kau mahu aku buat apa?”
Persoalan Prof. E tadi tidak terjawab. Prof. Shah sedar, tiada apa yang mampu terbuat oleh Prof. E lagi melainkan apa yang telah dibuatnya. Dua penjahat bersenjata mengejar dua anak muda. Jika ada masuk seorang tua yang tidak berkemahiran ke dalam cerita, maka akan menyusahkan banyak pihak. Polis adalah pilihan terbaik yang ada.
Prof. Shah menghembus nafas panjang. “Kalau aku pun, aku mungkin akan buat perkara yang sama.”
Serentak, kepala Prof. E terangkat. Mendengar Prof. Shah bersetuju dengan tindakannya, dia sedikit lega. Matanya bertentang tepat dengan mata Prof. Shah.
“Tapi aku rasa sebab utama kau datang sini bukan untuk bercerita dengan aku hal itu saja, kan?” Ayat Prof. Shah itu tepat merumuskan segalanya yang terbuku dalam benak fikiran Prof. E.

“Begini...” Prof. E memulakan bicara.
“...walaupun aku sudah berpuluh tahun mengkaji fenomena merentas masa, tapi semua hasil kajian aku hanyalah teori. Teori semata-mata.”
Prof. Shah tersenyum sinis.
“Niat aku...Bukan, janji aku pada Johan adalah untuk menghantar dia balik ke zaman dia, lapan tahun akan datang pada masa fenomena kilat Thor yang seterusnya.”
“Bila?” Prof. Shah potong tanya.
“22 haribulan, malam 23.”
Prof. Shah mengangguk. Prof. E menyambung bicara.
“Macam aku cakapkan, aku hanya ada teori. Tapi aku tahu, kau ada sesuatu yang lebih dari sekadar teori.”
Prof. Shah ketawa kecil.
“Aku tahu. Walaupun kau adalah professor dalam bidang sains hayat, tapi disebabkan kau begitu bencikan aku, kau berazam nak jatuhkan aku, maka kau juga ada jalankan kajian tentang fenomena merentas masa, kan?”
Ketawa Prof. Shah semakin berdekah kuat. “Apa yang kau mahu, Erman?”


“Aku mahu lihat fail sulit kau yang dipanggil Fail J.”



BERSAMBUNG...[41]

Aug 30, 2013

Vorteks #39 - Masa Untuk Melawan, Masa Untuk Berdepan.

0 nota kaki

[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38]




Nadinya dapat dirasakan berdenyut kencang, namun itu tidak sedikitpun membuatkan Inspektor Bakar gelisah. Dia memang dikenali sebagai pegawai polis yang berdedikasi, bertanggungjawab dan sentiasa fokus dengan kerja. Sifat itulah yang membuatkan dia dihormati orang bawahannya dan rakan-rakan sepasukan.
“Kita akan mula masuk ke dalam hutan. Misi kita adalah untuk menyelamatkan seorang mangsa culik perempuan dan seorang lelaki yang belum dikenal-pasti serta menangkap dua penjenayah dikehendaki. Pastikan semua bergerak menuju ke arah selatan. Cari sebarang petunjuk yang mungkin ditinggalkan mangsa culik ataupun dua orang penjenayah itu. Laporkan sebarang penemuan sesegera mungkin. Faham?”
“FAHAM, TUAN!” Sahutan serentak satu pasukan mencari yang diketuai Inspektor Bakar itu membangkitkan semangat setiap ahlinya. Setelah mengambil tempat masing-masing, operasi mencari, menyelamat dan menangkap pun bermula. Pada jarak dua meter di antara setiap ahli pasukan, barisan panjang dengan tenaga 8 ahli mula melangkah masuk ke dalam hutan bagi mengesan orang yang dicari. Semua itu berlangsung semasa hujan masih lebat mencurah ke bumi.

Intan memerhatikan Johan. Johan tiada reaksi, hanya memandang permandangan hujan yang menimpa lantai hutan. Intan mengangkat punggungnya dan bergerak merapati Johan sehingga bahu kirinya bersentuhan dengan belakang badan Johan. Johan terkejut.
“Saya tahu awak pun sejuk. Apa kata kita rapat lagi. At least kita boleh saling memanaskan antara satu sama lain.” Intan merapatkan lagi badannya ke sisi Johan. Johan, tiada kata, hanya menarik nafas panjang.
Rapat? Saling memanaskan antara satu sama lain? Eh, itu semua ayat dalam filem hindustan. Filem di mana hero dan heroin terperangkap dalam ribut salji dan hanya ada sesama sendiri untuk memanaskan badan masing-masing. Kulit bertemu kulit. Haba saling bertukar. Adakah...
Fikiran Johan jauh melayang. Gelagatnya sekali-sekala menjeling Intan di sebelah, kemudian dipejam rapat kedua belah matanya, dan kemudian menghembus nafas panjang selepas lama ditahan membuatkan Intan tersenyum. Intan sedar, Johan sedang malu. Segan. Mungkin ini kali pertama insan yang dipanggilnya Yusran ini sebegini rapat dengan manusia berlainan jantina. Tapi Intan tidak peduli. Pada matanya, Yusran adalah penyelamat dirinya, dan dia berhak mendapat layanan baik, paling kurang saling bertukar haba badan ketika kesejukan.
Pada Johan pula, dapat kesempatan berada serapat ini dengan Hani, selaku pemain utama dalam industri hiburan tanahair untuk beberapa tahun akan datang, adalah di luar jangkaannya. Gembira ada, gementar sudah tentu.
Bunyi satu das tembakan memecah suasana damai hujan.

Inspektor Bakar dan pasukannya serentak mengangkat kepala mendongak ke atas. Dari  bunyi tembakan, jaraknya mungkin dalam kurang dua batu ke hadapan. Inspektor Bakar saling bertukar pandangan dengan beberapa ahli pasukannya. Dia perlu buat keputusan yang cepat untuk bertindak.
“Kita percepatkan langkah. Maju.”

Intan menutup mulut, terkejut. Johan meletakkan jari ke bibir, memberi isyarat kepada Intan supaya tidak membuat apa-apa bunyi. Bunyi tembakan tadi kedengaran sangat hampir, seolah-olah sumbernya hanya beberapa kaki di belakang pokok tempat mereka berteduh.
“Aku tahu kau di sekitar sini. KELUAR!”
Muncul suara melaung dari jarak lebih kurang 10 meter dari tempat Intan dan Johan berada. Intan memandang Johan dengan mata membuntang ketakutan. Jari Johan masih di bibir. Dia membongkokkan badannya meninjau ke belakang dari celahan pokok renek di sekeliling. Tepat matanya ternampak kelibat dua lelaki; seorang berbadan besar, seorang kurus tinggi sedang masing-masing memegang pistol di tangan.
Bawi dan Galah akhirnya sudah begitu hampir dengan mereka.

“Tak apa ke kau tembak ke atas tadi? Polis mungkin boleh dengar.” Galah kelihatan sedikit risau dengan tindakan Bawi yang berjalan di hadapannya. Bawi hanya tersenyum segaris.
“Jangan risau. Pada masa polis boleh sampai ke sini, budak berdua tu sudah jadi tawanan kita. Mereka berdua berada sekitar sini, mungkin sedang berteduh. Kesan yang mereka tinggalkan di sini sangat baru. Mereka tak jauh.”
“Tapi mana?”
“Budak perempuan yang dipanggil Intan tu, kalau dia panik, dia akan tercungap-cungap dan bernafas dengan laju. Sebab tu aku lepaskan tembakan. Bagi dia dalam ketakutan. Siapa boleh menyorok dengan nafas yang macam tu.”
Johan memandang Intan di sebelahnya. Walaupun tangan Intan masih menerkup mulut, tapi dia kelihatan bernafas dengan laju, bahunya naik turun dengan pantas menarik dan menghembus nafas.

Hyperventilation. Anxiety attack. Satu keadaan di mana gangguan dalam pernafasan disebabkan oleh serangan panik atau kebimbangan yang melampau. Ia akan menyebabkan orang yang mengalaminya bernafas dengan pendek dan laju, selalunya diikuti dengan dengusan nafas yang keras. Bernafas melalui beg kertas dapat mengurangkan gejala hyperventilation ini. Tapi, berada di dalam hutan tebal dengan hujan lebat menghentam bumi, memiliki beg kertas adalah mustahil.
“Text-book anxiety attack. Aku patut buat sesuatu,” Johan berbisik. Dia perlu pantas memikirkan sesuatu. Hujan mungkin berpihak kepada Johan.

Aku kena tenang. Mereka berdua masih memandang ke kiri dan ke kanan disebabkan mereka tidak tahu kami di sini. Aku kena gunakan peluang ini sebaik mungkin.Inilah masanya. Masa untuk melawan, masa untuk berdepan.
Hujan yang turun memang membantu. Air yang jatuh dari atas dan menghentam dedaun pokok renek memberikan efek seperti daun itu bergerak-gerak. Maka, permandangan seperti adanya kelibat di belakang pokok sedangkan hanya daun yang melambai di sekeliling dapat mengaburi pandangan si pemerhati. Kelebihan ini diambil Johan untuk keluar dari tempat berteduhnya dan bergerak menyelinap dari satu rimbunan pokok renek ke rimbunan yang lain tanpa mengundang perhatian Bawi dan Galah. Akhirnya, Johan kini sudah memintas lokasi Bawi dan Galah dan senyap-senyap sudah berada di rimbunan pokok di belakang mereka berdua.
“Aku kira sampai tiga. Kalau korang keluar sebelum aku habis kira, nyawa korang mungkin selamat.”
Tamat sahaja ayat itu dilafazkan, Galah rebah ke bumi akibat satu libasan yang dihadiahkan Johan menggunakan alat pemotong dawai tepat ke kepala dari belakang. Sepantas mungkin, Johan melempar alat pemotong dawai dari tangan kanannya ke tanah dan terus menyambar pistol dari tangan Galah yang tertiarap tidak sedarkan diri lalu mengacukan pistol itu tepat ke belakang kepala Bawi. Bawi tidak sempat berpusing.

“Jatuhkan pistol kau dan angkat tangan atau kepala kau berkecai,” gertak Johan dengan suara tenang.
Bawi tiada pilihan. Pilihan untuknya berpusing dan mengadap Johan juga tidak diberi keizinan. Dia lalu menjatuhkan pistolnya ke atas tanah dan mengangkat tangan seperti gaya takbiratul ihram tanpa dapat melihat wajah Johan.
“Berani. Kau budak yang berani. Aku sangkakan kau hanya budak mentah yang mahu menjadi hero menyelamatkan seorang gadis cantik.”
Dalam hati Johan terdetik bahawa separuh dari penyataan Bawi itu adalah benar. Budak mentah yang mahu menjadi hero menyelamatkan seorang gadis cantik. Johan senyum segaris.
“Sebab utama aku lari dari korang adalah sebab korang berpistol. Ambil pistol, korang hanyalah anjing yang hilang gigi dan kuku.”
Itu bukan omong kosong. Johan sudah dilatih seni mempertahankan diri dari kecil oleh datuknya. Keberanian adalah sesuatu yang memang ada dalam dirinya.

“Budak, siapa nama kau?” tanya Bawi.
“Aku tiada nama,” jawab Johan.
“Baiklah, budak. Biar aku beritahu kau sesuatu. Aku nasihatkan kau tarik picu pistol itu dan tamatkan nyawa aku di sini. Sebabnya, kalau aku ada rezeki untuk bernyawa lagi, aku akan cari kau sampai ke lubang cacing hanya untuk jadikan kepala kau sebagai koleksi hiasan awet di dinding tandas rumah nenek aku.”
Johan mendengus, tanda menempelak kata-kata Bawi itu.
“Ya, tapi macam mana kau nak cari aku sedangkan muka aku pun kau tak pernah pandang?”
“Hahaha...” Bawi ketawa tidak bernada.
“...aku mungkin tak cam muka kau. Tapi aku SANGAT cam muka Intan, muka mak Intan, muka bapak Intan, alamat rumah Intan, dan banyak lagi.”
Johan berubah muka, mencerun.
“Hanya untuk menarik kau keluar dari lubang cacing, aku sanggup awet Intan kesayangan kau dari bahagian pusat ke lutut dan gantung depan pintu rumah Encik Ahmad sebagai pameran.”
Johan mengetap bibir.
“Oh, sudah pasti aku akan buat semua tu selepas aku puas main ‘benda yang di tengah’ tu. Hahaha!” Bawi merapatkan jari telunjuk dan jari hantu tangan kanannya dan menggerakkannya seperti isyarat mengorek.
Kemarahan Johan berada di kemuncak.
Satu hentakan kuat menghinggap ke kepala Bawi dengan menggunakan hulu pistol yang dipegang Johan. Hentakan itu cukup membuatkan Bawi hilang kesdaran dan jatuh rebah menyembah bumi.
Genggaman tangan Johan menggeletar. Sedikit lagi dia mungkin akan menarik picu pistol dan menamatkan hayat Bawi. Akan tetapi rasional menerpa mengatakan bahawa saat peluru menembusi kepala Bawi, maka dirinya terletak sama taraf dengan pemusnah masyarakat itu.


“Maaf, aku takkan membunuh.”



BERSAMBUNG...[40]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...